Rabu, Oktober 10, 2012

Bhg 2... Memelihara Hubungan Suami-Isteri

"Kepimpinan" adalah faktor utama di dalam memelihara hubungan Suami-Isteri. Begitulah yang saya lakarkan di dalam coretan minggu lalu. Bilamana saya mengatakan begitu, ianya bukanlah bermaksud bahawa seorang Suami sahaja yang harus memiliki sikap itu... "Kepimpinan". Bukan itu maksud saya yang sebenarnya.

Sikap kepimpinan haruslah juga dimiliki oleh sang Isteri. Dan harus diketahui bahawa keupayaan kepimpinan Suami sememangnya berbeza berbanding dengan keupayaan kepimpinan yang dimiliki oleh si Isteri.

Andai ingin memelihara kehidupan hubungan Suami-Isteri, maka sikap kepimpinan yang dimiliki oleh si Isteri dan si Suami perlu berbeza. Keupayaan Kepimpinan yang dimiliki tak boleh sama. Memang tak boleh!.

Apa yang harus Anda ketahui ialah kepimpinan bukanlah seratus-peratus dipunyai dan dimiliki oleh sang Suami semata. Memang Bukan!

MasyaAllah, terlupa pula saya mendahului coretan ini dengan ucapan "Salamelekom, wbt" kepada Anda semua. Anda yang sememangnya menjadi teman alam maya saya sepanjang masa. Terima kasihlah kerana masih lagi sudi menziarahi blog Pedoman Hidup Abgbent ini. Terima kasih!

Kepimpinan, bilamana dirujuk pada kamus dewan, ianya perlulah dirungkai pada kata dasar, iaitu "Pimpin". 

Pimpin di dalam Kamus Dewan diberikan maksud sebagai "dibimbing, dipandu, dituntun dan ditunjuk. Andai ditambahkan imbuhan, "pe", maka jadilah kata nama "pimpin" sebagai "Pemimpin". Pemimpin di dalam Kamus Dewan diistilahkan sebagai "orang yang memimpin atau boleh juga diberikan kata sebagai "Pedoman" atau Petunjuk"

Lalu, seandainya kata dasar "Pimpin" tadi ditambah pula dengan imbuhan "Ke...an", maka jadilah kata namanya sebagai "Kepimpinan" yang membawa maksud "Keupayaan, dan Kebolehan sebagai pemimpin iaitu Daya, Tindak-Tanduk dan Kecekapan seseorang pemimpin.

Jika saya diberikan pilihan untuk membandingkan keupayaan kepimpinan seorang Suami berbanding seorang Isteri, maka secara peribadi, saya akan mengatakan kepada Anda bahawa Keupayaan kepimpinan Suami tidaklah sehebat keupayaan kepimpinan yang dimiliki oleh si Isteri. Sungguh!

Sebab itulah saya amat mengasihi dan menyayangi Isteriku yang Tercinta.

Kalau Suami berperanan memimpin Isteri dan Keluarga, lalu kehebatan seorang Isteri adalah menjadi Pemimpin kepada Anak-Anak dan Rumahtangga.

Kepimpinan Seorang Isteri sememangnya lebih hebat berbanding kepimpinan seorang suami. Sungguh! Sebab itulah di dalam perceraian, paling banyak yang berlaku adalah kesungguhan seorang Ibu membela kehidupan anak-anaknya.

Kalau sang Suami, bilamana bercerai, pasti akan mencari pasangan baru.
(*___*)


Baca selanjutnya, Klik di sini...

Jumaat, Oktober 05, 2012

Memelihara Hubungan Suami-Isteri

Salamelekom, wbt...

Apa khabar Anda hari ini? Saya mendoakan semoga Anda terus diberikan kekuatan oleh NYA dan dipermudahkan menggapai segala kejayaan dan kecemerlangan yang dihajatkan di dalam kehidupan ini. Begitu jualah doa yang saya seringkali harapkan daripada NYA di dalam memulakan kehidupan harian yang dilalui.

Alhamdulillah..., tengahari ini saya diberikan keizinan untuk melakar sebuah lagi coretan untuk Anda telaah. Walaupun lakaran ini tidaklah seberapa, saya mengharapkan ianya kelak memberikan rangsangan untuk Anda terus berkunjung dan menziarahi saya, InsyaAllah. (*___^)

Sejujurnya, hari ini saya amat berasa gembira kerana memperolehi beberapa kejayaan. Syukur Alhamdulillah yang tidak terhingga saya panjatkan kepada Tuhan Maha Esa kerana terus memberikan nikmat kehidupan sebegini untuk saya nikmati.

