Memaparkan catatan dengan label Kejayaan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kejayaan. Papar semua catatan

Selasa, Januari 04, 2011

Akal Menuju Kejayaan

Sudah pasti setiap orang inginkan kejayaan. Kejayaan semasa menjalani kehidupan.

Ada yang menganggap tafsiran kejayaan kehidupan ialah perlu memiliki kekayaan berlipat kali ganda banyaknya.

Ada juga yang merasakan kejayaan kehidupan haruslah memiliki kekuasaan. Dan tidak kurang pula yang menganggap popular seantero dunia sebagai suatu kejayaan kehidupan.

Ada juga kelompok yang menganggap kejayaan kehidupan ialah bila mana berupaya mengecapi kebahagiaan. Dan ada juga yang menterjemahkan kejayaan kehidupan perlu memiliki kebebebasan sebebas bebasnya lalu berhak melakukan apa sahaja.

Tidak kurang pula yang menafsirkan kejayaan kehidupan bila mana berupaya melaksanakan segala tanggungjawab di dalam peraturan kehidupan dunia. Dan masih ada juga yang menganggap kejayaan kehidupan sebagai berkeupayaan menyumbang sesuatu kepada umat manusia.

Sebenarnya ada banyak lagi tafsiran kejayaan kehidupan. Terserahlah kepada Anda menggunakan terjemahan yang mana satu. Barangkali boleh juga menggunakan semua definisi-definisi yang ada bersesuaian dengan keperluan.

Kehidupan dunia lumrahnya begitu. Ada pelbagai pandangan dan tafsiran.

Ada yang menganggap betul dan akan ada juga yang berkata salah. Begitu juga yang dianggap perbuatan baik, belum tentu dipersetujui oleh seluruh umat manusia kerana perbuatan sebaliknya, iaitu kejahatan juga terus dikerjakan oleh umat manusia.

Seumpama perbuatan rasuah, ada yang menganggapnya salah tetapi masih ramai yang melakukannya. Mencuri juga salah, tetapi masih ada yang mengamalkannya. Berzina juga salah tetapi yang membuatnya bukanlah sedikit jumlahnya.

Begitulah kehidupan dunia. Maya... dan ada kala berpura-pura. Sekejap ada, sekejap lagi tiada.

Menafsir erti kejayaan kehidupan tidak akan ada penghujungnya.

Kebolehan akal memang begitu. Berupaya meneroka pelbagai ruang dimensi pandangan didalam menyingkap kebenaran, atau barangkali kepalsuan yang kelak ditemui.

Peranan akal adalah untuk menyelongkar. Memikir dan menafsir. Mengimaginasi supaya paparannya seolah-olah benar, dipersetujui dan diyakini. Akal jugalah yang berperanan menyanggah benar menjadi salah, bersetuju atau menolak, mengujudkan perasaan was-was supaya tiada keyakinan.

Begitulah peranan Akal sehinggalah sampai ke tahap mengemukakan Teori Infiniti di dalam ilmu pengajian matematik. Teori Infiniti memberikan terjemahan Nombor yang tidak terjangkau oleh Akal. Nombor yang tiada kesudahannya... Infiniti gelarannya.

Mungkinkah juga teori infiniti boleh digunakan untuk memberikan tafsiran Kejayaan Kehidupan?, iaitu bermaksud Kehidupan yang tiada kesudahan. Kehidupan kekal selama-lamanya.

Dengan kata mudah, Kejayaan Kehidupan adalah Kehidupan Kekal Abadi?


Al-Quran surah Al-Qiamah, 75: ayat 1 - 40



Baca selanjutnya, Klik di sini...

Selasa, Oktober 27, 2009

KEIMANAN ... Coretan buat adikku My

Tahniah adikku my...

Sesungguhnya Keimanan yang telah melekat di dalam diri, usah disia-siakan. Ketahuilah bahawa anugerah kehidupan yang paling berharga ialah Keimanan iaitu merasakan DIA sentiasa ada di sisi, sepanjang masa. DIA yang saya maksudkan adalah Tuhan Pencipta Alam.


Di dalam meneroka kehidupan ini, sekiranya adik merasakan sedang bertemankan DIA sepanjang masa, sememangnya adik amat bertuah kerana jarang orang merasakan perasaan sedemikian rupa. Sememangnya tidak ramai yang memahami rahsia yang terselit di sebalik perasaan sebegini. Sebab itu ramai yang kecewa bila gagal menimpa, begitu juga ada yang alpa bila sudah berjaya.


Keimanan letaknya jauh di lubuk hati sanubari sebab itu ianya tidak dapat dilihat deria mata, tetapi ianya boleh dirasa.

