Selasa, Jun 21, 2011

Bhg. 3, Tips Agar diSayangi Suami

Alhamdulillah, hari ini, buat kali kelima, hasil pungutan blog Pedoman Hidup sudah melebihi RM150.00 dan baru sahaja saya menuntutnya daripada pihak Nuffnang Sdn Bhd, pengiklan di dalam blog Peodman Hidup ini.

Tidak dilupa, terima kasih jua saya ucapkan kepada Anda yang masih terus sudi mengklik paparan iklan-iklan di blog ini. Terima kasih buat Anda, saudaraku yang saya kasihi kerana DIA kerana terus sudi berziarah ke sini.

Untuk lakaran bahagian tiga ini, saya akan kongsikan dengan Anda, khususnya buat Adikku Yang Ingin Disayangi Suami mengenai Tips Utama, lakaran bertajuk Agar diSayangi Suami. Sebenarnya saya sengaja merahsiakannya dahulu daripada Anda sebelum ini. (*___*)

Lakaran terdahulu, di dalam bahagian dua coretan ini, saya telah membentangkan secara ringkas dua kisah pedoman hidup untuk renungan. Lalu di bahagian tiga ini pula, saya akan memaparkan kepada Anda mengenai imaginasi yang masih lagi terperap di ruangan minda saya, iaitu Tips Utama agar disayangi suami dari perspektif saya sendiri.

Bagaimanapun, imaginasi ini saya hanya mampu memaparkannya kepada Anda melalui paparan lakaran rumi sebegini. Semoga ia berupaya dimengerti, lalu difahami, seterusnya diterima, InsyaAllah.

Saya sebenarnya mengimaginasi pasangan lelaki-wanita yang baru sahaja berrumahtangga seolah-olah perjalanan kehidupan mereka sudah sampai di tepian pantai. Mereka bersiap sedia menaiki sebuah bahtera untuk meneruskan penerokaan kehidupan alam duniawi seterusnya.

Bahtera yang saya imaginasikan di minda ketika ini dinamakan sebagai Bahtera Perkahwinan.

Begitulah Imaginasi yang saya ada di dalam Minda dan ingin menyatakannya kepada Anda, khususnya adikku yang ingin disayangi suami.

Lelaki dan wanita yang telah berumahtangga saya mengumpamakannya sebagai pasangan yang akan meneruskan penerokaan alam duniawi dengan menggunakan layar Bahtera Perkahwinan supaya segala rahsia alam kehidupan berupaya diselongkar bersama-sama. Merasai pahit-manis, nikmat-sengsara kehidupan duniawi ini.

Penerokaan ini saya mengumpamakannya seperti mereda lautan kehidupan nan luas membiru, yang seolah-olah tiada penghujungnya, sejauh mata memandang...

Pelayaran ini memerlukan penelitian sedalam-dalamnya, lebih-lebih lagi di dalam menyelongkar rahsia nikmat kesenangan alam kehidupan ini. Namun, persoalan yang harus dijawab sendiri ialah kemana arah haluan Bahtera Perkahwinan ini ingin dilayarkan?

Astagfirullah...

Terlupa pula saya menerangkan kepada Adikku yang Ingin diSayangi Suami sebentar tadi. Inilah kelemahan yang saya ada. Kurang teliti ada kalanya. (*___*)

Saya juga perlu menjelaskan kepada Anda berkenaan imaginasi di ruangan minda yang saya ada mengenai kehidupan teruna-dara, lelaki atau wanita, yang masih lagi belum bertemu jodoh masing-masing. Masih mencari-cari pasangan sendiri.

Bagi mereka yang belum bertemu pasangan sendiri, saya mengibaratkan mereka seolah-olah masih berjalan-jalan, berlari-lari, atau barangkali terlompat-lompat di tanah daratan, hutan rimba belantara, atau boleh juga digambarkan sedang berjalan di tanah gersang bersendirian...

Mereka terpukau memerhatikan keindahan panorama alam kehijauan hutan rimba, melihat-lihat fatamorgana tanah gersang kering kontang, lalu terus-terusan berjalan-jalan menikmati pemandangan sedemikian, secara bersendirian.

Bila mana bertemu teruna-dara, lelaki-wanita di dalam perjalanan itu, masing-masing jual-jual mahal, menunjukkan keegoan sendiri, tidak mahu memancarkan rahsia hati yang sebenarnya ingin ditemani semasa menjalani kehidupan duniawi ini.

Masing-masing tidak mahu meluahkan keinginan untuk dijadikan teman seperjalanan, khususnya semasa menikmati penerokaan-penerokaan yang dialami untuk menggali segala rahsia alam kehidupan duniawi ini.

Mereka terus lalai dipukau perasaan sendiri. Menikmati kehidupan secara bersendirian.

Akibatnya, mereka terus bersendirian tanpa pasangan.

Bermain-main dengan perasaan sendiri di dalam menikmati keindahan hutan rimba belantara, tanah gersang kering kontang. Menikmatinya secara bersendirian. Sehingga bila? Saya pun tidak dapat menjawabnya... kerana mereka sahajalah yang mengetahuinya.

Mereka terus berjalan dan berjalan... tiada teman, berseorangan, bersendirian di dalam perjalanan kehidupan duniawi ini.

Imaginasi Minda inilah yang saya ingin kongsikan dengan Anda mengenai lelaki-wanita yang masih lagi belum mendirikan Bahtera Perkahwinan mereka. (^__^)

Bagi yang telah bertemu pasangan sendiri, sama ada teruna-dara, lelaki-wanita, teruna-wanita atau lelaki-dara, saya mengibaratkan perjalanan mereka sudah sampai ke persisiran pantai.