Oleh sebab itu, saya tergerak hati untuk berkongsi dengan Anda hari ini mengenai tip memelihara kebahagiaan kehidupan Suami-Isteri. Kebahagiaan di mana Isteri disayangi Suami, manakala Suami pula menyayangi Isteri. Kalau Anda tanya saya mengenai kehidupan yang dilalui bersama Isteriku Yang Tercinta, sememangnya saya amat mengasihi dan menyayanginya. Anda nak tahu kenapa?

Jawapan yang saya boleh berikan pada ketika ini kepada Anda ialah kerana Isteriku Yang Tercinta memiliki keistimewaan seorang wanita sepertimana yang saya hajatkan!. Anda nak tahu keistimewaan yang saya maksudkan?

Heheheee... (*___*)

Sebuah paparan senyuman yang berupaya saya lakaran seperti di atas untuk tatapan Anda pada skrin komputer ini agar Anda memahami atau mengerti akan isi hati yang saya miliki pada ketika ini...

Sejujurnya, tip yang ingin saya beritahu kepada Anda mengenai memelihara kebahagiaan kehidupan Suami-Isteri ialah perkataan "Kepimpinan".

Di dalam memelihara hubungan rumahtangga antara Suami-Isteri, sikap "Kepimpinan" adalah amat penting. InsyaAllah, di lain kesempatan akan saya kongsikan dengan Anda mengenainya.

Pada ketika ini, masa tidak mengizinkan untuk saya terangkannya kepada Anda. Maklum sajalah, jam di tangan saya sudah menunjukkan melebihi pukul 12.30 pm, lalu saya kena bergegas ke Satu tempat yang terlalu istimewa khususnya pada hari Jumaat begini. Saya kena bergerak sekarang.

Salam kasih jua buat Anda. Anda yang menjadi teman istimewa di dalam kehidupan maya ini. Sememangnya Anda saya amat kasihi...


Abgbent

Baca selanjutnya, Klik di sini...

Jumaat, September 28, 2012

Menghargai Anda, Pencapaian Saya

Salamelekom, wbt saya ucapkan kepada Anda yang masih lagi sudi bertandang ke laman Pedoman Hidup Abgbent ini. Setinggi-tinggi terima kasih saya ucapkan di atas kesudian Anda untuk terus menziarahi saya, seterusnya meningkatkan "klik" di blog ini.

Ketika ini, jam pada skrin komputer saya menunjukkan sudah melebihi pukul 12.00 tengahari. Seperti biasa, masa akan terus berlalu meninggalkan kita, dan tanpa disangka, artikel di dalam blog Pedoman Hidup Abgbent telah mencecah 348 buah kesemuanya.

Saya sememangnya tidak pernah menjangkakan bahawa begitulah banyaknya lakaran-lakaran yang saya hasilkan di dalam blog ini.

Sebentar tadi, saya telah melihat statistik pelawat blog ini melalui laman Akaun Google, dan ternyata statistik kelmarin memaparkan jumlah lakaran yang telah ditelaah melebihi 500. Wah! banyak juga jumlahnya.

Foto di bawah menunjukkan statistik daripada kiraan Akaun Google yang saya maksudkan, yang baru sebentar tadi saya masukkan ke dalam lakaran ini.


Dengan perasaan sedikit curiga berkenaan statistik daripada Akaun Google itu, seterusnya saya membuka pula Akaun Nuffnang Sdn Bhd untuk mempastikan jumlah pelawat di dalam blog ini setiap hari dan ternyata, foto di bawah juga menerangkannya. Cuba Anda lihat foto Nuffnang yang sempat saya ambil sebentar tadi yang dipaparkan di bawah ini.


Ternyata, jumlahnya juga hampir menyamai sepertimana yang google paparkan. Walaupun realitinya saya sudah tidak sekerap dulu mengisikan entri baru ke dalam blog ini, tetapi ternyata, ianya masih sudi dilawati oleh rakan-rakan alam maya sama ada yang saya kenali, mahupun yang baru sahaja terjumpa blog ini.

Untuk itu, saya ingin memanjangkan sekali lagi ucapan setinggi-tinggi terima kasih di atas kesudian Anda untuk sentiasa bertandang ke sini. Tidak dilupa, terima kasih juga kerana masih sudi mengklik iklan Nuffnang Sdn Bhd yang masih lagi terpapar pada blog ini.

Untuk perkongsian bersama, jumlah pungutan hasil "klik"an daripada Anda untuk iklan-iklan Nuffnang Sdn Bhd ini, tak sangka pula telah melebihi RM100.00, walaupun  realitinya aktiviti blogging saya sudah tidak seperti dulu.


Pada ketika ini, saya sebenarnya sedang merancang untuk menghasilkan lakaran-lakaran mengenai pengalaman hidup yang berkisarkan tentang Pengalaman Hidup Seorang Suami. Mungkin tajuk sebegitu amat sesuai untuk Anda baca, seterusnya dibandingkan dan dijadikan Pedoman di dalam mengharungi kehidupan ini...

Tunggu...

Baca selanjutnya, Klik di sini...

