Isnin, November 30, 2009

Mengalami Kemalangan Jalanraya, Bercuti AidilAdha & Berangkat Ke Korea

Salam 1 Malaysia.

Maaflah sebab dah lama tidak mencoretkan sebarang cerita di dalam blog Pedoman Hidup. Bukanlah disengajakan tetapi dek terlalu banyak kerja yang perlu dibereskan. Baru pagi tadi saya kembali daripada bercuti menyambut Aidiladha di kampung halaman, di Tawau.

Tengahari ini iaitu semasa berehat-rehat begini, saya mengambil kesempatan sekejap melakarkan sedikit cerita untuk tatapan Anda. Moga-moga adalah manafaatnya.

Sebenarnya seminggu sebelum menyambut Aidiladha tempohari, kereta kesayangan saya telah mengalami kemalangan jalanraya. Saya melanggar belakang kereta orang... Habis remuk bahagian hadapan kereta kesayangan saya. Namun, disebalik itu, saya bersyukur dan memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kehadrat-NYA kerana kesemua penumpang yang berada di dalam kenderaan tidak mengalami kecederaan.

Alhamdulillah sekali lagi saya panjatkan kepada NYA kerana dua orang adik dan anak sulung saya berumur 5 tahun yang ketiga-tiganya merupakan perempuan tidak mengalami sebarang kecederaan. Begitu juga dengan diri saya.

Alhamdulillah!. InsyaAllah akan saya panjangkan ceritanya malam nanti...

Cerita kedua yang saya ingin kongsikan ialah semasa bercuti menyambut Aidiladha di Tawau. Sebenarnya ketika bercuti itu, saya telah terlupa membawa celcom broadband. Bukannya disengajakan, tetapi dek terlalu sibuk menguruskan pelbagai perkara, maka celcom broadband telah terlupa dimasukkan ke dalam beg untuk dibawa bersama-sama.

Lagipun kami sekeluarga tergesa-gesa bersiap sedia kerana terpaksa meminta bantuan adik sepupu menghantarkan kami sekeluarga ke stesen.

Kereta kesayangan saya ketika itu sudah berada di bengkel untuk dibaiki disebabkan kemalangan yang telah menimpa. Sehingga kini pun, kereta kesayangan saya itu masih lagi berada di bengkel. Dua hari sebelum berangkat ke kampung halaman, saya terpaksa menguruskan pelbagai dokumen keperluan insuran agar boleh dibuat tuntutan. Sebab itulah juga blog Pedoman Hidup tidak berkesempatan diisikan sebarang coretan, sebelum Aidiladha.

Pagi tadi saya baru kembali ke kediaman dan terus bertolak ke ofis. Tengahari ini saya mengambil kesempatan melakarkan coretan pendek di dalam blog ini. Sebenarnya saya berangkat dari Tawau tidak ditemani oleh Isteri Tercinta dan anak-anak. Mereka masih lagi berada di Tawau. Sengaja saya meninggalkan mereka di Tawau kerana malam nanti saya akan berangkat ke Korea pula untuk urusan kerja selama seminggu. Saya dimaklumkan suhu di Korea ketika ini pada paras 1 - 11 darjah celsius.

InsyaAllah, ada kesempatan semasa menunggu atau di dalam penerbangan nanti, akan saya ceritakan kepada Anda. Maklumlah, Anda merupakan teman saya berbicara ketika keseorangan seperti ini... :)

Kepada Anda yang sudi menghantarkan email kepada saya, InsyaAllah, akan saya balas jua email itu nanti. ;)
Baca selanjutnya, Klik di sini...

Ahad, November 22, 2009

Gadis Jepun Yang Ayu… aku kasihi kerana DIA

Tiba-tiba air mata mengalir perlahan-lahan di atas pipinya yang halus dan putih. Genangan air matanya juga dapat aku perhatikan sedikit demi sedikit memenuhi kelopak matanya dan terus turun perlahan-lahan menusuri linangan air mata yang mengalir.

