Jumaat, Ogos 02, 2013

Negaraku Malaysia, Memahat Nama...

Walaupun ketika ini saya sedang dibebani dengan pelbagai tugasan, tetapi dek desakan minda dan dorongan perasaan, lalu saya paparkan lakaran ini untuk dikongsi dengan Anda, Anda yang sememangnya saya kasihi kerana DIA.

Desakan minda yang saya maksudkan ialah mengenai pelbagai kekusutan yang tiba-tiba melanda negara tercinta, Malaysia.

Kita tiba-tiba dihidangkan dengan pelbagai kes-kes pembunuhan berprofil tinggi, seperti yang baru-baru ini berlaku. Pembunuhan Pengasas Arab-Malaysia Bank, Husin Ahmad Najadi. Videonya ada di sini. Dan sebelum itu, pembunuhan Timbalan Pengarah Kastam, Datuk Shaharuddin Ibrahim juga telah menggemparkan seluruh negara.

Selain itu, isu-isu panas dan penghinaan yang menganggu ketenteraman masyarakat Malaysia khususnya seperti kes Alvin Tan Jye Yee dan Vivian Lee, yang memuat-naik poster berbuka puasa dengan 'Bah Kut Teh', Isu panas pelajar sekolah rendah yang dikatakan makan di dalam tandas yang mana sedikit-sebanyak menyemburkan isu-isu perkauman, tetapi akhirnya diketahui bahawa bukan tandas tetapi bilik persalinan, kisahnya ada di sini.

Dan baru-baru ini, kisah seorang wanita Islam dikatakan menghina penganut agama Islam, dengan memaparkan video bersama anjing peliharaannya dengan berlatar belakangkan lagu hari raya, seolah-olah dilihat sebagai satu penghinaan kepada umat Islam. Begitu juga kisah yang baru sebentar tadi saya baca iaitu Penghinaan terhadap Kitab Suci Al-Quran.

Apa sudah jadi dengan negaraku tercinta Malaysia?

Sebelum ini, saya pernah memaparkan luahan perasaan kekhuatiran saya di laman blog "The Scribe A Kadir Jasin" iaitu sebuah blog yang saya sering kunjungi di dalam memahami situasi politik negara tercinta, Malaysia.

Antara bait-bait komentar yang saya paparkan di dalam entri "Siapa Yang Dekati Pope Nasihatilah Wakil Beliau" di laman blog The Scribe itu ialah;

"Salam Ybhg Datuk KJ,

Izinkan saya memaparkan persoalan yang sedang bermain di minda ketika ini.

Mana sudah kepimpinan Islam Negara ini? Seolah-olahnya kewibawaan sifat-sifat kepimpinan mereka semakin terhakis ketika ini. Makin ramai juga yang mempersoalkan kebolehupayaan mereka melaksanakan segala perkara yang berkaitan dengan tadbir-urus negara. Mungkinkah ianya berlaku kerana penglihatan mereka semakin kabur, tidak bermisi, lalu kiblatnya tidak lagi kepada NYA?

Kerisauan saya ialah mungkinkah akan wujud lagi pasukan-pasukan yang tidak lagi berpaksikan undang2 negara ini, lalu bertindak mengikut sesuka hati mereka sendiri. Memberi kecaman rasis sentiasa, walahal sebenarnya ditatang seumpama minyak di dulang yang penuh.

Saya khuatir akan lenyap pula sebuah kerajaan Islam sebagaimana yang telah berlaku pada Kesultanan Sulu, yang suatu ketika dahulu megah berkuasa. Tetapi, dek perpecahan sesama sendiri, akhirnya pelbagai sultan Sulu dizahirkan, walhal, ada juga yang tidak berakyat, sampai kini pun, hanyalah boneka semata.

Lalu, mana halatuju sebenar negara ini? Liberalkah? Wasatiyahkah? 1Malaysiakah? Mana KITAB panduannya? Seandainya KITAB PANDUAN ITU telah hilang, mungkinkah juga pertolongan NYA akan hilang?

"Mereka itulah orang-orang yang telah rosak amal perbuatannya di dunia dan di akhirat, dan mereka tidak akan memperoleh sesiapa pun yang dapat memberi pertolongan." (Ali-Imran:22)

"Wahai orang-orang yang beriman! Perangilah orang-orang kafir musyrik yang berdekatan dengan kamu; dan biarlah mereka merasai sikap kekerasan (serta ketabahan hati) yang ada pada kamu; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa (dengan memberikan pertolonganNya)." (At-Taubah: 123)

"Dan jika mereka bertujuan hendak menipumu, maka sesungguhnya cukuplah Allah (menjaga dan memberikan perlindungan) kepadamu. Dia lah yang menguatkanmu dengan pertolonganNya dan dengan (sokongan) orang-orang yang beriman." (Al-Anfal: 62)"

Baca selanjutnya, Klik di sini...