Lalu di pantai itulah mereka mendirikan Bahtera Perkahwinan untuk meneruskan penerokaan pahit-manis, nikmat-sengsara di dalam menyelongkar rahsia alam duniawi. Bukan lagi mengecapi nikmat tanah daratan, tetapi di lautan yang terbentang luas membiru. Sejauh mata memandang, seolah-olah pemandangan yang tiada tepiannya.

Cabaran berjalan di tanah daratan hutan rimba, tidaklah sama berbanding cabaran belayar di lautan luas membiru. Sungguh!

Cabarannya memang berbeza.

Panorama keindahannya jua berbeza bila dipandang mata. Bila mana berada di daratan, bunga yang mekar berseri, buah ranum, mudah dipetik dengan tangan sahaja.

Tetapi bila mana belayar di lautan nan luas membiru, mutiara di dalamnya perlu diselam sehingga ke dasaran. Ada kala, pukulan badai yang melanda Bahtera Perkahwinan boleh memabukkan. Perasaan suka duka, kasih sayang terjelma amat berlainan rasanya.

Sebab itu bila mana belayar di lautan luas membiru yang seolah-olah tidak bertepian, memerlukan penelitian sedalam-dalamnya, menuntut Teropong 3D adakalanya.

3D yang saya maksudkan ialah Tiga Dimensi, mata, telinga dan akal fikiran.

Seandainya Adikku masih belum lagi mengerti mengenai 3D yang saya luahkan, telaahlah coretan saya mengenai 3D di dalam tajuk Diriku Digoda Durjana. Barangkali ada juga gunanya untuk Pedoman Hidup ini nanti.

Berbalik pada perumpamaan tadi, Tips Utama yang saya ingin nyatakan kepada Adikku yang Ingin diSayangi Suami ialah istilah Nakhoda.

Nakhoda Bahtera Perkahwinan namanya.

Seharusnya adik memahami sedalam-dalamnya agar suami terus menyayangi, seumpama Kisah 1 dan Kisah 2 yang saya bawakan di dalam lakaran bahagian dua sebelum ini.

Andai Nakhoda Bahtera Perkahwinan sudah menjadi dua, tidak selamatlah haluan Bahtera Perkahwinan itu nanti semasa melayari lautan kehidupan nan luas membiru itu.

Ada kebarangkalian juga Bahtera Perkahwinan mudah karam, walaupun sekadar ombak kecil melanda. Apatah lagi ombak tsunami, sudah pasti Bahtera Perkahwinan itu nanti terpelanting ke daratan semula. Hancur musnah ia, pengemudinya, lelaki-wanita terpisah. Bersendirian semula di dalam meneroka kehidupan duniawi seterusnya. Seolah-olah berjalan semula di tanah daratan yang telah dimusnahkan ombak tsunami.


Akan saya ceritakan pula pengalaman peribadi mengenai Tips Utama ini, Nakhoda Bahtera Perkahwinan.

Tunggguuuuu...

Baca selanjutnya, Klik di sini...

Khamis, Jun 09, 2011

Tips Agar diSayangi Suami... bhg.2

Malam semakin larut, tiba-tiba pula tergerak hati saya untuk melakarkan sebuah coretan baru iaitu sambungan daripada tajuk lakaran saya sebelum ini, Tips Agar diSayangi Suami, buat tatapan Adikku bergelar Isteri Ingin diSayangi Suami. Tips-tips ini eksklusif dari perspektif saya sendiri, suara hati seorang suami, Abgbent gelaran diberi. (*___^)

Seandainya sambungan lakaran-lakaran di bawah tajuk ini terlalu lewat dikemukakan untuk tatapan Anda, saya memohon maaf banyak-banyak terutama sekali kepada Adikku bergelar Isteri Ingin diSayangi Suami. Bukannya saya sengaja melewat-lewatkannya, tetapi disebabkan tugasan peribadi yang lebih utama, maka sambungan tips-tips dari suara hati saya tidak dapat dijelmakan dengan segera. Maaflah...

Sebenarnya, minda saya telah mengilhamkan beberapa tips utama berkenaan tajuk tersebut. Tips-tips dari perspektif saya sendiri. Pengalaman hidup yang saya telah lalui, merupakan rencah-rencah hasil adunan rahsia mengapa saya mengasihi dan menyayangi Isteriku Yang Tercinta. Sungguh! Tips yang saya berikan di sini adalah luahan hati, eksklusif untuk Anda ketahui dan kongsi bersama-sama nanti, InsyaAllah.

Andai tips-tips yang saya kemukakan di sini terdapat cacat celanya, anggaplah ianya terluah hasil daripada kelemahan saya sendiri. Saya memohon semoga Allah SWT mengampunkannya. Dan sesungguhnya, saya juga mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Anda kerana terus sudi menelaah dan menziarahi blog peribadi saya ini, Pedoman Hidup nama diberi.

Sebelum saya menyatakan tips pertama dan yang paling utama kepada Adikku bergelar Isteri Ingin Disayangi Suami, jua kepada Anda, saudaraku yang dikasihi kerana DIA, barangkali ada juga baiknya saya kongsikan dahulu dua kisah kehidupan untuk bersama-sama ditafsirkan lalu dijelmakan di ruangan minda, supaya terbayanglah Tips Utama yang saya ingin beritahu kepada Anda.

Peristiwa teladan yang saya singkatkan di bawah merupakan sejarah negaraku tercinta, Malaysia. Ada kaitannya dengan peranan seorang Suami dan Isteri. Telaahlah lakaran peribadi saya di bawah seandainya Anda ingin mengetahuinya.