Rabu, September 05, 2012

Menjadi Perindu... Pakcik Yang Dikasihi

Salamelekom, wbt saya ucapkan kepada Anda. Anda yang telah menjadi teman saya di dalam blog Pedoman Hidup ini. Anda yang juga menjadi rakan saya ketika bersendirian, seperti sekarang ini.

Memang sudah terlalu lama saya tidak melakarkan sebarang contengan di blog ini. Hampir lima bulan lamanya saya menyepikan diri daripada membuat sebarang lakaran untuk tatapan Anda di sini.

Seperti biasa, alasan mudah yang pasti diluahkan kepada Anda ialah kesibukan di dalam melaksanakan segala urusan harian, sama ada urusan melibatkan kerjaya saya sebagai seorang penyelidik sains, mahupun urusan sebagai seorang ketua keluarga.

Sebagai mukadimah contengan ini, saya mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri 2012 kepada Anda, maaf zahir dan batin di atas segala kesilapan yang mungkin berlaku disepanjang saya menghasilkan contengan-contengan di alam maya ini.

Seterusnya, saya juga berdoa semoga kehidupan kita bersama di dunia maya ini terus disinari cahaya Pedoman Ilahi.
Ameeen.

Tidak dilupa, saya juga mengucapkan Tahniah kepada Anda, lebih-lebih lagi kepada Adikku bergelar Tampan Bergaya kerana dia telah berjaya mendirikan Bahtera Perkahwinannya di awal bulan Syawal yang mulia, tahun ini.

Didoakan semoga Bahtera yang dilayari bersama Isteri Tercinta akan berkekalan dan menuju destinasi yang diredhai Ilahi, InsyaAllah.

Sekarang ini, jam di dinding rumah saya telah menunjukkan pukul 2.40 pagi, tetapi mata saya belum berupaya dilelapkan.

Sebenarnya, sebentar tadi, saya telah membaringkan diri di sebelah Isteriku Yang Tercinta, tetapi tiba-tiba pula minda saya menerawang kenangan-kenangan silam, iaitu peristiwa lalu ketika bersama arwah Pakcik saya.

Lalu, muncullah dorongan untuk saya bangkit semula daripada pembaringan kerana minda saya terus dirangsang untuk menghasilkan lakaran ini agar terpapar di laman blog Pedoman Hidup untuk dikongsi bersama-sama dengan Anda.

Ketika ini, saya sebenarnya sedang merindui arwah pakcik saya. Mungkin Anda tidak merasainya, tetapi jujur saya memberitahu kepada Anda bahawa kerinduan yang saya alami ketika ini sehingga air mata mengalir dipipi ketika saya mengilhamkan lakaran ini, lebih-lebih lagi ketika mengenangkan peristiwa-peristiwa lalu semasa bersama-sama dengannya.

Terlalu banyak bantuan dan pengorbanan yang telah dihulurkannya bukan sahaja kepada saya, tetapi juga kepada kedua orang tua saya khususnya ketika saya bersama adik-adik masih lagi bersekolah dahulu.

Arwah pakcik merupakan antara insan yang telah menjadi tulang belakang di dalam saya mengharungi kehidupan ini terutama di dalam membuat sebarang keputusan yang amat penting.

Seringkali juga, dialah yang menjadi rujukan saya ketika mengambil sebarang ketetapan. Tunjuk ajarnya, bimbingannya dan dorongannyalah yang sering menguatkan keputusan yang saya akan ambil.

Terakhir, sebelum arwah pakcik menghembuskan nafasnya pada 30 Jun yang lalu akibat penyakit kanser paru-paru, bimbingan yang telah diberikannya kepada saya ialah ketika saya membuat ketetapan untuk membeli sebuah kereta. Kereta yang saya hadiahkan buat Isteriku Yang Tercinta.

Arwah pakcik telah memberikan dorongan kepada saya agar memilih sahaja kereta buatan Malaysia, Proton Exora Bold berwarna putih untuk dihadiah kepada Isteriku Yang Tercinta. Itulah yang terakhir, pandangannya yang saya perolehi.

Di dalam keheningan subuh ini, saya menadah tangan memohon doa kepada Allah SWT semoga Arwah Pakcik dihimpunkan bersama orang-orang yang soleh, diampunkan segala dosa-dosanya, dikurniakan kebahagian dan ditempatkan di dalam Syurga Nan Abadi. Ameeen…

Baca selanjutnya, Klik di sini...

Selasa, Mac 27, 2012

Kuasa Blue, Harus Dinikmati

Salamelekom, wbt

Apa khabar Anda hari ini? saya doakan semoga Anda semua sihat sejahtera dan terus berada di bawah lindungan Tuhan Maha Esa. Begitulah jua hendaknya saya sekeluarga. Amin.