Jumaat, Julai 19, 2013

Menikmati Syahwat... Penuh Kebahagiaan

Salamelekom, wbt dan Salam Ramadhan saya ucapkan kepada Anda..., Anda yang sememangnya saya kasihi kerana DIA.

Hari ini, bersamaan hari Jumaat..., dan saya terdorong untuk mengongsikan sebuah kisah kehidupan yang amat penting untuk tatapan Anda. Maklum sajalah, kisah yang dipaparkan amat sinonim dengan keputusan-keputusan yang sering diambil semasa melaksanakan segala tanggungjawab di dalam kehidupan ini.

Agar Anda lebih memahaminya, telaahlah coretan yang saya paparkan di bawah. Kisahnya;

Di dalam sebuah kelas falsafah, seorang Profesor berdiri di hadapan pelajar-pelajarnya di dalam dewan kuliah. Terdapat meja di hadapannya dengan beberapa barangan.Tanpa sepatah perkataan, kelas dimulakan dengan Professor itu mengambil sebuah balang mayonis yang besar dan mengisinya dengan bola golf.

Dia kemudian bertanya kepada para pelajarnya, adakah balang itu penuh, lalu pelajar-pelajarnya menjawab “Yaaaa!”

Profesor kemudian mengambil sekotak batu kerikil halus dan menuangkannya ke dalam balang yang telah dipenuhi bola golf tadi, lantas menggoncang balang tersebut dengan lembut. Bebatu kerikil mengisi ruangan kosong di antara bola-bola golf. Sekali lagi Professor bertanya kepada pelajarnya sama ada balang tersebut telah penuh, pelajarnya lantas menjawab seklai lagi “Yaaaa…”

Tanpa menjelaskan apa-apa kepada pelajarnya, Profesor tersebut lantas mengambil pula sebuah kotak yang berisi pasir dan menuangkannya ke dalam balang tersebut. Pasir yang dituang mengisi ruangan di antara batu kelikir dan bola golf. Seperti tadi dia bertanya sekali lagi kepada para pelajarnya sama ada balang itu telah dipenuhi.

Dalam keadaan yang penuh persoalan, rata-rata pelajarnya menjawab “Yaaa..”

Sejurus selepas itu, Profesor kemudiannya mengeluarkan dua cawan kopi dari bawah mejanya dan menuangkan kedua-duanya ke dalam balang yang telah sedia ada diisi dengan batu golf, batu kerikil dan pasir tersebut. Air kopi mengisi ruangan yang terdapat di antara pasir. Para pelajar mula ketawa dan tersenyum meihat tindakan Profesor tersebut. 

“Sekarang…” suara Profesor mula kedengaran apabila riuh rendah dan gelak ketawa pelajarnya berkurangan. “Saya mahu Anda semua menganggap balang ini sebagai kehidupan Anda. Bola-bola golf mewakili perkara penting - Tuhan, keluarga Anda, Anak-Anak, kesihatan Anda, kawan-kawan dan semangat anda. Jika anda kehilangan segalanya dan hanya perkara penting ini yang masih Anda ada, hidup Anda masih penuh.

Batu kerikil halus ini pula mewakili perkara-perkara lain seperti kerja anda, rumah atau kereta anda, manakala pasir pula mewakili perkara-perkara lain, yakni perkara-perkara kecil.”

“Jika Anda memasukkan pasir ke dalam balang dahulu…” “… Anda tidak akan mempunyai ruang untuk batu kerikil dan bola golf.

Ini sama juga seperti kehidupan Anda. Jika Anda menghabiskan masa dan tenaga untuk perkara-perkara kecil, anda tidak akan mempunyai ruang untuk perkara yang sebenarnya lebih penting untuk diri Anda.”

“Ambil perhatian untuk perkara yang kritikal untuk kebahagiaan Anda. Luangkan masa gembira untuk Anak-Anak. Sentiasa melakukan pemeriksaan kesihatan, bawa pasangan Anda untuk makan malam, yang pasti, Anda akan masih ada masa untuk membersihkan rumah atau urusan lain.

