Khamis, Disember 22, 2011

Alahai SBPA (Saraan Baru Perkhidmatan Awam) Malaysia

Salamelekom wbt...
Apa khabar Anda hari ini? Saya mendoakan semoga Anda sihat sejahtera, dikurniakan kebahagiaan, ketenangan dan kesejahteraan sepanjang hari ini, begitu juga dengan diri saya, Ameeen.

Sebenarnya, saya teruja berkongsi cerita dengan Anda hari ini  mengenai skim baru kepada penjawat awam Malaysia yang telah diubah daripada SSM (Sistem Saraan Malaysia) menjadi SBPA (Saraan Baru Perkhidmatan Awam), berkuatkuasa pada 1 Januari 2012 nanti.

Ramai penjawat awam yang rata-ratanya saya temui melahirkan rasa kurang senang berkenaan SBPA yang baru diperkenalkan. Biasalah, perkara baru pasti akan memunculkan pelbagai persoalan yang harus ditentukan jawapannya. Tugas itu kenalah JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) yang melaksanakannya.


Segala persoalan yang timbul, harus dijawab oleh pihak berwajib kerana merekalah yang menggubal segala perubahan yang terdapat di dalam SBPA. Dan pada pandangan saya, tindakan yang mereka lakukan haruslah mengambil kira terma-terma Adil dan Saksama bersandarkan ukuran yang jitu iaitu mempunyai kriteria yang boleh diterima oleh semua pihak sebagai ukuran yang jelas dan tepat.

Seandinya pihak JPA mengambil kira terma Adil dan Saksama, pastilah segala rungutan para penjawat awam berkenaan SBPA dapat diredakan.

Di dalam SBPA ini, rata-rata penjawat awam meluahkan rasa kurang senang terutama berkaitan Gaji. Kalau Anda bertanya kepada saya, respon yang dapat saya berikan mengenainya sama juga, Kurang Senang. Tapi tak mengapa kerana saya yakin rezeki itu adalah pemberian daripada Allah SWT, Tuhan yang Maha Kaya lagi Berkuasa yang memberikan segala kehidupan ini kepada saya.

Kepada NYA jua saya memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran di atas limpahan rahmat dan hidayah NYA ini. Moga-moga hati nurani saya akan kekal bersama-sama dengan NYA sepanjang masa, InsyaAllah.

Tetapi sebagai seorang manusia berakal, ada baiknya juga saya melontarkan pandangan kepada mereka yang menggubal SBPA, manalah tahu penglihatan mereka akan berubah pula pada dimensi yang sebelum ini mereka kurang sangat menelaahnya. Moga-moga nanti adalah perubahan yang akan mereka lakukan terhadap kepincangan SBPA supaya kelak SBPA yang terhasil betul-betul disenangi oleh semua penjawat awam. Sepertimana harapan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak yang memberikan slogan "Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan". 

Walaupun di dalam SBPA berlaku kenaikan gaji kepada para penjawat awam, tetapi kenaikan itu dilihat seolah-olah tidak mengambil kira terma Adil dan Saksama. Bayangkanlah kenaikan gaji yang diwar-warkan sebelum ini sebanyak RM80 hingga RM320 tetapi ada pula penjawat awam yang menerima kenaikan sehingga 45% daripada gaji asal. Wah! Hebat! 

Di dalam hal-hal begitu, timbullah persoalan Adil dan Saksama, di antara ialah Apakah kayu ukuran yang telah digunakan sehingga sidia mendapat 45% dan sidia pula hanya sekadar beberapa peratus sahaja? Seperti yang saya nyatakan, Kayu ukuran perlulah jelas dan tepat serta disenangi oleh semua pihak. Di dalam hal berkaitan, ada baiknya Anda telaah catatan ini, Isu Projek Fidlot NFC dan CUEPACS yang mana secara sindiran diluahkan kepada pihak berwajib. 

Bayangkan juga perubahan tangga gaji penjawat awam yang telah berkhidmat selama satu hingga tiga tahun, tiba-tiba disama-ratakan. Ini juga antara luahan kurang senang yang disebarkan melalui cerita-cerita waktu rehat bersama penjawat awam. Tak perlulah saya memperincikannya di sini kerana informasi ini dikatakan sebagai "Rahsia". Sudah pasti penjawat awam yang telah berkhidmat selama setahun merasa gembira, sebaliknya pula penjawat awam yang telah berkhidmat selama tiga tahun berasa kurang senang. Selain itu, ada juga tangga gaji yang dikekalkan, iaitu tidak berubah, sama seperti sebelumnya. 

Oleh sebab itulah, isu-isu begini perlu dijelaskan agar semua pihak dilihat telah diberikan keadilan dan kesaksamaan yang serupa.

Biarlah kriteria yang digunakan oleh pihak berwajib mengambil kira faktor-faktor seumpama Kekananan - Time-base (lamanya berkhidmat di dalam perkhidmatan awam), Pencapaian - Performance (Khidmat Cemerlang) dan paling utama, Kelulusan - Qualitfication iaitu peringkat Sijil, PMR, SPM, STPM, Ijazah dan Ijazah lanjutan. Kriteria ini dapat dan mudah difahami oleh semua pihak khususnya yang merasakan seolah-olah perubahan di dalam SBPA adalah kurang adil.

Moga-moga penggunaan kriteria seperti Kekananan, Pencapaian, Kelulusan dan selainnya, kelak akan memberikan gambaran bahawa Kerajaan Pemerintah sememangnya memberikan Keadilan kepada semua penjawat awam seumpama slogan yang sering digunakan iaitu 1Malaysia yang mengutamakan Pencapaian .