Kisah 1

Peristiwa berlaku pada hari Rabu, tahun 1998 bertarikh 2 September. Ketika itu, heboh seluruh Negara Malaysia. Masih segar diingatan saya ketika mengetahui peristiwa itu berlaku. Saya sedang berada di sebuah resort tepi pantai.

Semasa berehat-rehat sambil minum pagi di resort yang saya maksudkan, tiba-tiba pemilik resort yang merupakan seorang ahli perniagaan berbangsa Cina, telah melontarkan berita gempar sambil menunjukkan muka surat hadapan akhbar Berita Harian yang lebih kurang bermaksud “Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga merupakan Menteri Kewangan Malaysia ketika itu, telah dipecat”.

Peristiwa itu disusuli dengan gelombang suara rakyat khususnya laungan Reformasi. Bukan sahaja di dalam negara, malahan turut bergema di luar negara. Hatta sampai negara uncle sam Amerika, turut sama melaungkannya. Sampaikan Timbalan Presidennya bernama Al-Gore dengan gerombolannya datang menjejakkan kaki ke negaraku tercinta, Malaysia.

Realitinya, laungan Reformasi itu tidak bergema lama, ianya sedikit demi sedikit padam dek kekentalan dan kewibawaan pemimpin bernama Tun Dr. Mahathir Mohammad, yang merupakan Perdana Menteri Malaysia ketika itu dan merupakan individu yang bertanggungjawab memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalannya ketika itu.

Di sebalik itu juga, Tun Dr. Mahathir tidak pun mengendahkan atau menghiraukan pelbagai gelaran-gelaran cela yang dijenamakan kepadanya termasuklah Mahafir’aun, Mahazalim dan selainnya.

Semuanya itu ditepis oleh jiwa kepemimpinan yang dipunyai oleh Tun Dr. Mahathir Mohammad. Malahan masalah ekonomi ketika itu, yang dihadapi oleh Malaysia, yang juga dihebohkan sebagai antara punca pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim, berupaya diselesaikan dan akhirnya cengkaman IMF (International Monetary Fund) di bumi Malaysia dapat dielakkan.

Teori ekonomi Tun Dr. Mahathir akhirnya diterima dan berupaya serta terbukti berkesan menyelesaikan sebahagian masalah ekonomi yang dihadapi negara Malaysia ketika itu. Ianya juga telah menjadi lipatan sejarah berguna untuk dunia mempelajarinya.


Kisah 2

Jujur saya memberitahu kepada Anda bahawa saya juga menghormati dan mengagumi keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim, khususnya Datuk Seri Wan Azizah, isterinya. Sungguh!

Bayangkanlah ujian bertimpa-timpa yang dihadapi oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga kini, bukan calang-calang ujiannya. Bermula dengan tuduhan liwat dan dibuktikan di mahkamah, tetapi tuduhan itu akhirnya digugurkan pula pada tahun 2004, dan kini, dipalitkan pula semula tuduhan liwat terhadapnya. Dan yang terbaru, video seks, tersebar merata di alam maya.

Datuk Seri Wan Azizah membuktikan sifat setia seorang isteri terhadap suami tercinta. Sehingga kini, beliau masih di samping Datuk Seri Anwar Ibrahim, berdiri teguh menepis segala tohmahan negatif terhadap suaminya. Malahan dialah menjadi tulang belakang kekuatan Datuk Seri Anwar Ibrahim, barangkali.

Segala tohmahan-tohmahan yang bertebaran di alam maya tidak pun merenggangkan hubungan mereka berdua, iaitu diantara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Wan Azizah. Begitulah pemerhatian kasar yang saya boleh kongsikan dengan Anda.

Sememangnya saya mengambil peristiwa yang menimpa keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ikhtibar berguna. Sebab itu saya melakarkannya di sini khusus untuk tatapan Adikku yang ingin disayangi suami, jua buat tatapan Anda, saudaraku yang sememangnya saya kasihi kerana DIA.

Kedua-dua peristiwa yang saya nyatakan di atas merupakan intipati tips pertama yang saya ingin beritahu kepada Adikku bergelar Ingin diSayangi Suami. Moga-moga adikku kelak mengerti. Andai masih belum pasti, InsyaAllah di lakaran berikutnya nanti akan dapatlah digali maknanya.

Tungguuuuuu... dilakaran seterusnya...



Baca selanjutnya, Klik di sini...

Selasa, Jun 07, 2011

MENANG-KALAH MEMANG BERMAKNA

Sungguh!
memang sungguh-sungguh saya terharu bila mana menelaah komentar yang penuh makna hasil lontaran daripada negarawan yang saya hormati, Tun Dr. Mahathir Mohammad, mantan Perdana Menteri Malaysia.

Sengaja saya melakarkan coretan ini kerana ingin berkongsi perasaan dengan Anda, saudaraku yang sememangnya saya kasihi kerana DIA. Barangkali ada juga gunanya saya berkongsi perasaan yang sedang saya rasai ketika ini dengan Anda.

Seandainya Anda tidak bersetuju dengan perasaan yang sedang saya rasai ini, tidak mengapa kerana realitinya, saya sedang merenung jauh dan berfikir sesuatu mengenainya.

Seandainya Anda ingin bersama-sama merasai perasaan yang sedang saya rasakan kini, nah... klik saja pautan yang saya berikan di bawah untuk Anda menelaahnya sendiri.

(SIAPA MENANG SIAPA KALAH)



Baca selanjutnya, Klik di sini...