Sila ambil berat akan bola golf dahulu - iaitu perkara yang benar-benar penting. Tetapkan keutamaan. Perkara lain cumalah pasir…”

Salah seorang pelajarnya tiba-tiba mengangkat tangan dan bertanya, "Apakah pula yang diwakili oleh air kopi?"

Profesor tersenyum. “Saya gembira ada yang bertanya. Ianya menunjukkan bahawa tidak kira bagaimana penuh pun kehidupan Anda, akan ada ruang sentiasa untuk secawan dua kopi bersama rakan-rakan…”

(*___*)
Abgbent

Perkongsian dr sumber Internet...

Baca selanjutnya, Klik di sini...

Selasa, Jun 11, 2013

Rahsia, Hubungan Seks Suami Isteri

Salamelekom, wbt kepada Anda yang saya amat kasihi kerana DIA...

Agak lama juga saya tidak mengisikan sebarang entri terbaru di laman blog ini. Aduh! Kesibukan yang menggamit khususnya urusan keluarga dan pekerjaan, telah menyebabkan saya berasa amat sukar membuat sebarang lakaran sehingga ke hari ini.

Sebentar tadi, ketika saya menjenguk ke dalam akaun "facebook", tiba-tiba saya berasa amat tertarik untuk mengongsikan sebuah kisah dengan Anda, iaitu kisah sepasang suami isteri yang berkeinginan untuk mengadakan hubungan seks dari perspektif agar mendapat ganjaran pahala.

Anda nak tahu kisahnya? Nah, baca saja coretan yang saya tunjukkan di bawah ini. Menurut cerita, dikatakan bahawa dengan melakukan Hubungan Seks yang mengikut sunnah Nabi, Perlakuan sebegitu akan berjaya membunuh 80 ekor Syaitan... *Itu menurut kata orang, tak tahulah sama ada betul atau tidak!*

Apa yang menarik perhatian saya ialah perbualan sepasang suami isteri mengenai perkara itu,

Isteri: Kalau begitu bang, kalau kita buat 2 kali hubungan seks?

Suami: Kita dapat bunuh 160 Syaitan.

Isteri: Kalau kita buat 4 kali bang?

Suami: 340 Syaitan kita bunuh.

Isteri: Kalau 14 kali bang?

Suami: Tuh, Kau Nak BUNUH AKU! SETANNN!!!


Abgbent
(*___*)



Baca selanjutnya, Klik di sini...

Khamis, Mei 23, 2013

Menyusuri Jalan Ke Syurga... bhg 1

Pada setiap Jumaat, selepas selesai menunaikan solat Jumaat, seorang Imam dan anaknya yang berumur 7 tahun akan berjalan menyusuri jalan di kota itu dan menyebarkan risalah bertajuk “Jalan-jalan Syurga” dan beberapa karya Islamik yang lain. Pada satu Jumaat yang indah, pada ketika Imam dan anaknya itu hendak keluar seperti biasa menghulurkan risalah-risalah Islam itu, hari itu menjadi amat dingin dan hujan mulai turun. Anak kecil itu mula membetulkan jubahnya yang masih kering dan panas dan seraya berkata “Ayah! Saya dah bersedia”

Ayahnya terkejut dan berkata “Bersedia untuk apa?”
“Ayah bukankah ini masanya kita akan keluar menyampaikan risalah Allah.”
“Anakku! Bukankah sejuk keadaan di luar tu dan hujan juga agak lebat”
“Ayah bukankah masih ada manusia yang akan masuk neraka walaupun ketika hujan turun”
Ayahnya menambah “Ayah tidak bersedia hendak keluar dalam keadaan cuaca sebegini”
Dengan merintih anaknya merayu “Benarkan saya pergi ayah?”

Ayahnya berasa agak ragu-ragu namun menyerahkan risalah-risalah itu kepada anaknya “Pergilah nak dan berhati-hatilah. Allah bersama-sama kamu!”

“Terima kasih Ayah” Dengan wajah bersinar-sinar anaknya itu pergi meredah hujan dan susuk tubuh kecil itu hilang dalam kelebatan hujan itu.

Anak kecil itu pun menyerahkan risalah-risalah tersebut kepada sesiapa pun yang dijumpainya. Begitu juga dia akan mengetuk setiap rumah dan memberikan risalah itu kepada penghuninya. Setelah dua jam, hanya tinggal satu saja risalah “Jalan-jalan Syurga” ada pada tangannya. Dia merasakan tanggungjawabnya tidak akan selesai jika masih ada risalah di tangannya. Dia berpusing-pusing ke sana dan ke mari mencari siapa yang akan diserahkan risalah terakhirnya itu namun gagal. Akhirnya dia ternampak satu rumah yang agak terperosok di jalan itu dan mula mengatur langkah menghampiri rumah itu. Apabila sampai sahaja anak itu di rumah itu, lantas ditekannya loceng rumah itu sekali. Ditunggunya sebentar dan ditekan sekali lagi namun tiada jawapan.