Kening dan pipinya juga kelihatan kemerah-merahan ketika itu kerana menahan sebak yang barangkali terkejut dengan penjelasanku mengenai Tuhan, Pencipta alam.

Peristiwa itu adalah yang pertama aku alami, iaitu menjelaskan tentang DIA yang maha ESA kepada seorang insan yang belum kukuh akidahnya. Insan yang aku kenali ini aku menamakannya Gadis Jepun yang ayu. Aku memberitahu kepadanya tentang keimanan kepada Tuhan Penguasa alam yang aku kenali sebagai Allah SWT.

Sejurus semasa situasi sayu dan sedih itu berlaku, adikku Ayuk yang duduk bersebelahan denganku dan berhadapan dengan Gadis Jepun yang ayu itu terkejut. Dia dengan segera menjelaskan kepadaku bahawa Gadis Jepun yang belum kukuh akidahnya itu tidak tahan merasai kesakitan. Hatta ibu dan ayahnya pun tidak pernah memukulnya sehingga dia merasai kesakitan. Dia memang tidak tahan kesakitan. Itulah yang diberitahu oleh adikku Ayuk kepadaku.

Selepas mendengar penjelasan adikku Ayuk, aku juga berasa kesal memukul tangan Gadis Jepun yang Ayu itu dengan kuat sekali. Dua kali aku melakukannya kerana yang pertama bila aku pukul tanggannya menggunakan tanganku, dia menggeleng-gelengkan kepalanya selepas aku bertanya sama ada dia merasai sakit ataupun tidak. Malahan dia juga melontarkan senyuman kepadaku dan melirikkan matanya ke arah adikku Ayuk.

Sebab itulah, untuk kali kedua, aku cuba memukulnya dengan keras sekali agar tiadalah pukulan kali ketiga. Ternyata, bila aku bertanya kepadanya adakah dia merasai kesakitan akibat pukulan kali kedua di atas tangannya ketika itu, dia terus mengangguk-anggukkan kepalanya dan menatap tepat ke arah mataku untuk menunggu penjelasanku yang seterusnya.


(akan aku lanjutkan kisah ini InsyaAllah)



Sejujurnya, aku juga tersentak melihat Gadis Jepun yang ayu itu mengalirkan air matanya di hadapanku dan adikku Ayuk


Sebenarnya, sudah lama nostalgia ini aku simpan dan barulah malam ini tergerak hatiku menceritakannya kepada Anda untuk dikongsi bersama-sama. Moga-moga adalah manafaatnya untuk dijadikan Pedoman Hidup barangkali. Manalah tahu Anda juga akan menghadapinya.

Kisah ini aku alami semasa berada di negara Jepun sebulan lamanya dan mengenali adikku Ayuk bersama Gadis Jepun ini.

Ayuklah yang memberitahu kepadaku yang Gadis Jepun ini suka bertanya tentang hal ehwal agamaku. Malahan sehingga ke tahap persoalan mengenai halal dan haram sesuatu perkara menyebabkan adikku Ayuk sukar menjelaskan kepadanya kerana di situ terselit logik akan persoalannya.

Heheheee… aku sekadar melontarkan senyuman kepada adikku Ayuk bila mengetahuinya. Bukanlah meremehkannya, tetapi aku juga ingin mengetahui akan persoalan-persoalan yang diajukan oleh Gadis Jepun yang Ayu itu.

Suatu hari, aku berkesempatan duduk bersama-sama mereka dan disitulah aku memahami penjelasan adikku Ayuk mengenai kesukaran memberikan penjelasan kepada Gadis Jepun yang ayu itu. Memang cabarannya berlainan sama sekali kerana kefahaman yang dimilikinya berkiblatkan ilmu sains terkini.

