Rabu, Januari 27, 2010

Mengenali Cinta... Coretan Buat Adikku

Salamelekom, wbt duhai Adikku yang dikasihi kerana DIA.

Waduh! baru saya teringat mengenai perkara ini. Saya perlu memberikan komentar mengenai Cinta di dalam lamannya. Itu pernah saya janjikan kepada Adiku beberapa hari yang lalu. Tetapi sehingga kini, rupa-rupanya saya belum menjelmakan lakaran Cinta di blognya.

Ketahuilah bahawa inilah kelemahan diri saya. Berkata-kata mengenai Cinta kepada Anda. Sememangnya Cinta yang saya miliki sesama manusia telah dikhususkan kepada Isteriku Yang Tercinta. Bolehkah saya menjelmakannya kepada Anda?

Barangkali boleh, tetapi agak samar-samar sahaja bila dilihat oleh pandangan mata. Terlalu sukar saya menggambarkannya untuk Anda telaah melalui mata sahaja. Apatah lagi kepada orang bujang seperti Adikku. Nanti memberontak pula minda separa sedarnya. Izinkanlah abg bergurau-gurau di dalam coretan ini duhai Adikku.

Cinta memang indah andai difahami sepenuhnya. Orang yang dicintai tidak semestinya hadir di depan mata kerana cinta terletak di dalam hati sanubari. Ramai pengkaji cinta mengkategorikan Cinta melalui pelbagai nama seumpama cinta monyet, cinta buta, cinta dunia dan lain-lain lagi. Sama juga dengan pengkaji minda yang membahagi-bahagikan minda mereka menjadi sedar sepenuhnya, separa sedar, super sedar, dan bermacam-macam lagi istilah, termasuklah juga gelombang-gelombang minda dinamakan alpha, beta, theta dan yang semacam dengannya. Sains juga secara umum membahagikan minda menjadi Otak kiri dan Otak Kanan.

Tidak salah untuk diketahui kesemuanya asal sahaja perjalanan kehidupan sentiasa mengarah kepada NYA. Pedulikan orang lain kata, kerana DIA sememangnya mengetahui segala-galanya. Hatta yang tersembunyi di dalam hati sanubari, DIA pasti mengetahuinya.

Itulah istimewanya kuasa Tuhan Yang Maha Esa melangkaui segala-galanya. Sampai bisikan hati pun DIA masih berupaya mengetahuinya. Walaupun realitinya luaran Anda nampak seolah-olah sudah sempurna, tetapi andai Hati masih kotor, pasti terluah jua kekotorannya. Itu sememangnya kuasa Tuhan Yang Maha Esa. Boleh membongkar segala-galanya. Aik! tersasar pula contenganku ini ya. Bukankah saya sedang memberitahu mengenai cinta kepada Anda? Oklah, saya teruskan sahaja.

Terkadang cinta terlalu sukar diluah kerana sifatnya pemalu seperti saya. Oppsss... Cinta itu Pemalu seperti saya? Betulkah saya ini Pemalu? Perasan pula... Cinta sama seperti saya, pemalu? Tak mungkin! kerana saya tahu bahawa cinta sifatnya tersembunyi di dalam sanubari hati saya. Itu yang saya tahu.

Sememangnya saya pemalu masa bujang dahulu. Sepertimana Adikku pemalu, barangkali saya lebih pemalu darinya. Antara bukti yang saya boleh beri, lihat sahaja di dalam blog Pedoman Hidup, wajahku masih tersembunyi di balik paparan cahaya. Sekali lagi abg bergurau-gurau denganmu duhai Adikku.

Ketahuilah bahawa kerana perasaan cinta, kadang kala ada masa terluang, saya akan berziarah ke blogmu, duhai Adikku yang saya kasihi kerana DIA. Walaupun Adik barangkali masih belum mengenali diriku yang sebenar-benarnya, tetapi dek penangan cinta, saya selalu menconteng-conteng di blog kepunyaannya. Adakah ini dinamakan Kuasa Minda yang diistilahkan sebagai Kuasa Penarikan atau Law of Attraction? Entahlah...