Diketuk pula pintu itu namun sekali lagi tiada jawapan. Ada sesuatu yang memegangnya daripada pergi, mungkin rumah inilah harapannya agar risalah ini diserahkan. Dia mengambil keputusan menekan loceng sekali lagi. Akhirnya pintu rumah itu dibuka. Berdiri di depan pintu adalah seorang perempuan dalam lingkungan 50an. Mukanya suram dan sedih. “Nak, apa yang makcik boleh bantu?” Wajahnya bersinar-sinar seolah-olah malaikat yang turun dari langit.

“Makcik, maaf saya mengganggu, saya hanya ingin menyatakan yang ALLAH amat sayangkan makcik dan sentiasa memelihara makcik. Saya datang ini hanya hendak menyerahkan risalah akhir ini dan makcik adalah orang yang paling bertuah”. Dia senyum dan tunduk hormat sebelum melangkah pergi.

“Terima kasih nak dan Tuhan akan melindungi kamu” dalam nada yang lembut. Minggu berikutnya sebelum waktu solat Jumaat bermula, seperti biasa Imam memberikan ceramahnya. Sebelum selesai dia bertanya” Ada sesiapa nak menyatakan sesuatu”. Tiba-tiba sekujur tubuh bangun dengan perlahan dan berdiri. Dia adalah perempuan separuh umur itu. “Saya rasa tiada sesiapa dalam perhimpunan ini yang kenal saya. Saya tak pernah hadir ke majlis ini walaupun sekali. Untuk pengetahuan anda, sebelum Jumaat minggu lepas saya bukan seorang Muslim.

Suami saya meninggal beberapa tahun lepas dan meninggalkan saya keseorangan dalam dunia ini” Air mata mulai bergenang di kelopak matanya. “Pada Jumaat minggu lepas saya mengambil keputusan untuk membunuh diri. Jadi saya ambil kerusi dan tali. Saya letakkan kerusi di atas tangga menghadap anak tangga menuruni. Saya ikat hujung tali di galang atas dan hujung satu lagi diketatkan di leher.

Apabila tiba saat saya untuk terjun, tiba-tiba loceng rumah saya berbunyi. Saya tunggu sebentar, pada anggapan saya, siapa pun yang menekan itu akan pergi jika tidak dijawab. Kemudian ia berbunyi lagi. Kemudian saya mendengar ketukan dan loceng ditekan sekali lagi”.

“Saya bertanya sekali lagi. Belum pernah pun ada orang yang tekan loceng ini setelah sekian lama. Lantas saya melonggarkan tali di leher dan terus pergi ke pintu”
“Seumur hidup saya belum pernah saya melihat anak yang comel itu. Senyumannya benar-benar ikhlas dan suaranya seperti malaikat”. “Makcik, maaf saya mengganggu, saya hanya ingin menyatakan yang ALLAH amat sayangkan makcik dan sentiasa memelihara makcik” itulah kata-kata yang paling indah yang saya dengar”.

“Saya melihatnya pergi kembali menyusuri hujan. Saya kemudian menutup pintu dan terus baca risalah itu setiap muka surat Akhirnya kerusi dan tali yang hampir-hampir menyentap nyawa saya diletakkan semula ditempat asal mereka. Aku tak perlukan itu lagi”.

“Lihatlah, sekarang saya sudah menjadi seorang yang bahagia, yang menjadi hamba kepada Tuhan yang satu ALLAH. Di belakang risalah terdapat alamat ini dan itulah sebabnya saya di sini hari ini. Jika tidak disebabkan malaikat kecil yang datang pada hari itu tentunya roh saya ini akan berada selama-lamanya di dalam neraka”

Tiada satu pun anak mata di masjid itu yang masih kering. Ramai pula yang berteriak dan bertakbir ALLAHUAKBAR! Imam lantas turun dengan pantas dari mimbar lantas terus memeluk anaknya yang berada di kaki mimbar dan menangis sesungguh-sungguh hatinya. Jumaat ini dikira Jumaat yang paling indah dalam hidupnya. Tiada anugerah yang amat besar dari apa yang dia ada pada hari ini. Iaitu anugerah yang sekarang berada di dalam pelukannya. Seorang anak yang seumpama malaikat...