Hari ini, saya ingin berkongsi cerita dengan Anda. Maklum sahajalah, sudah hampir sebulan saya tidak melakarkan sebarang catatan di dalam blog ini.

Kisah yang saya ingin kongsikan dengan Anda hari ini ialah;

Pada hari Ahad lepas, saya bersama keluarga telah menonton sebuah filem yang mengisahkan perebutan kuasa, berlatar-belakangkan persekitaran Planet Marikh.

Ianya merupakan sebuah filem khayalan, sains fiksyen, dan amat menghiburkan saya bersama Isteri dan Anak-anak. Filem itu memberikan perspektif imaginasi yang sungguh menarik.

Malahan ianya juga menyelitkan kuasa yang terkandung di dalam Cahaya, khususnya disebutkan di dalam filem itu sebagai Pancaran Kesembilan, yang memancarkan warna Biru.

Filem yang saya maksudkan berjudul "John Carter".

Saya bersama Isteri dan Anak-anak, telah menontonnya di panggung dalam format 2D, iaitu filem itu kelihatan lebih terang dan jelas, malahan paparannya juga amat menakjubkan.

Sekiranya Anda ingin mengetahui secara lalu mengenai filem yang saya maksudkan, nah, tekan saja youtube di bawah ini;




Filem itu saya simpulkan sebagai sebuah filem yang amat menarik dan menakjubkan kerana ianya memaparkan perasaan kasih-sayang, selain menyerlahkan lagi kehebatan seorang lelaki yang bertambah-tambah menjadi lebih hebat bilamana dirangsang oleh Wanita. (*___^)

Lalu, Anda yang belum bertemu jodoh, bila lagi ingin memancarkan Cahaya Kesembilan Anda.

Cahaya Biru dalam bahasa Melayunya, bahasa Inggeris pula, mengistilahkannya sebagai Blue...

Heheheee


Baca selanjutnya, Klik di sini...

Isnin, Februari 20, 2012

Skim SBPA, Sikap Kebertanggungjawaban

Lakaran ini adalah sambungan daripada lakaran-lakaran saya berkenaan Skim SBPA iaitu;

Alahai SBPA (Saraan Baru Perkhidmatan Awam) Malaysia

Kecelaruan SBPA, Mengundang Perpecahan Penjawat Awam?


Pada saya, kegagalan skim SBPA yang telah diperkenalkan akhir tahun lalu amat memalukan. Ianya bukan sahaja gagal dan menimbulkan pelbagai persoalan serta kecelaruan, malahan ianya telah turut menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan kakitangan awam, termasuklah juga rakyat Malaysia amnya.

Di kalangan penjawat awam khususnya mereka yang seolah-olah tidak mendapat faedah daripada pengumuman skim tersebut, SBPA dilihat seolah-olah hanyalah bersifat kosmetik semata-mata untuk mengindahkan penampilan para penjawat awam sempena piliharaya umum yang akan datang. Manakala dikalangan yang bukan kakitangan awam, ianya telah dilihat negatif seolah-olah para penjawat awam hanya menginginkan kenaikan gaji yang digambarkan tidak berbaloi berbanding dengan hasil kerja yang mereka laksanakan.

Pengamatan saya juga mendapati ramai yang melihat skim SBPA yang telah dirangka hanyalah untuk menguntungkan pihak atasan sahaja. Benarkah sedemikian yang telah berlaku? Seandainya jawapannya benar, maka malanglah sistem Pentadbiran Awam Negara ini kerana memiliki pegawai-pegawai yang bersikap sedemikian rupa. Sikap berpilih dan tidak mengutamakan kemaslahatan Ummah di dalam merangka dan melaksana segala tanggungjawab yang diamanahkan oleh Pemerintah khususnya, dan rakyat Malaysia amnya.

Pemimpin yang tidak adil dan kurang amanah, sudah pasti kelak akan menghancurkan organisasi dan negara ini. Seumpama peribahasa yang seringkali dituturkan berbunyi "seperti ketam menyuruh anaknya berjalan dengan betul".

Kesan daripada pengumuman skim SBPA bukanlah sedikit kerugiannya. Banyak!

Ianya termasuklah perbelanjaan yang digunakan oleh pegawai-pegawai yang terlibat di dalam merangka dan melaksana skim SBPA itu. Termasuklah juga pengorbanan masa yang terpaksa ditanggung oleh semua penjawat awam untuk mendengar celoteh berkenaan kandungan skim tersebut.

Lima minit masa yang diberikan oleh sejuta penjawat awam untuk mendengar ceritera skim SBPA bukanlah tempoh yang sedikit. Apatah lagi andai sejam atau dua jam. Banyak perkara sebenarnya yang boleh dihasilkan oleh sejuta penjawat awam seandainya lima minit, sejam atau dua jam itu digunakan untuk menghasilkan karya berjudul "Kesejahteraan Umat Negara Malaysia".

