Sabtu, Oktober 31, 2009

Coretan Buat Umi... Selesaikan Masalah

Tak salah mencuba bukan? Kadang-kala tanpa disedari, ada sesuatu yang akan turut sama di dalam diri. Itulah dia kekotoran disebabkan gelapnya Hati semasa mentafsir sesuatu yang harus dipilih.

Apa yang dinyatakan hanyalah sekadar cadangan. Bukannya satu penyelesaian.

Kaunselor? ermmm… itupun salah satu daripada kaedahnya, tapi abg lebih suka bertemu Kaunselor yang memang betul-betul Kaunselor iaitu DIA. DIA yang saya maksudkan adalah Allah SWT.

DIA merupakan Kaunselor ketika abg menghadapi pelbagai masalah kerana di depannyalah abg akan menitiskan air mata penyesalan di atas segala tindakan yang menemui kegagalan.

Biasanya selepas itu hati abg akan tenang kerana telah berbicara dengan-Nya. Apatah lagi meluahkan rasa hati yang teramat pedih di dalam mengatasi segala kegagalan yang menimpa.

Mengapa? kerana abg tahu yang DIA MAHA MENDENGAR DAN MAHA MELIHAT. Sememangnya kegagalan itu adalah antara sebahagian daripada ujian-ujian-NYA yang harus jiwa ini rasai agar dapatlah dimengerti akan erti kehidupan ini.

Kalau kaunselor yang Umi sebutkan itu, sememangnya abg amat berasa khuatir berjumpa dengannya. Risau suatu hari nanti apa yang diluahkan akan dijadikan contoh atau mungkin diluahkan pula olehnya di khalayak ramai tanpa dia sedari. Maklumlahkan dia juga sama seperti Kita yang kadang-kala mempamerkan kelemahan. Itulah dia namanya Insan yang tidak akan terlepas daripada melakukan kesilapan.

Sememangnya Umi mempunyai pelbagai pilihan di dalam menyelesaikan segala kekusutan dan masalah yang bertimpa-timpa.

Usah bersedih dan tertekan kerananya. Cubalah usahakan pelbagai cara untuk mengatasinya. Berbual-bual begini pun adalah satu daripada kaedahnya. Moga suatu hari nanti ianya dapat membantu, InsyaAllah.

Fokuskan perhatian pada masalah yang dihadapi dan fikirkan bagaimanakah cara penyelesaian yang sesuai untuk dipraktikkan agar masalah yang dihadapi dapat diusai satu persatu. Kalau tidak, masalah itu akan bertambah banyak jadinya sehingga tidak tahu mana satu yang harus diatasi dahulu.

Paling penting, kenal pasti masalah, cari dan fikir kaedah terbaik untuk mengatasinya kerana dengan melakukan yang sedemikian, ianya lebih berfaedah daripada terus-terusan memikirkan perkara itu sebagai satu masalah yang menemui kebuntuan.

Setiap penyakit pasti ada penawarnya... cuma barangkali cara dan kaedah sahaja yang berbeza-beza. Cekalkan hati semasa mencari penawar masalah, kelak pasti akan berjumpa. Apatah lagi semasa di dalam pencarian itu dipohon kepada NYA pertolongan agar tertitis belas ehsan dari NYA di dalam memberikan petunjuk untuk memperolehi penawar yang diingini.

Sememangnya DIA jua yang berkuasa di atas segala-galanya. Sebab itu terkadang dengan hanya menyebut nama NYA sahaja ilham akan terjelma di dalam minda untuk mentafsir pelbagai kekusutan yang ada. Melalui ilham dari NYA akan terungkailah segala penyelesaian pada masalah yang bertimpa-timpa.

InsyaAllah.
Baca selanjutnya, Klik di sini...

Khamis, Oktober 29, 2009

Coretan Buat Adikku ... Pembentangan

Sekali lagi saya memohon Adikku untuk menjenguk dan membaca coretan mengenai Penyakit Jiwa di laman blog Pedoman Hidup ini.