Sumber: Dipetik daripada Facebook Adikku,  محمد الولازمي حسن

Baca selanjutnya, Klik di sini...

Ahad, Mei 05, 2013

BN Menang PRU-13... Ini Kalilah @ Lain Kalilah

Hari ini, rakyat seluruh Malaysia akan mengundi untuk memilih kepimpinan di peringkat Negeri dan Persekutuan. Kemeriahan kempen parti-parti politik Malaysia beberapa hari lalu telah berakhir pada hari ini dan saya percaya, majoriti rakyat Malaysia akan berada di hadapan monitor tv, komputer dan pelbagai medium tontonan untuk meneliti keputusan pilihanraya umum ke 13 yang akan diwar-warkan sehingga lewat malam ini.

Saya..., juga tidak ketinggalan akan menonton keputusan itu malam ini di hadapan tv, sambil-sambil bergurau dengan anak-anak, selain meneliti perbincangan-perbincangan ahli panel pengulas. Dan seperti kebiasaan, saya juga menantikan pengumuman "Cuti Umum" pada "Hari Isnin" iaitu keesokan harinya moga-moga diumumkan sebagai Hari Cuti. (*___*)

Banyak kali saya ditanya oleh rakan-rakan mengenai pemahaman dan pandangan saya mengenai parti yang layak diundi. Di antara Barisan Nasional (BN), Pakatan Rakyat (PR) dan parti lain-lain, yang manakah menjadi pilihan?.

Sebelum saya membicarakan pandangan saya mengenai BN, PR dan parti lain-lain, saya sebenarnya tertarik untuk memberitahu kepada Anda berkenaan ungkapan "Ini Kalilah".

Ungkapan "Ini Kalilah" amat popular di kalangan orang-orang Sabah, khususnya penyokong-penyokong PR pada pilihanraya umum kali ini. Oleh sebab itu, di kalangan penyokong BN, balasan ungkapan itu telah direkacipta dengan mengungkapkan "Lain Kalilah".

Sebenarnya, saya baru perasaan ungkapan "Ini Kalilah" seolah-olah berbunyi "Innalillah" (*___*).

Saya juga difahamkan bahawa sebutan itu seandainya tidak diungkapkan seelok-eloknya, ianya boleh memberi makna yang lain iaitu;

"Inni Kalilah" boleh membawa maksud "Sesungguhnya Aku Lemah" dan sekiranya disebut "Inni Ka Lillah" memberikan makna yang amat dahsyat iaitu "Sesungguhnya Aku seperti Allah", Na'uzubillah.

Saya merasakan ungkapan itu adalah sesuai difikirkan oleh mereka yang ingin berfikir mengenai petunjuk daripada Tuhan Maha Esa.

"Dan Dia lah yang menjadikan bumi terbentang luas, dan menjadikan padanya gunung-ganang (terdiri kukuh) serta sungai-sungai (yang mengalir). Dan dari tiap-tiap jenis buah-buahan, Ia jadikan padanya pasangan: dua-dua. Ia juga melindungi siang dengan malam silih berganti. Sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda-tanda kekuasaan Allah bagi kaum yang (mahu) berfikir." (Ar-Rad, 13:3)

Hari ini, saya juga ternampak salah satu foto yang agak memusykilkan saya. Betulkah ada kaitan dengan Arab Sping? Moga-moga Allah SWT memelihara keaman dan kedamaian negara Malaysia tercinta... Ameeen







 "Sebenarnya, saya amat yakin bahawa BN akan memenangi Pilihanraya Umum ke-13 ini. Sungguh! BN akan menang".

Begitulah ungkapan yang saya perolehi daripada penyokong BN, dan sebaliknya pula seandainya ditanya kepada penyokong PR dan parti lain-lain, pasti mereka menidakkan kemenangan BN.

Pada saya, siapa pun yang akan diumumkan menang pada Pilihanraya Umum ke-13 ini, yang paling utama, ialah memelihara keamanan dan kedamaian negara tercinta Malaysia ini. Tidak kira siapa pun mereka, seandainya ada tindakan provokasi dan pelbagai bantahan atau demonstrasi jalanan, pihak berkuasa khususnya yang telah memenangi pilihanraya umum harus bertindak tegas dan menahan sesiapa sahaja yang boleh memporak-perandakan negara tercinta, Malaysia ini.