Khamis, Mei 26, 2011

Tips Agar diSayangi Suami... Bhg. 1

Selaras dengan pertanyaan daripada Adikku yang bergelar Isteri Ingin Disayangi Suami, catatan ini saya nukilkan khusus untuknya, semoga kelak dia gembira dan bersukacita, InsyaAllah.

Disepanjang perkongsian tips-tips agar suami menyayangi isteri ini, saya akan membahagi-bahagikannya pada beberapa helaian supaya adikku bernama Isteri Ingin Disayangi Suami akan mendapat secebis kisah dan panduan daripada pengalaman dan perasaan yang saya alami sendiri.

Seandainya bersesuaian, maka amalkanlah, tetapi seandainya terpesong, saya menasihati usah dipraktikkan kerana setiap yang saya luahkan belum tentu bersesuaian di setiap keadaan, pada setiap ketika. Kesemua tips-tips yang saya kongsikan di sini hanyalah berupaya diperhati oleh mata, lalu diteliti oleh kata hati sendiri. Semoga yang saya luahkan di sini, menjadi ilmu yang berguna nanti, InsyaAllah.

Sebagai pembukaan di dalam coretan ini, saya ingin jelaskan bahawa apa yang saya lakarkan di sini hanyalah sebuah perkongsian yang terluah dari perasaan Cinta Membara yang sedang saya alami ketika ini pada wanita bernama Isteri..., dialah Isteriku Yang Tercinta, Junaidah nama sebenarnya.

Perasaan Cinta yang sedang saya alami ini, sememangnya sedang bersemi di lubuk hati sanubari seorang Suami, Abgbent gelaran diberi. (*___^)

Realiti sebenar-benarnya, perasaan Kecintaan Suami Isteri, seharusnya bersembunyi kerana ia menyimpan pelbagai rahsia-rahsia yang amat berharga. Seumpama pesanan Rasulullah SAW yang bermaksud;

"Sesungguhnya sejahat-jahat manusia di sisi Allah di hari kiamat kelak ialah seorang lelaki yang melepaskan hajatnya kepada isterinya dan isterinya melepaskan hajat kepadanya kemudian ia menceritakan rahsia itu." Riwayat Ahmad

Namun, dek titisan kasih buat Adikku bergelar Isteri Ingin Disayangi Suami, lalu lakaran ini saya cuba usahakan agar dimensi persembahannya berupaya ditelaah, semoga dimengerti dan bermanafaat, seterusnya dicuba-cuba seandainya terdaya.

Tips-tips untuk isteri disayangi suami, sememangnya sudah banyak bertebaran di laman sesawang maya ketika ini, di helaian-helaian kertas dan naskah-naskah kitab juga boleh diperolehi.

Namun, seperti biasa... ada yang hanya mampu dibaca, tidak kurang juga sekadar menambahkan teori-teori cinta sedia ada. Dan ada juga yang sebaliknya, bukannya membuatkan suami menyayangi isteri, malahan Suami bertambah-tambah benci jadinya... Moga-moga, coretan saya di sini, tidaklah pula terkategori di dalamnya itu nanti, InsyaAllah.

Lakaran saya ini hanyalah sekadar perkongsian pengalaman peribadi, iaitu terlalu peribadi sebenarnya yang seharusnya di simpan di penjuru Kutubkhanah Terahsia, ruangan hati sanubari yang aku miliki jua persada hati Isteriku yang Tercinta...

Sejujurnya, rahsia-rahsia peribadi begini saya akan cuba paparkan dengan lapik sutera istimewa kerana seperti di awal lakaran tadi, saya telah beritahu bahawa Perasaan Cinta Suami Isteri sifatnya perlulah bersempunyi.

Moga-moga adikku bergelar Isteri Ingin Disayangi Suami mengerti, lalu tidaklah pula kecewa nanti bila mana menelaah intro catatan yang sebegini.

InsyaAllah, pada bahagian kedua dan seterusnya nanti, saya akan huraikan sedikit-sedikit berkenaan Rahsia agar Suami menyayangi Isteri, dari perspektif saya sendiri, Abgbent yang bergelar seorang suami dan sedang menyintai isterinya sendiri dengan sepenuh hati.

Tunggguuuuu.... bahagian-bahagian seterusnya nanti...

(*___^)
Abgbent








Baca selanjutnya, Klik di sini...

Isnin, Mei 23, 2011

Memadam Hasad Dengki Cemburu Buta

Salam sejahtera dan salam 1Malaysia buat Anda, saudaraku yang amat dikasihi kerana DIA. Agak lama juga saya berehat dan tidak membuat sebarang coretan di blog Pedoman Hidup ini. Saya bertindak begitu bukanlah bermaksud sudah melupakan Anda, tetapi sebenarnya saya ingin melakukan latihan jiwa agar kelak idea yang ada bukanlah didorong oleh gelora nafsu semata-mata.

Pagi ini, tiba-tiba pula saya tergerak hati ingin berkongsi cerita dengan Anda. Maklum sahajalah, sejak beberapa hari ini saya berjauhan dengan Isteriku Yang Tercinta. Lalu, ada masa terluang untuk bercerita-cerita dengan Anda pula kini. Ada juga baiknya masa-masa terluang begini saya berkongsi cerita dengan Anda pula. Moga-moga adalah manafaatnya.

Sememangnya, kisah terlalu peribadi begini, amat jarang atau terlalu sukar diluahkan melalui mulut sendiri. Tidak mungkin! Memang tidak mungkin saya berupaya meluahkannya di alam nyata. Pasti tidak mungkin!.

