Rabu, November 03, 2010

Kecewa bersulam Gembira @ Gembira diselubungi Kecewa

Terlalu sukar saya melelapkan mata ketika ini, walhal jam di dinding sudah menunjukkan hampir pukul 2.30 pagi. Peristiwa siang tadi semasa berada di tempat kerja masih lagi terbawa-bawa sehingga kini. Walhal ianya tidaklah penting mana. Cuma agak mengecewakan juga bila difikir-fikirkan semula.

Namun, sebenarnya saya tetap gembira menerima kesudahnnya kerana saya pasti, ini merupakan ujian kesabaran yang harus dilalui. Begitulah realiti yang harus saya semati di dalam hati dan naluri semasa melalui kehidupan duniawi ini.

Setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya.

Sebab itulah saya memberikan tajuk lakaran kali ini seperti di atas. Kekecewaan diselubungi Kegembiraan. Tajuk ini iras-iras menyamai Law of Rejection dan Law of Attraction.

Untuk itu, izinkanlah saya meluahkan rasa kekecewaan kepada Anda dahulu ketika ini. Saya berharap moga-moga minda yang saya miliki kelak beransur pulih dan merasakan sedikit kelegaan. Iaitu bukannya terus-terusan diiringi perasaan kekecewaan.

Sememangnya saya amat gembira walaupun minda saya menafsirkan sedikit kecewa di dalam hati sanubari ini.

Kisahnya bermula bila mana saya telah menerima email jemputan untuk menghadiri satu bengkel latihan di negara Filipina dua minggu lepas. Bengkel latihan itu adalah berkaitan dengan kajian saintifik dan disertai oleh sebahagian daripada negara-negara Asia Tenggara. Senarai jemputan peserta yang saya perhatikan dari Malaysia hanya dua orang sahaja, iaitu termasuk saya.

Paling menggembirakan ialah semua perbelanjaan termasuk tiket kapal terbang pergi-balik, penginapan di sana dan elaun harian akan ditanggung oleh pihak penganjur dengan syarat saya perlu mendahulukan duit saya dan akan dibayar semula bila sampai di sana, di Manila, Filipina.

Disebabkan saya bukanlah orang berharta, selain bergaji cukup-cukup untuk menampung keluarga, maka terpaksalah saya memohon wang pendahuluan daripada pihak majikan bagi mengurangkan bebanan kewangan yang saya terpaksa tanggung.

Maklum sajalah, anak pun dah tiga orang, Isteriku Yang Tercinta bukannya ada gaji, diakan suri rumah sahaja.

Gaji yang saya terima selain cukup-cukup untuk keluarga, saya juga perlu memberikan sebahagian kepada orang tua dan juga mertua. Campur lagi bayaran hutang bulanan rumah yang harus dilangsaikan dengan segera. Pastilah simpanan pun ala kadar sahaja. (*____*)

Disebabkan itulah saya memerlukan wang pendahuluan daripada majikan untuk meringankan sedikit bebanan kewangan. Itu pun bila dah kembali ke tanah air semula, selepas pihak penganjur membayarnya, pastilah akan saya kembalikan semula.

Namun, amat mendukacitakan bila mana pihak majikan tidak dapat memberikan wang pendahuluan perbelanjaan seperti yang saya harap-harapkan. Disebabkan itulah juga saya terpaksa menolak jemputan daripada negara Filipina itu.

Majikan saya sangat susah memberikan kemudahan begitu kerana tiada prosedur jelas mengenainya. Itu menurut mereka. Takkanlah pula saya memaksa-maksa. Apatah lagi meminjam dari Ah Long. Tak pasal-pasal saya bersama keluarga menerima padah (*___^)

Oleh kerana itu, tak apalah saya menyimpan rasa kecewa kerana tidak dapat memberikan sumbangan di dalam bengkel itu dan seterusnya membawa nama negaraku tercinta Malaysia. Lebih-lebih lagi menghargai jemputan yang diberikan kepada saya.

Walaupun saya kecewa dek terpaksa menolak tawaran itu, sebenarnya saya tetap berasa amat gembira kerana akhirnya dapat juga saya bersama-sama Isteriku Yang Tercinta dan Anak-Anak.

Sebenarnya pada tarikh yang sama dengan jemputan itu, Anakku yang sulung berusia menghampiri lima tahun dan sedang bersekolah di Tadika KEMAS akan membuat persembahan bersempena Akhir Tahun dan Penyampaian Sijil sekolahnya.

Inilah julung-julung kali dia akan membuat persembahan untuk sekolahnya bersempena cuti akhir tahun.

Oleh sebab itu, kegembiraan yang muncul di dalam hati saya ialah dapat melihat gelagatnya kelak. Dan dua hari selepas itu pula, mereka akan mengadakan lawatan ke suatu tempat.

Lawatan itu juga akan saya dapat sertai kerana tidak jadi ke Manila, Filipina. Hati saya memang gembira.

Syukur Alhamdulillah, kepada NYA jua, Tuhan Yang Maha Berkuasa, saya panjatkan kesyukuran ini kerana memberikan setiap kemudahan di dalam kesusahan.

ENGKAU menolak sesuatu dan pada masa yang sama, mendekatkan yang lain pula untuk saya hargai.

Berbanding kerjaya, pastilah keluarga lebih utama.

Saya tidak mahu merasa kecewa dek merahsiakan kasih sayang daripada Isteriku Yang Tercinta dan Anak-Anakku. Merekalah jantung hatiku.

Kehidupan di dunia ada titik nokhtahnya dan saya tidak mahu merasai kekecewaan selama-lamanya hanya kerana ingin merasai kegembiraan yang sementara.

Kegembiraan diakhiri dengan kekecewaan atau kekecewaan diakhiri dengan kegembiraan.



2 Komen:

All About AnaYna berkata...

Its ok abg bent...Allah maha mengetahui mane yg lbh menggembirakn utk abgbent.InsyaALLAH..:)

ynn berkata...

try yg terbaik k...berdoa byk2 semuga di beri pertunjuk..;d

Catat Ulasan