Sabtu, Mac 14, 2009

Dasar PPSMI .. bhg 2

Bahagian 2

Hari ini saya membaca blog Tun Dr. Mahathir berkaitan dengan dasar ini. Sememangnya saya tidak terkejut dengan lontaran pandangan Ayahanda Tun itu. Itulah kehebatannya. Semalam minda saya sememangnya merancang akan menyambung tulisan saya mengenai dasar PPSMI ini berkaitan dengan pengalaman saya sendiri apabila telah menjadi seorang penyelidik di dalam bidang sains.

Itulah kehebatan Tun Dr. Mahathir yang saya kagumi. Pandangannya, kadang kala melangkaui pandangan diri saya sendiri. Walau ada di kalangan manusia yang membenci beliau, tetapi pada saya, dia adalah seorang pemimpin di antara yang saya memang kagumi. Beruntung sungguh Ayahanda Tun kerana sentiasa diumpat dan dikeji. Perbuatan itu sememangnya menyebabkan beliau mendapat ganjaran yang amat-amat tinggi nilainya. Apatah lagi yang membenci beliau itu terdiri daripada ahli-ahli yang pakar dalam agama.

Saya harus mengakui bahawa beberapa dasar-dasar kerajaan sebelum ini telah mewujudkan peluang kepada saya sehingga saya menjadi seperti sekarang ini. Terima kasih kepada seluruh pemimpin yang telah memberikan peluang-peluang itu kepada saya.

Berbalik kepada pandangan Ayahanda Tun di dalam blognya perkara 9 dan 13, sememangnya itulah yang ingin saya kongsikan berkaitan dengan pengalaman saya. Walaupun Tun telah menjelaskannya, tetapi jika ada kelapangan, saya akan kongsikan pengalaman saya di dalam hal itu. Ya, pengalaman sebenar saya mengenainya.

Selain itu, saya juga sebenarnya merancang untuk berkongsi coretan pengalaman saya mengenai pembentangan di peringkat antarabangsa, dan sekali lagi Ayahanda Tun telah melangkaui keupayaan saya dengan menyentuhnya di dalam perkara 20 di dalam tulisannya itu.

InsyaAllah, jika ada keizinan, semua itu akan saya kongsikan bersandarkan pengalaman sebenar diri saya. Ya, InsyaAllah akan saya coretkannya di dalam blog ini walaupun Ayahanda Tun telah menzahirkan pandangannya.

Sememangnya, saya juga harus bersetuju dengan pandangan Tun iaitu;

"Saya bukan hendak memandang rendah bahasa bangsa saya sendiri. Tetapi saya perlu terima hakikat yang sebenar. Bahasa sesuatu bangsa akan dipelajari oleh orang asing jika bangsa itu amat maju dan terkenal dengan ilmu yang dimiliki dan diterokai olehnya. Demikian sebelum abad ke-15 Masihi orang Eropah terpaksa belajar bahasa Arab kerana tamadun Islam pada masa itu gah dan amat dihormati. Tetapi selepas orang Islam ketepikan sains, ilmu perubatan dan hisab, orang Eropah tidak lagi mempelajari bahasa Arab. Sebaliknya orang Arab dan Islam terpaksa belajar bahasa Eropah.

Dan saya ingin sambung tulisan Ayahanda Tun bahawa negara Kita sememangnya telah dijajah selama lebih kurang 450 tahun oleh bangsa Eropah dan Jepun, tetapi adakah selepas itu bahasa Kita telah dilenyapkan oleh mereka? Sudah pasti saya mengatakannya tidak. Oleh itu, mengapa masih ada yang gusar melalui dasar ini iaitu akan lenyaplah bahasa Kita, walhal sebenarnya Kita telah memerintah negara Kita sendiri. Adakah melalui dasar ini akan lenyaplah bahasa Kita? Sememangnya pandangan ini saya masih kurang pasti.

Tetapi jauh di sudut hati saya, Ya, saya akan berusaha untuk menguasai ilmu ini walaupun agak payah untuk saya lakukan. Terima kasih Ayahanda Tun kerana berkongsi tulisan itu. Dan akhirnya, terima kasih sekali lagi.

Apapun, saya tetap menghormati pandangan yang menentang dasar ini. Namun tidak bermaksud Anda harus memaksa saya untuk mengikuti pandangan Anda itu. Kita masing-masing ada pandangan dan saya serahkanlah kepada Anda untuk menilainya. Saya juga berharap agar Anda menghormati pandangan saya. Akhir sekali, saya memohon pertolongan agar Anda tidak memaksa saya menerima pandangan yang bertentangan dengan pandangan saya, tetapi saya masih memberi keizinan untuk anda mengutarakan pandangan Anda itu untuk saya fikir-fikirkan.

Sekian.

1 Komen:

Na Shari berkata...

Saya pun tak menyebelahi mana2 pihak..tapi sebagai seorang pengusaha pusat tuisyen,tadika dan taska... rata2 my students, baik yang tadika, sekolah rendah mahupun yg sekolah menengah...kebanyakannya cemerlang dalam pelajaran sains dan matematik yang menggunakan bahasa inggeris...

Tak berniat nak mencetuskan kontroversi ye...ini cuma sekadar pandangan peribadi...

Catat Ulasan