Seumpama kesakitan yang dirasakan sakit, tetapi kesakitannya tetap tidak dapat diperhatikan oleh mata. Itulah yang saya namakan sebagai Lubuk Jiwa.


Mereka yang merasakan keimanan, pasti akan berasa tenang walau gelora melanda seumpama tsunami sebesar-besarnya. Mengapa? kerana TEMAN yang saya maksudkan adalah Penguasa yang bukan calang-calang kuasa yang dimilikinya. DIA jualah yang mempunyai segala keajaiban dunia yang sukar difikirkan oleh akal manusia. Keajaiban dunia memang menjadi hak mutlak bagi-NYA sahaja.


Tetapi andai tidak merasai ketenangan yang saya sebutkan, ini memberikan petanda bahawa empunya diri masih belum berupaya mengenali NYA, menyakini NYA, dan memahami bahawa sememangnya DIA sedang berada di sampingnya. DIA sememangnya sedang memerhatikan segala gerak-geri sehingga jauh ke lubuk hati sanubari. Melangkaui empunya Jiwa itu sendiri.


Perasaan Keimanan kepada NYA merupakan nikmat di dalam kehidupan yang tidak ternilai harganya di dalam mencari Pedoman Kehidupan. Apatah lagi semasa menyusun langkah-langkah perjalanan yang berkemungkinan menemui kegagalan atau barangkali mengecapi kejayaan.

Ketahuilah bahawa kesemua yang sedang dilalui sekarang adalah semata-mata untuk menguji Keimanan yang dimiliki oleh empunya diri. Keimanan iaitu mempercayai akan kewujudan dan kekuasaan-NYA. DIA yang saya namakan sebagai Allah SWT



Andai kegagalan yang dirasai mengakibatkan empunya diri menghindari Allah SWT, rasanya amat malanglah perjalanan-perjalanan yang dilalui seterusnya, kerana petunjuk perjalanannya sudah tiada bersama-sama dengannya.

Tetapi sekiranya kegagalan itu menyebabkan empunya diri semakin hampir kepada NYA, nescaya pertolongan NYA akan tersimbah di dalam kehidupannya, kalau tidak sentiasa, barangkali sekali-sekala. Bertuahlah empunya jiwa yang sebegini kerana Matlamat Kehidupannya akan semakin hampir untuk dinikmati. Nikmat Kehidupan.

Begitu juga halnya andai kejayaan yang dikecapi, sekiranya dia menjadi alpa, leka dan lupa, pasti kejayaan itu menjadi sia-sia dan tiada lagi nilai harganya... kerana kejayaan sebegini hanya sementara sahaja sifatnya, tidak kekal selama-lamanya.

Sebaliknya pula, bila kejayaan yang dikecapi membuatkan empunya diri menjadi lebih mengenali NYA, memahami NYA, dan merasakan kehadiran NYA di sisi sepanjang masa, nescaya ganjaran kehidupan yang diterimanya sudah tiada lagi tandingannya. Melangkaui nikmat kehidupan yang dirasakan.


Sememangnya Keimanan terletak jauh di dalam lubuk hati iaitu sukar diperhati, tetapi boleh dirasai oleh empunya jiwa itu sendiri.
Baca selanjutnya, Klik di sini...

Khamis, Februari 19, 2009

Ingin mengecapi Kejayaan Hakiki? - Bhg 4, Perkhawinan

Mengecapi Perkhawinan


Kali ini saya teruskan coretan mengenai tajuk di atas. Sebelum ini saya telah menjelaskan mengenai Kejayaan Besar yang digambarkan melalui pelbagai Sijil Penghargaan dan Pengiktirafan daripada kelompok yang lebih besar atau berkuasa.

Bagaimanapun, ada juga Kejayaan Besar yang tidak digambarkan melalui Sijil-Sijil Penghargaan atau Pengiktirafan. Nak tahu apa? Itulah yang ingin saya kongsikan pada kali ini.

Saya tetap menganggap bahawa PERKHAWINAN adalah salah satu daripada Kejayaan Besar yang harus Anda gapai atau kecapi, kerana melaluinya, perjalanan hidup ini akan lebih bermakna!.

Ramai di kalangan kita yang kurang menitik-beratkan strategi-strategi atau usaha-usaha untuk mengapai Kejayaan ini kerana bagi sesetengah daripada mereka, ianya mudah dilakukan atau lebih daripada itu, ianya dianggap sebagai KURANG PENTING dan boleh dikemudiankan di dalam mengapai atau mengecapi Kejayaan-Kejayaan Besar yang lain.