Moga adalah manfaatnya coretan itu nanti. Sebenarnya saya hanya ingin berkongsi mengenainya. Andai lakaran itu sesuai, maka gunakanlah tetapi andai sebaliknya, buatlah pilihan lain yang sebaiknya.

Sesungguhnya DIA juga memiliki segala Kesempurnaan dan Keindahan.

Saya ini hanyalah insan kerdil yang masih banyak lagi kedaifan dan kekurangan untuk diperbaiki. Moga adalah manafaatnya nanti, daripada perkongsian ini. Apapun DIA jua yang mengizinkan saya melakarkan pelbagai coretan di sini.


Adikku..., perkara itu belum berlaku mengapa pula harus ditakuti?. Fikirkan sahaja apa yang perlu diucapkan dan berlatih sendiri agar berkemahiran.


Sememangnya senang untuk saya memperkatakan sesuatu kerana bukan saya yang merasainya, heheheeeee....

Tetapi bila mana ianya berlaku ke atas diri sendiri, pastinya bebanan itu terasa juga amat beratnya. Anggaplah lakaran ini sebagai perkongsian semata-mata, OK.


Selain daripada itu, saya juga ingin mengutarakan agar diusahakan sedikit strategi bagi mengatasinya. Ya, sememangnya mengingati-Nya dan berdoa sentiasa itu amat penting, tetapi lebih jauh daripada itu, perlu juga diusahakan pelbagai strategi agar masalah dapat diatasi.


Untuk tujuan itu, suka saya mencadangkan agar difikirkan kembali apakah sebenarnya masalah yang sedang dihadapi? Adakah disebabkan TERPAKSA melakukan pembentangan di khalayak ramai? Walhal Adikku tidak yakin dapat melakukannya?

Berdarah gemuruh ketika berucap di khalayak ramai? Tiada keyakinan diri lalu tidak mahu melakukannya? Berasa malu kerana tidak yakin? Merendah diri lalu terus-terusan merenda-rendahkan diri-sendiri?.


Ketahuilah wahai Adikku, setiap sesuatu itu perlu dipelajari agar kelak kita berkemahiran mengenainya. Oleh itu, ketahui masalah dan pelajari bagaimanakah cara untuk mengatasi masalah itu. Berbanding terus-terusan merendah-rendahkan diri sendiri serta memikirkan ianya sebagai satu masalah yang sudah tiada lagi cara penyelesaiannya.


Kehadiran Kita di dunia ini sememangnya bukanlah sia-sia, tetapi jauh daripada itu ialah untuk mempelajari sesuatu tentang kewujudan-Nya dan pastinya lebih jauh daripada itu ialah agar Kita memahami dan mempelajari akan Kekuasaan-Nya.

Sekiranya Kita tidak mahu mencuba dan mempelajari sesuatu perkara, bagaimana mungkin Kita akan mengetahui dan merasainya? Selain itu, ingin juga saya nyatakan bahawa sesuatu kemahiran itu tidak akan pernah terlaksana di dalam diri Kita andai Kita sendiri tidak mahu mencubanya!.


Pasti di dalam percubaan-percubaan itu beroleh risiko. Dan jangan lupa juga bahawa mungkin ianya menjadi kenangan manis di dalam Kita mencari Pedoman Hidup ini.

Harus diyakini juga bahawa segala risiko itulah yang akan mematangkan diri Kita agar cekal menghadapi segala perkara yang tidak pernah terfikir yang Kita akan dapat melakukannya.

Suka juga saya memberitahu bahawa kadang-kala ketika memberi syarahan kepada sesiapa sahaja, saya pun beroleh kesilapan. Dan kesilapan itu membuatkan mereka berasa ceria dan gembira ketika mendengar dan melihatnya. Mungkinkah itu juga akan terjadi terhadap Adikku kelak? Siapa tahu kalau Anda tidak mahu mencubanya.

