Selasa, Oktober 25, 2011

Bersemangat @ Bermotivasi

Salamelekom, wbt buat Anda yang sememangnya saya kasihi kerana DIA, Lebih-lebih lagi, Adikku yang ku gelar Tampan Bergaya, moga-moga Anda semua sihat sejahtera, sentiasa di dalam naungan rahmat Allah SWT.

Walaupun masih banyak kerja yang saya perlu bereskan hari ini, tetapi disebabkan saya telah terbaca "Motivasi dan Semangat" hasil ukiran indah daripada Adikku Tampan Bergaya, maka pada pagi ini, saya ingin meluangkan sedikit masa untuk bersama-sama dengan Anda. Moga-moga jua, Adikku Tampan Bergaya akan memancarkan semula semangatnya jua motivasi yang dimilikinya, untuk disebarkan keseluruh alam maya, InsyaAllah.

Kerdipan mata buat Adikku Tampan Bergaya  (*___^)

Ideanya yang saya telaah pagi ini, cukup memberikan kesan. Sebab itulah saya menggelarkannya "Adikku Tampan Bergaya". Memang dia memiliki ketampanan seorang Jejaka Pilihan Wanita. Sungguh! 

Anda ingin berkenalan dengannya? Fuhhh! Saya kena bertanya dengannya dahulu. Takut-takut pula nanti adikku LNQ akan merajuk nanti. (*___*)

Tak apalah, ada baiknya saya panjangkan sahaja kreativiti Adikku Tampan Bergaya di blog Pedoman Hidup ini untuk sama-sama kita kongsi. Buat kali ketiga, saya paparkan semula ideanya, tapi kali ini, ukirannya bertema Bersemangat @ Bermotivasi.



Ramai orang kata, orang bermotivasi adalah orang yang bersemangat.
Tapi sebenarnya orang yang bersemangat, tak semestinya dia adalah orang bermotivasi. Orang bersemangat, semangatnya panas sekejap saja, lepas tu dia kena ‘reload’ balik semangatnya supaya jadi terus bersemangat, berapi menyala-nyala. Tapi orang yang bermotivasi sentiasa merasa terdorong untuk maju ke hadapan walaupun sederhana semangatnya. Cool saja. Tapi usahanya konsisten sepanjang masa.
Orang yang bermotivasi biasanya tak terlalu ghairah dan tidak juga pasif saja. Air mukanya tenang, tapi jauh di dalam hati dia memiliki tekad yang amat kuat. Tekad yang cemana tu? Tekad mahu perbaiki diri, tekad mahu buat lebih baik lagi dari yang lalu.
Orang bermotivasi lebih banyak mendengar suara hati sendiri dan lebih banyak meluangkan masa mengeratkan hubungan dengan Tuhan. Dia ni biasanya pemilih, kerana dia memilih dengan siapa dia berkawan, dengan siapa dia berbual-bual dan dengan siapa dia bergaul.
Adakah Anda orang bermotivasi? Ya. Apabila Anda ada matlamat, Anda ada dorongan untuk maju dan apabila Anda bangun pagi, perkara pertama yang masuk di kepala Anda adalah bagaimana untuk mencapai keinginan Anda.
Adakah Anda orang bersemangat? Ya, apabila Anda ada kemahuan membara mahu mencapai sesuatu, apabila Anda seronok melakukan sesuatu juga apabila Anda cukup minat berkata tentang sesuatu. Inilah yang dikatakan semangat. Dari sudut lain, dipanggil sebagai passion atau excitement. Passion ini risikonya sekejap ada, sekejap tidak ada.
Adakah Anda orang yang bersemangat dan bermotivasi? Ya, apabila Anda sedar apa yang Anda mahu capai dalam hidup, peranan Anda, kelebihan Anda dan kekurangan Anda. Apabila dilanda masalah atau Anda menerima sindiran, Anda menggunakan reverse thinking iaitu melihat sesuatu yang buruk sebagai sesuatu yang baik. Anda sentiasa melihat yang baik-baik, walau seburuk cemanapun situasi yang Anda lalui.
Anda adalah orang bermotivasi, Andalah juga orang yang bersemangat. Katakan pada diri Anda ayat berikut…
“Aku bermotivasi, aku bersemangat!”. Apa yang Anda katakan pada diri Anda sendiri, itulah yang akan jadi.

p/s: Buat Adikku Tampan Bergaya, mohon diizinkan ya... (*___^)

Baca selanjutnya, Klik di sini...

Selasa, Oktober 18, 2011

Hikmah Cinta Luahan Adikku Tampan Bergaya

Salamelekom, wbt dan Salam 1Malaysia, Apa khabar Anda hari ini? Sudah terlalu lama saya tidak mengisikan sebarang entri di dalam blog Pedoman Hidup ini. Terlalu lama sebenarnya...

Hari ini, tergerak pula hati saya berbicara sesuatu dengan Anda. Sesuatu yang telah diluahkan oleh Adikku yang ku gelar Tampan Bergaya. Adikku Tampan Bergaya, tidak lagi seaktif dulu. Kalau dulu, dia sering berbicara soal motivasi diri, soal berita semasa dan soal teknologi terkini. Tetapi kini, blognya sepi, sesepi blog Pedoman Hidup ini, barangkali...