Selain itu, ada juga yang berasa MALU untuk melakukan pelbagai strategi bagi menggapainya. Ketahuilah bahawa Isteri pertama Rasulullah SAW iaitu Khadijah juga telah menunjukkan contohnya, tetapi sudah pasti ianya dilakukan dengan penuh kesopanan dan kesantunan. Bukannya secara membabi-buta melakukannya.

Memanglah Kejayaan mengapai PEKHAWINAN ini tidak ada Sijil Pengiktirafannya (Kecuali Sijil Nikah yang sekarang ini dititik beratkan dan dikeluarkan oleh Majlis-Majlis Agama atau pihak-pihak berwajib yang lain).

Ketahuilah bahawa Kejayaan Ini andai digapai pasti merubah gelaran kepada Diri Anda Sendiri sepanjang melalui perjalanan hidup ini. Kalau sebelum ini Anda dikenali sebagai BUJANG, DARA atau TERUNA, tetapi selepas melalui perkhawinan, gelaran diri Anda berubah menjadi SUAMI atau ISTERI dan mungkin juga ANAK MENANTU. Ketahuilah juga bahawa Kejayaan ini akan disusuli dengan pelbagai gelaran-gelaran lain selepas itu.

Ya, Kejayaan ini tidak ramai mengiktirafnya tetapi perlu saya tekankan di sini bahawa melaluinya, Anda akan menjadi RAJA SEHARI. Selain itu, Anda juga akan menggembirakan ahli keluarga dan rakan-rakan terdekat lain dengan mengadakan pelbagai keraian. Apatah lagi sekiranya calon-calon pilihan Anda itu direstui oleh keluarga dan rakan-rakan terdekat masing-masing.

Kadang juga ianya amat perit untuk dilakukan, andai pilihan Anda tidak direstui keluarga terdekat atau sahabat-handai. Oleh itu, nasihat saya fikirkanlah yang terbaik untuk diri Anda kerana Anda jugalah yang akan meneruskan perjalanan hidup ini. Bukan mereka dan bukan yang lain-lain, tetapi Anda Sendiri. Namun suka juga saya menasihatkan bahawa apapun pilihan Anda, pastinya ada risiko dan Anda perlu bertanggungjawab dengan pilihan dan keputusan yang Anda lakukan. Ketahuilah bahawa keluarga terdekat hanya memberikan pandangan dan nasihat untuk Anda fikirkan, tetapi keputusan akhirnya terletak di bahu Anda sendiri.

Melalui Kejayaan mengecapi Perkhawinan, Kejayaan Hakiki yang ingin Kita gapai menjadi semakin hampir untuk dikecapi. Kenapa? Kerana melaluinya Kita akan dianugerahkan oleh-Nya satu penghargaan yang pada saya tiada tandingannya. Ketahuilah bahawa kurniaan itu adalah ANAK. Adakah anugerah yang lebih berharga selain daripada yang mengurniakannya adalah DIA - MAHA PENCIPTA?

Anak merupakan penerus kepada perjalanan kehidupan kita selepas mati. Doa daripada anak-anak Kita menjadi salah-satu daripada strategi untuk Kita mengecapi KEJAYAAN HAKIKI. Sebab itu saya menganggap bahawa didikan kepada anak-anak adalah suatu yang amat penting untuk dilakukan bagi mengapai Kejayaan Hakiki itu kelak.

Pastinya juga daripada kurniaan Anak itu, gelaran diri Anda berubah menjadi AYAH, BAPA, IBU, MAMA dan lain-lain ungakapan penyejuk hati Anda di dalam meneruskan perjalanan hidup ini.

Sesungguhnya, hanya yang pernah mengapai kejayaan ini akan merasai kebahagian disepanjang perjalanan hidup ini. Dan tidak juga saya nafikan ada yang merasai keperitan selepas mengapainya yang akhirnya kecundang dengan kejayaan ini. Kenapa itu berlaku? Apa yang dapat saya ungkapkan ialah MAHA PENCIPTA sedang menguji Anda agar Kejayaan Hakiki yang ingin digapai menjadi semakin hampir. Pastinya pelbagai ujian di dalam hidup ini adalah sebahagian daripada strategi untuk Kita mengapai KEJAYAAN HAKIKI!.

Ketahuilah juga bahawa masa akan terus berlalu dan tidak menunggu Anda untuk mengapai kejayaan ini andai Anda tidak berusaha untuk melakukannya. Sekiranya terlambat, pastinya RUGILAH perjalanan hidup Anda kerana tidak dapat merasai nikmatnya Kejayaan ini andai ianya berjaya dikecapi.

(Coretan Akhir mengenai tajuk ini akan saya lakaran di masa yang lain pula)
Baca selanjutnya, Klik di sini...