Isnin, November 09, 2009

Coretan Buat Adik Noor ... Muhasabah Diri

Izinkan saya melontarkan komen pada adikku Noor seperti yang diminta.

Pertama-tamanya, suka saya mengatakan begini;

1. Lihatlah kejayaan yang dimiliki oleh orang itu sebagai pencetus agar Kita juga berjaya sepertinya.

2. Elakkanlah berfikir mengenai urusan orang itu dengan Tuhannya kerana itu adalah hak dirinya dengan DIA-MAHA PENCIPTA.

3. Mungkin pada zahirnya Kita melihatnya kurang melaksanakan suruhan-Nya TETAPI mungkin juga sebaliknya!. Seperti yang saya ungkapkan, Kenapa pula Kita yang berperanan seolah-olah seperti malaikat-Nya. Walhal setiap daripada Kita pasti ada PENJAGA di Kiri dan Kanan sepanjang masa yang menuliskan tentang keIMANan Kita.

4. Bukankah lebih utama Kita menghisab diri sendiri daripada menggunakan masa yang ada untuk menilai orang lain? Mungkinkah perasaan Kita sahaja yang mengatakan bahawa Kita telah melaksanakan suruhan-Nya, TETAPI pada hakikatnya, Hati Kita masih pula tidak kepada-Nya.

“Dan (ingatlah) seseorang yang memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja). Kemudian kepada tuhan kamulah tempat kembalinya kamu, maka Dia akan memberitahu kepada kamu tentang apa yang kamu telah kerjakan. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui akan segala (isi hati) yang terkandung di dalam dada. (Az-Zumar, ayat 7).

5. Renungkanlah ayat ini “Orang-orang kafir dari Ahli kitab dan juga dari orang-orang musyrik, tidak suka kiranya diturunkan kepada kamu sedikit dari kebaikan (atau wahyu) dari tuhan kamu Padahal Allah berHak menentukan rahmatNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah (jualah Yang) mempunyai limpah kurnia yang amat besar, (Al-Baqara, ayat 105).

6. Sebaliknya pula, saya tidak menafikan bahawa andai ada kemungkaran yang berlaku, Kita berkewajiban untuk menegur. Teguran itu pastinya pada tahap-tahap tertentu iaitu dengan menggunakan tangan, kata-kata atau mungkin dengan hati sendiri.

Akhir sekali, kongsikanlah ayat ini untuk sama-sama Kita kaji dan renungkan;

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhannya dan meninggalkan laranganNya) dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang dia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat) dan (sekali lagi diingatkan): Bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi PengetahuanNya akan segala yang kamu kerjakan. (Al-Hashr, 18)

0 Komen:

Catat Ulasan