Rabu, Disember 29, 2010

Rahsia Kejayaan, Akal

Kebolehan akal manusia memang mengatasi segala-galanya. Akal berperanan penting di dalam membuat segala keputusan yang dilakukan. Kewarasan akallah yang membezakan makhluk ciptaan Tuhan dengan makhluk yang bernama Insan.

Setiap insan yang menggunakan akal sebaik-baiknya pasti akan berjaya kerana keputusan yang dianalisa adalah output yang amat berharga. Apatah lagi hasil telaah akal dibimbing oleh NYA. Kelak kesudahannya amat menakjubkan hasilnya.

Namun, tidak semua hasil analisa adalah yang terbaik andai tidak diiringi dengan ilmu. Sesungguhnya, ilmu yang amat berharga dari segala-gala ilmu adalah ilmu yang menyelongkar tentang kekuasaan-NYA kerana di dalamnya tersembunyi segala-gala keajaiban dunia.

Dari keajaiban itulah akan difahami segala rahsia ciptaan-NYA, termasuklah juga rahsia mengenai kehidupan dunia.

Keajaiban itu juga membolehkan semua yang tidak boleh diterima akal berkemungkinan terjadi bila mana ilmu kekuasaan-NYA telah diketahui. Hakikat ini agak sukar seandainya masih belum mengenali-NYA.

Berusahalah mengenali-NYA dan seandainya masih terlalu sukar melakukannya, berusahalah agar hati nurani yang dimiliki sentiasa merasai bahawa DIA sebenarnya sedang memerhati. Moga-moga dengan perasaan begitu, akal yang menganalisa sesuatu menyerlahkan hasil bimbingan-NYA. DIA yang saya kenali Tuhan Yang Maha Esa.

Andai jiwa yang dimiliki juga berusaha merasakan bahawa DIA sebenarnya sedang berada di sisi sepanjang masa, kelak analisa akal menyerlahkan kejayaan.

Kalau bukan kecemerlangan di dunia, pasti kegemilangan di akhirat, InsyaAllah.


"Orang-orang bodoh (yang kurang akal pertimbangannya) akan berkata: Apa sebabnya yang menjadikan orang-orang Islam berpaling dari kiblat yang mereka mengadapnya selama ini? Katakanlah (wahai Muhammad): Timur dan barat adalah kepunyaan Allah (maka ke pihak mana sahaja kita diarahkan Allah mengadapnya, wajiblah kita mematuhiNya); Allah yang memberikan petunjuk hidayatNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya ke jalan yang lurus." (Al-Baqara, 2: 142)


"Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan (pada) pertukaran malam dan siang dan (pada) kapal-kapal yang belayar di laut dengan membawa benda-benda yang bermanfaat kepada manusia; demikian juga (pada) air hujan yang Allah turunkan dari langit lalu Allah hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta Dia biakkan padanya dari berbagai-bagai jenis binatang; demikian juga (pada) peredaran angin dan awan yang tunduk (kepada kuasa Allah) terapung-apung di antara langit dengan bumi; sesungguhnya (pada semuanya itu) ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan Allah kekuasaanNya, kebijaksanaanNya dan keluasan rahmatNya) bagi kaum yang (mahu) menggunakan akal fikiran." (Al-Baqara, 2: 164)


"Sesungguhnya sejahat-jahat makhluk yang melata, pada sisi (hukum dan ketetapan) Allah, ialah orang-orang yang pekak lagi bisu, yang tidak mahu memahami sesuatupun (dengan akal fikirannya)." (Al-Anfal, 8: 22)

1 Komen:

Abe Goreng berkata...

topik yg menarik. Like!

Catat Ulasan