Ketahuilah bahawa semua insan yang diciptakan oleh-Nya tidak ada yang sempurna, kecuali DIA. Oleh itu, anggaplah kesilapan yang akan berlaku di dalam Kita mencuba sesuatu itu sebagai satu proses untuk Kita mengenali siapa sebenarnya diri Kita berbanding DIA?.

Dan jangan lupa pula bahawa kemahiran yang kelak dimiliki hasil usaha terus-terusan, sememangnya satu usaha untuk Kita merapatkan diri kepada-Nya, jauh daripada itu, agar Kita mengenali-Nya.

Jangan takut untuk mencubanya kerana pasti bila sentiasa dicuba, diri kita akan berkemahiran mengenainya.
Baca selanjutnya, Klik di sini...

Rabu, Oktober 28, 2009

DIA Berkuasa...

Ketahuilah bahawa DIA sememangnya Maha Melihat dan Maha Mengetahui. Andai kita jujur di dalam segala tindakan, pasti keajaiban-NYA akan dimunculkan di dalam kehidupan Kita. Siapapun tidak akan dapat menghalangnya, walaupun pada hakikatnya akal fikiran mengatakan mustahil untuk sesuatu itu berlaku.

Namun di sudut hati ini, saya tetap bersyukur dan berdoa sentiasa semoga tidak akan alpa dengan nikmat kehidupan yang dikecapi kini.

Ucapan terima kasih sememangnya tidak dapat diluahkan kepada Anda yang sentiasa menemani saya, setiap masa dan ketika. Apatah lagi kepada Anda yang sudi berkongsi sesuatu mengenai kehidupan ini. Sesungguhnya hanya empunya diri sahaja yang dapat menilai betapa peritnya cabaran perjalanan yang sedang dilalui.

Ianya akan bertambah perit lagi seandainya merasa DIA sudah jauh dari sisi. Sebab itu sama-samalah kita memohon agar DIA, yang Maha Perkasa dan Maha Berkuasa di atas segala-galanya, masih sudi berada di sisi atau barangkali di samping diri kita...

Kalau bukan pun seketika ini, harap-harap di pengakhiran kehidupan nanti kerana itulah yang sebenar-benarnya menjadi aras penunjuk Kejayaan selepas menempuhi kehidupan ini...

Perjalanan Hidup ini akan mudah andai ada Cahaya dari NYA dibekalkan kepada kita, walaupun barangkali terlalu sedikit sinaran-NYA, tetapi setidak-tidaknya ia akan dapat digunakan untuk menyuluh semasa di dalam Kegelapan Perjalanan Kehidupan.
Baca selanjutnya, Klik di sini...

Selasa, Oktober 27, 2009

KEIMANAN ... Coretan buat adikku My

Tahniah adikku my...

Sesungguhnya Keimanan yang telah melekat di dalam diri, usah disia-siakan. Ketahuilah bahawa anugerah kehidupan yang paling berharga ialah Keimanan iaitu merasakan DIA sentiasa ada di sisi, sepanjang masa. DIA yang saya maksudkan adalah Tuhan Pencipta Alam.


Di dalam meneroka kehidupan ini, sekiranya adik merasakan sedang bertemankan DIA sepanjang masa, sememangnya adik amat bertuah kerana jarang orang merasakan perasaan sedemikian rupa. Sememangnya tidak ramai yang memahami rahsia yang terselit di sebalik perasaan sebegini. Sebab itu ramai yang kecewa bila gagal menimpa, begitu juga ada yang alpa bila sudah berjaya.


Keimanan letaknya jauh di lubuk hati sanubari sebab itu ianya tidak dapat dilihat deria mata, tetapi ianya boleh dirasa.

Seumpama kesakitan yang dirasakan sakit, tetapi kesakitannya tetap tidak dapat diperhatikan oleh mata. Itulah yang saya namakan sebagai Lubuk Jiwa.