Nasib baik juga aku ada kefahaman mengenai ilmu sains. Bertitik tolak dari situlah aku dapat menyangkal akidah kefahamannya tentang sains yang dijadikannya sebagai pegangan hidup.

Syukur Alhamdulillah aku panjatkan kepada NYA kerana mengizinkan aku melakukan dan mempelajari sesuatu di negara itu. Sebab itulah juga aku ingin kongsikannya di sini dengan Anda, Anda yang menjadi teman untukku berbicara di alam siber sebegini rupa. Ketahuilah bahawa sememangnya Anda juga saya kasihi kerana DIA.
Baca selanjutnya, Klik di sini...

Jumaat, November 20, 2009

Berusaha Mencari Jodoh... Nasihat buat Adikku

Mungkin 3 tahun lagi? Kenapa lambat? Jangan dilambat-lambatkan duhai adikku yang dikasihi. Masa akan terus berlalu dan tidak akan menunggu.

Sekarang abg nak mengajak adik untuk berfikir seketika perkara ini. Katakanlah Adik merancang akan berkahwin pada umur 31 tahun nanti. Selepas itu dengan izin-Nya, InsyaAllah adik dikurniakan anak pada tahun berikutnya, iaitu pada umur 33 tahun. Tahukah adikku bahawa pada umur menjangkau 60 tahun, anak adik yang sulung baru berumur 27 tahun. Adik tahu tak umur seorang pemuda/i berumur 27 tahun itu pemikirannya bagaimana? Ya, sememangnya kehidupannya masih lagi bergantung dengan keluraga.

Tekaan abg itu pun kalau adik dapat anak pada tahun berikutnya selepas mendirikan rumahtangga. Pengalaman abg sampai 3 tahun barulah abg mendapat zuriat yang pertama. Kini umur anak abg dah masuk empat tahun tetapi umur abg dah sampai 39 tahun. Itu sebabnya abg kongsikan perkara ini.

Memang Kita hanya mampu merancang tetapi DIA juga yang menentukan segala-galanya. Ketahuilah bahawa masa yang berlalu itu tidak akan dapat dikembalikan untuk Kita mengulanginya semula. Masa itu akan terus berlalu dan berlalu. Hanya perancangan yang teliti yang akan dapat mengubah sesuatu yang Kita ingin atau harapkan di masa ini dan masa akan datang. Semua ketentuan yang kita rancangkan adalah hak mutlak kekuasaan-NYA jua.

Abg tetap mendoakan agar adik bertemu jodoh dalam masa terdekat ini. Kadang jodoh itu juga boleh membuka pintu rezeki hamba-hamba-Nya...
Baca selanjutnya, Klik di sini...

Sabtu, November 14, 2009

Belajar untuk Tahu ...Coretan buat Shikin

*Coretan buat shikin*
Izinkan abg memberikan cadangan.

Dalam hal ini, Shikin kena tanya pada diri sendiri. Untuk apa Shikin nak rajin belajar? Apa yang shikin inginkan sebenarnya?

Jika masih tak tahu apa yang Shikin kehendaki, manakan pula shikin berusaha mengejarnya bersungguh-sungguh. Inilah yang dikatakan sebagai Kena tahu Matlamat.

Nak rajin belajar. Shikin kena tahu kenapa nak rajin belajar? untuk apa sebenarnya? Persoalan-persoalan ini Shikin kena jawab sendiri sebab andai shikin tidak jelas mengenainya, macamana shikin nak memotivasikan diri untuk belajar? Tidak semestinya perlu rajin belajar… yang penting tahu apa yang dikehendaki. Kadang juga ada yang rajin belajar tapi tidak berkesan pun.

Kenapa? Sebab dia masih tidak tahu kenapa dia rajin belajar dan untuk apa sebenarnya dia belajar.

Kenal pasti apa yang shikin nakkan dan dari situ nanti terbitlah keinginan untuk mengejar matlamat tadi. Sekali lagi, Shikin kena tahu mengapa melakukan sesuatu itu. Sebagai contoh rajin belajar, kalau rajin sahaja tetapi tidak mengetahui apa yang dipelajari buat apa bukan?