Lakaran ini saya hasilkan semata-mata untuk berkongsi rasa sebagai orang bawahan di dalam pentadbiran negara ini. Sebagai orang bawahan, saya sekadar menerima arahan daripada orang yang diatas. Sudah menjadi tradisi, bilamana orang yang berada di atas melakukan kesilapan, ianya dianggap sebagai kesilapan kecil, dan seandainya kesilapan kecil itu berlaku kepada orang yang dibawah, maka ianya boleh menjadi besar kerana yang diataslah yang telah menggubal segala peraturan-peraturan untuk diamalkan oleh orang yang dibawah.


(*___*)
Abgbent

p.s: Moga kemungkaran tidak akan berlaku berpanjangan.



Baca selanjutnya, Klik di sini...

Jumaat, Februari 10, 2012

Menikmati Kenikmatan yang Nikmat (*___*)

Petang ini, saya ingin meluangkan sedikit masa untuk bersama-sama dengan Anda. Anda yang masih terus sudi meluangkan masa untuk bersama-sama dengan saya di dalam blog Pedoman Hidup ini.

Kali ini, saya ingin menyatakan suatu kalimah yang dipancarkan oleh bakal anak murid saya dari negara seberang, Indonesia. Dari Acheh, orangnya tampan segak bergaya. Dia beriya-iya ingin menuntut ilmu sains daripada saya. Tak apalah, kisah itu akan saya panjangkan kepada Anda suatu hari nanti...

Berkenaan kalimah yang dipancarkan oleh bakal anak murid saya dari Acheh itu, ianya berbunyi;

Hati adalah wadah terindah yg dapat menampung semua kepahitan dan merubah semuanya menjadi manis dan indah.... (nuansahati.com)"

Tak semena-mena, hati saya terdorong pula untuk menambah dengan berkata;

"Manis dan Indah itu barangkali hanyalah fatamorgana bilamana Pancaindera yang merasainya tidak dijilbabkan dengan nama NYA"

Lalu, hari ini, saya pula terbaca nukilan adikku Tampan Bergaya yang memancarkan ungkapan berkenaan kehidupan indah, iaitu;


Hidup memang selalunya indah.

Tapi yang menjadikan hidup ini tidak indah adalah Anda. Anda menjadikan hidup Anda tidak indah dengan memikirkan yang buruk, bersangka buruk dan bersikap buruk, termasuklah berkata yang buruk-buruk.

Lihatlah orang yang berfikiran positif. Orang sebegitu hidupnya indah. Dia bahagia, dia nampak seperti orang bertuah kerana dia nampak bahagia.

Sebenarnya semua itu diusahakan melalui minda. Keindahan hidup boleh dibentuk. Caranya bagaimana? Melalui fikiran.

Fikiran kita ini bertindak sebagai doa. Lebih banyak kita berfikir tentang sesuatu, samalah seperti kita berdoa dan terus berdoa supaya apa yang kita fikirkan itu muncul menjadi realiti dalam kehidupan kita.

Sebagai contoh, tiap kali Anda memikir masalah, samalah seperti Anda selalu meminta masalah dimunculkan.

Setiap kali Anda geram dengan masalah, setiap kali itu jugalah Anda seolah-olah meminta makin banyak masalah dimunculkan dalam hidup Anda.

Setiap kali Anda dilanda situasi buruk yang tidak dijangka seperti kemalangan, kepokaian, masalah kewangan, tekanan perasaan, tekanan kerja, sikap kawan yang menyakitkan hati atau simply sesuatu berlaku di luar kemahuan Anda, alihkan perasaan sakit hati itu. Hentikan.

Bertenanglah. Berserahlah.

Apabila sesuatu sudah berlaku, Anda tidak ada kuasa mengubahnya. Tapi Anda akan kuasa mengawal apa yang bermain di fikiran Anda.

Orang yang selalu berfikir positif akan mendapat balasan positif.

Mungkin masa itu situasi tidak memihak kepada Anda, tapi di satu ketika lain, situasi akan memihak kepada Anda kesan dari sikap berfikiran positif, kesan dari sikap bersangka yang baik-baik.

Yang baik tetap akan mengatasi yang buruk walau kelihatannya yang buruk itu seolah-olah menang.

Ubah sikap Anda. Binalah sikap suka bersangka baik. Sebab, sikap itu akan menunjukkan kesannya.

Bezanya, cepat atau lambat saja.




Baca selanjutnya, Klik di sini...

Rabu, Februari 01, 2012

Kecelaruan SBPA, Mengundang Perpecahan Penjawat Awam?

Sebelum ini saya ada melakarkan pandangan mengenai skim SBPA yang telah menggantikan Skim SSM penjawat awam di negara Malaysia dengan tajuk "Alahai SBPA (Saraan Baru Perkhidmatan Awam) Malaysia".