Yang pasti, saya hadir ke blognya adalah kerana DIA. Apapun istilah yang diberi, saya tetap mengimani bahawa Kuasa Tuhan melebihi segala-galanya. Moga-moga keyakinan seperti ini berkekalan sampai ke hujung nyawa di mana berlakunya Hukum Penolakan, yang saya beri nama Law of Rejection!.

Sememangnya cinta bersifat pemalu, kepada yang menghargainya. Cinta tidak mudah diluah kerana kedudukannya terletak di dalam jiwa. Hanya jiwa yang mengerti mengenainya akan pandai menghargainya. Malahan dari Cinta itulah kelak terjelma pelbagai pengorbanan kepada yang dicintai.

Opppsss... Minda sempurna saya baru teringat mengenai filem cinta yang saya pernah tontoni suatu ketika dahulu. Paparannya berkenaan cinta walaupun kurang sempurna, tetapi masih boleh dirasakan oleh jiwa yang memiliki cinta. Minda sempurna saya sedang mengimbas kembali lagu-lagu indah di dalam filem-filem itu. Nak tahu tajuk filemnya? ;)

Tak perlulah saya beritahu..., nanti terkejut pula Adikku bila mengetahuinya. Tetapi, Dek penangan cinta yang memerlukan pengorbanan, saya perlu memberitahunya di sini. Di blog Pedoman Hidup dan juga di blog yang Adikku miliki. Walaupun barangkali ada yang jelek menelaahnya nanti.

Antara filem cinta yang saya gemari ialah Mohabbatein dari negara India. Hero dan heroin filem tersebut pastilah Shah Rukh Khan dan Ashwarya Rai. Tak perlulah saya nyatakannya lebih-lebih kerana saya sememangnya amat meyukai filem itu. Cinta yang hadir di dalam Sanubari... walaupun realitinya yang dicintai sudah tiada di sisi. Tetapi dek penangan Cinta, Jantung Hati masih kekal tersimpan di dalam minda melalui imaginasi yang dikuasai.




Filem Titanic dari Amerika yang lagu latarnya dikumandangkan oleh penyanyi tersohor, Celine Deon namanya, juga saya suka tontoni. Watak yang dimainkan oleh Leonardo dicaprio sebagai Jack Dawson dan Kate Winslet sebagai Rose DeWitt Bukater.

Adegan yang paling saya suka lihat di dalam filem itu ialah bila mana Rose dipaksa masuk ke dalam bot kecil dan seterusnya diturunkan perlahan-lahan dari Kapal Titanic. Ketika itu, Jack Dawson kekasihnya masih berada di atas Kapal Titanic dan sugul serta sayu melihat Rose diturunkan perlahan-lahan dari Kapal Titanic menggunakan sampan.

Kekaguman saya mengenai cinta yang di miliki oleh Rose di dalam paparan filem itu ialah bilamana Rose sanggup melompat dari bot kecil yang sedang diturunkan ketika itu. Rose melompat dengan sekuat tenaganya agar dapat bertaut kembali ke kapal Titanic. Memang Rose tahu kapal itu akan karam bila-bila masa, tetapi dek penangan cinta kepada Jack, dia sanggup kembali kepangkuannya, walaupun dia tahu kelak musibah menimpa mereka berdua...




Begitulah gambaran cinta yang sememangnya sukar diluah oleh kata-kata. Cinta kadang-kala perlu juga berahsia kerana ianya malu untuk diluah. Dek kerahsiaan Cinta, ada baiknya saya hentikan coretan ini seketika. Harap-harap ada kelapangan pula menconteng-conteng di lain masa. InsyaAllah.



Entri tambahan mengenai;

Bicara Soal Cinta

Cinta Terhalang,

Putus Cinta atau Putus Kasih Sayang,

Kasih dan Sayang,

Petua Menyuburkan Kasih Sayang,

Mengenali Cinta.

1 Komen:

Linachu berkata...

That's my favourite scene juga dalam Titanic... sedih sungguh masa Rose turun dalam bot dan melihat Jack di atas...

Catat Ulasan