Baca selanjutnya, Klik di sini...

Jumaat, November 25, 2011

Malaysia - Akta Universiti dan Kolej

Hari ini, saya telah membaca sebuah artikel daripada akhbar Utusan Malaysia yang memaparkan tajuk berita "Seksyen 15 AUKU akan dipinda".

Antara kandungannya ialah "Kerajaan akan meminda Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1974 bagi membenarkan mahasiswa yang berumur 21 tahun ke atas menjadi ahli parti politik tetapi dalam masa yang sama, mereka adalah dilarang membawa politik kepartian ke dalam kampus".

Tersenyum-senyum saya membacanya. (*___*) 
Bukan apa, saya juga telah melalui pengalaman itu semasa di universiti dahulu. 

Daripada kandungan berita itu, apa yang dapat saya simpulkan ialah "mahasiswa boleh menjadi ahli parti, tetapi dalam masa yang sama, mahasiswa juga ditegah membawa politik kepartian di dalam kehidupan kampus".

Persoalan ringkas yang saya ajukan di dalam hal ini ialah untuk apa mahasiswa menjadi ahli parti politik kalau dalam masa yang sama, tidak berperanan apa-apa? Seumpama menjadi ahli di dalam satu persatuan, tetapi peranannya sekadar melihat dan mendengar sahaja.

Barangkali dalam bahasa kesat saya menterjemahkannya sebagai "Tunggul Kayu". Sekadar penambah bilangan ahli barangkali. Itukah yang dikehendaki daripada para mahasiswa ini? Entahlah...

Barangkali juga persoalan yang sedang bermain-main di dalam minda saya sekarang ini, adalah sama dengan persoalan yang ada di dalam minda Anda pada ketika ini. Itupun seandainya Anda juga terdorong seperti saya yang ingin bertanyakan mengenainya.

Herrmmmm... 
Baca selanjutnya, Klik di sini...

Rabu, November 02, 2011

Warkah Buat Anda... Kekasih Hati

Salamelekom, wbt.
Apa khabar Anda hari ini?

Saya berdoa semoga Anda sentiasa berada di bawah lembayung rahmat Tuhan Maha ESA, dan begitu jualah hendaknya kehidupan saya sekeluarga. Ameen

Hari ini, saya ingin berkongsi dengan Anda mengenai pencapaian blog Pedoman Hidup sehingga kini. Ketahuilah bahawa blog ini saya hasilkan adalah kerana ingin berkongsi cerita dengan Anda semata-mata. Moga-moga jua, Tuhan Maha ESA meredhainya dan seterusnya meredhai pula perkenalan saya dengan Anda selama ini, InsyaAllah.

Jumlah statistik yang dipaparkan di dalam blog ini memaparkan pelawat hariannya sudah melebihi 120 orang. Manakala statistik daripada pihak Nuffnang Sdn Bhd pula menunjukkan 250 paparan blog Pedoman Hidup yang dibuka dalam sehari.

Terima kasih saya ucapkan kepada Anda kerana masih terus setia dan terus sudi berziarah ke sini. Andalah jua pemberi ilham untuk saya meneruskan lakaran di dalam Blog Pedoman Hidup ini.





Tidak dilupa, kepada pihak Nuffnang Sdn Bhd., saya juga memanjangkan ucapan terima kasih saya kepada mereka kerana sudah lima kali pihak mereka menghantar Cek yang kesemuanya berjumlah melebihi Empat Ratus Ringgit Malaysia, RM400.00. Walaupun barangkali jumlahnya bukanlah ribuan ringgit, tetapi saya tetap menghargainya.






Kepada Anda yang menghantarkan email, tetapi tidak sempat saya membalasnya, InsyaAllah, ada kelapangan masa, segala persoalan-persoalan yang dikemukakan akan saya berikan jawapannya. Seboleh-bolehnya, jawapan yang saya berikan adalah hasil luahan hati sanubari saya sendiri. Moga-moga jua ianya kelak melekat di dalam hati sanubari Anda pula, InsyaAllah.


Tetapi, seandainya Anda masih lagi belum menerima jawapan daripada saya, ketahuilah bahawa saya akan tetap berusaha membalasnya, InsyaAllah. 

Pada ketika ini, saya hanya mampu memohon maaf kepada Anda kerana membuatkan Anda ternanti-nanti balasan daripada saya. Maaflah... Memang itulah selayaknya luahan kata yang dapat saya berikan untuk tatapan Anda. Permohonan Maaf...

Ketahuilah jua bahawa saya bukanlah menyengajakannya, tetapi disebabkan saya ingin memberikan jawapan yang terhasil daripada dalaman diri saya sendiri, maka ada kalanya memang terlalu sukar untuk saya memperolehi jawapan itu. Apatah lagi mengilhamkannya di dalam email peribadi Anda sendiri. Maka, sebab itulah pada ketika ini, saya hanya mampu meluahkan permohonan maaf kepada Anda kerana membuatkan Anda terus ternanti-nanti jawapan daripada saya. 

Saya akan terus berdoa semoga ilham yang terpapar untuk tatapan Anda di dalam Blog Pedoman Hidup bukan atas dorongan nafsu, tetapi moga-moga Tuhan Maha ESA memberkatinya, InsyaAllah.

Kepada Anda, yang ingin mengenali diri saya, permohonan maaf jua saya paparkan di sini untuk tatapan Anda. Realitinya, saya bukanlah insan istimewa. Saya juga sama seperti Anda. Seorang Insan yang masih lagi berusaha mencari-cari cahaya Ilahi untuk dijadikan Pedoman Kehidupan ini. 

