Sabtu, Oktober 31, 2009

Coretan Buat Umi... Selesaikan Masalah

Tak salah mencuba bukan? Kadang-kala tanpa disedari, ada sesuatu yang akan turut sama di dalam diri. Itulah dia kekotoran disebabkan gelapnya Hati semasa mentafsir sesuatu yang harus dipilih.

Apa yang dinyatakan hanyalah sekadar cadangan. Bukannya satu penyelesaian.

Kaunselor? ermmm… itupun salah satu daripada kaedahnya, tapi abg lebih suka bertemu Kaunselor yang memang betul-betul Kaunselor iaitu DIA. DIA yang saya maksudkan adalah Allah SWT.

DIA merupakan Kaunselor ketika abg menghadapi pelbagai masalah kerana di depannyalah abg akan menitiskan air mata penyesalan di atas segala tindakan yang menemui kegagalan.

Biasanya selepas itu hati abg akan tenang kerana telah berbicara dengan-Nya. Apatah lagi meluahkan rasa hati yang teramat pedih di dalam mengatasi segala kegagalan yang menimpa.

Mengapa? kerana abg tahu yang DIA MAHA MENDENGAR DAN MAHA MELIHAT. Sememangnya kegagalan itu adalah antara sebahagian daripada ujian-ujian-NYA yang harus jiwa ini rasai agar dapatlah dimengerti akan erti kehidupan ini.

Kalau kaunselor yang Umi sebutkan itu, sememangnya abg amat berasa khuatir berjumpa dengannya. Risau suatu hari nanti apa yang diluahkan akan dijadikan contoh atau mungkin diluahkan pula olehnya di khalayak ramai tanpa dia sedari. Maklumlahkan dia juga sama seperti Kita yang kadang-kala mempamerkan kelemahan. Itulah dia namanya Insan yang tidak akan terlepas daripada melakukan kesilapan.

Sememangnya Umi mempunyai pelbagai pilihan di dalam menyelesaikan segala kekusutan dan masalah yang bertimpa-timpa.

Usah bersedih dan tertekan kerananya. Cubalah usahakan pelbagai cara untuk mengatasinya. Berbual-bual begini pun adalah satu daripada kaedahnya. Moga suatu hari nanti ianya dapat membantu, InsyaAllah.

Fokuskan perhatian pada masalah yang dihadapi dan fikirkan bagaimanakah cara penyelesaian yang sesuai untuk dipraktikkan agar masalah yang dihadapi dapat diusai satu persatu. Kalau tidak, masalah itu akan bertambah banyak jadinya sehingga tidak tahu mana satu yang harus diatasi dahulu.

Paling penting, kenal pasti masalah, cari dan fikir kaedah terbaik untuk mengatasinya kerana dengan melakukan yang sedemikian, ianya lebih berfaedah daripada terus-terusan memikirkan perkara itu sebagai satu masalah yang menemui kebuntuan.

Setiap penyakit pasti ada penawarnya... cuma barangkali cara dan kaedah sahaja yang berbeza-beza. Cekalkan hati semasa mencari penawar masalah, kelak pasti akan berjumpa. Apatah lagi semasa di dalam pencarian itu dipohon kepada NYA pertolongan agar tertitis belas ehsan dari NYA di dalam memberikan petunjuk untuk memperolehi penawar yang diingini.

Sememangnya DIA jua yang berkuasa di atas segala-galanya. Sebab itu terkadang dengan hanya menyebut nama NYA sahaja ilham akan terjelma di dalam minda untuk mentafsir pelbagai kekusutan yang ada. Melalui ilham dari NYA akan terungkailah segala penyelesaian pada masalah yang bertimpa-timpa.

InsyaAllah.

0 Komen:

Catat Ulasan