Sejak mengenali Alam Blogging, saya sering melakarkan kisah-kisah pengalaman hidup yang saya telah lalui. Bukannya berbangga, tetapi sekadar ingin berkongsi cerita dengan harapan moga-moga Anda terdorong dan termotivasi bila mana menelaahnya. Lalu Anda berusaha bersungguh-sungguh menggapai kejayaan-kejayaan yang lebih hebat daripada apa yang telah saya alami. Semoga jua, kejayaan-kejayaan yang luar biasa Anda kecapi, itu doa saya untuk Anda.

Saya juga berdoa semoga bila mana Anda membaca di sini, tiadalah perasaan hasad dengki di dalam hati. Lebih-lebih lagi menyemarakkan perasaan cemburu buta. Moga-moga itu dijauhkan daripada Anda, insyaAllah.

Hasad Dengki Cemburu Buta adalah antara perasaan yang terlalu mudah didorong dan disemarakkan oleh para syaitan durjana agar Anda mudah alpa, lalu mengikut langkah-langkah mereka, kufur kepada Allah SWT. Na’uzubillah..

Dosa pertama yang berlaku di dunia adalah hasil dorongan hasad dengki, cemburu buta.

Ianya telah berlaku kepada anak-anak lelaki nabi Adam bernama Qabil dan Habil. Dek hasad dengki cemburu buta, Qabil akhirnya membunuh saudaranya sendiri bernama Habil. Kisahnya berlaku disebabkan Habil lebih berjaya berbanding Qabil.

Ianya bermula apabila korban daripada Habil telah diterima oleh Allah SWT berbanding korban daripada Qabil.

Begitu juga halnya diceritakan bahawa kembar perempuan Qabil yang lebih cantik telah dikahwinkan dengan Habil, manakala kembar perempuan Habil yang kurang cantik diperisterikan kepada Qabil. Perasaan hasad dengki cemburu buta Qabil terhadap saudaranya Habil terus membuak-buak.

Disebabkan itu, lalu syaitan membisikkan kepada Qabil agar membunuh sahaja saudaranya Habil. Al-Quran mengisahkannya di dalam surah Al-Maidah iaitu;

“Dan bacakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua orang anak Adam (Habil dan qabil) yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan satu persembahan korban (untuk mendampingkan diri kepada Allah). Lalu diterima korban salah seorang di antaranya (Habil) dan tidak diterima (korban) dari yang lain (qabil). Berkata (qabil): Sesungguhnya aku akan membunuhmu!. (Habil) menjawab: Hanyasanya Allah menerima (korban) dari orang-orang yang bertakwa” (ayat 27)

“Maka nafsu jahat (qabil) mendorongnya (sehingga dia tergamak) membunuh saudaranya, lalu dia membunuhnya. Oleh itu menjadilah dia dari golongan orang-orang yang rugi” (ayat 30)


Kisah Qabil dan Habil masing-masing beristeri itu, tiba-tiba pula menyapa perasaan kerinduan terhadap Isteriku Yang Tercinta, kini. Perasaan sungguh-sungguh rindu kepadanya. Memang saya sedang merindui Isteriku Yang Tercinta ketika ini kerana sudah beberapa hari saya berjauhan dengannya.

Seandainya dia berada di sisi, berkemungkinan juga kisah-kisah terlalu peribadi begini tidak mudah terluah untuk tatapan Anda, maklum sahajalah, biasanya masa terluang begini, saya khususkan untuknya.

Andai Isteriku Yang Tercinta berada di samping, sudah pasti masa ini saya gunakan untuk bersama-sama dengannya sama ada bersenda gurau atau barangkali memadu asmara. (*___^), kerana sememangnya dialah wanita yang amat-amat saya kasihi dan sayangi di dunia ini.

Semoga cinta suci yang kami semai bersama-sama akan subur mekar tumbuhnya dan terus menjalar berpanjangan walaupun selepas menjalani kehidupan duniawi, InsyaAllah.

Baiklah, untuk menutup lakaran ini, barangkali bermanafaat juga andai Anda menatap sepucuk surat yang saya telah terima beberapa minggu lalu. Sengaja saya berkongsi mengenainya dengan doa semoga ianya memberikan inspirasi kepada Anda dan seterusnya berusaha menggapai kejayaan-kejayaan yang lebih istimewa, Amin...





Baca selanjutnya, Klik di sini...

Selasa, Mac 15, 2011

Jelmaan Kasih Buatmu

Saya teruja, bila menelaah komentar dari adik. Terima kasih di atas pujian begitu. Puji-pujian seolah-olah diri ini sudah hebat... Realitinya, saya masih lagi meraba-raba mencari-cari cahaya NYA untuk menyuluh kehidupan ini.

Adik juga harus ketahui bahawa realitinya, kita sama sahaja. Ada akal, ada mata, ada telinga, ada perasaan dan ada segala-galanya...

Cuma berbeza dari pengalaman hidup yang telah dilalui.
Di sinilah saya kongsikan pengalaman itu, di blog Pedoman Hidup ini.

Semoga adik-adik yang saya kasihi kerana DIA akan dapat mengetahui secebis dari kehidupan yang telah saya lalui... Bukan berbangga, tetapi ingin berkongsi. Kalau saya berupaya menggapainya, tidak mustahil untuk adik-adik melakukan yang lebih hebat dari itu semua. Sememangnya adik-adik lebih cemerlang untuk melakukannya...

Ketika ini, segala-gala yang kita tempuhi adalah nikmat kehidupan. Kehidupan untuk menguji keimanan. Sama-samalah kita tempuhi bersama-sama. Tiada yang mustahil bagi NYA.