Barangkali juga dia masih aktif seperti dulu, cumanya saya tidak lagi dapat menjejakinya. Sekadar sekilas senyuman yang dapat saya lontarkan untuknya dari blog Pedoman Hidup ini (*____*). Moga-moga dia kelak mengerti, InsyaAllah.

Saya mendoakan semoga Adikku Tampan Bergaya akan cepat bertemu jodoh supaya kelak adalah Teman Seperjalanan di dalam kehidupan. Saya juga mendoakan semoga Adikku Tampan Bergaya akan terus mengecapi kejayaan, Ameen...

Oleh sebab lakarannya baru-baru ini memaparkan tentang Hikmah Cinta, tiba-tiba pula sanubari saya terdorong memanjangkan luahannya di dalam blog Pedoman Hidup ini. Saya cedok idea yang dia ada, untuk sama-sama dikongsi dengan Anda. Anda yang sememangnya saya kasihi kerana DIA. Lebih-lebih lagi adikku yang ku gelar Tampan Bergaya, sememangnya saya amat mengasihinya, pastilah kerana DIA, Kerana Tuhan yang Maha Esa.

Semoga kelak adikku gembira bila mana menatap luahannya sendiri yang saya paparkan di sini berkenaan Hikmah Cinta. Sebenarnya saya belum memohon keizinannya. Moga-moga kelak dia mengizinkannya untuk sama-sama saya kongsikan dengan Anda di sini.

Hikmah Cinta yang diukirnya menyembunyikan kebijaksanaan yang dia ada sebenarnya. Sebab itulah saya terdorong untuk berkongsi dengan Anda, Anda yang setia menjadi teman saya...

Hikmah Cinta yang dihasilkan oleh Adikku Tampan Bergaya memaparkan kilauan ukirannya begini;

"Sebagai manusia, Anda tetap akan memerlukan insan lain di dalam hidup. Insan lain itu adalah ibu dan bapa Anda, adik beradik Anda, sahabat Anda, pasangan hidup Anda atau best friend Anda.

Setiap daripada kita ada kekurangan dan kehebatan masing-masing. Kehebatan kita gunanya untuk mengisi kekurangan orang lain. Kekurangan kita pula gunanya untuk diisi oleh kehebatan orang lain. Dalam hidup, Anda tidak boleh menidakkan fakta yang Anda tetap memerlukan orang lain.

Cinta ada pelbagai jenis, wujud dalam pelbagai ruang dan untuk pelbagai kategori orang.

Ada cinta untuk ibu dan bapa, cinta untuk adik beradik, cinta untuk kekasih hati, cinta untuk pasangan hidup, cinta untuk Allah Yang Maha Esa, cinta untuk Rasul, cinta kepada hobi, cinta pada ketenangan dan kedamaian.

Cinta fungsinya menyemarakkan dan memberi semangat.

Sifat cinta bergantung pada orang yang menafsirkannya. Jika cinta dipandang sebagai sesuatu yang menyeksakan, itulah jadinya.

Jika cinta dipandang sebagai penyuntik inspirasi, maka itulah yang akan jadi. Cinta ada hikmah tersendiri, iaitu sebagai booster motivasi buat Anda. Untuk sentiasa bersemangat,suburkan hati Anda dengan perasaan cinta.

Cemana nak buat?

Caranya hadirkan cinta. Rasai betapa manisnya cinta, nikmati betapa manisnya merindu insan-insan yang Anda cinta. Mengingati insan-insan yang Anda cinta akan membuat Anda jadi bersemangat dan berinspirasi, kesannya membuat Anda merasa bersyukur dengan apa yang Anda ada sekarang ini."


Baca selanjutnya, Klik di sini...

Rabu, Julai 27, 2011

Melawan Rasa Malas

Coretan kali ini saya cedok daripada tulisan adikku yang dahulunya rajin membuat entri di blog peribadinya. Hampir setiap hari saya melawati blognya itu.

Tetapi hari ini, barangkali dia sudah dihinggapi perasaan malas. Saya mengatakan begitu kerana entri di dalam blognya agak lama diperbaharui, malahan blognya pun sudah berubah alamatnya.

Anggap sahajalah coretan saya kali ini yang disalin dan diubah sedikit bentuknya sebagai suatu perangsang kepadanya. InsyaAllah, moga-moga dia akan mendapat kekuatan semula dan mengerti melalui coretan ini...

Menurut adikku, sikap malas adalah normal pada setiap insan. Tetapi, malas akan menjadi sikap yang kurang normal apabila Anda lebih banyak melayan rasa malas.

Memanglah, setiap orang ada tahap kemalasannya tersendiri.

Tak kiralah tahap malas Anda itu tinggi ke, rendah ke, sederhana ke, yang penting Anda kena fahami badan Anda sendiri. Apabila Anda merasa malas, mengantuk dan kurang bertenaga, sebenarnya tubuh badan Anda sedang memberitahu sesuatu. Biasanya, rasa malas berpunca daripada perjalanan darah yang kurang lancar.

Oleh sebab itu, Anda akan merasa mengantuk, kurang bertenaga dan seakan-akan berasa hendak tidur sahaja.

Menurut Adikku, teknik terbaik untuk mengatasi masalah ini ialah dengan membuat regangan otot-otot badan terutamanya di bahagian leher, bahu dan pergelangan lutut. Selain itu, Anda juga perlu bergerak aktif, berjalan dengan pantas dan menarik nafas dalam-dalam dengan lebih kerap.

