Selasa, Januari 26, 2010

Pujian Untuk Isteriku

Ketika ini, saya sedang menjamah makanan untuk sarapan pagi yang telah dibekalkan oleh Isteriku Yang Tercinta pagi tadi. Seolah-olahnya sudah menjadi rutin harian kepada Isteriku Yang Tercinta membekalkan sarapan pagi agar dapat dijamah semasa berada di ofis seperti sekarang ini.

Maklumlah, anak sulungku bernama Lija yang sudah memulakan persekolahannya di Tabika Kemas selalu sahaja memaksa untuk cepat-cepat pergi ke sekolahnya kerana dia tidak mahu terlambat sampai ke sana.

Kerana mengasihi dan menyayanginya, saya menurutkan sahaja kemahuannya. Perbuatan ini sememangnya baik, datang awal ke sekolah. Lagi pun, sebenarnya saya teruja melihat dia suka ke sekolah Tabika Kemas seperti sekarang. Barangkali pembelajaran di sana sangat digemarinya. Sememangnya saya sedang memerhati dan sedang mengujikaji sehingga kini. :)

Izinkanlah saya melakarkan pujian kepada Isteriku Yang Tercinta di dalam coretan ini. Kalau Anda tidak mahu membacanya, tak apalah sebab coretan sebegini saya lakarkan sebagai kenang-kenangan bagi menghargai pengorbanan seorang Isteri.

Memang Isteriku Yang Tercinta sedia maklum bahawa saya amat mengasihi dan menyayanginya. Tetapi lakaran-lakaran begini saya coretkan untuk meluahkan lagi perasaan yang bersembunyi di dalam hati agar Isteriku Yang Tercinta dapat memerhati dan menelitinya menggunakan pandangan mata pula.

Hari ini, saya tambah kerja di pejabat dengan membuat lakaran warkah untuk Isteriku Yang Tercinta di dalam blog Pedoman Hidup kerana kasih dan sayangku kepadanya.

Biasanya bila sahaja saya menjamah makanan pagi yang dibekalkan oleh Isteriku Yang Tercinta di pejabat seperti sekarang, saya akan menghantar sms melalui telefon bimbit iaitu memberikan pujian untuknya, antaranya;

"I Love You... Terima kasih sayang kerana menyediakan makanan pagi yang sedap untukku" Kalau tidak pun, saya akan memberikan sms yang lain sedikit iaitu;

"Terima kasih sayanggggggg! makanan ini sedap. Terima kasih sekali lagi sayanggggg".

Begitulah antara sms yang saya hantarkan kepadanya, Isteriku Yang Tercinta.

Tetapi pada pagi ini, saya tidak berpeluang melakukannya kerana telefon bimbit yang saya punyai, telah diserahkan kepadanya disebabkan telefon bimbitnya telah rosak. Rosak yang tidak disengajakan. Tersenyum-senyum saya bila mengingatinya.

Bayangkanlah, petang kelmarin sampai sahaja di rumah, anakku yang bernama Lija seolah-olah tidak sabar memberitahu kepadaku bahawa adiknya telah memasukkan telefon bimbit ibunya ke dalam air. Hah!

Pastilah saya terkejut dan terus mendengar penerangan oleh anakku bernama Lija. Memang saya suka melihat si Lija bercerita kisah-kisah sebegini. :)

Ketika itu, saya melihat Isteriku Yang Tercinta hanya membuat jelingan manja kepadaku. Sempat juga saya membalas jelingan itu dan membalasnya dengan lirikan-lirikan mata yang dipejam-pejamkan. Konon-konon nak menguratnya. Cehhhh!

Isteriku memberi penjelasan bahawa sedang dia melakukan kerja-kerja di rumah, tanpa disedarinya, anakku lelaki yang baru berumur setahun telah memasukkan telefon bimbitnya ke dalam segelas air minuman. Nah! rosaklah telefon itu.

Disebabkan telefon bimbit Isteriku Yang Tercinta sudah tidak dapat dihidupkan, terpaksalah hari ini saya melakukan pengorbanan. Telefon bimbit yang saya punyai diserahkan kepadanya, dan hari ini saya hanya mengharap telefon pejabat sahaja yang berbunyi.

Alamak! sarapan pagi sudah hampir selesai, ada baiknya saya berhenti di sini untuk menyambung kerja-kerja di pejabat pula. Apapun, saya ingin menzahirkan pesanan sms seperti biasa, tetapi kali ini di dalam blog Pedoman Hidup yang melakarkan begini;

"Terima kasih duhai isteriku Yang Tercinta kerana sentiasa berada di sisiku semasa melalui perjalanan duniawi yang memperdaya. Pengorbananmu sememangnya tidak terbalas olehku dek berkali-kali ganda pengorbananmu berbanding pengorbananku. Engkau tahu bahawa aku tidak mampu memberikan segala kemewahan duniawi untukmu, tetapi ketahuilah bahawa titisan kasih sayang yang ada padaku akan ku khususkan untukmu. Kerana aku tahu, DIA menghendaki aku melakukan begitu. Sebab itulah juga aku berdoa kepada NYA semoga engkau menjadi Isteriku buat selama-lamanya."

2 Komen:

chem berkata...

salam , abg bentku yg Pengasih suka chem baca pujian2 utk isteri abg bent... mesti sarapan tu licin abg bent makan kan? tak apalah h/fon ada rezeki bole beli lagi ... klu tak payah lah nak ganti h/fon baru kan ,, ne sama kes dng chem .. hahahahah h/fon klu tak rosak bertahun pun chem guna.
bagus lija nak gi sekolah cepat... mudah2han jadi anak yg baik dunia dan akhirat amin...

All About AnaYna berkata...

Alhamdulilah...:)

Catat Ulasan