Don’t study hard, but study smart. Itulah ungkapan yang sering abg dengari semasa berada di universiti dahulu dan sekarang ini pun…
Baca selanjutnya, Klik di sini...

Jumaat, November 13, 2009

Lakaran-Lakaran Mudah 1 & 2

Lakaran 1

Abg memahami apa yang terselit di sebalik coretan itu. Ada baiknya juga kalau abg tambahkannya begini;

Jangan sampai mengejar-ngejar motivasi alam, sehingga kita menjadikannya tempat bermohon, menjadikannya sebagai Keramat, menjadikannya tempat sembahan, menjampi berkaitan dengan kekuasaan alam.

Motivasi oleh cinta, harap-harapnya kecintaan kita tidaklah beralih arah iaitu untuk mencintai-NYA. Kecintaan itu akan terjelma apabila kita telah mengenali sesuatu yang ingin kita cintai. Tetapi ramai juga yang tidak berusaha untuk mengenali-NYA menyebabkan agak sukar menjelmakan kecintaan kepada-NYA.

Keseronokan boleh meningkatan motivasi tetapi kadang-kala apabila terlebih, menyebabkan kita leka dan alpa. Bukan sahaja keseronokan mengejar dunia tetapi juga mengejar-ngejar akan-NYA, boleh menyebabkan kita leka dan alpa terhadap tanggungjawab sebenar kita di dunia ini.

Kisah orang lain boleh dijadikan sebagai pencetus di dalam meningkatkan motivasi diri, tetapi bilamana tidak dipandu sebaiknya, boleh juga menyebabkan hasad dengki terjelma. Akibatnya akan terbitlah umpatan dan lain-lain yang negatif sifatnya.

Duit? emm… tak perlulah saya teruskan ulasan mengenainya kerana semua dikalangan kita memahaminya. Memang kita memerlukannya.

:)



Lakaran 2

Saya tetap berpendirian bahawa di mana pun kita berada, benteng diri itu amat penting dan pastilah saya akan berusaha untuk tidak membiarkan rakan-rakan yang dilanda sifat negatif itu berterusan negatiflah jadinya.

Ada ketikanya, sifat-sifat yang dinyatakan itu akan melanda diri Kita.

Apakah dalam hal ini Kita akan dibiarkan begitu sahaja? Tiada bantuankah daripada rakan-rakan untuk memberikan sedikit motivasi agar sifat negatif itu dapat dibendung dan seterusnya diperbaiki?

Saya tetap berkata begini...

Jangan jauhi rakan-rakan Anda tetapi berilah nasihat yang sewajarnya agar rakan itu berubah.

Nasihat sememangnya semua di kalangan Kita memilikinya cuma masa dan ketika yang akan menentukan sama ada Kita pada ketika itu bersifat negatif ataupun positif. Pastilah rakan bersifat positif harus membantu rakan yang dilanda sifat negatif. Dalam erti kata lain, Nasihat-menasihati sesama atau Amal Maaruf dan Nahi Mungkar.

Satu perumpaan yang saya pernah dengar ialah lontarkanlah diri kita di mana-mana lautan pun, moga diri kita akan menjadi sebuah pulau yang akan menjadi persinggahan kepada makhluk-makhluk-NYA.

Sekian.
Baca selanjutnya, Klik di sini...

Khamis, November 12, 2009

Rasa Cinta ...1

Innalillahi...

Dah lama saya tidak bercerita-cerita dengan Anda, yang sering berziarah ke sini. Izinkanlah saya meluahkan rasa kecintaan saya pada pagi ini kepada arwah Datuk saya yang telah kembali ke rahmatullah kelmarin, hari Rabu, 11 November 2009, pukul 5.45 pagi.