Pergerakan fizikal sebegitu akan membuatkan aliran darah dalam badan Anda bergerak lancar. Kemudian, Anda akan merasa lega, pernafasan teratur, penglihatan tajam, fikiran terfokus dan Anda juga akan merasa bersemangat.

Jika Anda kerap menggunakan komputer/laptop, Anda akan cepat diserang kemalasan disebabkan jari-jemari Anda sahaja yang bergerak. Oleh itu, berilah masa rehat kepada tubuh badan Anda, sekurang-kurangnya 10 minit.

Jauhi melihat skrin komputer seketika. Dan pergilah ke tingkap, lihat keluar melalui tingkap kemudian tarik nafas dalam-dalam. Lakukan sebanyak 3 kali. Kesannya Anda akan merasa sedikit lega, tenang dan InsyaAllah, timbul rasa kesyukuran yang amat sangat kepada NYA.

Apa yang disebutkan oleh Adikku di atas menurutnya merupakan latihan asas yang paling baik untuk membangkitkan motivasi di dalam diri. Dia juga mengingatkan bahawa bila mana Anda melawan sikap malas, Anda akan semakin kalah.

Lalu, untuk mengatasinya, saya pula mencadangkan supaya Anda membuat penafsiran di dalam minda. Tanya diri sendiri terutama hati sanubari yang dimiliki. Apakah yang ingin dicapai hari ini, esok dan seterusnya...

Saya juga ingin mencadangkan kepada Anda untuk menelaah lakaran terdahulu di dalam tajuk “Melampiaskan Syahwat, Mengecapi Inzal”.

Bak kata adikku di dalam ayat terakhirnya iaitu, lama-kelamaan rasa malas dan sikap malas akan hilang dengan sendirinya...



Baca selanjutnya, Klik di sini...

Isnin, Julai 25, 2011

Bhg. 4, Tips Agar Disayangi Suami

Selepas terlalu lama menyepikan diri..., Setelah tidak mengisikan sebarang entri di dalam blog ini, Lalu... hari ini, saya berusaha menguatkan diri untuk menyambung semula coretan tips-tips agar disayangi suami.

Sememangnya saya sudah mencuba berkali-kali untuk menyambung coretan sebelum ini, tetapi entah mengapa, sering juga hasil coretan itu saya “delete” dan memasukkannya ke dalam “Recycle Bin” (*___*)

Lalu, lakaran ini sahaja yang berupaya dihasilkan untuk tatapan Anda hari ini. Lakaran ini saya hasilkan sebentar tadi, dan seandainya masih tidak memenuhi kriteria yang dikehendaki, saya memohon kemaafan kepada Anda, khususnya kepada Adikku Yang Ingin Disayangi Suaminya...

Sebenarnya saya tidaklah sesibuk mana, tetapi entah mengapa, idea yang saya kehendaki ada kala amat sukar terluah melalui tulisan rumi begini.

Walaupun niat di hati ingin menyambung coretan-coretan sebelum ini dengan segera, tetapi niat itu sering kali tergendala, malahan karya yang saya hasilkan pada akhirnya dimasukkan ke dalam “Recycle Bin” sahaja. (*____*)

Tips Utama yang saya kemukakan sebelum ini kepada Adikku yang Ingin Disayangi Suami ialah “Nakhoda Bahtera Perkahwinan”.

Setelah bernikah, Bahtera Perkahwinan akan memulakan pelayarannya. Riang gembira atau duka lara adalah antara rencah rasa yang dikecapi semasa melayari bahtera itu nanti. Oleh itu, langkah pertama seharusnya dilakukan sebelum memulakan pelayaran, ialah menetapkan Nakhoda Bahtera Perkahwinan.

Sebagai nasihat kepada Adikku Yang Ingin Disayangi Suami, Adik perlulah menanamkan di dalam jiwa sanubari bahawa Suami lah yang berperanan sebagai Nakhoda Bahtera Perkahwinan itu.

Namun, saya juga harus menjelaskan kepada Anda, khususnya Anda yang tidak bersetuju, bahawa tidak semestinya Suamilah yang berperanan sebagai Nakhoda Bahtera Perkahwinan. Ianya bukanlah suatu kemestian dijadikan pilihan. Bukan!, memang bukan!

Adikku yang Ingin Disayangi Suami perlu tahu bahawa anjuran yang saya kemukakan itu hanyalah suatu pilihan. Saya perlu memberikan fleksibiliti di dalam hal-hal kesama-rataan di antara lelaki dan wanita.

Maklum sahajalah, dunia zaman sekarang, semuanya inginkan kesamarataan. Keadilan bagi kedua-dua pihak, di antara lelaki dan wanita. Entah-entah pada zaman akan datang lahirlah pula permintaan Meritokrasi. Keadilan bersifat Meritokrasi. Betulkah?

Sebab itulah saya perlu menjelaskannya terlebih dahulu di sini agar para wanita seumpama Wira, tidaklah pula terasa, lebih-lebih lagi berkecil hati nanti, bila mana menatap coretan saya yang sebegini;
“Nakhoda Bahtera Perkahwinan selayaknya untuk lelaki sahaja”.

Saya khuatir, wanita seumpama wira akan memunculkan pula pelbagai kisah suri teladan di mana wanita sebenarnya berupaya menjadi Nakhoda.

Bukan sahaja Nakhoda Bahtera Perkahwinan, malahan barangkali Nakhoda Kapal Angkasa, nun jauh sejauh-jauhnya... (*___*).