Terima kasih jua kepada Anda yang ikhlas memberikan nombor telefon peribadi dan meminta dihubungi. Seandainya saya tidak menghubungi Anda dan seterusnya tidak pula memberikan nombor telefon peribadi saya, luahan Kemaafan jua saya paparkan di sini untuk tatapan Anda. Blog ini, antara matlamatnya memanglah untuk berkenal-kenalan dengan Anda. Betul!

Saya ingin berkenalan dengan Anda. Tetapi seandainya pelawaan Anda untuk berjumpa atau berbicara melalui telefon, saya tidak terima, itu bukanlah pula bermaksud saya tidak mahu berkenal-kenalan dengan Anda. Memang Tidak!

Realitinya, saya memang amat mengasihi Anda.

Apatah lagi Anda sememangnya terlalu setia menemani kehidupan saya di alam maya ini. Sesungguhnya saya amat menghargainya. Tetapi seandainya disebabkan saya tidak mahu memberikan identiti sebenar membuatkan Anda marah, meluat, atau pelbagai lagi sifat "Hantu",  maka, permohonan maaf jua saya paparkan di sini. Sememangnya itulah kekurangan diri saya. Moga-moga Anda menerimanya, InsyaAllah.


Baca selanjutnya, Klik di sini...

Selasa, Oktober 25, 2011

Bersemangat @ Bermotivasi

Salamelekom, wbt buat Anda yang sememangnya saya kasihi kerana DIA, Lebih-lebih lagi, Adikku yang ku gelar Tampan Bergaya, moga-moga Anda semua sihat sejahtera, sentiasa di dalam naungan rahmat Allah SWT.

Walaupun masih banyak kerja yang saya perlu bereskan hari ini, tetapi disebabkan saya telah terbaca "Motivasi dan Semangat" hasil ukiran indah daripada Adikku Tampan Bergaya, maka pada pagi ini, saya ingin meluangkan sedikit masa untuk bersama-sama dengan Anda. Moga-moga jua, Adikku Tampan Bergaya akan memancarkan semula semangatnya jua motivasi yang dimilikinya, untuk disebarkan keseluruh alam maya, InsyaAllah.

Kerdipan mata buat Adikku Tampan Bergaya  (*___^)

Ideanya yang saya telaah pagi ini, cukup memberikan kesan. Sebab itulah saya menggelarkannya "Adikku Tampan Bergaya". Memang dia memiliki ketampanan seorang Jejaka Pilihan Wanita. Sungguh! 

Anda ingin berkenalan dengannya? Fuhhh! Saya kena bertanya dengannya dahulu. Takut-takut pula nanti adikku LNQ akan merajuk nanti. (*___*)

Tak apalah, ada baiknya saya panjangkan sahaja kreativiti Adikku Tampan Bergaya di blog Pedoman Hidup ini untuk sama-sama kita kongsi. Buat kali ketiga, saya paparkan semula ideanya, tapi kali ini, ukirannya bertema Bersemangat @ Bermotivasi.



Ramai orang kata, orang bermotivasi adalah orang yang bersemangat.
Tapi sebenarnya orang yang bersemangat, tak semestinya dia adalah orang bermotivasi. Orang bersemangat, semangatnya panas sekejap saja, lepas tu dia kena ‘reload’ balik semangatnya supaya jadi terus bersemangat, berapi menyala-nyala. Tapi orang yang bermotivasi sentiasa merasa terdorong untuk maju ke hadapan walaupun sederhana semangatnya. Cool saja. Tapi usahanya konsisten sepanjang masa.
Orang yang bermotivasi biasanya tak terlalu ghairah dan tidak juga pasif saja. Air mukanya tenang, tapi jauh di dalam hati dia memiliki tekad yang amat kuat. Tekad yang cemana tu? Tekad mahu perbaiki diri, tekad mahu buat lebih baik lagi dari yang lalu.
Orang bermotivasi lebih banyak mendengar suara hati sendiri dan lebih banyak meluangkan masa mengeratkan hubungan dengan Tuhan. Dia ni biasanya pemilih, kerana dia memilih dengan siapa dia berkawan, dengan siapa dia berbual-bual dan dengan siapa dia bergaul.
Adakah Anda orang bermotivasi? Ya. Apabila Anda ada matlamat, Anda ada dorongan untuk maju dan apabila Anda bangun pagi, perkara pertama yang masuk di kepala Anda adalah bagaimana untuk mencapai keinginan Anda.
Adakah Anda orang bersemangat? Ya, apabila Anda ada kemahuan membara mahu mencapai sesuatu, apabila Anda seronok melakukan sesuatu juga apabila Anda cukup minat berkata tentang sesuatu. Inilah yang dikatakan semangat. Dari sudut lain, dipanggil sebagai passion atau excitement. Passion ini risikonya sekejap ada, sekejap tidak ada.
Adakah Anda orang yang bersemangat dan bermotivasi? Ya, apabila Anda sedar apa yang Anda mahu capai dalam hidup, peranan Anda, kelebihan Anda dan kekurangan Anda. Apabila dilanda masalah atau Anda menerima sindiran, Anda menggunakan reverse thinking iaitu melihat sesuatu yang buruk sebagai sesuatu yang baik. Anda sentiasa melihat yang baik-baik, walau seburuk cemanapun situasi yang Anda lalui.
Anda adalah orang bermotivasi, Andalah juga orang yang bersemangat. Katakan pada diri Anda ayat berikut…
“Aku bermotivasi, aku bersemangat!”. Apa yang Anda katakan pada diri Anda sendiri, itulah yang akan jadi.

p/s: Buat Adikku Tampan Bergaya, mohon diizinkan ya... (*___^)

Baca selanjutnya, Klik di sini...

