Khamis, Januari 28, 2010

Hatiku Menangis Kerana Isteriku Yang Tercinta...

Bertemu kembali di dalam coretan hari ini. Saya berusaha menggunakan masa rehat sekarang untuk melakar sesuatu di blog Pedoman Hidup agar Anda mengetahuinya. Perkongsian sebegini saya khususkan buat Anda, Anda yang sememangnya saya kasihi kerana DIA.

Ketahuilah bahawa contenganku di sini sedikit bersalut kedukaan kerana mengasihi Isteriku Yang Tercinta. Sebenarnya dua hari lepas saya sudah menghadiahkannya sebuah handphone baru berjenama CSL. Jenama yang kurang popular keluaran dari negaraku tercinta, Malaysia.

Berbanding jenama telefon yang lain-lain, saya rasa buatan CSL lebih canggih dan berharga murah. Itu sajalah yang saya termampu belikan untuknya sebenarnya. Maklumlah, telefon lamanya yang hampir mencecah usia hampir dua tahun telah dirosakkan oleh anak lelakiku yang baru berusia setahun cuma. Saya ada melakarkan ceritanya di sini, bertajuk Pujian Untuk Isteriku.

Handphone baru yang saya belikan untuk Isteriku Yang Tercinta itu adalah ditintakan blueberry, bukan blackberry OK!.

Manalah saya mampu membeli handphone berukir Blackberry yang mahal harganya. Rasanya Isteri Tercintaku juga mengerti di dalam hal-hal yang begini. Syukur Alhamdulillah kerana Isteriku Yang Tercintaku memang memahaminya.

Selain itu, keistimewaan handphone itu adalah berwarna biru dan menurut penjual di situ, ianya merupakan keluaran terbaru daripada syarikat CSL. Alhamdulillah... harganya pun sederhana berpatutan walaupun dikatakan sebagai "Limited Edition". Sebab itulah saya menyayangi negaraku tercinta Malaysia kerana berupaya mengeluarkan produk sedemikian rupa, untuk rakyat Malaysia.

Namun, kisah yang saya ingin bawakan di sini bukanlah cerita itu. Tetapi kesedihan jiwaku yang seolah-olah merasakan juga kesakitann yang melanda Isteriku Yang Tercinta. Dia telah ditimpa demam sejak dari kelmarin lagi.

Bayangkanlah baru sahaja saya berusaha menghiburkan hatinya dengan menghadiahkannya sebuah telefon baru, tiba-tiba pula dia dilanda sakit.

Sedih... memang saya di dalam kesedihan ketika ini. Semalam sesampai sahaja di rumah lebih kurang pukul 6.35 petang, selepas berehat seketika, terus sahaja membawanya ke sebuah klinik perubatan berhampiran. Tetapi doktor menasihatkan saya agar membawanya terus ke hospital sahaja.

Menurut doktor di klinik itu, panas Isteriku Yang Tercinta terlalu tinggi dan disebabkan dia sedang mengandungkan anakku yang ke-3, iaitu baru berusia lebih kurang 18 minggu, ada baiknya di bawa sahaja dia ke hospital dengan segera.

Ya, saya akur dan dengan segera terus memandu ke sana, ke hospital. Itupun selepas diiringkan sepucuk surat yang ditandatangani oleh doktor dari klinik itu. Sampai di hospital, kami ditunjukkan jalan menuju ke bahagian kecemasan untuk rawatan. Ketika menunggu itulah, hatiku sayu melihat Isteriku Yang Tercinta, apatah lagi anak-anakku yang ingin menghampiri ibu mereka.

Tetapi dek memerlukan rawatan, terpaksalah saya memujuk-mujuk kedua-dua anakku dengan membawa mereka berjalan-jalan di sekitar hospital. Lebih kurang tiga jam lamanya saya menunggu dan bermain-main dengan dua orang anak-anakku yang masing-masing baru berusia 4 dan 1 tahun. Yang empat tahun adalah perempuan dan yang satu tahun lelaki.

Oppsss... jam sudah menunjukkan 10.30 pagi, ada baiknya saya hentikan dahulu lakaran ini di sini kerana saya perlu menyambung tugasan sekarang. InsyaAllah, petang nanti ada ke lapangan, akan saya sambung coretan ini untuk dikongsi dengan Anda. Anda yang menjadi teman saya berbicara di kala dilanda emosi-emosi seperti ini. Moga Anda sudi melapangkan masa mendengar segala rintihan hatiku yang begini.

5 Komen:

IxoR@ berkata...

Saya harap wife Abg Bent berada dlm keadaan yang tidak serius...

Sy doakan....

p/s: thanks for the gift!

`AnaYNa` berkata...

InsyaALLAH...segalanya pasti pulih spt sediakala.Sabar ye..:)

cik ian@aH Lian~ berkata...

doakan yang baik sahaja
untuk abg sekeluarga.
mudah2an sentiasa dalam lindungan Allah.
jaga mereka baik2...
>___<

pengawas berkata...

sabar...... Allah bersama orang-orang yang sabar.... mungkin itulah tarbiyyah untuk mendapat anak ketiga....semoga menyembuh dan memudahkan urusan isteri abg bent...amen

cik ian@aH Lian~ berkata...

macam mana keadaan sis skang?

Catat Ulasan