Akan saya sambung pula, InsyaAllah.
Saya nak makan tengahari dahulu…




Baca selanjutnya, Klik di sini...

Selasa, Jun 21, 2011

Bhg. 3, Tips Agar diSayangi Suami

Alhamdulillah, hari ini, buat kali kelima, hasil pungutan blog Pedoman Hidup sudah melebihi RM150.00 dan baru sahaja saya menuntutnya daripada pihak Nuffnang Sdn Bhd, pengiklan di dalam blog Peodman Hidup ini.

Tidak dilupa, terima kasih jua saya ucapkan kepada Anda yang masih terus sudi mengklik paparan iklan-iklan di blog ini. Terima kasih buat Anda, saudaraku yang saya kasihi kerana DIA kerana terus sudi berziarah ke sini.

Untuk lakaran bahagian tiga ini, saya akan kongsikan dengan Anda, khususnya buat Adikku Yang Ingin Disayangi Suami mengenai Tips Utama, lakaran bertajuk Agar diSayangi Suami. Sebenarnya saya sengaja merahsiakannya dahulu daripada Anda sebelum ini. (*___*)

Lakaran terdahulu, di dalam bahagian dua coretan ini, saya telah membentangkan secara ringkas dua kisah pedoman hidup untuk renungan. Lalu di bahagian tiga ini pula, saya akan memaparkan kepada Anda mengenai imaginasi yang masih lagi terperap di ruangan minda saya, iaitu Tips Utama agar disayangi suami dari perspektif saya sendiri.

Bagaimanapun, imaginasi ini saya hanya mampu memaparkannya kepada Anda melalui paparan lakaran rumi sebegini. Semoga ia berupaya dimengerti, lalu difahami, seterusnya diterima, InsyaAllah.

Saya sebenarnya mengimaginasi pasangan lelaki-wanita yang baru sahaja berrumahtangga seolah-olah perjalanan kehidupan mereka sudah sampai di tepian pantai. Mereka bersiap sedia menaiki sebuah bahtera untuk meneruskan penerokaan kehidupan alam duniawi seterusnya.

Bahtera yang saya imaginasikan di minda ketika ini dinamakan sebagai Bahtera Perkahwinan.

Begitulah Imaginasi yang saya ada di dalam Minda dan ingin menyatakannya kepada Anda, khususnya adikku yang ingin disayangi suami.

Lelaki dan wanita yang telah berumahtangga saya mengumpamakannya sebagai pasangan yang akan meneruskan penerokaan alam duniawi dengan menggunakan layar Bahtera Perkahwinan supaya segala rahsia alam kehidupan berupaya diselongkar bersama-sama. Merasai pahit-manis, nikmat-sengsara kehidupan duniawi ini.

Penerokaan ini saya mengumpamakannya seperti mereda lautan kehidupan nan luas membiru, yang seolah-olah tiada penghujungnya, sejauh mata memandang...

Pelayaran ini memerlukan penelitian sedalam-dalamnya, lebih-lebih lagi di dalam menyelongkar rahsia nikmat kesenangan alam kehidupan ini. Namun, persoalan yang harus dijawab sendiri ialah kemana arah haluan Bahtera Perkahwinan ini ingin dilayarkan?

Astagfirullah...

Terlupa pula saya menerangkan kepada Adikku yang Ingin diSayangi Suami sebentar tadi. Inilah kelemahan yang saya ada. Kurang teliti ada kalanya. (*___*)

Saya juga perlu menjelaskan kepada Anda berkenaan imaginasi di ruangan minda yang saya ada mengenai kehidupan teruna-dara, lelaki atau wanita, yang masih lagi belum bertemu jodoh masing-masing. Masih mencari-cari pasangan sendiri.

Bagi mereka yang belum bertemu pasangan sendiri, saya mengibaratkan mereka seolah-olah masih berjalan-jalan, berlari-lari, atau barangkali terlompat-lompat di tanah daratan, hutan rimba belantara, atau boleh juga digambarkan sedang berjalan di tanah gersang bersendirian...

Mereka terpukau memerhatikan keindahan panorama alam kehijauan hutan rimba, melihat-lihat fatamorgana tanah gersang kering kontang, lalu terus-terusan berjalan-jalan menikmati pemandangan sedemikian, secara bersendirian.

Bila mana bertemu teruna-dara, lelaki-wanita di dalam perjalanan itu, masing-masing jual-jual mahal, menunjukkan keegoan sendiri, tidak mahu memancarkan rahsia hati yang sebenarnya ingin ditemani semasa menjalani kehidupan duniawi ini.

Masing-masing tidak mahu meluahkan keinginan untuk dijadikan teman seperjalanan, khususnya semasa menikmati penerokaan-penerokaan yang dialami untuk menggali segala rahsia alam kehidupan duniawi ini.

Mereka terus lalai dipukau perasaan sendiri. Menikmati kehidupan secara bersendirian.

Akibatnya, mereka terus bersendirian tanpa pasangan.

Bermain-main dengan perasaan sendiri di dalam menikmati keindahan hutan rimba belantara, tanah gersang kering kontang. Menikmatinya secara bersendirian. Sehingga bila? Saya pun tidak dapat menjawabnya... kerana mereka sahajalah yang mengetahuinya.