Mereka yang merasakan keimanan, pasti akan berasa tenang walau gelora melanda seumpama tsunami sebesar-besarnya. Mengapa? kerana TEMAN yang saya maksudkan adalah Penguasa yang bukan calang-calang kuasa yang dimilikinya. DIA jualah yang mempunyai segala keajaiban dunia yang sukar difikirkan oleh akal manusia. Keajaiban dunia memang menjadi hak mutlak bagi-NYA sahaja.


Tetapi andai tidak merasai ketenangan yang saya sebutkan, ini memberikan petanda bahawa empunya diri masih belum berupaya mengenali NYA, menyakini NYA, dan memahami bahawa sememangnya DIA sedang berada di sampingnya. DIA sememangnya sedang memerhatikan segala gerak-geri sehingga jauh ke lubuk hati sanubari. Melangkaui empunya Jiwa itu sendiri.


Perasaan Keimanan kepada NYA merupakan nikmat di dalam kehidupan yang tidak ternilai harganya di dalam mencari Pedoman Kehidupan. Apatah lagi semasa menyusun langkah-langkah perjalanan yang berkemungkinan menemui kegagalan atau barangkali mengecapi kejayaan.

Ketahuilah bahawa kesemua yang sedang dilalui sekarang adalah semata-mata untuk menguji Keimanan yang dimiliki oleh empunya diri. Keimanan iaitu mempercayai akan kewujudan dan kekuasaan-NYA. DIA yang saya namakan sebagai Allah SWT



Andai kegagalan yang dirasai mengakibatkan empunya diri menghindari Allah SWT, rasanya amat malanglah perjalanan-perjalanan yang dilalui seterusnya, kerana petunjuk perjalanannya sudah tiada bersama-sama dengannya.

Tetapi sekiranya kegagalan itu menyebabkan empunya diri semakin hampir kepada NYA, nescaya pertolongan NYA akan tersimbah di dalam kehidupannya, kalau tidak sentiasa, barangkali sekali-sekala. Bertuahlah empunya jiwa yang sebegini kerana Matlamat Kehidupannya akan semakin hampir untuk dinikmati. Nikmat Kehidupan.

Begitu juga halnya andai kejayaan yang dikecapi, sekiranya dia menjadi alpa, leka dan lupa, pasti kejayaan itu menjadi sia-sia dan tiada lagi nilai harganya... kerana kejayaan sebegini hanya sementara sahaja sifatnya, tidak kekal selama-lamanya.

Sebaliknya pula, bila kejayaan yang dikecapi membuatkan empunya diri menjadi lebih mengenali NYA, memahami NYA, dan merasakan kehadiran NYA di sisi sepanjang masa, nescaya ganjaran kehidupan yang diterimanya sudah tiada lagi tandingannya. Melangkaui nikmat kehidupan yang dirasakan.


Sememangnya Keimanan terletak jauh di dalam lubuk hati iaitu sukar diperhati, tetapi boleh dirasai oleh empunya jiwa itu sendiri.
Baca selanjutnya, Klik di sini...

Isnin, Oktober 26, 2009

Coretan Buat Adikku nadea84 ...Perasaan Cinta

ermmm… *sambil-sambil merenung sesuatu* ketika ini...

Izinkan abg berkongsi sedikit pandangan di dalam hal ni. Bukanlah nak memberi nasihat, tetapi berkongsi sesuatu buat adikku nadea84 yang masih muda remaja.

Sejujurnya, sebelum berumah tangga, abg belum pernah mengecapi cinta sepasang kekasih, pastilah antara lelaki dan wanita, ok. Bukan yang lain…

Namun bila mana sebut ungkapan cinta, abg tidak menafikan bahawa sebelum berumah tangga, memang telah merasainya, pastilah cinta pada kedua orang tua.

Dulu masa belajar dan terpaksa berjauhan dengan ibubapa, diri ini telah merasai kerinduan dek penangan cinta. Sekali lagi, cinta pada kedua ibubapa Ok… bukan cinta pada pasangan kekasih.

Nak kata mengalir air mata? Sungguh, memang adalah aliran air mata setiap kali mengingati kedua orang tua, barangkali itulah istilah cinta yang abg boleh kongsikan dengan adik pada ketika ini.