Menjadi harapan seluruh rakyat Malaysia... agar Keamanan dan Kedamaian terus terpelihara di bumi Malaysia. 

Baca selanjutnya, Klik di sini...

Isnin, April 29, 2013

PRU 13 - Pilihanraya Umum Negara Malaysia ke 13. Pilihan saya ialah BN @ selain BN

Hari ini, saya menguatkan diri agar dapat memaparkan satu entri untuk tatapan Anda di blog Abgbent Pedoman Hidup. Saya ingin berkongsi dengan Anda mengenai pangkahan saya di dalam kertas undi, yang bakal saya terima pada 5 Mei 2013 nanti. Alamatlah tangan dan kuku saya kena cat pada tahun ini. (*___*)

Tahun ini, saya akan mengundi di kawasan Parlimen Sepanggar (P 171) di daerah Karambunai (N 12). Inilah buat pertama kali saya mengundi di kawasan tersebut. Sebelum ini, saya mengundi di daerah N 57 Sri Tanjung, Parlimen Tawau, P 190.

Sejak beberapa tahun lalu lagi, saya telah berusaha memindahkan lokasi saya mengundi, tetapi telah tidak diizinkan oleh pihak SPR - Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia kerana menurut mereka, saya hanya boleh memindahkan lokasi mengundi bilamana alamat pada Kad Pengenalan telah berubah.

Saya mengubah alamat yang tertera pada Kad Pengenalan saya akhir tahun lalu dan saya bersyukur, saya telah dipindahkan ke tempat pengundian yang baru. Pertama kali saya mengundi di kawasan tersebut. P 171 Sepangar, dalam daerah N12 Karambunai.

Anda nak tahu pangkahan saya pada calon yang mana satu? Sebelum saya memberitahu kepada Anda, adalah lebih baik Anda kenali dahulu calon-calon yang disenaraikan iaitu seperti berikut;

P171 - Sepangar
Jumlah Pengundi 53,374.
Pecahan Kaum; Bumiputera Islam (48.8 %), Bumiputera Bukan Islam (28.7 %), Cina (22 %) dan lain-lain (0.5 %)

1. Chin Hon Kiong (SAPP)
2. Daniel John Jambun (STAR)
3. Jeffrey Kumin @ John (DAP)
4. Datuk Jumat Idris (BN)


N12 - Karambunai
Jumlah Pengundi 28,971.
Pecahan Kaum; Bumiputera Islam (77.5 %), Bumiputera Bukan Islam (11.77 %), Cina (10.1 %) dan lain-lain (0.7 %)

1. Ag. Maidin Ag. Apong (Bebas)
2. Datuk Jainab Ahmad (BN)
3. Muali Aching (Keadilan)
4. Aziz Ibrahim (SAPP)
5. Rano Susulan (Bebas)

Memandangkan Undi saya adalah rahsia, lalu biarlah ia dirahsiakan daripada pengetahuan Anda. (*___*)

Sebenarnya coretan saya kali ini adalah kerana saya sebenarnya ingin berkongsi dengan Anda mengenai pembongkaran satu rahsia. Rahsia yang diciptakan untuk kita sama-sama fikirkan bersama. Tatap lah youtube di bawah;



Baca selanjutnya, Klik di sini...

Khamis, April 11, 2013

Kesultanan Sulu yang Hilang...

Saban hari, semakin meningkat jumlah tangkapan oleh pihak Malaysia ke atas orang-orang Sulu. Sebagai rakyat Malaysia yang menjunjung undang-undang yang termaktub, sememangnya saya amat bersetuju dengan tindakan sedemikian agar ketenteraman awam terpelihara, khususnya di Pantai Timur Sabah.

Namun begitu, saya juga berharap agar sesiapa sahaja yang telah ditangkap haruslah bersandarkan undang-undang dan tidak berlaku penganiayaan seperti mana yang dituduh oleh pihak-pihak tertentu. Saya baca laporan seperti itu di sini, we're treated like animals.

Beberapa hari lepas, dilaporkan seramai 135 orang telah ditangkap di bawah Akta Kesalahan Keselamatan Langkah-Langkah Khas 2012 SOSMA, iaitu yang berkaitan dengan Pencerobohan Tentera Diraja Kesultanan Sulu di Lahad Datu, Sabah. Laporan itu juga menyebut seramai 70 orang di pihak "Penceroboh" telah ditembak mati sejak peristiwa itu. Baca laporannnya di sini Polis Tahan dua Lelaki Sulu.