InsyaAllah, saya mendoakan semoga adik berupaya merangkul cahaya NYA agar dapat digunakan semasa kehidupan ini untuk menyuluh langkah-langkah seterusnya. Begitu juga saya, moga-moga DIA melimpahkan kasih sayang dan rahmat NYA kepada saya.

Moga-moga kilauan cahaya NYA berupaya merungkai satu persatu rahsia alam kehidupan yang sedang kita lalui bersama-sama ketika ini.

Kalau di awal contengan tadi, saya menyatakan saya teruja, lalu keterujaan itulah yang saya berusaha membimbingnya supaya tidak membuak-buak desakkannya. Sebab itulah saya berehat terlalu lama...

Maafkanlah saya seandainya adik sudah menunggu terlalu lama untuk menatap contengan dari saya di sini. Sungguh! saya amat mengasihimu, sebab itulah pagi ini, saya berusaha memberikan satu coretan baru, khusus untukmu...

Moga-moga contengan ini tidak diselimuti nafsu. Kepada NYA jua saya berserah.

Ketahuilah juga bahawa keterujaan yang saya lalui sebelum ini betul-betul bernafsu gelora... Seolah-olah merasa bangga dek setitis ilmu yang diperolehi di dalam menyelongkar rahsia kehidupan alam ini. Ibarat tsunami yang melambung tinggi.

Lalu, saya harus berehat dan berhenti seketika di dalam menghasilkan coretan di sini. Apatah lagi saya sedang diburu... Lalu saya harus berehat entah sampai bila, kerana itulah kaedah saya meredakan bisikan para syaitan durjana.

Kepada adikku yang sedang memburuku, ketahuilah bahawa kita tetap serupa, usah dilihat seolah-olah diriku hebat, kerana aku juga sepertimu, ada mata, ada telinga, ada akal dan yang paling penting, ada hati untuk kita sama-sama meneliti, akan erti kehidupan ini.

Sesungguhnya semua yang hebat dan ajaib yang diperhati mata, adalah milik NYA selama-lamanya. DIAlah Allah SWT, Penguasa Alam Semesta.

Salam kasih buatmu, duhai adikku! yang dikasihi kerana DIA...





Baca selanjutnya, Klik di sini...

Selasa, Februari 08, 2011

Tahun Baru Cina 2011 dan Pertemuan Komuniti Motivasi

Saya bukan berbangsa Cina, tetapi disebabkan negaraku tercinta Malaysia, meraikan perayaan Tahun Baru Cina setiap tahun, maka cuti umum yang ada saya telah manafaatkan untuk balik ke kampung halaman di Tawau, Sabah. Lagipun, cutinya agak panjang bagi tahun ini.

Sambil-sambil berziarah ke rumah sahabat lama berbangsa Cina, Anak-anakku juga telah mendapat manafaatnya, iaitu memperolehi “angpau” daripada mereka. Maklum sajalah, anak-anak pasti gembira bila menerimanya.

Selain itu, masa terluang yang ada saya juga gunakan untuk bertemu dan bersua muka dengan sanak saudara, lebih-lebih lagi kedua orang tua, Ibu dan Ayah, termasuklah juga Ibu dan Ayah sebelah Isteriku Yang Tercinta.

Hampir setiap tahun apabila menjelang Tahun Baru Cina, saya bersama Isteriku Yang Tercinta akan balik ke kampung halaman di Tawau, Sabah. Kadang juga adik-beradik akan turut serta balik bersama-sama untuk berjumpa keluarga. Perjumpaan yang diadakan bukanlah untuk meraikan perayaan Tahun Baru Cina, tetapi ada kala kami mengadakan majlis-majlis kesyukuran bersesuaian, bermunajat kepada Tuhan Yang Maha ESA, Allah SWT.

Paling utama, sebenarnya cuti yang panjang seperti tahun ini bukan sahaja dimanafaatkan untuk bertemu Ibu dan Ayah serta adik beradik, tetapi juga nenek-nenek sebelah Isteriku Yang Tercinta. Sememangnya mereka semua kami amat kasihi dan sayangi. Lebih-lebih lagi insan bergelar ibu, ayah dan nenek adalah satu-satunya di dunia ini, tiada pengganti semasa kehidupan duniawi, sudah pasti kasih sayang seharusnya dititiskan jua kepada mereka.

Menyesal kemudian hari kerana terlewat menyimbahkan kasih sayang kepada mereka adalah penyesalan yang sia-sia kerana tidak memanafaatkannya semasa usia masih ada.

Wang ringgit boleh dicari, tetapi curahan kasih sayang kepada mereka tidak akan ada gantinya. Bila mana menabur bakti kepada mereka yang bergelar Ibu, Ayah dan Nenek, kelegaan yang dirasai amat luar biasa. Sungguh!

Lama juga kami bercuti Tahun Baru Cina kali ini. Hampir dua minggu lamanya. Kesempatan bercuti yang ada saya gunakan sepenuhnya.

Alhamdulillah, hati saya terlalu girang memahatkan luahan kesyukuran kepada NYA kerana diberikan kelapangan masa untuk bertemu dan bersua dengan sanak saudara. Lebih-lebih lagi berkongsi rezeki dengan mereka. Rasa kesyukuran yang saya rasai tercurah juga kepada mereka sebahagiannya. Moga-moga Allah SWT meredhai dan merahmatinya.

Sengaja saya mecoretkannya di sini untuk tatapan Anda, dengan harapan terlimpah juga kesannya kepada Anda. Lebih-lebih lagi seandainya Anda sudah kerap melakukannya, pastilah kita ada persamaan mengenainya - Tautan Hati.