Tidak sia-sia saya melakarkan pandangan itu kerana akhirnya, skim SBPA telah disemak semula oleh Kerajaan Malaysia.

Ini sekali gus menunjukkan bahawa skim SBPA yang baru diperkenalkan itu telah Gagal. Kebiasaannya, sesuatu yang gagal seharusnya dipertanggungjawabkan dan dikenakan tindakan yang berpatutan.


Lihat sahaja pelajar-pelajar sekolah. Bila mana mereka gagal memenuhi kriteria tertentu, mereka tidak akan dibenarkan memasuki kelas-kelas yang hebat.

Bukanlah bermaksud dinafikan keupayaan pelajar yang gagal itu untuk berada di dalam kelas-kelas yang hebat, tetapi yang lebih dikhuatiri ialah mereka akan mengalami mudharat di dalam proses pembelajaran seterusnya nanti. Begitu jugalah halnya kepada pelajar-pelajar yang memang hebat, seandainya tidak diasingkan daripada pelajar-pelajar yang telah gagal, berkemungkinan pula pelajar-pelajar hebat tidak akan dapat mengembangkan kehebatan mereka dengan cepat dan pantas di dalam proses-proses pembelajaran seterusnya.

Pandangan seumpama itu saya utarakan supaya kecemerlangan yang diharapkan di dalam sistem Perkhidmatan Negara Malaysia akan terus berkembang maju dan memenuhi citarasa semua pihak pada masa dan keadaan yang sering kali berubah.

Seumpama KPI (Key Performance Index) yang diperkenalkan untuk diterjemahkan oleh semua penjawat awam, seterusnya yang terbaru "Exit Policy" yang diharap kelak menyumbang pada prestasi penjawat awam seiring dengan kenaikan-kenaikan gaji yang dinikmati.

Masa tidak mengizinkan saya meneruskan lakaran ini, InsyaAllah saya akan menyambungnya lain kali untuk kita berkongsi pandangan mengenai SBPA yang disemak semula...


Baca selanjutnya, Klik di sini...

Jumaat, Januari 20, 2012

Bahagian 5, Tips Agar diSayangi Suami

Salamelekom, wbt kepada Anda yang masih terus setiasa menemani kehidupan alam maya saya di dalam blog Pedoman Hidup ini.

Didoakan semoga Anda dan saya terus bernaung di bawah lindungan Ilahi. Hari ini merupakan hari Jumaat, dan hati saya mendesak untuk menjenguk seketika ke dalam blog Pedoman Hidup ini, seterusnya memasukkan sebuah entri baru untuk tatapan Anda bersama.

Kali ini, tajuk entri yang saya pilih untuk dikongsi dengan Anda ialah “Bahagian 5, Tips Agar Disayangi Suami”.

Sudah agak lama saya tidak menyambung coretan mengenainya.

Maaflah duhai Adikku Yang Ingin Disayangi Suami. Sejak kebelakangan ini, saya seolah-olah terus dihimpit kesibukan, menyebabkan tumpuan saya lebih ke arah menyelesaikan pelbagai tugasan-tugasan yang ada.

Tetapi untuk tidak menghampakan Adikku Yang Ingin Disayangi Suami, jua Anda yang terus setia menemani kehidupan alam maya saya, ada baiknya pagi ini, saya paparkan sebuah kisah, hasil Luahan Hati Seorang Suami. Moga-moga kisah Pedoman Hidup yang saya kongsikan ini menjadi ikhtibar buat kita semua, InsyaAllah.


Kisahnya begini;

Assalamualaikum….

Kehadapan ustaz yang saya hormati, saya tidak tahu di mana ingin saya mulakan bicara ini, tetapi saya mesti menceritakan kisah ini kepada ustaz supaya hati saya akan menjadi tenang dan mungkin akan dapat meredakan rasa berdosa saya selama ini…


Ustaz mungkin tidak kenal saya, namun saya mengenali ustaz.

Untuk makluman Ustaz, saya merupakan seorang lelaki yang mempunyai memori kehidupan lampau yg cukup menyedihkan. Harap ustaz tidak bosan mendengar Luahan Hati saya ini.

Saya merupakan seorang suami kepada seorang isteri yg amat baik dan setia. Namun, saya tidak pernah menghargai kasih-sayangnya kerana pada waktu itu mata hati saya terlalu buta untuk membezakan yang mana kaca dan permata.

Ustaz, saya telah berkahwin dengan seorang wanita yang pada asalnya tidak saya cintai. Dia seorang yang sederhana pada segi paras rupanya, seorang yang tidak pandai bergaya, tetapi kuat pegangan agamanya. Bertudung labuh, bersopan santun dan baik budi bahasanya.
Untuk makluman ustaz, perkahwinan kami diatur oleh keluarga dalam keadaan yang sebenarnya saya masih belum bersedia.