Mereka terus berjalan dan berjalan... tiada teman, berseorangan, bersendirian di dalam perjalanan kehidupan duniawi ini.

Imaginasi Minda inilah yang saya ingin kongsikan dengan Anda mengenai lelaki-wanita yang masih lagi belum mendirikan Bahtera Perkahwinan mereka. (^__^)

Bagi yang telah bertemu pasangan sendiri, sama ada teruna-dara, lelaki-wanita, teruna-wanita atau lelaki-dara, saya mengibaratkan perjalanan mereka sudah sampai ke persisiran pantai.

Lalu di pantai itulah mereka mendirikan Bahtera Perkahwinan untuk meneruskan penerokaan pahit-manis, nikmat-sengsara di dalam menyelongkar rahsia alam duniawi. Bukan lagi mengecapi nikmat tanah daratan, tetapi di lautan yang terbentang luas membiru. Sejauh mata memandang, seolah-olah pemandangan yang tiada tepiannya.

Cabaran berjalan di tanah daratan hutan rimba, tidaklah sama berbanding cabaran belayar di lautan luas membiru. Sungguh!

Cabarannya memang berbeza.

Panorama keindahannya jua berbeza bila dipandang mata. Bila mana berada di daratan, bunga yang mekar berseri, buah ranum, mudah dipetik dengan tangan sahaja.

Tetapi bila mana belayar di lautan nan luas membiru, mutiara di dalamnya perlu diselam sehingga ke dasaran. Ada kala, pukulan badai yang melanda Bahtera Perkahwinan boleh memabukkan. Perasaan suka duka, kasih sayang terjelma amat berlainan rasanya.

Sebab itu bila mana belayar di lautan luas membiru yang seolah-olah tidak bertepian, memerlukan penelitian sedalam-dalamnya, menuntut Teropong 3D adakalanya.

3D yang saya maksudkan ialah Tiga Dimensi, mata, telinga dan akal fikiran.

Seandainya Adikku masih belum lagi mengerti mengenai 3D yang saya luahkan, telaahlah coretan saya mengenai 3D di dalam tajuk Diriku Digoda Durjana. Barangkali ada juga gunanya untuk Pedoman Hidup ini nanti.

Berbalik pada perumpamaan tadi, Tips Utama yang saya ingin nyatakan kepada Adikku yang Ingin diSayangi Suami ialah istilah Nakhoda.

Nakhoda Bahtera Perkahwinan namanya.

Seharusnya adik memahami sedalam-dalamnya agar suami terus menyayangi, seumpama Kisah 1 dan Kisah 2 yang saya bawakan di dalam lakaran bahagian dua sebelum ini.

Andai Nakhoda Bahtera Perkahwinan sudah menjadi dua, tidak selamatlah haluan Bahtera Perkahwinan itu nanti semasa melayari lautan kehidupan nan luas membiru itu.

Ada kebarangkalian juga Bahtera Perkahwinan mudah karam, walaupun sekadar ombak kecil melanda. Apatah lagi ombak tsunami, sudah pasti Bahtera Perkahwinan itu nanti terpelanting ke daratan semula. Hancur musnah ia, pengemudinya, lelaki-wanita terpisah. Bersendirian semula di dalam meneroka kehidupan duniawi seterusnya. Seolah-olah berjalan semula di tanah daratan yang telah dimusnahkan ombak tsunami.


Akan saya ceritakan pula pengalaman peribadi mengenai Tips Utama ini, Nakhoda Bahtera Perkahwinan.

Tunggguuuuu...

Baca selanjutnya, Klik di sini...

Khamis, Jun 09, 2011

Tips Agar diSayangi Suami... bhg.2

Malam semakin larut, tiba-tiba pula tergerak hati saya untuk melakarkan sebuah coretan baru iaitu sambungan daripada tajuk lakaran saya sebelum ini, Tips Agar diSayangi Suami, buat tatapan Adikku bergelar Isteri Ingin diSayangi Suami. Tips-tips ini eksklusif dari perspektif saya sendiri, suara hati seorang suami, Abgbent gelaran diberi. (*___^)

Seandainya sambungan lakaran-lakaran di bawah tajuk ini terlalu lewat dikemukakan untuk tatapan Anda, saya memohon maaf banyak-banyak terutama sekali kepada Adikku bergelar Isteri Ingin diSayangi Suami. Bukannya saya sengaja melewat-lewatkannya, tetapi disebabkan tugasan peribadi yang lebih utama, maka sambungan tips-tips dari suara hati saya tidak dapat dijelmakan dengan segera. Maaflah...

Sebenarnya, minda saya telah mengilhamkan beberapa tips utama berkenaan tajuk tersebut. Tips-tips dari perspektif saya sendiri. Pengalaman hidup yang saya telah lalui, merupakan rencah-rencah hasil adunan rahsia mengapa saya mengasihi dan menyayangi Isteriku Yang Tercinta. Sungguh! Tips yang saya berikan di sini adalah luahan hati, eksklusif untuk Anda ketahui dan kongsi bersama-sama nanti, InsyaAllah.

Andai tips-tips yang saya kemukakan di sini terdapat cacat celanya, anggaplah ianya terluah hasil daripada kelemahan saya sendiri. Saya memohon semoga Allah SWT mengampunkannya. Dan sesungguhnya, saya juga mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Anda kerana terus sudi menelaah dan menziarahi blog peribadi saya ini, Pedoman Hidup nama diberi.