Seterusnya, saya ingin memahatkan bicara buat tatapan adikku yang Tampan Bergaya, juga tidak dilupa, adikku Alimin yang gentleman, maafkanlah saya, kerana terlalu lama memberikan jawapan terhadap pertanyaan yang diajukan. Barangkali adik berdua tertanya-tanya sejak beberapa hari lalu, mengapa saya tidak memberikan sebarang makluman.

Sememangnya saya tidak mempunyai kesempatan masa menelaah persoalan yang diajukan sejak beberapa hari lalu, apatah lagi memahatkan jawapannya di sini.

Maklum sajalah, bercuti sakan di kampung halaman bersempena Tahun Baru Cina 2011. (*___^)

Apapun, abg mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih di atas jemputan dan pelawaan itu. Memang abg rasa terharu. Sungguh!

Namun, ketahuilah juga bahawa abg terpaksa menolaknya kerana berasa khuatir terleka dibuai mimpi-mimpi indah semasa pertemuan itu nanti, lebih-lebih lagi akhirnya tersasar dari matlamat yang telah digariskan mengapa blog Pedoman Hidup diwujudkan dan mengapa sering sangat bertandang ke laman itu, laman motivasi.

Kepada NYA jua saya memohon keampunan dan memohon Sinar Cahaya NYA untuk menyuluh liku-liku kehidupan duniawi ini.

Sekali lagi, Insan Kerdil Yang Lemah ini menyusun jari memohon kemaafan kerana tidak dapat menyertainya. Sememangnya saya masih dan sedang mencari-cari cahaya NYA...

InsyaAllah, ada kelapangan di lain waktu, berkemungkinan abg akan menyertainya. Senyuman buat adik-adikku, yang Tampan Bergaya dan yang Gentleman, Salam kasih dari saya. Usah dilupa, sampaikan salam abg kepada adik-adik yang lain semasa pertemuan itu nanti.

(*___^)


Baca selanjutnya, Klik di sini...

Isnin, Januari 24, 2011

Kisahku yang Lemah

Salamelekom, wbt...

Alhamdulillah, saya diberikan kekuatan hari ini oleh NYA untuk melakarkan secebis coretan untuk dikongsi dengan Anda. Semoga coretan kali ini berupaya menyerlahkan sinar ketenangan jauh dilubuk hati yang dimiliki.

Maafkanlah saya andai hati yang terlalu bergelora itu sedang meronta-ronta menginginkan pengisian. Maafkanlah saya...

Ketahuilah bahawa saya juga sering didesak untuk menghasilkan lakaran-lakaran walaupun paparannya hanyalah sekadar contengan untuk meredakan sedikit ombak yang bergelora.

Ketahuilah juga bahawa kudrat yang saya ada hanya cukup untuk menjalani kehidupan harian bersama Isteriku Yang Tercinta dan Anak-anakku yang sememangnya saya kasihi dan sayangi.

Namun, ketahuilah juga bahawa apa yang saya nyatakan itu tidaklah pula bermaksud yang saya sudah tidak mengasihi Anda. Hati nurani yang saya ada sememangnya sering kali membisikan bahawa Andalah sahabat saya. Sahabat yang memang amat istimewa. Walaupun belum pernah bersua, Sungguh!

Sahabat tidak dikenali, lalu berziarah ke sini pada saat ini, menggunakan masa terluang untuk menelaah coretan-coretan yang lahir dari hati dan minda yang saya miliki, seterusnya menjelmakan perbandingan paparan, lalu dicerna agar menyerlahkan keindahan dan keluhuran hati budi untuk menjadi seorang insan.

Insan bergelumang dosa, ingin mengerti bisikan hati yang jauh terlipat di sanubari.

Minggu lepas, saya telah menghasilkan sebuah puisi untuk tatapan adikku yang sedang disapa bayu cinta. Cintanya masih bersembunyi kerana malu-malu pada sang kumbang yang menyapa, barangkali. Bait-bait puisi yang saya coretkan untuknya dalam masa lingkungan 10 minit memaparkan begini;

Cinta
Ungkapan terlalu indah
Menyingkap luahan berbeza-beza
dimengerti atau difahami
dirasai atau dikecapi

Cinta Zulaika diselimuti tipu daya
Cinta gelora, bermula dosa
Luahan rasa, penzahiran berbeza

Cinta Yusuf...
SATU yang tahu
Cinta bersemi dibuku hati

Cinta bersembunyi

Perasaan yang merasainya
Pemikiran yang memikirnya
Meresap ke dalam lipatan hati
Memunculkan Cinta Abadi

(Surah Yusuf, 12: 29 - 32)


(*___^)
Moga berupaya mengecapinya, InsyaAllah


Selepas menghiaskan puisi seperti di atas di dalam blognya, saya tiba-tiba disapa oleh sebuah email dari seorang editor yang berbunyi;

"Your submission titled "................" has been accepted for publication in the International Journal of ????? with revisions. Attached is a copy of the Reviewer's comments. Please consider their questions and suggestions.

The revised manuscript should be returned as a Microsoft Word attachment in an email to ******* by March 1, 2011. Please do not hesitate to call ****** if you have any additional questions or concerns. Thank you for your support of International Journal of..."


Hati saya tiba-tiba dilimpahi bebunga bila mana menelaah komentar dari dua orang Reviewer. Antaranya;

Reviewer 1

"The manuscript author’s provide a thorough understanding of the problem and present/evaluate several alternative strategies that could be implemented to improve ****** systems. The experimental design is relatively straight forward and does enable the authors to characterize performance of the differet treatment systems. .... I recommend publishing the paper with minor revisions."