Terus terang saya katakan bahawa saya sebenarnya sudah mempunyai teman wanita yg jauh lebih cantik daripada isteri saya. Teman wanita saya agak sosial sedikit dan tidak menutup aurat, tetapi yang paling penting, kami saling cinta-menyintai.

Selepas berkahwin dengan isteri saya, jiwa saya menjadi kacau dan keliru. Saya amat marah kepada isteri saya kerana pada anggapan saya, dialah yang telah menyebabkan saya tidak dapat bersama dengan kekasih saya amat saya cintai itu.

Sepanjang kehidupan kami, saya selalu sahaja mencari jalan untuk menyakitkan hatinya dengan harapan kami akan bercerai setelah dia tidak tahan dengan kerenah saya.

Namun, rupanya, isteri saya adalah seorang wanita yang PENYABAR. Pernah saya tidak balik ke rumah dengan tujuan isteri saya akan membenci saya, tetapi selama mana lambat sekalipun, dia akan tunggu saya dan bila saya masuk ke dalam rumah. dia menyambutnya dengan mesra dan bertanya:“Abang dah makan? Nak saya panaskan lauk dan hidangkan makanan?”

Pernah suatu hari saya menampar mukanya, kerana dia bertanya kepada saya “Abang dah solat?” Abang tak pernah solat ke?” Paannggg..!! Satu tamparan kuat saya berikan di pipinya. Perasaan geram, marah dan rasa terhina bercampur ego yg menggila…

Bengkak pipinya, dia menangis terisak-isak. Saya ingatkan mungkin dia akan membenci saya, tetapi rupa-rupanya dia BERSABAR dan melayan saya sebagai suaminya.

Ustaz, pernah suatu hari, dia ingin bermanja dengan saya, membawa sepinggan nasi goreng yang digoreng untuk saya. Pada masa itu, saya sedang berbual mesra dengan kekasih saya di dalam handphone. Ketika dia ingin menyuapkan nasi ke mulut saya, saya menolaknya sehingga jatuh berkecai pinggan bersama nasi goreng yang digoreng khas untuk saya. Dengan linangan air mata, dia mengutip setiap butiran nasi goreng yang berhamburan di lantai…

Saya bertambah lupa daratan. Saya habiskan masa berhibur dan berlibur dengan kawan-kawan di luar dengan harapan isteri saya akan lebih sakit hati dan meninggalkan saya. Rupa-rupanya, dia tetap TABAH & BERSABAR. Pernah juga saya menendang badannya kerana dia menasihati saya supaya tidak mencari hiburan dengan jalan yang dimurkai Allah.

Pernah suatu ketika apabila keluarganya datang bertanyakan khabar, dia kata dia amat bahagia bersama saya. Tapi sebenarnya saya  tahu, yang dia berbohong untuk menutupi kesilapan saya.

Suatu hari, saya telah diberikan balasan oleh Allah. Saya terlibat dengan kemalangan. Tulang paha saya patah dan tidak berdaya utk bangun. Hampir lima bulan saya terbaring tidak berdaya. Ketika itulah isteri saya menjaga saya dengan setia sekali. Berak kencing saya dia tadahkan, dia basuhkan tanpa ada rungutan atau perasaan genyi mahupun geli. Dialah yang memandikan saya, menggosok badan saya dan memakaikan pakaian utk saya. Bila saya mengerang sakit kerana kaki yang bengkak di tengah malam berdenyut-denyut sakitnya, dialah yang bangun dalam keadaan mengantuk dan terhoyong-hayang kerana tidak cukup tidur. Dia datang kepada saya dan menyapukan ubat krim dan memberikan kepada saya ubat penahan sakit sehingga saya rasa lega dan tertidur, tetapi isteri saya tidak tidur hingga ke pagi.

Ustaz, isteri sayalah yang menyuapkan saya makanan, dia sendiri tidak akan makan melainkan setelah saya kenyang. Dia akan membuatkan makanan dan minuman mengikut kehendak dan selera saya. Bila saya kenangkan kembali, sewaktu saya terlantar sakit, tiada siapa pun dari teman-teman yang setia berjoli dengan saya dahulu datang menghulurkan bantuan. Apatah lagi melawat. Kekasih saya, lagi lah... Apabila dapat tahu saya kemalangan dan tidak boleh bangun, dia tidak mahu lagi menghubungi saya malah meminta hubungan kami diputuskan. Kononnya saya sudah menjadi suami orang.

Huh... sekarang baru dia kata saya suami orang, dulu, dialah yang menghasut dan memberikan harapan pada saya untuk membenci isteri saya. Ketika itu barulah saya sedar betapa besarnya kesilapan dan dosa yang telah saya lakukan. Ustaz, saya seorang suami yangh kasar, kejam dan zalim kepada isteri yg menyayangi saya. Besarnya dosa saya…, saya amat menyesal rasanya.