Sebelum saya menyatakan tips pertama dan yang paling utama kepada Adikku bergelar Isteri Ingin Disayangi Suami, jua kepada Anda, saudaraku yang dikasihi kerana DIA, barangkali ada juga baiknya saya kongsikan dahulu dua kisah kehidupan untuk bersama-sama ditafsirkan lalu dijelmakan di ruangan minda, supaya terbayanglah Tips Utama yang saya ingin beritahu kepada Anda.

Peristiwa teladan yang saya singkatkan di bawah merupakan sejarah negaraku tercinta, Malaysia. Ada kaitannya dengan peranan seorang Suami dan Isteri. Telaahlah lakaran peribadi saya di bawah seandainya Anda ingin mengetahuinya.


Kisah 1

Peristiwa berlaku pada hari Rabu, tahun 1998 bertarikh 2 September. Ketika itu, heboh seluruh Negara Malaysia. Masih segar diingatan saya ketika mengetahui peristiwa itu berlaku. Saya sedang berada di sebuah resort tepi pantai.

Semasa berehat-rehat sambil minum pagi di resort yang saya maksudkan, tiba-tiba pemilik resort yang merupakan seorang ahli perniagaan berbangsa Cina, telah melontarkan berita gempar sambil menunjukkan muka surat hadapan akhbar Berita Harian yang lebih kurang bermaksud “Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga merupakan Menteri Kewangan Malaysia ketika itu, telah dipecat”.

Peristiwa itu disusuli dengan gelombang suara rakyat khususnya laungan Reformasi. Bukan sahaja di dalam negara, malahan turut bergema di luar negara. Hatta sampai negara uncle sam Amerika, turut sama melaungkannya. Sampaikan Timbalan Presidennya bernama Al-Gore dengan gerombolannya datang menjejakkan kaki ke negaraku tercinta, Malaysia.

Realitinya, laungan Reformasi itu tidak bergema lama, ianya sedikit demi sedikit padam dek kekentalan dan kewibawaan pemimpin bernama Tun Dr. Mahathir Mohammad, yang merupakan Perdana Menteri Malaysia ketika itu dan merupakan individu yang bertanggungjawab memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalannya ketika itu.

Di sebalik itu juga, Tun Dr. Mahathir tidak pun mengendahkan atau menghiraukan pelbagai gelaran-gelaran cela yang dijenamakan kepadanya termasuklah Mahafir’aun, Mahazalim dan selainnya.

Semuanya itu ditepis oleh jiwa kepemimpinan yang dipunyai oleh Tun Dr. Mahathir Mohammad. Malahan masalah ekonomi ketika itu, yang dihadapi oleh Malaysia, yang juga dihebohkan sebagai antara punca pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim, berupaya diselesaikan dan akhirnya cengkaman IMF (International Monetary Fund) di bumi Malaysia dapat dielakkan.

Teori ekonomi Tun Dr. Mahathir akhirnya diterima dan berupaya serta terbukti berkesan menyelesaikan sebahagian masalah ekonomi yang dihadapi negara Malaysia ketika itu. Ianya juga telah menjadi lipatan sejarah berguna untuk dunia mempelajarinya.


Kisah 2

Jujur saya memberitahu kepada Anda bahawa saya juga menghormati dan mengagumi keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim, khususnya Datuk Seri Wan Azizah, isterinya. Sungguh!

Bayangkanlah ujian bertimpa-timpa yang dihadapi oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga kini, bukan calang-calang ujiannya. Bermula dengan tuduhan liwat dan dibuktikan di mahkamah, tetapi tuduhan itu akhirnya digugurkan pula pada tahun 2004, dan kini, dipalitkan pula semula tuduhan liwat terhadapnya. Dan yang terbaru, video seks, tersebar merata di alam maya.

Datuk Seri Wan Azizah membuktikan sifat setia seorang isteri terhadap suami tercinta. Sehingga kini, beliau masih di samping Datuk Seri Anwar Ibrahim, berdiri teguh menepis segala tohmahan negatif terhadap suaminya. Malahan dialah menjadi tulang belakang kekuatan Datuk Seri Anwar Ibrahim, barangkali.

Segala tohmahan-tohmahan yang bertebaran di alam maya tidak pun merenggangkan hubungan mereka berdua, iaitu diantara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Wan Azizah. Begitulah pemerhatian kasar yang saya boleh kongsikan dengan Anda.

Sememangnya saya mengambil peristiwa yang menimpa keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ikhtibar berguna. Sebab itu saya melakarkannya di sini khusus untuk tatapan Adikku yang ingin disayangi suami, jua buat tatapan Anda, saudaraku yang sememangnya saya kasihi kerana DIA.

Kedua-dua peristiwa yang saya nyatakan di atas merupakan intipati tips pertama yang saya ingin beritahu kepada Adikku bergelar Ingin diSayangi Suami. Moga-moga adikku kelak mengerti. Andai masih belum pasti, InsyaAllah di lakaran berikutnya nanti akan dapatlah digali maknanya.

Tungguuuuuu... dilakaran seterusnya...



Baca selanjutnya, Klik di sini...

Selasa, Jun 07, 2011

MENANG-KALAH MEMANG BERMAKNA

Sungguh!
memang sungguh-sungguh saya terharu bila mana menelaah komentar yang penuh makna hasil lontaran daripada negarawan yang saya hormati, Tun Dr. Mahathir Mohammad, mantan Perdana Menteri Malaysia.

