Selasa, Mac 17, 2009

Dasar PPSMI … Strategi Seorang Guru

Bahagian Akhir

Dalam beberapa hari ini saya akan terus dihimpit kesibukan oleh pelbagai tugasan yang harus saya siapkan. Walaupun sebelum ini saya telah menyatakan akan cuba berkongsi pengalaman mengenai dasar PPSMI, tetapi saya terpaksa mengambil keputusan untuk mengakhiri coretan saya di dalam perkara ini.

Antara sebabnya, ialah penulisan mengenai PPSMI ini telah banyak dinyatakan oleh pelbagai pihak termasuklah di dalam blog Ayahanda Tun yang pada saya padat dengan isi-isi untuk difikir-fikirkan, selain ruangan komen di dalam blog itu yang banyak membicarakannya. Dalam masa terdekat ini pun, kerajaan Malaysia akan memutuskan mengenai dasar ini.

Dalam pada itu, bagi pihak diri saya pula, pastilah kesibukan tugas menyebabkan saya terpaksa mengakhiri tulisan saya di dalam tajuk ini walaupun hakikatnya saya belum dapat berkongsi dengan Anda pengalaman yang telah saya lalui.

Namun begitu, saya juga ingin melontarkan pemikiran saya mengenai hal ini. Maklumlah, di samping berperanan sebagai seorang penyelidik sains, saya juga dalam masa yang sama berpeluang mengongsikan ilmu yang saya miliki dengan anak-anak generasi pelapis Negara Tercinta Ini. Dalam erti kata lain, saya juga sebenarnya seorang guru.

Perkara yang ingin saya lontarkan ialah matlamat kehadiran anak-anak Kita ke sekolah. Apakah matlamat mereka ke sekolah? Saya secara peribadi mengatakan bahawa tujuan anak-anak ke sekolah pastilah untuk belajar menguasai ilmu. Sebut sahaja ilmu, ya, ilmu dalam pelbagai perkara.

Baiklah, mari saya bawakan pemikiran saya mengenai perkara ini. Katakanlah saya sebagai seorang guru dan terdapat tiga orang pelajar yang saya namakan mereka sebagai Ahmad, Budin dan Siti. Ketiga-tiga mereka ini sedang belajar daripada saya mengenai pelbagai Ilmu.

Di dalam proses mereka belajar itu, saya akan meneliti kemahiran penguasaan ilmu setiap daripada mereka. Sudah pasti kebolehan setiap daripada mereka adalah berbeza-beza. Katakanlah si Siti lebih hebat penguasaan ilmunya berbanding si Ahmad dan si Ahmad pula lebih baik berbanding si Budin.

Sebagai seorang guru, saya ada beberapa pilihan strategi untuk meneruskan proses pengajaran kepada mereka agar mahir dalam setiap ilmu yang saya ajarkan. Antara pilihan strategi yang saya ada ialah;

Strategi pertama, saya akan teruskan sahaja proses pengajaran kepada mereka bertiga sama rata. Walaupun saya memahami bahawa si Siti lebih hebat penguasaan ilmunya berbanding yang lain. Bermaksud si Siti mempunyai IQ yang lebih berbanding si Ahmad dan si Budin. Dalam hal ini, sudah pasti si Siti akan terpaksa berkorban masanya kerana apabila saya mengajar, walaupun si Siti telah memahami ilmu yang saya telah ajarkan pada ketika itu, tetapi disebabkan si Ahmad dan si Budin masih belum faham mengenai Ilmu yang saya berikan, maka si Siti terpaksalah menunggu sehingga si Ahmad dan si Budin faham. Saya sebagai guru terpaksa melakukan itu agar ketiga-tiga daripada mereka menguasai ilmu yang sedang saya ajarkan. Bila mereka bertiga sudah faham, barulah saya akan berpindah kepada ilmu yang baru pula. Pastilah strategi ini akan merugikan si Siti kerana dia terpaksa berkorban masa menunggu si Ahmad dan si Budin.

Strategi kedua pula, Saya akan memberi pengajaran ilmu yang baru kepada mereka bertiga kerana si Siti telah menguasai ilmu yang saya ajarkan. Walaupun hakikatnya si Ahmad dan si Budin masih belum faham ilmu yang saya telah berikan itu. Dalam hal ini, saya berani mengatakan bahawa sebagai seorang guru saya telah gagal kerana kedua-dua pelajar saya iaitu si Ahmad dan si Budin masih belum faham akan ilmu yang saya perturunkan.

Strategi ketiga yang berkemungkinan saya lakukan pula, ialah saya akan terus mengajarkan si Siti ilmu-ilmu yang saya miliki. Manakala si Ahmad dan si Budin saya tinggalkan. Dalam erti kata lain, saya tidak mahu lagi mengajar si Ahmad dan si Budin kerana mereka mempunyai tahap IQ yang tidak mencapai tahap seperti yang saya inginkan. Dalam hal ini, sudah pasti saya sedih kerana murid yang bakal menguasai ilmu yang telah saya miliki hanya tinggal seorang sahaja akan menguasainya.

Manakala strategi keempat pula ialah saya akan mengasingkan si Siti, si Ahmad dan si Budin di dalam proses pengajaran yang saya lakukan. Ini kerana proses pembelajaran si Siti lebih ke hadapan berbanding si Ahmad dan begitu juga dengan si Budin. Hakikatnya, saya akan menggunakan masa yang lebih untuk mengajar kepada mereka bertiga. Ini terpaksa saya lakukan agar kebolehan si Siti menguasai ilmu dalam masa yang singkat tidak disia-siakan, manakala dalam masa yang sama, si Ahmad dan si Budin juga akan terus di dedahkan dengan ilmu walaupun sedikit terkebelakang berbanding si Siti tadi.

Persoalannya, mana satukah pilihan saya sebagai seorang guru untuk dilakukan? Pemikiran ini saya segaja utarakan di sini untuk Kita fikir-fikirkan bersama. Ini pastilah ada hubung kaitnya dengan Dasar Pembelajaran Sains dan Matematik di dalam Bahasa Inggeris itu.

Ya, sebelum menutup coretan ini, saya ingin menyatakan secara peribadi bahawa pilihan sama ada Kita bersetuju atau menentang akan dasar ini ada pada Kita. Sememangnya Kita inginkan generasi muda pelapis negara Kita ini berkemahiran di dalam pelbagai bidang ilmu.

Saya tidak mahu menyatakan pendirian saya di dalam blog ini, tetapi cukuplah sekadar saya menlontarkan pandangan bahawa pengalaman yang telah saya lalui telah mengajar saya sesuatu mengenai penguasaan ilmu di dalam bidang sains ini. Sememangnya saya amat bersetuju dengan apa yang telah ditulis oleh Ayahanda Tun Dr. Mahathir di dalam blognya. Dan banyak perkara yang diutarakan oleh Ayahanda Tun itu menyerupai akan apa yang telah saya alami di dalam menempuhi ranjau-ranjau kehidupan ini.

Pastilah pilihan proses pengajaran kepada anak-anak Kita pada ketika ini ada pada Kita. Pilihlah yang terbaik untuk mereka agar kelak mereka tidak ketinggalan di dalam menguasai pelbagai ilmu yang telah diberikan oleh yang MAHA ESA.

Sekian.

0 Komen:

Catat Ulasan