Memang setiap kali merindui mereka, akan adalah aliran air mata, apatah lagi ketika berdoa pada NYA. Maklumlah, masa itu abg masih di usia remaja.

Bila mana mengalami situasi seperti itu, abg akan berusaha merenung dan berfikir kembali MATLAMAT HIDUP yang harus dicapai. Mengapa?

Kerana dari situ akan terbitlah kekuatan diri untuk terus berusaha meneruskan perjalanan hidup.

Dengan memikirkan MATLAMAT yang harus dicapai, akan terbitlah pembakar semangat untuk terus berusaha walaupun dalam keadaan sentiasa mengingati kedua orang tua dan ada kala diiringi keresahan dan aliran air mata.

Dalam hal adik pula, cinta pada kekasih, barangkali adik juga perlu memikirkan MATLAMAT HIDUP yang adik ingin gapai.

Adakah dengan merenung-renung kenangan indah bersama si dia itu menjadi MATLAMAT HIDUP adik selamanya? Kalau memang itulah kehendak hati adik, abg pun tidak dapatlah membantu…

Tetapi andai sebaliknya, usah dikenang sejarah silam yang sudah berlalu. Jadikan ianya sebagai Pedoman Hidup agar ianya tidak berulang kembali.

Abg pasti, tugas kita ke dunia ini bukanlah sekadar mengecapi cinta pasangan kekasih, tetapi lebih jauh daripada itu ialah melakar cinta pada NYA, moga-moga kecintaan itu akan bersemadi di Syurga.

Berusahalah mengukir cinta kepada NYa agar kelak adalah sinar cahaya NYA menyimbah kehidupan kita. Apatah lagi andai pancaran cahaya NYA itu sentiasa mengiringi perjalanan sisa-sia hidup yang masih ada…

Hidup ini memang sementara, diumpamakan sehari di Syurga menyamai 1000 tahun di dunia. Pilihlah kehidupan yang adik inginkan. Kebahagian 100 tahun di dunia atau mungkin 100 tahun di Syurga?
Baca selanjutnya, Klik di sini...

Ahad, Oktober 25, 2009

Saya Yang Lemah

Sama-sama Suraya...

Kita hanya berpeluang untuk merancang dan berusaha tetapi DIA juga penentu kepada segala sesuatu itu. Sesungguhnya apa yang baik itu semuanya dari DIA dan yang kurang elok itu adalah dari kelemahan diri kita jua.

Yang baik dijadikan pedoman dan yang kurang elok mungkin boleh jadi peringatan agar perjalanan hidup ini tidak kecundang.


Cik Putri limau purut, Terima kasih di atas pujian itu. Ketahuilah juga bahawa segala puji-pujian itu hanya layak untuk-Nya. Siapalah saya? sekadar insan kerdil yang sedang mencari-cari cahaya-Nya untuk dijadikan Pedoman Hidup ini.

Antara sebab saya coretkan perkara itu adalah untuk berkongsi sesuatu dengan para pembaca yang akan, sedang dan telah berumah-tangga.

Ketahuilah juga bahawa sudah pasti niat di hati ini bukan sekadar berkekalan sehingga ke hujung nyawa, tetapi kalau boleh membawa sehingga ke syurga!.

Amin.
Baca selanjutnya, Klik di sini...

Coretan Buat Adikku Katijah ... Penghuni Syurga

Terperanjat saya melihat luahan perasaan itu. Sesiapa saja akan menghadapi masalah. Cuma yang berbeza tingkatan setiap masalah yang dihadapi.

Ada masalah yang mudah bagi seseorang dan ada pula yang terlalu berat ditanggung oleh seseorang yang lain. Itulah yang dapat saya perhatikan dari coretan katijah.