Sengaja saya melakarkan coretan ini kerana ingin berkongsi perasaan dengan Anda, saudaraku yang sememangnya saya kasihi kerana DIA. Barangkali ada juga gunanya saya berkongsi perasaan yang sedang saya rasai ketika ini dengan Anda.

Seandainya Anda tidak bersetuju dengan perasaan yang sedang saya rasai ini, tidak mengapa kerana realitinya, saya sedang merenung jauh dan berfikir sesuatu mengenainya.

Seandainya Anda ingin bersama-sama merasai perasaan yang sedang saya rasakan kini, nah... klik saja pautan yang saya berikan di bawah untuk Anda menelaahnya sendiri.

(SIAPA MENANG SIAPA KALAH)



Baca selanjutnya, Klik di sini...

Khamis, Mei 26, 2011

Tips Agar diSayangi Suami... Bhg. 1

Selaras dengan pertanyaan daripada Adikku yang bergelar Isteri Ingin Disayangi Suami, catatan ini saya nukilkan khusus untuknya, semoga kelak dia gembira dan bersukacita, InsyaAllah.

Disepanjang perkongsian tips-tips agar suami menyayangi isteri ini, saya akan membahagi-bahagikannya pada beberapa helaian supaya adikku bernama Isteri Ingin Disayangi Suami akan mendapat secebis kisah dan panduan daripada pengalaman dan perasaan yang saya alami sendiri.

Seandainya bersesuaian, maka amalkanlah, tetapi seandainya terpesong, saya menasihati usah dipraktikkan kerana setiap yang saya luahkan belum tentu bersesuaian di setiap keadaan, pada setiap ketika. Kesemua tips-tips yang saya kongsikan di sini hanyalah berupaya diperhati oleh mata, lalu diteliti oleh kata hati sendiri. Semoga yang saya luahkan di sini, menjadi ilmu yang berguna nanti, InsyaAllah.

Sebagai pembukaan di dalam coretan ini, saya ingin jelaskan bahawa apa yang saya lakarkan di sini hanyalah sebuah perkongsian yang terluah dari perasaan Cinta Membara yang sedang saya alami ketika ini pada wanita bernama Isteri..., dialah Isteriku Yang Tercinta, Junaidah nama sebenarnya.

Perasaan Cinta yang sedang saya alami ini, sememangnya sedang bersemi di lubuk hati sanubari seorang Suami, Abgbent gelaran diberi. (*___^)

Realiti sebenar-benarnya, perasaan Kecintaan Suami Isteri, seharusnya bersembunyi kerana ia menyimpan pelbagai rahsia-rahsia yang amat berharga. Seumpama pesanan Rasulullah SAW yang bermaksud;

"Sesungguhnya sejahat-jahat manusia di sisi Allah di hari kiamat kelak ialah seorang lelaki yang melepaskan hajatnya kepada isterinya dan isterinya melepaskan hajat kepadanya kemudian ia menceritakan rahsia itu." Riwayat Ahmad

Namun, dek titisan kasih buat Adikku bergelar Isteri Ingin Disayangi Suami, lalu lakaran ini saya cuba usahakan agar dimensi persembahannya berupaya ditelaah, semoga dimengerti dan bermanafaat, seterusnya dicuba-cuba seandainya terdaya.

Tips-tips untuk isteri disayangi suami, sememangnya sudah banyak bertebaran di laman sesawang maya ketika ini, di helaian-helaian kertas dan naskah-naskah kitab juga boleh diperolehi.

Namun, seperti biasa... ada yang hanya mampu dibaca, tidak kurang juga sekadar menambahkan teori-teori cinta sedia ada. Dan ada juga yang sebaliknya, bukannya membuatkan suami menyayangi isteri, malahan Suami bertambah-tambah benci jadinya... Moga-moga, coretan saya di sini, tidaklah pula terkategori di dalamnya itu nanti, InsyaAllah.

Lakaran saya ini hanyalah sekadar perkongsian pengalaman peribadi, iaitu terlalu peribadi sebenarnya yang seharusnya di simpan di penjuru Kutubkhanah Terahsia, ruangan hati sanubari yang aku miliki jua persada hati Isteriku yang Tercinta...

Sejujurnya, rahsia-rahsia peribadi begini saya akan cuba paparkan dengan lapik sutera istimewa kerana seperti di awal lakaran tadi, saya telah beritahu bahawa Perasaan Cinta Suami Isteri sifatnya perlulah bersempunyi.

Moga-moga adikku bergelar Isteri Ingin Disayangi Suami mengerti, lalu tidaklah pula kecewa nanti bila mana menelaah intro catatan yang sebegini.

InsyaAllah, pada bahagian kedua dan seterusnya nanti, saya akan huraikan sedikit-sedikit berkenaan Rahsia agar Suami menyayangi Isteri, dari perspektif saya sendiri, Abgbent yang bergelar seorang suami dan sedang menyintai isterinya sendiri dengan sepenuh hati.

Tunggguuuuu.... bahagian-bahagian seterusnya nanti...

(*___^)
Abgbent








Baca selanjutnya, Klik di sini...