Selasa, Oktober 18, 2011

Hikmah Cinta Luahan Adikku Tampan Bergaya

Salamelekom, wbt dan Salam 1Malaysia, Apa khabar Anda hari ini? Sudah terlalu lama saya tidak mengisikan sebarang entri di dalam blog Pedoman Hidup ini. Terlalu lama sebenarnya...

Hari ini, tergerak pula hati saya berbicara sesuatu dengan Anda. Sesuatu yang telah diluahkan oleh Adikku yang ku gelar Tampan Bergaya. Adikku Tampan Bergaya, tidak lagi seaktif dulu. Kalau dulu, dia sering berbicara soal motivasi diri, soal berita semasa dan soal teknologi terkini. Tetapi kini, blognya sepi, sesepi blog Pedoman Hidup ini, barangkali...

Barangkali juga dia masih aktif seperti dulu, cumanya saya tidak lagi dapat menjejakinya. Sekadar sekilas senyuman yang dapat saya lontarkan untuknya dari blog Pedoman Hidup ini (*____*). Moga-moga dia kelak mengerti, InsyaAllah.

Saya mendoakan semoga Adikku Tampan Bergaya akan cepat bertemu jodoh supaya kelak adalah Teman Seperjalanan di dalam kehidupan. Saya juga mendoakan semoga Adikku Tampan Bergaya akan terus mengecapi kejayaan, Ameen...

Oleh sebab lakarannya baru-baru ini memaparkan tentang Hikmah Cinta, tiba-tiba pula sanubari saya terdorong memanjangkan luahannya di dalam blog Pedoman Hidup ini. Saya cedok idea yang dia ada, untuk sama-sama dikongsi dengan Anda. Anda yang sememangnya saya kasihi kerana DIA. Lebih-lebih lagi adikku yang ku gelar Tampan Bergaya, sememangnya saya amat mengasihinya, pastilah kerana DIA, Kerana Tuhan yang Maha Esa.

Semoga kelak adikku gembira bila mana menatap luahannya sendiri yang saya paparkan di sini berkenaan Hikmah Cinta. Sebenarnya saya belum memohon keizinannya. Moga-moga kelak dia mengizinkannya untuk sama-sama saya kongsikan dengan Anda di sini.

Hikmah Cinta yang diukirnya menyembunyikan kebijaksanaan yang dia ada sebenarnya. Sebab itulah saya terdorong untuk berkongsi dengan Anda, Anda yang setia menjadi teman saya...

Hikmah Cinta yang dihasilkan oleh Adikku Tampan Bergaya memaparkan kilauan ukirannya begini;

"Sebagai manusia, Anda tetap akan memerlukan insan lain di dalam hidup. Insan lain itu adalah ibu dan bapa Anda, adik beradik Anda, sahabat Anda, pasangan hidup Anda atau best friend Anda.

Setiap daripada kita ada kekurangan dan kehebatan masing-masing. Kehebatan kita gunanya untuk mengisi kekurangan orang lain. Kekurangan kita pula gunanya untuk diisi oleh kehebatan orang lain. Dalam hidup, Anda tidak boleh menidakkan fakta yang Anda tetap memerlukan orang lain.

Cinta ada pelbagai jenis, wujud dalam pelbagai ruang dan untuk pelbagai kategori orang.

Ada cinta untuk ibu dan bapa, cinta untuk adik beradik, cinta untuk kekasih hati, cinta untuk pasangan hidup, cinta untuk Allah Yang Maha Esa, cinta untuk Rasul, cinta kepada hobi, cinta pada ketenangan dan kedamaian.

Cinta fungsinya menyemarakkan dan memberi semangat.

Sifat cinta bergantung pada orang yang menafsirkannya. Jika cinta dipandang sebagai sesuatu yang menyeksakan, itulah jadinya.

Jika cinta dipandang sebagai penyuntik inspirasi, maka itulah yang akan jadi. Cinta ada hikmah tersendiri, iaitu sebagai booster motivasi buat Anda. Untuk sentiasa bersemangat,suburkan hati Anda dengan perasaan cinta.

Cemana nak buat?

Caranya hadirkan cinta. Rasai betapa manisnya cinta, nikmati betapa manisnya merindu insan-insan yang Anda cinta. Mengingati insan-insan yang Anda cinta akan membuat Anda jadi bersemangat dan berinspirasi, kesannya membuat Anda merasa bersyukur dengan apa yang Anda ada sekarang ini."


Baca selanjutnya, Klik di sini...

Rabu, Julai 27, 2011

Melawan Rasa Malas

Coretan kali ini saya cedok daripada tulisan adikku yang dahulunya rajin membuat entri di blog peribadinya. Hampir setiap hari saya melawati blognya itu.

Tetapi hari ini, barangkali dia sudah dihinggapi perasaan malas. Saya mengatakan begitu kerana entri di dalam blognya agak lama diperbaharui, malahan blognya pun sudah berubah alamatnya.

Anggap sahajalah coretan saya kali ini yang disalin dan diubah sedikit bentuknya sebagai suatu perangsang kepadanya. InsyaAllah, moga-moga dia akan mendapat kekuatan semula dan mengerti melalui coretan ini...

Menurut adikku, sikap malas adalah normal pada setiap insan. Tetapi, malas akan menjadi sikap yang kurang normal apabila Anda lebih banyak melayan rasa malas.