Ketika itu saya tidak berada di sisinya dek tugasan yang harus saya laksanakan di tempat kerja. Tepat pukul 6.15 pagi kelmarin, saya telah menerima panggilan telefon dari keluarga di Tawau menyatakan bahawa arwah Datuk telah pergi menemui-NYA.

Sejurus selepas mendapat perkhabaran itu saya bersama Isteri Tercinta bergegas mengemas pakaian dan balik ke kampung halaman di Pulau Sebatik, Tawau.

Walaupun hakikatnya masih banyak tugasan kerja yang perlu dibereskan, tetapi dek rasa kecintaan pada arwah, saya meninggalkan kesemua tugasan itu. Pastilah selepas menghantarkan sms kepada boss untuk memohon cuti kecemasan. Alhamdulillah, boss saya membalas sms yang dihantar dan memberikan sms yang berbunyi "Wslm, Sorry to know that she is no more. May Allah Swt bless her soul".

Mohon keizinan Anda, yang saya kasihi kerana DIA agar dapat juga mendoakan kesejahteraan arwah Datuk saya. Moga-moga Allah SWT mengampunkan segala dosa-dosa yang dilakukan semasa kehidupan duniawi sama ada disengaja mahupun tidak disengajakan dan moga-moga dibahagiakan kehidupannya di alam kubur ketika ini.

Terima kasih saya ucapkan di atas kesudian Anda membaca cerita yang disaluti perasaan kesedihan ini, walaupun hakikatnya barangkali Anda tidak merasakan apa yang saya rasai kini. Sememangnya DIA sahaja yang memahami akan apa yang saya rasai kerana DIA jua yang mengetahui segala rahsia yang terkandung di lubuk hati sanubari setiap insani.

Akhir kata, saya mendoakan moga-moga arwah datuk yang telah meneruskan kehidupan di alam kubur akan terus dikurniakan kebahagiaan di sana oleh-NYA, InsyaAllah...

Teringat saya akan pesanan Rasulullah saw, yang diriwayatkan di dalam Kitab Shahih Muslim agar cepat-cepat menggapai segala kesempatan yang ada dengan sebaik-baiknya, iaitu Lima perkara sebelum datangnya Lima perkara;

"Masa muda sebelum datangnya hari tua, masa sehat sebelum dilanda sakit, masa kaya sebelum masa miskin, masa lapang sebelum datangnya waktu sibuk, dan masa hidup sebelum datangnya kematian.”
(Hadith Riwayat Muslim dan Tirmizi dari Amru bin Maimun r.a.)
Baca selanjutnya, Klik di sini...

Selasa, November 10, 2009

Kerja dalam ketenangan ... Coretan buat Shem

Jumpa lagi di sini...

Rasanya kelam kabut dan “sibuk” itu lainlah, Shem. Kelam kabut disifatkan tergesa-gesa. Manakala sibuk pula dikatakan terlalu banyak kerja.

Bila banyak kerja, kadang-kala orang buat secara tergesa-gesa. Itu sebab ternampak kelam-kabut. Apatah lagi kalau kesuntukan masa.

Umpama di jalan raya, bila dah kelam kabut, lorong yang tak sepatutnya dilalui pun lantak je...

Mengapa? sebab nak cepat sampai. Itu namanya kelam kabut atau dalam erti kata lain, tergesa-gesa nak siapkan kerja. Biasanya bila berlaku seperti itu, hasilnya faham-faham sajalah. Heheheeee

Tetapi tidak semestinya orang yang “sibuk” bersifat seperti itu. Orang yang tenang akan menunjukkan kewarasan fikirannya menyelesaikan setiap kesibukan satu persatu. Inilah dikatakan melakukannya di dalam ketenangan.

Perlu diketahui juga, tenang tidaklah bermaksud lemah-longlai atau tidak bermaya. Itu berbeza sama sekali. Lemah longlai atau tidak bermaya sama kategorinya dengan malas.