Ketika saya boleh berjalan sedikit demi sedikit dan saya beransur pulih, isteri saya jatuh sakit. Bbadannya menjadi kurus kering. Tiada selera makan, terbaring, tak bermaya. Kata doktor yang merawatnya, isteri saya jadi begitu kerana terlalu letih dan susah hati…. Hati saya menjadi sebak kerana saya tahu sayalah puncanya.

Ustaz, kesihatan isteri saya makin teruk, mukanya makin pucat, tetapi dia tetap senyum. Saya menangis sepuas-puasnya, memohon ampun dan maaf di atas kejahatan yg pernah saya lakukan terhadapnya.

Dia hanya tenang dan menjawab dia telah lama maafkan saya…. “Abang saya dah lama maafkan abang… saya sayangkan abang”.

Berderai airmata saya, hancur hati saya, pilu bercampur sebak yang amat sangat diikuti dengan perasaan menyesal.

Ustaz, selepas itu isteri saya di masukkan ke dalam wad kecemasan. Saya menjaganya setiap hari. Saya belai rambutnya, saya kucup dahinya…  Sambil airmata ini tidak berhenti-henti mengalir. “Jangan menangis bang…. bukan salah abang… mungkin saya ni yang tidak pandai mengambil hati abang…” Berdentum, seolah-olah hati saya disambar halilintar. Saya menangis lagi sehingga keluarga yang datang melawat terpaksa menenangkan saya. Malah ada yang memuji saya kerana beranggapan saya suami yang amat menyayangi isteri. Ternyata pujian itu bagaikan sumpahan utk saya.

Ustaz, isteri saya ada berkata, dia meminta maaf kerana tidak dapat melahirkan zuriat untuk saya kerana masanya utk menghadap ilahi semakin hampir. Saya meraung, merayu kepadanya agar tidak meninggalkan saya. Tapi katanya, setiap yang hidup pasti akan mati dan dia meminta saya menjaga diri baik-baik kerana dia tidak boleh lagi menjaga saya. Ustaz, saya menangis… Sehingga saya menjadi lemah apabila dia mengucapkan kata-kata terakhir itu.

Tepat jam 3.00 ptg, setelah dua minggu berada di hospital, isteri saya telah pergi meninggalkan saya buat selama-lamanya.. Dengan bebanan dosa dan jutaan kekesalan yang menerjah hati ini, saya meraung semahu-mahunya… menyesal di atas kekasaran yg pernah saya lakukan.

Ustaz, jiwa saya tidak tenteram. Apakah Allah akan mengampunkan dosa saya ini? Apakah kekasaran dan kejahatan serta layanan buruk saya kepada isteri akan diampunkan Allah? Tolonglah ustaz, saya amat menderita. Jiwa saya terseksa, mungkin inilah hukuman yang patut saya terima. Masih terngiang-ngiang di telinga saya pesanan akhir isteri saya. “Abang, jagalah diri baik-baik, jangan lupa tunaikan solat, berbuat baik, takutlah kepada Allah…. dan jika bertemu dengan insan bernama isteri, janganlah berkasar dengannya, sayangilah dirinya.”

Ustaz, sebelum isteri saya menghembuskan nafas terakhir, dia ada meninggalkan satu nota dan sebuah lagu untuk saya dengar dan hayati. Lagu itu adalah harapan yang dia impikan dari saya, tetapi tidak sempat dia nikmati kasih-sayang yang terkandung dalam lagu itu. Dia harapakan dari saya, di dalam nota itu dia menulis “Abang, dengarlah lagu ini dan ingatlah saya selalu, dahulu, saya sentiasa menanti abang pulang ke rumah, menyambut ketibaan abang, saya teringin sangat nak makan bersama abang, mendengar cerita daripada abang, bergurau dan bermanja dengan abang, memeluk abang ketika tidur…., tetapi semuanya mungkin tidak sempat bagi saya, jaga diri… Sayang Abang Selamanya."

Ustaz, .saya harap ustaz tak marah saya meluahkan perasaan begini panjang kepada ustaz…. kerana inilah pesanan isteri saya sekiranya saya merasa terlalu sedih. “Ceritakanlah pada ustaz, dia tahulah apa nak buat utk tenangkan abang” itulah pesanannya.

Ustaz, saya harap cerita saya ini dijadikan teladan bagi mereka yg bergelar suami. Sayangilah isteri Anda, selama mana Anda berpeluang utk berbuat begitu. Janganlah terjerumus dengan kesilapan yang saya lakukan. Pasti Anda akan menyesal tak sudah….

Terima kasih ustaz….doakan saya…….

Tajuk lagu yang ditujukan oleh Isterinya ialah; 
Klik di sini (Now & Forever) atau boleh juga di sini (Now & Forever) dengan lirik,  Sumber dari Sini



Baca selanjutnya, Klik di sini...