Memanglah, setiap orang ada tahap kemalasannya tersendiri.

Tak kiralah tahap malas Anda itu tinggi ke, rendah ke, sederhana ke, yang penting Anda kena fahami badan Anda sendiri. Apabila Anda merasa malas, mengantuk dan kurang bertenaga, sebenarnya tubuh badan Anda sedang memberitahu sesuatu. Biasanya, rasa malas berpunca daripada perjalanan darah yang kurang lancar.

Oleh sebab itu, Anda akan merasa mengantuk, kurang bertenaga dan seakan-akan berasa hendak tidur sahaja.

Menurut Adikku, teknik terbaik untuk mengatasi masalah ini ialah dengan membuat regangan otot-otot badan terutamanya di bahagian leher, bahu dan pergelangan lutut. Selain itu, Anda juga perlu bergerak aktif, berjalan dengan pantas dan menarik nafas dalam-dalam dengan lebih kerap.

Pergerakan fizikal sebegitu akan membuatkan aliran darah dalam badan Anda bergerak lancar. Kemudian, Anda akan merasa lega, pernafasan teratur, penglihatan tajam, fikiran terfokus dan Anda juga akan merasa bersemangat.

Jika Anda kerap menggunakan komputer/laptop, Anda akan cepat diserang kemalasan disebabkan jari-jemari Anda sahaja yang bergerak. Oleh itu, berilah masa rehat kepada tubuh badan Anda, sekurang-kurangnya 10 minit.

Jauhi melihat skrin komputer seketika. Dan pergilah ke tingkap, lihat keluar melalui tingkap kemudian tarik nafas dalam-dalam. Lakukan sebanyak 3 kali. Kesannya Anda akan merasa sedikit lega, tenang dan InsyaAllah, timbul rasa kesyukuran yang amat sangat kepada NYA.

Apa yang disebutkan oleh Adikku di atas menurutnya merupakan latihan asas yang paling baik untuk membangkitkan motivasi di dalam diri. Dia juga mengingatkan bahawa bila mana Anda melawan sikap malas, Anda akan semakin kalah.

Lalu, untuk mengatasinya, saya pula mencadangkan supaya Anda membuat penafsiran di dalam minda. Tanya diri sendiri terutama hati sanubari yang dimiliki. Apakah yang ingin dicapai hari ini, esok dan seterusnya...

Saya juga ingin mencadangkan kepada Anda untuk menelaah lakaran terdahulu di dalam tajuk “Melampiaskan Syahwat, Mengecapi Inzal”.

Bak kata adikku di dalam ayat terakhirnya iaitu, lama-kelamaan rasa malas dan sikap malas akan hilang dengan sendirinya...



Baca selanjutnya, Klik di sini...

Isnin, Julai 25, 2011

Bhg. 4, Tips Agar Disayangi Suami

Selepas terlalu lama menyepikan diri..., Setelah tidak mengisikan sebarang entri di dalam blog ini, Lalu... hari ini, saya berusaha menguatkan diri untuk menyambung semula coretan tips-tips agar disayangi suami.

Sememangnya saya sudah mencuba berkali-kali untuk menyambung coretan sebelum ini, tetapi entah mengapa, sering juga hasil coretan itu saya “delete” dan memasukkannya ke dalam “Recycle Bin” (*___*)

Lalu, lakaran ini sahaja yang berupaya dihasilkan untuk tatapan Anda hari ini. Lakaran ini saya hasilkan sebentar tadi, dan seandainya masih tidak memenuhi kriteria yang dikehendaki, saya memohon kemaafan kepada Anda, khususnya kepada Adikku Yang Ingin Disayangi Suaminya...

Sebenarnya saya tidaklah sesibuk mana, tetapi entah mengapa, idea yang saya kehendaki ada kala amat sukar terluah melalui tulisan rumi begini.

Walaupun niat di hati ingin menyambung coretan-coretan sebelum ini dengan segera, tetapi niat itu sering kali tergendala, malahan karya yang saya hasilkan pada akhirnya dimasukkan ke dalam “Recycle Bin” sahaja. (*____*)

Tips Utama yang saya kemukakan sebelum ini kepada Adikku yang Ingin Disayangi Suami ialah “Nakhoda Bahtera Perkahwinan”.

Setelah bernikah, Bahtera Perkahwinan akan memulakan pelayarannya. Riang gembira atau duka lara adalah antara rencah rasa yang dikecapi semasa melayari bahtera itu nanti. Oleh itu, langkah pertama seharusnya dilakukan sebelum memulakan pelayaran, ialah menetapkan Nakhoda Bahtera Perkahwinan.

Sebagai nasihat kepada Adikku Yang Ingin Disayangi Suami, Adik perlulah menanamkan di dalam jiwa sanubari bahawa Suami lah yang berperanan sebagai Nakhoda Bahtera Perkahwinan itu.

Namun, saya juga harus menjelaskan kepada Anda, khususnya Anda yang tidak bersetuju, bahawa tidak semestinya Suamilah yang berperanan sebagai Nakhoda Bahtera Perkahwinan. Ianya bukanlah suatu kemestian dijadikan pilihan. Bukan!, memang bukan!

Adikku yang Ingin Disayangi Suami perlu tahu bahawa anjuran yang saya kemukakan itu hanyalah suatu pilihan. Saya perlu memberikan fleksibiliti di dalam hal-hal kesama-rataan di antara lelaki dan wanita.

