Selasa, Januari 04, 2011

Akal Menuju Kejayaan

Sudah pasti setiap orang inginkan kejayaan. Kejayaan semasa menjalani kehidupan.

Ada yang menganggap tafsiran kejayaan kehidupan ialah perlu memiliki kekayaan berlipat kali ganda banyaknya.

Ada juga yang merasakan kejayaan kehidupan haruslah memiliki kekuasaan. Dan tidak kurang pula yang menganggap popular seantero dunia sebagai suatu kejayaan kehidupan.

Ada juga kelompok yang menganggap kejayaan kehidupan ialah bila mana berupaya mengecapi kebahagiaan. Dan ada juga yang menterjemahkan kejayaan kehidupan perlu memiliki kebebebasan sebebas bebasnya lalu berhak melakukan apa sahaja.

Tidak kurang pula yang menafsirkan kejayaan kehidupan bila mana berupaya melaksanakan segala tanggungjawab di dalam peraturan kehidupan dunia. Dan masih ada juga yang menganggap kejayaan kehidupan sebagai berkeupayaan menyumbang sesuatu kepada umat manusia.

Sebenarnya ada banyak lagi tafsiran kejayaan kehidupan. Terserahlah kepada Anda menggunakan terjemahan yang mana satu. Barangkali boleh juga menggunakan semua definisi-definisi yang ada bersesuaian dengan keperluan.

Kehidupan dunia lumrahnya begitu. Ada pelbagai pandangan dan tafsiran.

Ada yang menganggap betul dan akan ada juga yang berkata salah. Begitu juga yang dianggap perbuatan baik, belum tentu dipersetujui oleh seluruh umat manusia kerana perbuatan sebaliknya, iaitu kejahatan juga terus dikerjakan oleh umat manusia.

Seumpama perbuatan rasuah, ada yang menganggapnya salah tetapi masih ramai yang melakukannya. Mencuri juga salah, tetapi masih ada yang mengamalkannya. Berzina juga salah tetapi yang membuatnya bukanlah sedikit jumlahnya.

Begitulah kehidupan dunia. Maya... dan ada kala berpura-pura. Sekejap ada, sekejap lagi tiada.

Menafsir erti kejayaan kehidupan tidak akan ada penghujungnya.

Kebolehan akal memang begitu. Berupaya meneroka pelbagai ruang dimensi pandangan didalam menyingkap kebenaran, atau barangkali kepalsuan yang kelak ditemui.

Peranan akal adalah untuk menyelongkar. Memikir dan menafsir. Mengimaginasi supaya paparannya seolah-olah benar, dipersetujui dan diyakini. Akal jugalah yang berperanan menyanggah benar menjadi salah, bersetuju atau menolak, mengujudkan perasaan was-was supaya tiada keyakinan.

Begitulah peranan Akal sehinggalah sampai ke tahap mengemukakan Teori Infiniti di dalam ilmu pengajian matematik. Teori Infiniti memberikan terjemahan Nombor yang tidak terjangkau oleh Akal. Nombor yang tiada kesudahannya... Infiniti gelarannya.

Mungkinkah juga teori infiniti boleh digunakan untuk memberikan tafsiran Kejayaan Kehidupan?, iaitu bermaksud Kehidupan yang tiada kesudahan. Kehidupan kekal selama-lamanya.

Dengan kata mudah, Kejayaan Kehidupan adalah Kehidupan Kekal Abadi?


Al-Quran surah Al-Qiamah, 75: ayat 1 - 40


0 Komen:

Catat Ulasan