Reviewer 2

"This is a useful manuscript describing preliminary results of research evaluating various types of ****. As such, the term “preliminary” needs to be incorporated into the text of both the ******* of the manuscript…..” Accept with minor revision."


Alhamdulillah...
dan terima kasih jua kepada Anda kerana sering memberikan inspirasi kepada saya. Anda sememangnya saya kasihi kerana DIA.

Apapun anggapan Anda terhadap saya, ketahuilah bahawa sememangnya saya tidak berupaya menandingi kehebatan yang Anda miliki. Anda lebih hebat dari saya, sungguh!.

Ketahuilah bahawa kudrat yang saya ada, hanyalah belas ehsan dari NYA jua, DIA yang saya imani, Allah SWT.


(*___^)
Abgbent



Baca selanjutnya, Klik di sini...

Rabu, Januari 12, 2011

Kepelbagaian Rasa Syukur

Hah! Betulkah adik belum pernah merasainya? Perasaan yang dinamakan perasaan bercampur-campur? Ada rasa gembira dan ada juga rasa sedih, lalu disusuli perasaan keinsafan.

Sebaliknya pula perasaan redha, ada kala ianya disulami kesedihan walaupun memaparkan seolah-olah gembira. Perasaan bercampur-campur adakala terjelma di dalam hati sanubari dan sering kali juga dirasai oleh jiwa raga.

Kalau adik belum pernah merasainya, tidak mengapa. Ketahuilah bahawa abg membuat contengan ini supaya difahami mengenainya. Perasaan bercampur-campur namanya.

Perasaan bercampur-campur sememangnya amat berlainan rasanya berbanding perasaan yang monotonuos sahaja. Perasaan Monotonous bermaksud perasaan yang tidak berubah-ubah dan membosankan!.

Ketahuilah bahawa perasaan bercampur-campur ada kala menjelmakan kenikmatan dan sebaliknya juga, ada kala amat-amat memeritkan.

Ambil contoh perasaan bersyukur.

Perasaan bersyukur boleh diselimuti gembira dan boleh juga diselubungi kedukaan. Adik nak tahu caranya?

Ramai orang menikmati rasa syukur hasil daripada menikmati kehidupan duniawi. Merasai nikmat pemberian NYA, sehingga tergerak hati menyenaraikan kesemuanya. Kesyukuran begini adalah luahan minda di dalam jiwa. Paparan dari perasaan redha gembira.

Sebaliknya pula, adik juga perlu tahu mengenai syukur yang amat menyiksakan. Syukur sedemikian amat hebat rasanya. Syukur begini abg menamakannya Syukur Kedukaan.

Perasaan Syukur Kedukaan terjelma bilamana sudah berusaha, namun hasil yang diperolehi sebaliknya, iaitu asyik-asyik gagal sahaja.

Walaupun gagal, lantas dihamburkannya juga perasaan Syukur. Perasaan syukur sedemikian tidak boleh dipaksa-paksa supaya berasa ceria, gembira kerana realitinya, hati yang dipunyai sedang kecewa dan berduka. Namun, dek perasaan bersyukur, lalu disandarkan kepada Tuhan Yang Maha Berkuasa segala-gala yang telah berlaku.

Hati dan jiwanya memang sedang menangis. Berduka ditimpa kegagalan dan masih dirasakan sedang berlegar-legar di dalam hati dan jiwanya. Kerana ada keimanan kepada NYA, lalu dia mengadu dengan meluahkan perasaan Syukur Kedukaan kepada NYA, DIA Tuhan Yang Maha Berkuasa.

Menangis kerana kesejukan ditimpa musibah, tetapi cepat-cepat diselimutkannya dengan Rasa Syukur Kedukaan kepada NYA, Allah SWT.

Pernahkah adik merasainya? Andai adik bertanya kepada abg mengenainya, jawapannya ialah Ya. Beberapa kali juga abg diterpa oleh perasaan ini.

Contohnya, abg ditemuduga untuk satu jawatan, tetapi selepas temuduga, keputusan yang diberikan negatif. Permohonan ditolak. Bohonglah kalau abg mengatakan abg berasa gembira setelah permohonan itu ditolak.

Realitinya abg berasa amat sedih. Bersedih kerana setelah berusaha, disimbah pula kegagalan. Ketahuilah bahawa walaupun bersedih, abg tetap bersyukur kerana Allah SWT lebih mengetahui kenapa permohonan itu ditolak.

Perasaan syukur abg itu terzahir kerana mungkinkah ianya menjadi landasan ujian keimanan? Siapa tahu... Sememangnya hanya DIA yang mengetahuinya. Lalu, disinilah letaknya perasaan Syukur Kedukaan. Bersyukur kerana DIA memberikan sekali lagi Ujian Keimanan. Apakah Abg gembira? sudah pasti jawapannya tidak, abg bersedih sebenarnya.

Perasaan Syukur Kegembiraan dan Syukur Kedukaan paparannya sama tetapi dirasai berbeza-beza. Bukan sahaja yang merasainya, tetapi juga ganjaran daripada Tuhan kepada yang sedang melaluinya.

Luahan perasaan bersyukur tujuannnya sama, tetapi dirasai berbeza-beza, hasil perasaan yang bercampur-campur sebenarnya.

Ketahuilah juga bahawa perasaan bercampur-campur memang ada, cuma sahaja masih ada yang berpura-pura dan ada juga yang jujur memaparkannya.

Ini bukan magik atau tipu helah, tetapi keupayaan Iman yang menterjemahkannya supaya kelak diketahui sebahagian daripada erti kehidupan ini.

(*___^)


Baca selanjutnya, Klik di sini...