Isnin, Mei 23, 2011

Memadam Hasad Dengki Cemburu Buta

Salam sejahtera dan salam 1Malaysia buat Anda, saudaraku yang amat dikasihi kerana DIA. Agak lama juga saya berehat dan tidak membuat sebarang coretan di blog Pedoman Hidup ini. Saya bertindak begitu bukanlah bermaksud sudah melupakan Anda, tetapi sebenarnya saya ingin melakukan latihan jiwa agar kelak idea yang ada bukanlah didorong oleh gelora nafsu semata-mata.

Pagi ini, tiba-tiba pula saya tergerak hati ingin berkongsi cerita dengan Anda. Maklum sahajalah, sejak beberapa hari ini saya berjauhan dengan Isteriku Yang Tercinta. Lalu, ada masa terluang untuk bercerita-cerita dengan Anda pula kini. Ada juga baiknya masa-masa terluang begini saya berkongsi cerita dengan Anda pula. Moga-moga adalah manafaatnya.

Sememangnya, kisah terlalu peribadi begini, amat jarang atau terlalu sukar diluahkan melalui mulut sendiri. Tidak mungkin! Memang tidak mungkin saya berupaya meluahkannya di alam nyata. Pasti tidak mungkin!.

Sejak mengenali Alam Blogging, saya sering melakarkan kisah-kisah pengalaman hidup yang saya telah lalui. Bukannya berbangga, tetapi sekadar ingin berkongsi cerita dengan harapan moga-moga Anda terdorong dan termotivasi bila mana menelaahnya. Lalu Anda berusaha bersungguh-sungguh menggapai kejayaan-kejayaan yang lebih hebat daripada apa yang telah saya alami. Semoga jua, kejayaan-kejayaan yang luar biasa Anda kecapi, itu doa saya untuk Anda.

Saya juga berdoa semoga bila mana Anda membaca di sini, tiadalah perasaan hasad dengki di dalam hati. Lebih-lebih lagi menyemarakkan perasaan cemburu buta. Moga-moga itu dijauhkan daripada Anda, insyaAllah.

Hasad Dengki Cemburu Buta adalah antara perasaan yang terlalu mudah didorong dan disemarakkan oleh para syaitan durjana agar Anda mudah alpa, lalu mengikut langkah-langkah mereka, kufur kepada Allah SWT. Na’uzubillah..

Dosa pertama yang berlaku di dunia adalah hasil dorongan hasad dengki, cemburu buta.

Ianya telah berlaku kepada anak-anak lelaki nabi Adam bernama Qabil dan Habil. Dek hasad dengki cemburu buta, Qabil akhirnya membunuh saudaranya sendiri bernama Habil. Kisahnya berlaku disebabkan Habil lebih berjaya berbanding Qabil.

Ianya bermula apabila korban daripada Habil telah diterima oleh Allah SWT berbanding korban daripada Qabil.

Begitu juga halnya diceritakan bahawa kembar perempuan Qabil yang lebih cantik telah dikahwinkan dengan Habil, manakala kembar perempuan Habil yang kurang cantik diperisterikan kepada Qabil. Perasaan hasad dengki cemburu buta Qabil terhadap saudaranya Habil terus membuak-buak.

Disebabkan itu, lalu syaitan membisikkan kepada Qabil agar membunuh sahaja saudaranya Habil. Al-Quran mengisahkannya di dalam surah Al-Maidah iaitu;

“Dan bacakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua orang anak Adam (Habil dan qabil) yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan satu persembahan korban (untuk mendampingkan diri kepada Allah). Lalu diterima korban salah seorang di antaranya (Habil) dan tidak diterima (korban) dari yang lain (qabil). Berkata (qabil): Sesungguhnya aku akan membunuhmu!. (Habil) menjawab: Hanyasanya Allah menerima (korban) dari orang-orang yang bertakwa” (ayat 27)

“Maka nafsu jahat (qabil) mendorongnya (sehingga dia tergamak) membunuh saudaranya, lalu dia membunuhnya. Oleh itu menjadilah dia dari golongan orang-orang yang rugi” (ayat 30)


Kisah Qabil dan Habil masing-masing beristeri itu, tiba-tiba pula menyapa perasaan kerinduan terhadap Isteriku Yang Tercinta, kini. Perasaan sungguh-sungguh rindu kepadanya. Memang saya sedang merindui Isteriku Yang Tercinta ketika ini kerana sudah beberapa hari saya berjauhan dengannya.

Seandainya dia berada di sisi, berkemungkinan juga kisah-kisah terlalu peribadi begini tidak mudah terluah untuk tatapan Anda, maklum sahajalah, biasanya masa terluang begini, saya khususkan untuknya.

Andai Isteriku Yang Tercinta berada di samping, sudah pasti masa ini saya gunakan untuk bersama-sama dengannya sama ada bersenda gurau atau barangkali memadu asmara. (*___^), kerana sememangnya dialah wanita yang amat-amat saya kasihi dan sayangi di dunia ini.

Semoga cinta suci yang kami semai bersama-sama akan subur mekar tumbuhnya dan terus menjalar berpanjangan walaupun selepas menjalani kehidupan duniawi, InsyaAllah.

Baiklah, untuk menutup lakaran ini, barangkali bermanafaat juga andai Anda menatap sepucuk surat yang saya telah terima beberapa minggu lalu. Sengaja saya berkongsi mengenainya dengan doa semoga ianya memberikan inspirasi kepada Anda dan seterusnya berusaha menggapai kejayaan-kejayaan yang lebih istimewa, Amin...





Baca selanjutnya, Klik di sini...