Hari ini pula, saya membaca laporan mengatakan seramai sembilan orang ditahan di Beluran berhubung Pencerobohan Sulu. Laporannya dinyatakan di sini, Lahad Datu: Sembilan ditahan di Beluran.

Apakah angka tangkapan yang kini seramai 185 orang akan terus bertambah hari demi hari? Gambaran yang bermain di minda saya ketika ini menunjukkan seolah-olahnya begitu. Mungkinkah lebih ramai lagi orang-orang Sulu yang akan ditangkap di dalam hal ini?

Seandainya begitu, saya melihatnya seolah-olah percaturan oleh pihak-pihak tertentu di dalam hal ini telah berjaya di mana gemerlapan cahaya Bulan dan Bintang di bumi Sabah sedikit demi sedikit mungkin akan dimalapkan. Nau'zubillah!

Pada ketika ini, penelitian saya mendapati terdapat Tiga Kesultanan Sulu yang utama iaitu Sultan Kiram, Sultan Bantilan dan Sultan Muedzulail

Sultan Kiram yang mempelopori pencerobohan di Lahad Datu adalah dikatakan berada di bawah telunjuk Kerajaan Filipina, lalu dianggap sebagai Sultan Sulu Boneka. Manakala Sultan Bantilan pula merupakan Sultan yang sedang berusaha untuk mengwujudkan kemerdekaan sendiri di rantau kepulauan Sulu, dan sekali-kali tidak akan mengiktiraf Kerajaan Filipina kerana Kesultanan ini mendasari agama Islam. Sebab itulah Kesultanan ini dinyatakan sebagai Sultan Sulu Darul Islam - SSDI. Manakala Sultan Sulu yang ketiga, iaitu Sultan Muedzulail, saya tidak seberapa mengetahuinya. Namun, saya ada terbaca kisah mengenainya di sini, Sultanate of Sulu, di sini, Insiden Lahad Datu, dan di sini, Bertemu Sultan Sulu. 

Secara rumusannya, saya pasti ketiga-tiga Sultan tersebut ada pertalian saudara, tetapi akibat perpecahan sesama sendiri, kedaulatan kesultanan ini akhirnya lenyap, tanpa takhta.

Malahan rakyat jelatanya telah terpisah-pisah, lalu dilabelkan menjadi Rakyat Malaysia, Rakyat Filipina, Rakyat Indonesia dan tidak kurang juga yang dilabel sebagai Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di laman sendiri.

Sultan Berdaulat, seharusnya memayungi rakyatnya dan bukannya mempergunakan rakyat untuk memiliki takhta. Namun, itulah yang telah berlaku kepada Sultan Sulu Jamalul Kiram yang akhirnya dikecam oleh Rakyat Malaysia keseluruhannya. Malahan Sultan Bantilan dan Sultan Muedzulail yang mempunyai pertalian saudara dengannya turut tidak menyetujui tindakan pencerobohan ke atas Lahad Datu, Sabah.

Mengapa harus berbunuh-bunuhan sesama umat? Bukankah Perjanjian yang dimeterai Kesultanan Sulu  dahulu masih termaktub? Seandainya Sultan Sulu Kiram masih menjunjung agama Islam, mohon ditelaah surah Al-Baqara ayat 84 - 85 yang menjadi Pedoman Umat Islam keseluruhannya.

"Dan (ingatlah), ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan kamu: "(Bahawa) janganlah kamu menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan) sesama sendiri, dan janganlah kamu usir-mengusir sesama sendiri dari kampung masing-masing". Kemudian kamu telah berikrar mematuhi perjanjian setia itu, dan kamu sendiri pula menjadi saksi (yang mengakui kebenarannya)."  Al-Baqara, 2: 84

"Kemudian kamu ini (wahai Bani Israil), kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri dan kamu usir satu puak dari kaum kamu keluar dari kampungnya; kamu pula saling bantu-membantu (dengan orang lain) untuk menentang mereka dengan melakukan dosa dan penganiayaan; padahal kalau mereka datang kepada kamu sebagai orang tawanan, kamu tebus mereka; sedang perbuatan mengusir mereka diharamkan juga atas kamu.... Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu dari antara kamu, selain dari kehinaan ketika hidup di dunia dan pada hari kiamat akan ditolak mereka ke dalam azab seksa yang amat berat dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan." Al-Baqara, 2:85


Kepada Sultan Sulu yang masih menjunjung keamanan, tebarkanlah peranan di dalam memayungi rakyat Sulu. Pimpinlah mereka agar berada di bawah Payung Mahkota Kesultanan Sulu. Tebarkanlah kasih sayang sesama umat.