Sejujurnya, saya sedikit rasa gerun untuk mendengarnya kerana saya tahu, andai itu yang saya lakukan, pastilah sedikit sebanyak tempias masalah itu akan juga tertanggung oleh diri saya. Namun, atas semangat persaudaraan, saya akan berusaha mendengarnya dan barangkali untuk membantu andai dapat dilakukan oleh saya yang kerdil ini.

Siapalah saya untuk melakukannya andai tiada bimbingan-Nya. Siapalah saya andai DIA tidak memberikan pertolongan-Nya. Dan siapalah saya berbanding DIA yang memiliki segala-gala keajaiban dan kekuasaan di dalam dunia ini.

Kalau pun tidak saya, mungkinkah ada rakan-rakan lain yang dapat menghulurkan bantuan, sekurang-kurangnya barangkali meringankan bebanan katijah hadapi kini.

Moga adalah manafaatnya. Dari DIA kita datang, kepada-Nya jua kita akan kembali. Redhakan apa yang telah terjadi, pasti ketenangan akan muncul di ruangan hati dan perasaan diri.

Setiap masalah, ada penyelesaiannya, dan setiap penyelesaian pasti ada matlamatnya.

Setiap matlamat akan ada cabarannya, dan setiap cabaran pasti dapat di atasi andai diiringi usaha bersungguh-sungguh.

Kesungguhan di dalam berusaha belum tentu berjaya andai tidak diiringi DOA kepada-Nya. Ketahuilah bahawa DIA amat mengasihani dan menyayangi hamba-hamba yang sentiasa memohon kepada-Nya.

Mengiringi doa di dalam setiap usaha pastilah akan ada kejayaannya kerana DIA yang memiliki segala rahsia kehidupan di dunia ini. DIA juga Pemilik Kekuasaan dan Keajaiban dunia ini.

Kalau pun tidak kejayaan itu di kecapi semasa kehidupan di dalam dunia ini, mungkinkah kejayaan itu akan dikecapi selepas kehidupan ini.

Usah direnungi masalah yang menimpa diri, tetapi usahakanlah sedikit untuk mengatasi masalah itu. Ketahuilah bahawa masalah yang dihadapi kini berkemungkinan terselit ujian-Nya yang bertujuan untuk meningkatkan martabat adikku katijah di sisi-NYA.

Mungkinkah setelah lulus ujian-Nya itu kelak, katijah akan memperolehi sesuatu yang amat bermakna di dalam kehidupan ini?.

Seandainya begitu, ketahuilah bahawa itulah dia ilmu-ilmu Nya agar dapat dijadikan panduan di dalam mengharungi langkah-langkah di dalam kehidupan ini.

Ujian-Nya pastilah bertujuan untuk mendidik diri kita agar kelak mempunyai Keperibadian Mulia. kenapa begitu? kerana keperibadian mulia adalah antara ciri-ciri yang harus ada agar dapat menghuni di Syurga.
Baca selanjutnya, Klik di sini...

Jumaat, Oktober 23, 2009

Bolehkah Lelaki dan Wanita Bersalaman?

Sengaja saya "cut and paste" entri ini agar dapat dikongsi mengenainya pada hari Jumaat yang penuh barakah. Coretan ini telah dipaparkan di dalam blog adikku Na Shari beberapa minggu yang lalu. Banyak juga komentar yang dipaparkan di dalam blognya itu mengenai perkara tersebut. Sila baca di sini dan di sini nanti.

Permasalahan itu adalah berkisar mengenai Lelaki dan Wanita yang bukan muhrim bersalaman. Oleh itu, saya ingin kongsikan juga mengenainya di sini.



