Isnin, Februari 20, 2012

Skim SBPA, Sikap Kebertanggungjawaban

Lakaran ini adalah sambungan daripada lakaran-lakaran saya berkenaan Skim SBPA iaitu;

Alahai SBPA (Saraan Baru Perkhidmatan Awam) Malaysia

Kecelaruan SBPA, Mengundang Perpecahan Penjawat Awam?


Pada saya, kegagalan skim SBPA yang telah diperkenalkan akhir tahun lalu amat memalukan. Ianya bukan sahaja gagal dan menimbulkan pelbagai persoalan serta kecelaruan, malahan ianya telah turut menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan kakitangan awam, termasuklah juga rakyat Malaysia amnya.

Di kalangan penjawat awam khususnya mereka yang seolah-olah tidak mendapat faedah daripada pengumuman skim tersebut, SBPA dilihat seolah-olah hanyalah bersifat kosmetik semata-mata untuk mengindahkan penampilan para penjawat awam sempena piliharaya umum yang akan datang. Manakala dikalangan yang bukan kakitangan awam, ianya telah dilihat negatif seolah-olah para penjawat awam hanya menginginkan kenaikan gaji yang digambarkan tidak berbaloi berbanding dengan hasil kerja yang mereka laksanakan.

Pengamatan saya juga mendapati ramai yang melihat skim SBPA yang telah dirangka hanyalah untuk menguntungkan pihak atasan sahaja. Benarkah sedemikian yang telah berlaku? Seandainya jawapannya benar, maka malanglah sistem Pentadbiran Awam Negara ini kerana memiliki pegawai-pegawai yang bersikap sedemikian rupa. Sikap berpilih dan tidak mengutamakan kemaslahatan Ummah di dalam merangka dan melaksana segala tanggungjawab yang diamanahkan oleh Pemerintah khususnya, dan rakyat Malaysia amnya.

Pemimpin yang tidak adil dan kurang amanah, sudah pasti kelak akan menghancurkan organisasi dan negara ini. Seumpama peribahasa yang seringkali dituturkan berbunyi "seperti ketam menyuruh anaknya berjalan dengan betul".

Kesan daripada pengumuman skim SBPA bukanlah sedikit kerugiannya. Banyak!

Ianya termasuklah perbelanjaan yang digunakan oleh pegawai-pegawai yang terlibat di dalam merangka dan melaksana skim SBPA itu. Termasuklah juga pengorbanan masa yang terpaksa ditanggung oleh semua penjawat awam untuk mendengar celoteh berkenaan kandungan skim tersebut.

Lima minit masa yang diberikan oleh sejuta penjawat awam untuk mendengar ceritera skim SBPA bukanlah tempoh yang sedikit. Apatah lagi andai sejam atau dua jam. Banyak perkara sebenarnya yang boleh dihasilkan oleh sejuta penjawat awam seandainya lima minit, sejam atau dua jam itu digunakan untuk menghasilkan karya berjudul "Kesejahteraan Umat Negara Malaysia".

Lakaran ini saya hasilkan semata-mata untuk berkongsi rasa sebagai orang bawahan di dalam pentadbiran negara ini. Sebagai orang bawahan, saya sekadar menerima arahan daripada orang yang diatas. Sudah menjadi tradisi, bilamana orang yang berada di atas melakukan kesilapan, ianya dianggap sebagai kesilapan kecil, dan seandainya kesilapan kecil itu berlaku kepada orang yang dibawah, maka ianya boleh menjadi besar kerana yang diataslah yang telah menggubal segala peraturan-peraturan untuk diamalkan oleh orang yang dibawah.


(*___*)
Abgbent

p.s: Moga kemungkaran tidak akan berlaku berpanjangan.


0 Komen:

Catat Ulasan