Sabtu, Mac 14, 2009

Dasar PPSMI

Bahagian 1

Kali ini saya ingin berkongsi cerita berkaitan dengan dasar ini. Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik di dalam Bahasa Inggeris. Dasar ini sedang dipraktikkan di negara saya bernama Malaysia.

Sebelum saya menyatakan tanggapan saya mengenai dasar ini, sukalah saya berkongsi cerita pengalaman saya berkaitan dengan dasar ini suatu ketika dahulu semasa berada di Universiti. Pada ketika itu, memang belum ada lagi dasar ini.

Saya masih ingat ketika belajar di Universiti dahulu, beberapa orang Pensyarah saya mengeluh disebabkan sikap kami yang kurang mahir dengan Bahasa Inggeris. Mereka mengeluh kerana kami terlalu bergantung pada nota-nota kuliah mereka, terutama ketika menjawab soalan-soalan peperiksaan yang diberikan.

Mereka dapat mengesannya bersandarkan jawapan peperiksaan yang kami tuliskan di dalam kertas jawapan peperiksaan. Mereka berkata, tiada pengolahan mendalam di dalam jawapan-jawapan yang kami berikan. Di dalam hati saya berkata, bagi pihak diri saya, memanglah begitu sebab saya tidak membaca buku-buku rujukan. Bukanlah saya tidak mahu membacanya, tetapi disebabkan semua buku rujukan itu dalam bahasa Inggeris, maka timbullah rasa malas untuk membacanya. Maklumlah, saya tidak mahir di dalam bahasa itu. Bukan sahaja membaca atau menulis, hatta berkomunikasi pun saya memang tidak mahir.

Masih segar diingatan saya semasa berada di tahun dua pengajian, di mana kami telah diwajibkan mengambil Kursus yang dinamakan Meteorologi. Kursus ini adalah berkisar mengenai ilmu atmosfera terutamanya berkaitan dengan proses-proses cuaca.

Ketika itu Pensyarah yang mengajar kursus ini seorang warganegara Argentina. Pastilah bahasa pengantarnya bahasa Inggeris. Di sinilah kebolehan saya betul-betul teruji. Maklumlah saya tidak mahir dengan bahasa Inggeris. Disebabkan itu, semasa beliau mengajar, saya terpaksa menumpukan perhatian dan mencatatkan nota-nota yang beliau utarakan. Sungguh! Saya tidak mahir di dalam bahasa Inggeris pada ketika itu.

Bukan sahaja saya yang mengeluh dengan kursus ini, tetapi kesemua rakan-rakan coursemate saya merasa sukarnya kursus ini. Kenangan yang paling manis berkaitan dengan kursus ini ialah bila mana kami menghadapi peperiksaannya. Ya, masih saya terbayang bagaimana sukarnya beberapa hari sebelum menghadapi peperiksaannya itu.

Kenangan yang saya tidak dapat lupakan ialah ramai rakan-rakan yang memang sealiran dengan pemikiran saya yang amat tidak bersemangat dengan kursus ini. Setiap kali berbicara dengan rakan-rakan, pasti kami mengutarakan perasaan yang terlalu negatif mengenai kursus meteorologi ini.

Di hari-hari mendekati peperiksaan, ketika saya dan beberapa rakan lain sibuk mengulangkaji kursus ini, adalah seorang rakan saya yang tidak menunjukkan minat langsung untuk mengulangkaji. Dan dia pun tidak berusaha untuk menguasai kursus ini. Ya, saya dapat merasakan kepayahannya itu. Sungguh, saya merasai betapa payahnya kursus meteorologi pada ketika itu. Cuma bezanya saya dengan rakan saya itu ialah saya cuba berusaha manakala rakan saya itu telah patah semangatnya untuk berusaha menguasai kursus itu. Sampaikan dia mengatakan bahawa dia akan gagal dengan kursus itu.

Apa yang terjadi ketika saya dan rakan-rakan lain sibuk berusaha mengulangkaji terutama di malam sebelum hari peperiksaan diadakan, rakan saya yang telah patah semangatnya itu dengan selambanya membiarkan dirinya tidak berusaha.

Masih segar diingatan saya dia datang ke bilik saya pada malam sebelum peperiksaan itu dan berkata “tak perlu susah-susah, apa nak sibuk-sibuk mengulangkaji dengan menghafal itu dan ini.” Di situ saya memang dah perasan bahawa dia sebenarnya sedang berperang dengan jiwanya sendiri. Apa yang mampu saya katakan kepadanya ialah lebih baik mencuba daripada tidak berusaha langsung, bukan?.

Ketika peperiksaan berlangsung, saya dapat perhatikan rakan saya itu relaks sahaja duduk di bangku dan di hadapan mejanya, manakala sebahagian rakan-rakan lain sibuk menjawab kertas peperiksaan termasuklah saya sendiri. Dan apabila diumumkan masa peperiksaan akan tamat dan dibenarkan keluar, rakan saya itulah orang yang pertama keluar dari bilik peperiksaan.

Kenangan manis berkaitan dengan kursus meteorologi ini ialah bilama keputusan peperiksaan diumumkan. Saya dengan rasa penuh syukur kepada-Nya telah mendapat 78 % markah, manakala rakan saya yang tidak berusaha itu hanya mendapat 2 % sahaja. Akhirnya dia terpaksa mengulang sekali lagi kursus yang penuh mencabar itu.

Itulah kenangan manis yang saya tidak dapat lupakan. Ya, kita perlu berusaha memajukan diri sendiri. Andai ianya sukar dilakukan, apa salahnya dicuba pelbagai kaedah agar kita menguasainya dan memperolehi hasilnya kelak. Tanpa usaha, pastilah tiada hasil yang akan diperolehi.

Coretan ini akan saya sambung lagi di lain masa.

0 Komen:

Catat Ulasan