Kini, seramai 185 orang-orang Sulu telah ditahan dan persoalannya, apakah yang akan berlaku kepada mereka khususnya sanak-saudara yang masih bergantung harap kepada kelangsungan kehidupan mereka? Mungkinkah Kesultanan Sulu hanya melihat dari jauh? Tiadakah pembelaan daripada Kesultanan Sulu, atau sememangnya Kesultanan Sulu telah lenyap.

Saya percaya, tangkapan yang semakin hari semakin bertambah akan menambahkan kebimbangan bukan sahaja kepada orang-orang Sulu, bahkan kepada penduduk negeri Sabah khususnya di mana bibit-bibit dendam akan mencambah.

Moga-moga Sabah, negeri di bawah bayu akan aman sentosa dan terhindar daripada gelora dendam dan kebencian.

"Dan jangan sekali-kali kebencian kamu kepada suatu kaum kerana mereka pernah menghalangi kamu dari masjid Al-Haraam itu - mendorong kamu menceroboh. Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya)". (Al-Maida, 5: 2)

"Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan." (Al-Maida, 5: 8)



  

Baca selanjutnya, Klik di sini...

Rabu, April 10, 2013

Isteri Penyelamat Suami

Bangsaku, Satu Harapan... merupakan coretan yang saya cuba usahakan untuk dipaparkan pada blog ini beberapa hari lepas, tetapi saya tidak dapat melakukannya kerana air mata mengalir di pipi. Barangkali dek terlalu memfokus lalu perasaan itu terlalu menggamit naluri Perjuangan Kehidupan saya.

Kali ini, saya bawa pula satu tajuk yang lebih menarik untuk Anda tatap iaitu "Isteri Penyelamat Suami". Sememangnya, begitulah yang sering berlaku kepada seorang Suami.  (*___*)


Kehebatan seorang Isteri memang tidak dapat ditandingi bila mana si Isteri memahami peranannya bersama Suami. Untuk Anda lebih memahami tajuk Bangsaku, Satu Harapan, cuba baca nukilan bertajuk Perancangan Strategi agar Anda lebih memahaminya.

Di akhir nukilan itu, ada juga disertakan luahan atau percakapan seperti mana yang telah dicatatkan. Saya tertarik bila menatap bait-bait ayat yang saya lakarkan kembali seperti di bawah;

"Saya mendedahkan segala-galanya. Dia menangis Tuan-tuan dan Puan-puan. Dia tak dapat nak terima yang suami dia ni buat perkara ni. Tahu dia kata apa kat saya, “Tak sangka aku hidup selama ini dengan seorang pengkhianat!”. Isteri saya kata kat saya, “You ni di depan terlalu elok, tapi di belakang you adalah syaitan nombor satu.” Dia kata kat saya, dia tak dapat terima saya buat kerja ni.
Tuan-tuan tahu tak, pada satu ketika tu, cara percakapan dia ni, kalau boleh dia tak mahu hidup dah dengan saya. Dia tak boleh terima saya buat benda ni. Saya minta maaf. Saya mengaku kesilapan saya, memang saya tahu saya silap semasa saya berada dalam..." 
Baca selanjutnya di sini, Perancangan Strategi



Baca selanjutnya, Klik di sini...

Jumaat, April 05, 2013

Bangsaku, Satu Harapan...

Sebentar tadi suara hatiku membuak-buak dan memaksa diri saya agar dapat memuatkan satu coretan di dalam blog Pedoman Hidup Abgbent untuk dikongsikan dengan Anda pada petang ini, sebelum saya bergegas pulang ke rumah.

Namun, sehingga kini, nampaknya, minda saya tidak dapat menzahirkan kata-kata yang sedang terbuku di dalam hati sanubari saya ketika ini. Untuk makluman Anda, hati saya sedang berasa sedih ketika ini dan airmata sedang menitis membasahi pipi.

Mungkin inilah penangan suara hati yang sedang bergelora di dalam diri saya mengenai Bangsaku, Satu Harapan...  Oleh kerana air mata sedang mengalir mencurah-curah di atas pipi saya ketika ini, maka tak dapatlah saya meneruskan lakaran ini.

Hanya Tuhan sahaja yang tahu bagaimana bentuk dan paparan coretan yang sedang saya fikirkan sebentar tadi mengenai Bangsaku, Satu Harapan...


Baca selanjutnya, Klik di sini...