Maklum sahajalah, dunia zaman sekarang, semuanya inginkan kesamarataan. Keadilan bagi kedua-dua pihak, di antara lelaki dan wanita. Entah-entah pada zaman akan datang lahirlah pula permintaan Meritokrasi. Keadilan bersifat Meritokrasi. Betulkah?

Sebab itulah saya perlu menjelaskannya terlebih dahulu di sini agar para wanita seumpama Wira, tidaklah pula terasa, lebih-lebih lagi berkecil hati nanti, bila mana menatap coretan saya yang sebegini;
“Nakhoda Bahtera Perkahwinan selayaknya untuk lelaki sahaja”.

Saya khuatir, wanita seumpama wira akan memunculkan pula pelbagai kisah suri teladan di mana wanita sebenarnya berupaya menjadi Nakhoda.

Bukan sahaja Nakhoda Bahtera Perkahwinan, malahan barangkali Nakhoda Kapal Angkasa, nun jauh sejauh-jauhnya... (*___*).

Akan saya sambung pula, InsyaAllah.
Saya nak makan tengahari dahulu…




Baca selanjutnya, Klik di sini...

Selasa, Jun 21, 2011

Bhg. 3, Tips Agar diSayangi Suami

Alhamdulillah, hari ini, buat kali kelima, hasil pungutan blog Pedoman Hidup sudah melebihi RM150.00 dan baru sahaja saya menuntutnya daripada pihak Nuffnang Sdn Bhd, pengiklan di dalam blog Peodman Hidup ini.

Tidak dilupa, terima kasih jua saya ucapkan kepada Anda yang masih terus sudi mengklik paparan iklan-iklan di blog ini. Terima kasih buat Anda, saudaraku yang saya kasihi kerana DIA kerana terus sudi berziarah ke sini.

Untuk lakaran bahagian tiga ini, saya akan kongsikan dengan Anda, khususnya buat Adikku Yang Ingin Disayangi Suami mengenai Tips Utama, lakaran bertajuk Agar diSayangi Suami. Sebenarnya saya sengaja merahsiakannya dahulu daripada Anda sebelum ini. (*___*)

Lakaran terdahulu, di dalam bahagian dua coretan ini, saya telah membentangkan secara ringkas dua kisah pedoman hidup untuk renungan. Lalu di bahagian tiga ini pula, saya akan memaparkan kepada Anda mengenai imaginasi yang masih lagi terperap di ruangan minda saya, iaitu Tips Utama agar disayangi suami dari perspektif saya sendiri.

Bagaimanapun, imaginasi ini saya hanya mampu memaparkannya kepada Anda melalui paparan lakaran rumi sebegini. Semoga ia berupaya dimengerti, lalu difahami, seterusnya diterima, InsyaAllah.

Saya sebenarnya mengimaginasi pasangan lelaki-wanita yang baru sahaja berrumahtangga seolah-olah perjalanan kehidupan mereka sudah sampai di tepian pantai. Mereka bersiap sedia menaiki sebuah bahtera untuk meneruskan penerokaan kehidupan alam duniawi seterusnya.

Bahtera yang saya imaginasikan di minda ketika ini dinamakan sebagai Bahtera Perkahwinan.

Begitulah Imaginasi yang saya ada di dalam Minda dan ingin menyatakannya kepada Anda, khususnya adikku yang ingin disayangi suami.

Lelaki dan wanita yang telah berumahtangga saya mengumpamakannya sebagai pasangan yang akan meneruskan penerokaan alam duniawi dengan menggunakan layar Bahtera Perkahwinan supaya segala rahsia alam kehidupan berupaya diselongkar bersama-sama. Merasai pahit-manis, nikmat-sengsara kehidupan duniawi ini.

Penerokaan ini saya mengumpamakannya seperti mereda lautan kehidupan nan luas membiru, yang seolah-olah tiada penghujungnya, sejauh mata memandang...

Pelayaran ini memerlukan penelitian sedalam-dalamnya, lebih-lebih lagi di dalam menyelongkar rahsia nikmat kesenangan alam kehidupan ini. Namun, persoalan yang harus dijawab sendiri ialah kemana arah haluan Bahtera Perkahwinan ini ingin dilayarkan?

Astagfirullah...

Terlupa pula saya menerangkan kepada Adikku yang Ingin diSayangi Suami sebentar tadi. Inilah kelemahan yang saya ada. Kurang teliti ada kalanya. (*___*)

Saya juga perlu menjelaskan kepada Anda berkenaan imaginasi di ruangan minda yang saya ada mengenai kehidupan teruna-dara, lelaki atau wanita, yang masih lagi belum bertemu jodoh masing-masing. Masih mencari-cari pasangan sendiri.

Bagi mereka yang belum bertemu pasangan sendiri, saya mengibaratkan mereka seolah-olah masih berjalan-jalan, berlari-lari, atau barangkali terlompat-lompat di tanah daratan, hutan rimba belantara, atau boleh juga digambarkan sedang berjalan di tanah gersang bersendirian...

Mereka terpukau memerhatikan keindahan panorama alam kehijauan hutan rimba, melihat-lihat fatamorgana tanah gersang kering kontang, lalu terus-terusan berjalan-jalan menikmati pemandangan sedemikian, secara bersendirian.

Bila mana bertemu teruna-dara, lelaki-wanita di dalam perjalanan itu, masing-masing jual-jual mahal, menunjukkan keegoan sendiri, tidak mahu memancarkan rahsia hati yang sebenarnya ingin ditemani semasa menjalani kehidupan duniawi ini.