Fikiran yang dipandu dengan ketenangan akan rasional sifatnya. Umpamanya, setiap sesuatu kesibukan akan dilaksanakan satu-persatu mengikut keutamaanya. Dan sesuatu pekerjaan itu akan dilaksanakan setelah difikirkan baik dan buruknya.

Seperti perumpamaan yang saya sebutkan di atas. Perlukah saya memandu di lorong yang tidak sepatutnya? Tidak ada apa-apakah yang akan terjadi? Kepentingan saya lebih utama berbanding orang lain? Kemarahan orang sebab "overtake" mereka tak penting?. Sumpah maki orang itu lantak pi la? Barangkali ada trafik di depan, nanti kena saman?

Semua persoalan dan kemungkinan itu akan dapat difikirkan secara rasional bila mana di dalam ketenangan. Erti kata lain, tidak kelam kabut.

Selain itu, bila mana kita tenang, “kesibukan” kerja akan ditapis satu persatu. Yang mana harus didahulukan untuk disiapkan. Tidak bermaksud terlalu sibuk sehingga tergesa-gesa menyiapkan kesemuanya. Kalau dah takdirnya tak siap. Nak buat macamana? terima sajalah kemarahan bos!. Heheeee

Tapi sebaiknya diusahakanlah agar semua kesibukan tadi dapat disiapkan mengikut waktu-waktunya yang telah ditetapkan. Itu sebab matlamat itu utama.

Takkanlah pula kerja yang kena disiapkan dlm tempoh sehari baru nak dimulakan perlaksanaannya apabila masa yang ada cuma tinggal sejam sahaja. Pastilah tak siap jawabnya.

Sudah pasti di setiap apa yang kita lakukan di dalam kehidupan ini adalah untuk mengetahui ilmu-ilmu-NYA. Oleh itu, mengapa harus tergesa-gesa mempelajari setiap ilmu-ilmu-Nya yang kita sedang cuba fahami ini?

Moga-moga adalah manafaatnya apa yang saya kongsikan di sini.

“Maka Maha Tinggilah Allah, yang Menguasai seluruh alam, lagi Yang Benar (pada segala-galanya) dan janganlah engkau (wahai Muhammad) tergesa-gesa membaca Al-Quran sebelum selesai dibacakan oleh Jibril kepadamu dan berdoalah dengan berkata: Wahai Tuhanku, tambahilah ilmuku”. (Taha, 20: 114)

Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan TENANG dan SABAR) dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. (At-Taghabun, 64: 11)

:) lontaran senyuman buat Shem. Bila nak buat aktiviti lasak seperti hari tu? Saya nak ikut blehkah!?
Baca selanjutnya, Klik di sini...

Isnin, November 09, 2009

Coretan Buat Adik Noor ... Muhasabah Diri

Izinkan saya melontarkan komen pada adikku Noor seperti yang diminta.

Pertama-tamanya, suka saya mengatakan begini;

1. Lihatlah kejayaan yang dimiliki oleh orang itu sebagai pencetus agar Kita juga berjaya sepertinya.

2. Elakkanlah berfikir mengenai urusan orang itu dengan Tuhannya kerana itu adalah hak dirinya dengan DIA-MAHA PENCIPTA.

3. Mungkin pada zahirnya Kita melihatnya kurang melaksanakan suruhan-Nya TETAPI mungkin juga sebaliknya!. Seperti yang saya ungkapkan, Kenapa pula Kita yang berperanan seolah-olah seperti malaikat-Nya. Walhal setiap daripada Kita pasti ada PENJAGA di Kiri dan Kanan sepanjang masa yang menuliskan tentang keIMANan Kita.

4. Bukankah lebih utama Kita menghisab diri sendiri daripada menggunakan masa yang ada untuk menilai orang lain? Mungkinkah perasaan Kita sahaja yang mengatakan bahawa Kita telah melaksanakan suruhan-Nya, TETAPI pada hakikatnya, Hati Kita masih pula tidak kepada-Nya.