Buat adikku Na Shari... Sengaja abg tidak mahu melontarkan komentar yang panjang-panjang mengenainya kerana ianya sudah jelas lagi bersuluh. Kalau nak tahu, tolong baca artikel-artikel ini.

http://ebok10.blogspot.com/2009/06/hukum-bersalam-lelaki-dengan-wanita.html

http://albaruhiyy.wordpress.com/2008/10/12/lelaki-bersalaman-dengan-wanita/


Di sebalik itu pula, hukum-hakam sebegini, pasti ada fleksibiliti iaitu bergantung pada keadaan, situasi dan masanya yang tersendiri. Oleh sebab itu, ada juga luahan rasa yang bertindak melonggarkannya sedikit. Cuba baca pula artikel ini.

http://syededlee.tripod.com/keunggulanislam/id76.html


Kalau nak tanya pandangan abg, pastilah abg kena tanya Hati sendiri dahulu, iaitu melihat pada keadaan dan situasi, adakah hati ini sedang diselubungi oleh nafsu ketika itu atau barangkali kerana akal yang menganalisa yang menzahirkan iaitu perlu dilakukan kerana ingin menghormati atau menghargai sesuatu. Pastilah ianya memberikan gambaran seolah-olah diri ini tiada pendirian. Heheheeeee...

Memang begitulah diri ini bertindak, maklumlah, sememangnya diri ini terlalu lemah, sebab itu masih lagi mencari-cari cahaya NYA agar dapat dijadikan penyuluh untuk menerangi liku-liku kehidupan ini.

Ketahuilah bahawa sesungguhnya hanya hati yang suci bakal membisikan yang mana satu harus dilalui di dalam kehidupan ini. Kesucian hati sesungguhnya hanya DIA yang mengetahuiNYA kerana itu adalah antara rahsia-rahsiaNYA yang tersembunyi.

Sebab apa perlu begitu, kerana abg tahu bahawa DIA yang Maha Esa sememangnya mengetahui segala sesuatu apatah lagi yang tersembunyi di dalam Hati.

Moga-moga coretan yang tidaklah seberapa ini dapatlah melaksanakan permintaan adikku Na Shari yang dikasihi kerana DIA.

Bacalah pula artikel-artikel ini, abg lontarkannya untuk ditelaah dan dinilai sendiri oleh adikku Na Shari, moga-moga ianya berguna nanti.


http://www.izoblog.com/isu-semasa/ulama-al-azhar-bersalam-dengan-perempuan


http://al-islam.proboards.com/index.cgi?board=feqah&action=display&thread=135&page=1
Baca selanjutnya, Klik di sini...

Khamis, Oktober 22, 2009

Coretan Buat Akak Jaja..4

Ooo.. Moga jadi Cikgu Akak Jaja!.

Pasal blog saya, sebenarnya ada dua yang telah disiapkan iaitu satu dalam bahasa melayu (http://abgbent.blogspot.com) dan satu lagi dalam Bahasa Inggeris. Tak perlulah saya berikan alamat untuk blog berbahasa inggeris itu sebab ianya berkaitan dengan hasil-hasil kajian yang telah saya lakukan selain di dalam blog itu juga saya menggunakan nama sebenar.

Rasanya audien untuk blog itu juga adalah berbeza...

Maafkan saya kerana bercerita mengenai diri sendiri di dalam coretan-coretan sebelum ini. Sememangnya saya hanya ingin memberikan input berkaitan persoalan akak tempoh hari. Tidak timbul soal seolah-olah itulah yang harus dipilih.

No.. No.. No...

Di sebalik itu, sememangnya semua itu adalah kuasa Allah yang Maha Esa. Apa yang terpapar di dalam coretan-coretan itu adalah kelemahan diri saya. Siapalah saya yang sememangnya tidak sempurna dan terlalu lemah berbanding Anda yang sememangnya saya kasihi kerana DIA.

Dalam pada itu, usah lupa untuk sentiasa melawati blog ini dan jangan terkejut melihat tajuk-tajuk yang saya paparkan kerana sememangnya saya hanya ingin berkongsi mengenai sesuatu yang terselit di dalam hati ini.

Andai salah, tunjukilah saya yang sebenarnya kerana sememangnya saya sedang mencari-cari cahaya-NYA agar dapatlah digunakan sebagai penyuluh onak dan duri di sepanjang laluan ini.

Salam kasih dan sayang buat semua...
Baca selanjutnya, Klik di sini...