Masing-masing tidak mahu meluahkan keinginan untuk dijadikan teman seperjalanan, khususnya semasa menikmati penerokaan-penerokaan yang dialami untuk menggali segala rahsia alam kehidupan duniawi ini.

Mereka terus lalai dipukau perasaan sendiri. Menikmati kehidupan secara bersendirian.

Akibatnya, mereka terus bersendirian tanpa pasangan.

Bermain-main dengan perasaan sendiri di dalam menikmati keindahan hutan rimba belantara, tanah gersang kering kontang. Menikmatinya secara bersendirian. Sehingga bila? Saya pun tidak dapat menjawabnya... kerana mereka sahajalah yang mengetahuinya.

Mereka terus berjalan dan berjalan... tiada teman, berseorangan, bersendirian di dalam perjalanan kehidupan duniawi ini.

Imaginasi Minda inilah yang saya ingin kongsikan dengan Anda mengenai lelaki-wanita yang masih lagi belum mendirikan Bahtera Perkahwinan mereka. (^__^)

Bagi yang telah bertemu pasangan sendiri, sama ada teruna-dara, lelaki-wanita, teruna-wanita atau lelaki-dara, saya mengibaratkan perjalanan mereka sudah sampai ke persisiran pantai.

Lalu di pantai itulah mereka mendirikan Bahtera Perkahwinan untuk meneruskan penerokaan pahit-manis, nikmat-sengsara di dalam menyelongkar rahsia alam duniawi. Bukan lagi mengecapi nikmat tanah daratan, tetapi di lautan yang terbentang luas membiru. Sejauh mata memandang, seolah-olah pemandangan yang tiada tepiannya.

Cabaran berjalan di tanah daratan hutan rimba, tidaklah sama berbanding cabaran belayar di lautan luas membiru. Sungguh!

Cabarannya memang berbeza.

Panorama keindahannya jua berbeza bila dipandang mata. Bila mana berada di daratan, bunga yang mekar berseri, buah ranum, mudah dipetik dengan tangan sahaja.

Tetapi bila mana belayar di lautan nan luas membiru, mutiara di dalamnya perlu diselam sehingga ke dasaran. Ada kala, pukulan badai yang melanda Bahtera Perkahwinan boleh memabukkan. Perasaan suka duka, kasih sayang terjelma amat berlainan rasanya.

Sebab itu bila mana belayar di lautan luas membiru yang seolah-olah tidak bertepian, memerlukan penelitian sedalam-dalamnya, menuntut Teropong 3D adakalanya.

3D yang saya maksudkan ialah Tiga Dimensi, mata, telinga dan akal fikiran.

Seandainya Adikku masih belum lagi mengerti mengenai 3D yang saya luahkan, telaahlah coretan saya mengenai 3D di dalam tajuk Diriku Digoda Durjana. Barangkali ada juga gunanya untuk Pedoman Hidup ini nanti.

Berbalik pada perumpamaan tadi, Tips Utama yang saya ingin nyatakan kepada Adikku yang Ingin diSayangi Suami ialah istilah Nakhoda.

Nakhoda Bahtera Perkahwinan namanya.

Seharusnya adik memahami sedalam-dalamnya agar suami terus menyayangi, seumpama Kisah 1 dan Kisah 2 yang saya bawakan di dalam lakaran bahagian dua sebelum ini.

Andai Nakhoda Bahtera Perkahwinan sudah menjadi dua, tidak selamatlah haluan Bahtera Perkahwinan itu nanti semasa melayari lautan kehidupan nan luas membiru itu.

Ada kebarangkalian juga Bahtera Perkahwinan mudah karam, walaupun sekadar ombak kecil melanda. Apatah lagi ombak tsunami, sudah pasti Bahtera Perkahwinan itu nanti terpelanting ke daratan semula. Hancur musnah ia, pengemudinya, lelaki-wanita terpisah. Bersendirian semula di dalam meneroka kehidupan duniawi seterusnya. Seolah-olah berjalan semula di tanah daratan yang telah dimusnahkan ombak tsunami.


Akan saya ceritakan pula pengalaman peribadi mengenai Tips Utama ini, Nakhoda Bahtera Perkahwinan.

Tunggguuuuu...

Baca selanjutnya, Klik di sini...

Khamis, Jun 09, 2011

Tips Agar diSayangi Suami... bhg.2

Malam semakin larut, tiba-tiba pula tergerak hati saya untuk melakarkan sebuah coretan baru iaitu sambungan daripada tajuk lakaran saya sebelum ini, Tips Agar diSayangi Suami, buat tatapan Adikku bergelar Isteri Ingin diSayangi Suami. Tips-tips ini eksklusif dari perspektif saya sendiri, suara hati seorang suami, Abgbent gelaran diberi. (*___^)

Seandainya sambungan lakaran-lakaran di bawah tajuk ini terlalu lewat dikemukakan untuk tatapan Anda, saya memohon maaf banyak-banyak terutama sekali kepada Adikku bergelar Isteri Ingin diSayangi Suami. Bukannya saya sengaja melewat-lewatkannya, tetapi disebabkan tugasan peribadi yang lebih utama, maka sambungan tips-tips dari suara hati saya tidak dapat dijelmakan dengan segera. Maaflah...

Sebenarnya, minda saya telah mengilhamkan beberapa tips utama berkenaan tajuk tersebut. Tips-tips dari perspektif saya sendiri. Pengalaman hidup yang saya telah lalui, merupakan rencah-rencah hasil adunan rahsia mengapa saya mengasihi dan menyayangi Isteriku Yang Tercinta. Sungguh! Tips yang saya berikan di sini adalah luahan hati, eksklusif untuk Anda ketahui dan kongsi bersama-sama nanti, InsyaAllah.