“Dan (ingatlah) seseorang yang memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja). Kemudian kepada tuhan kamulah tempat kembalinya kamu, maka Dia akan memberitahu kepada kamu tentang apa yang kamu telah kerjakan. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui akan segala (isi hati) yang terkandung di dalam dada. (Az-Zumar, ayat 7).

5. Renungkanlah ayat ini “Orang-orang kafir dari Ahli kitab dan juga dari orang-orang musyrik, tidak suka kiranya diturunkan kepada kamu sedikit dari kebaikan (atau wahyu) dari tuhan kamu Padahal Allah berHak menentukan rahmatNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah (jualah Yang) mempunyai limpah kurnia yang amat besar, (Al-Baqara, ayat 105).

6. Sebaliknya pula, saya tidak menafikan bahawa andai ada kemungkaran yang berlaku, Kita berkewajiban untuk menegur. Teguran itu pastinya pada tahap-tahap tertentu iaitu dengan menggunakan tangan, kata-kata atau mungkin dengan hati sendiri.

Akhir sekali, kongsikanlah ayat ini untuk sama-sama Kita kaji dan renungkan;

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhannya dan meninggalkan laranganNya) dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang dia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat) dan (sekali lagi diingatkan): Bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi PengetahuanNya akan segala yang kamu kerjakan. (Al-Hashr, 18)
Baca selanjutnya, Klik di sini...

Jumaat, November 06, 2009

Bimbingan Berterusan... Coretan Buat Jajaa

* Pandangan saya kepada jajaa * ;)

Kita masih ada pilihan di dalam perbuatan harian yang Kita lakukan. Akal akan menganalisa mana satu yang perlu dilakukan sama ada ingin membantu atau membiarkan sahaja rakan-rakan itu. Dalam hal ini saya memberikan ruang kepada jajaa untuk memikirkannya dan membuat keputusan sebaiknya. Sebab masing-masing di antara Kita berlainan masalahnya.

Tetapi, saya tetap beranggapan agar Rakan tadi janganlah dijauhi disebabkan sifat-sifat negatifnya. Mungkin suatu hari kelak hidayah-Nya akan hinggap di minda jajaa dan memperolehi keupayaan untuk dikongsi bersama rakan itu dan dengan kuasa-Nya jua akan terbitlah perubahan kepada diri Rakan itu. Mungkin di situlah juga Kejayaan Hakiki perjuangan hidup jajaa kelak?. Siapa tahu...

Dan satu perkara yang amat-amat penting untuk saya kongsikan dengan jajaa ialah DIA sesungguhnya MAHA MELIHAT, MAHA MENDENGAR dan MAHA MENGETAHUI akan apa yang Kita lakukan.

Seperti saya juga, saya akui yang saya mempunyai pelbagai kelemahan, dan seharusnya saya juga mendapat bimbingan. Bukan sahaja bimbingan daripada Isteri Tercinta, Keluarga dan Rakan-Rakan, tetapi jauh dari situ sudah pasti saya inginkan bimbingan dari-NYA. Sebab Pada-NYA lah terletaknya bimbingan yang sebenar-benarnya.

Itulah juga sebabnya saya harus memohon kepada-Nya dan harus mengingati-Nya sentiasa, moga-moga adalah pandangan-Nya seketika kepada Saya untuk dibimbing di dalam menerokai liku-liku kehidupan ini.

Harus juga saya maklumi bahawa para syaitan dan sekutu bagi-Nya akan sentiasa berada di samping, bukan seketika, tetapi sepanjang masa.

Sebab itulah, jangan dibiarkan rakan-rakan Kita bersendirian, kelak digoda oleh mereka, maka hilanglah lagi, seorang daripada saudara Kita, yang namanya manusia.
Baca selanjutnya, Klik di sini...