Khamis, April 11, 2013

Kesultanan Sulu yang Hilang...

Saban hari, semakin meningkat jumlah tangkapan oleh pihak Malaysia ke atas orang-orang Sulu. Sebagai rakyat Malaysia yang menjunjung undang-undang yang termaktub, sememangnya saya amat bersetuju dengan tindakan sedemikian agar ketenteraman awam terpelihara, khususnya di Pantai Timur Sabah.

Namun begitu, saya juga berharap agar sesiapa sahaja yang telah ditangkap haruslah bersandarkan undang-undang dan tidak berlaku penganiayaan seperti mana yang dituduh oleh pihak-pihak tertentu. Saya baca laporan seperti itu di sini, we're treated like animals.

Beberapa hari lepas, dilaporkan seramai 135 orang telah ditangkap di bawah Akta Kesalahan Keselamatan Langkah-Langkah Khas 2012 SOSMA, iaitu yang berkaitan dengan Pencerobohan Tentera Diraja Kesultanan Sulu di Lahad Datu, Sabah. Laporan itu juga menyebut seramai 70 orang di pihak "Penceroboh" telah ditembak mati sejak peristiwa itu. Baca laporannnya di sini Polis Tahan dua Lelaki Sulu.

Hari ini pula, saya membaca laporan mengatakan seramai sembilan orang ditahan di Beluran berhubung Pencerobohan Sulu. Laporannya dinyatakan di sini, Lahad Datu: Sembilan ditahan di Beluran.

Apakah angka tangkapan yang kini seramai 185 orang akan terus bertambah hari demi hari? Gambaran yang bermain di minda saya ketika ini menunjukkan seolah-olahnya begitu. Mungkinkah lebih ramai lagi orang-orang Sulu yang akan ditangkap di dalam hal ini?

Seandainya begitu, saya melihatnya seolah-olah percaturan oleh pihak-pihak tertentu di dalam hal ini telah berjaya di mana gemerlapan cahaya Bulan dan Bintang di bumi Sabah sedikit demi sedikit mungkin akan dimalapkan. Nau'zubillah!

Pada ketika ini, penelitian saya mendapati terdapat Tiga Kesultanan Sulu yang utama iaitu Sultan Kiram, Sultan Bantilan dan Sultan Muedzulail

Sultan Kiram yang mempelopori pencerobohan di Lahad Datu adalah dikatakan berada di bawah telunjuk Kerajaan Filipina, lalu dianggap sebagai Sultan Sulu Boneka. Manakala Sultan Bantilan pula merupakan Sultan yang sedang berusaha untuk mengwujudkan kemerdekaan sendiri di rantau kepulauan Sulu, dan sekali-kali tidak akan mengiktiraf Kerajaan Filipina kerana Kesultanan ini mendasari agama Islam. Sebab itulah Kesultanan ini dinyatakan sebagai Sultan Sulu Darul Islam - SSDI. Manakala Sultan Sulu yang ketiga, iaitu Sultan Muedzulail, saya tidak seberapa mengetahuinya. Namun, saya ada terbaca kisah mengenainya di sini, Sultanate of Sulu, di sini, Insiden Lahad Datu, dan di sini, Bertemu Sultan Sulu

Secara rumusannya, saya pasti ketiga-tiga Sultan tersebut ada pertalian saudara, tetapi akibat perpecahan sesama sendiri, kedaulatan kesultanan ini akhirnya lenyap, tanpa takhta.

Malahan rakyat jelatanya telah terpisah-pisah, lalu dilabelkan menjadi Rakyat Malaysia, Rakyat Filipina, Rakyat Indonesia dan tidak kurang juga yang dilabel sebagai Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di laman sendiri.

Sultan Berdaulat, seharusnya memayungi rakyatnya dan bukannya mempergunakan rakyat untuk memiliki takhta. Namun, itulah yang telah berlaku kepada Sultan Sulu Jamalul Kiram yang akhirnya dikecam oleh Rakyat Malaysia keseluruhannya. Malahan Sultan Bantilan dan Sultan Muedzulail yang mempunyai pertalian saudara dengannya turut tidak menyetujui tindakan pencerobohan ke atas Lahad Datu, Sabah.

Mengapa harus berbunuh-bunuhan sesama umat? Bukankah Perjanjian yang dimeterai Kesultanan Sulu  dahulu masih termaktub? Seandainya Sultan Sulu Kiram masih menjunjung agama Islam, mohon ditelaah surah Al-Baqara ayat 84 - 85 yang menjadi Pedoman Umat Islam keseluruhannya.

"Dan (ingatlah), ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan kamu: "(Bahawa) janganlah kamu menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan) sesama sendiri, dan janganlah kamu usir-mengusir sesama sendiri dari kampung masing-masing". Kemudian kamu telah berikrar mematuhi perjanjian setia itu, dan kamu sendiri pula menjadi saksi (yang mengakui kebenarannya)."  Al-Baqara, 2: 84

"Kemudian kamu ini (wahai Bani Israil), kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri dan kamu usir satu puak dari kaum kamu keluar dari kampungnya; kamu pula saling bantu-membantu (dengan orang lain) untuk menentang mereka dengan melakukan dosa dan penganiayaan; padahal kalau mereka datang kepada kamu sebagai orang tawanan, kamu tebus mereka; sedang perbuatan mengusir mereka diharamkan juga atas kamu.... Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu dari antara kamu, selain dari kehinaan ketika hidup di dunia dan pada hari kiamat akan ditolak mereka ke dalam azab seksa yang amat berat dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan." Al-Baqara, 2:85


Kepada Sultan Sulu yang masih menjunjung keamanan, tebarkanlah peranan di dalam memayungi rakyat Sulu. Pimpinlah mereka agar berada di bawah Payung Mahkota Kesultanan Sulu. Tebarkanlah kasih sayang sesama umat.

Kini, seramai 185 orang-orang Sulu telah ditahan dan persoalannya, apakah yang akan berlaku kepada mereka khususnya sanak-saudara yang masih bergantung harap kepada kelangsungan kehidupan mereka? Mungkinkah Kesultanan Sulu hanya melihat dari jauh? Tiadakah pembelaan daripada Kesultanan Sulu, atau sememangnya Kesultanan Sulu telah lenyap.

Saya percaya, tangkapan yang semakin hari semakin bertambah akan menambahkan kebimbangan bukan sahaja kepada orang-orang Sulu, bahkan kepada penduduk negeri Sabah khususnya di mana bibit-bibit dendam akan mencambah.

Moga-moga Sabah, negeri di bawah bayu akan aman sentosa dan terhindar daripada gelora dendam dan kebencian.

"Dan jangan sekali-kali kebencian kamu kepada suatu kaum kerana mereka pernah menghalangi kamu dari masjid Al-Haraam itu - mendorong kamu menceroboh. Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya)". (Al-Maida, 5: 2)

"Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan." (Al-Maida, 5: 8)



  

0 Komen:

Catat Ulasan