Andai tips-tips yang saya kemukakan di sini terdapat cacat celanya, anggaplah ianya terluah hasil daripada kelemahan saya sendiri. Saya memohon semoga Allah SWT mengampunkannya. Dan sesungguhnya, saya juga mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Anda kerana terus sudi menelaah dan menziarahi blog peribadi saya ini, Pedoman Hidup nama diberi.

Sebelum saya menyatakan tips pertama dan yang paling utama kepada Adikku bergelar Isteri Ingin Disayangi Suami, jua kepada Anda, saudaraku yang dikasihi kerana DIA, barangkali ada juga baiknya saya kongsikan dahulu dua kisah kehidupan untuk bersama-sama ditafsirkan lalu dijelmakan di ruangan minda, supaya terbayanglah Tips Utama yang saya ingin beritahu kepada Anda.

Peristiwa teladan yang saya singkatkan di bawah merupakan sejarah negaraku tercinta, Malaysia. Ada kaitannya dengan peranan seorang Suami dan Isteri. Telaahlah lakaran peribadi saya di bawah seandainya Anda ingin mengetahuinya.


Kisah 1

Peristiwa berlaku pada hari Rabu, tahun 1998 bertarikh 2 September. Ketika itu, heboh seluruh Negara Malaysia. Masih segar diingatan saya ketika mengetahui peristiwa itu berlaku. Saya sedang berada di sebuah resort tepi pantai.

Semasa berehat-rehat sambil minum pagi di resort yang saya maksudkan, tiba-tiba pemilik resort yang merupakan seorang ahli perniagaan berbangsa Cina, telah melontarkan berita gempar sambil menunjukkan muka surat hadapan akhbar Berita Harian yang lebih kurang bermaksud “Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga merupakan Menteri Kewangan Malaysia ketika itu, telah dipecat”.

Peristiwa itu disusuli dengan gelombang suara rakyat khususnya laungan Reformasi. Bukan sahaja di dalam negara, malahan turut bergema di luar negara. Hatta sampai negara uncle sam Amerika, turut sama melaungkannya. Sampaikan Timbalan Presidennya bernama Al-Gore dengan gerombolannya datang menjejakkan kaki ke negaraku tercinta, Malaysia.

Realitinya, laungan Reformasi itu tidak bergema lama, ianya sedikit demi sedikit padam dek kekentalan dan kewibawaan pemimpin bernama Tun Dr. Mahathir Mohammad, yang merupakan Perdana Menteri Malaysia ketika itu dan merupakan individu yang bertanggungjawab memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalannya ketika itu.

Di sebalik itu juga, Tun Dr. Mahathir tidak pun mengendahkan atau menghiraukan pelbagai gelaran-gelaran cela yang dijenamakan kepadanya termasuklah Mahafir’aun, Mahazalim dan selainnya.

Semuanya itu ditepis oleh jiwa kepemimpinan yang dipunyai oleh Tun Dr. Mahathir Mohammad. Malahan masalah ekonomi ketika itu, yang dihadapi oleh Malaysia, yang juga dihebohkan sebagai antara punca pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim, berupaya diselesaikan dan akhirnya cengkaman IMF (International Monetary Fund) di bumi Malaysia dapat dielakkan.

Teori ekonomi Tun Dr. Mahathir akhirnya diterima dan berupaya serta terbukti berkesan menyelesaikan sebahagian masalah ekonomi yang dihadapi negara Malaysia ketika itu. Ianya juga telah menjadi lipatan sejarah berguna untuk dunia mempelajarinya.


Kisah 2

Jujur saya memberitahu kepada Anda bahawa saya juga menghormati dan mengagumi keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim, khususnya Datuk Seri Wan Azizah, isterinya. Sungguh!

Bayangkanlah ujian bertimpa-timpa yang dihadapi oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga kini, bukan calang-calang ujiannya. Bermula dengan tuduhan liwat dan dibuktikan di mahkamah, tetapi tuduhan itu akhirnya digugurkan pula pada tahun 2004, dan kini, dipalitkan pula semula tuduhan liwat terhadapnya. Dan yang terbaru, video seks, tersebar merata di alam maya.

Datuk Seri Wan Azizah membuktikan sifat setia seorang isteri terhadap suami tercinta. Sehingga kini, beliau masih di samping Datuk Seri Anwar Ibrahim, berdiri teguh menepis segala tohmahan negatif terhadap suaminya. Malahan dialah menjadi tulang belakang kekuatan Datuk Seri Anwar Ibrahim, barangkali.

Segala tohmahan-tohmahan yang bertebaran di alam maya tidak pun merenggangkan hubungan mereka berdua, iaitu diantara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Wan Azizah. Begitulah pemerhatian kasar yang saya boleh kongsikan dengan Anda.

Sememangnya saya mengambil peristiwa yang menimpa keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ikhtibar berguna. Sebab itu saya melakarkannya di sini khusus untuk tatapan Adikku yang ingin disayangi suami, jua buat tatapan Anda, saudaraku yang sememangnya saya kasihi kerana DIA.

Kedua-dua peristiwa yang saya nyatakan di atas merupakan intipati tips pertama yang saya ingin beritahu kepada Adikku bergelar Ingin diSayangi Suami. Moga-moga adikku kelak mengerti. Andai masih belum pasti, InsyaAllah di lakaran berikutnya nanti akan dapatlah digali maknanya.

Tungguuuuuu... dilakaran seterusnya...



Baca selanjutnya, Klik di sini...