Ahad, November 22, 2009

Gadis Jepun Yang Ayu… aku kasihi kerana DIA

Tiba-tiba air mata mengalir perlahan-lahan di atas pipinya yang halus dan putih. Genangan air matanya juga dapat aku perhatikan sedikit demi sedikit memenuhi kelopak matanya dan terus turun perlahan-lahan menusuri linangan air mata yang mengalir.

Kening dan pipinya juga kelihatan kemerah-merahan ketika itu kerana menahan sebak yang barangkali terkejut dengan penjelasanku mengenai Tuhan, Pencipta alam.

Peristiwa itu adalah yang pertama aku alami, iaitu menjelaskan tentang DIA yang maha ESA kepada seorang insan yang belum kukuh akidahnya. Insan yang aku kenali ini aku menamakannya Gadis Jepun yang ayu. Aku memberitahu kepadanya tentang keimanan kepada Tuhan Penguasa alam yang aku kenali sebagai Allah SWT.

Sejurus semasa situasi sayu dan sedih itu berlaku, adikku Ayuk yang duduk bersebelahan denganku dan berhadapan dengan Gadis Jepun yang ayu itu terkejut. Dia dengan segera menjelaskan kepadaku bahawa Gadis Jepun yang belum kukuh akidahnya itu tidak tahan merasai kesakitan. Hatta ibu dan ayahnya pun tidak pernah memukulnya sehingga dia merasai kesakitan. Dia memang tidak tahan kesakitan. Itulah yang diberitahu oleh adikku Ayuk kepadaku.

Selepas mendengar penjelasan adikku Ayuk, aku juga berasa kesal memukul tangan Gadis Jepun yang Ayu itu dengan kuat sekali. Dua kali aku melakukannya kerana yang pertama bila aku pukul tanggannya menggunakan tanganku, dia menggeleng-gelengkan kepalanya selepas aku bertanya sama ada dia merasai sakit ataupun tidak. Malahan dia juga melontarkan senyuman kepadaku dan melirikkan matanya ke arah adikku Ayuk.

Sebab itulah, untuk kali kedua, aku cuba memukulnya dengan keras sekali agar tiadalah pukulan kali ketiga. Ternyata, bila aku bertanya kepadanya adakah dia merasai kesakitan akibat pukulan kali kedua di atas tangannya ketika itu, dia terus mengangguk-anggukkan kepalanya dan menatap tepat ke arah mataku untuk menunggu penjelasanku yang seterusnya.


(akan aku lanjutkan kisah ini InsyaAllah)



Sejujurnya, aku juga tersentak melihat Gadis Jepun yang ayu itu mengalirkan air matanya di hadapanku dan adikku Ayuk


Sebenarnya, sudah lama nostalgia ini aku simpan dan barulah malam ini tergerak hatiku menceritakannya kepada Anda untuk dikongsi bersama-sama. Moga-moga adalah manafaatnya untuk dijadikan Pedoman Hidup barangkali. Manalah tahu Anda juga akan menghadapinya.

Kisah ini aku alami semasa berada di negara Jepun sebulan lamanya dan mengenali adikku Ayuk bersama Gadis Jepun ini.

Ayuklah yang memberitahu kepadaku yang Gadis Jepun ini suka bertanya tentang hal ehwal agamaku. Malahan sehingga ke tahap persoalan mengenai halal dan haram sesuatu perkara menyebabkan adikku Ayuk sukar menjelaskan kepadanya kerana di situ terselit logik akan persoalannya.

Heheheee… aku sekadar melontarkan senyuman kepada adikku Ayuk bila mengetahuinya. Bukanlah meremehkannya, tetapi aku juga ingin mengetahui akan persoalan-persoalan yang diajukan oleh Gadis Jepun yang Ayu itu.

Suatu hari, aku berkesempatan duduk bersama-sama mereka dan disitulah aku memahami penjelasan adikku Ayuk mengenai kesukaran memberikan penjelasan kepada Gadis Jepun yang ayu itu. Memang cabarannya berlainan sama sekali kerana kefahaman yang dimilikinya berkiblatkan ilmu sains terkini.

Nasib baik juga aku ada kefahaman mengenai ilmu sains. Bertitik tolak dari situlah aku dapat menyangkal akidah kefahamannya tentang sains yang dijadikannya sebagai pegangan hidup.

Syukur Alhamdulillah aku panjatkan kepada NYA kerana mengizinkan aku melakukan dan mempelajari sesuatu di negara itu. Sebab itulah juga aku ingin kongsikannya di sini dengan Anda, Anda yang menjadi teman untukku berbicara di alam siber sebegini rupa. Ketahuilah bahawa sememangnya Anda juga saya kasihi kerana DIA.

1 Komen:

izakhairi berkata...

Salam abgbent,

sudah lama tidak berkunjung ke sini,
membaca coretan nan indah sekali,
penjelasan pada si dia yang hendak diberi,
perlu berhemah supaya mudah difahami.

Abgbent juga saya kasihi kerana DIA...
kerana kita insan yang mudah terleka,
saling ingat mengingat sesama manusia,
semoga hidup senantiasa sejahtera.

Catat Ulasan