Ahad, Disember 27, 2009

Persoalan Minda, Mencari Jawapan, Mengharap Kebenaran

Saya bukanlah seorang sejarawan dan bukan juga seorang sasterawan, apatah lagi dinamakan sebagai agamawan. Memang bukan!

Realitinya, saya suka membaca kitab-kitab suci, kisah-kisah sejarah dan ukiran-ukiran seni yang dinamakan kesusasteraan. Apatah lagi ukiran yang dihiasi keindahan bergemerlapan dengan kilau-kilauan bila ditelaah oleh minda yang memerlukan tafsiran dari pelbagai dimensi untuk menjelmakan mahligai kebijaksanaan... Pasti saya amat menyukainya :)

Walaupun realitinya saya bukanlah seorang sejarawan, sasterawan atau agamawan, usahlah pula menghalang pelbagai tafsiran minda yang saya cuba lakarkan gambarannya di dalam blog Pedoman Hidup ini.

Lakaran ini adalah hasil luahan hati yang ingin dikongsi titisan kasihnya kerana dahagakan penafsiran. Sebenarnya ia amat menuntut keterbukaan ruang minda yang sering mahukan intelektualisma. Harap-harap budaya keterbukaan sebegini membuatkan kita terus berusaha memburu fakta dan makna. Dan seterusnya berusaha menyingkap rahsia alam yang masih menyembunyikan kepelbagaian ilmu-ilmu-NYA.

Kebijaksanaan sememangnya perlu dicari kerana DIA sedang mengajarkan pelbagai perkara untuk difahami. Sebab itu di dalam surah pertama-NYA yang diterima Rasulullah SAW melalui perantara Malaikat Jibrail di gua Hira’ berupa ungkapan “Bacalah dengan nama Tuhan yang menciptakan... (Surah ke 96 di dalam Al-Quran diberi nama Al-Alaq, mengandungi 19 ayat kesemuanya).

Moga-moga dengan membaca, tersimbahlah cahaya NYA untuk menyuluh perjalanan kehidupan yang memerlukan kebijaksanaan supaya terarahlah perjalanan menuju destinasi hakiki - Kehidupan Syurga Abadi.

Pernahkah Anda mengenali Imam Al-Ghazali, Imam Nawawi, Ibn Taymiyyah atau agamawan-agamawan selain mereka? Adakah Anda juga pernah menyingkap kisah sejarah di Karbala berkenaan keluarga baginda Rasulullah SAW di akhir-akhir kehidupan mereka? Ianya amat relevan di bulan Muharam sebegini untuk dihayati dan diketahui.

Saya sengaja mengutarakan persoalan tersebut di atas yang merupakan secebis daripada persoalan-persoalan yang memerlukan jawapan agar kdapat difahami mengenai Wahabi, Sunni, Syiah dan pelbagai lagi definisi berkaitan agama Islam yang dilontarkan sejak akhir-akhir ini.

Kejituan jawapan amat diperlukan agar prinsip kehidupan yang dipegangi jelas dan berharap menemui jalan-jalan kebenaran walaupun hakikatnya, pada masa ini tiada penunjuk arah yang jelas mengenai laluan destinasi hakiki - Kehidupan Syurga Abadi.

Sungguh! Kekaburan membuatkan minda terpinga-pinga mencari jawapannya. Apatah lagi di dalam solat setiap masa diluahkan kalimah “selawat buat junjungan Rasulullah SAW dan Keluarga Baginda Rasulullah”.

Kalau peristiwa hitam di Malaysia mengenai Chin Peng diingati sampai bila-bila kerana dikatakan membunuh warga tanah melayu, bagaimana pula pembunuhan ahlul bait Rasulullah?, Sengaja saya melontarkannya supaya kita menggali jawapannya dan berharap adalah kebenaran menunjukkan perjalanan menuju destinasi hakiki nanti.

Saya... Sebenarnya masih terpinga-pinga mencari segala-gala persoalan yang memerlukan jawapan. Bukanlah bererti saya sudah tiada pegangan diri, tetapi saya amat berharap agar pegangan yang saya anuti tidak akan ditolak ke tepi sewenang-wenangnya oleh mereka yang sering memunculkan keraguan di dalam hati. Ini saya perlu lakukan agar terbinalah mahligai minda yang dapat melenakan persoalan yang memerlukan jawapan...

Mungkinkah masih ada sumber yang boleh dipercayai untuk merungkai persoalan-persoalan yang memerlukan jawapan?, apatah lagi menunjuki kebenaran yang jitu dan hakiki agar lapanglah laluan ke Syurga Nan Abadi nanti...

Saya akan terus berusaha membina mahligai kebijaksanaan walaupun barangkali terlalu payah melakukannya... Saya yakin, andai kita berkerjasama menjadi Satu, pasti usaha sebegini menjadi mudah dan barangkali singkat sahaja untuk membinanya.

InsyaAllah

2 Komen:

Brahim Nyior berkata...

Salam Abang Bent,

Menarik blog ini, penuh dengan unsur dakwah, menandakan pemiliknya seorang yang istiqamah terhadap agama.

Abang Bent masih sama seperti masa kita di Serdang dulu. Moga rahmat Allah sentiasa bersama Abang Bent dan keluarga.

p/s: Saya dah senaraikan blog Abang Bent dlm senarai blog yang WAJIB saya kunjungi.

Motivasi Kerja berkata...

Assalamualaikum Abg Bent. Bila Abg Bent cakap kerja sebagai saintis memang amat sesuai dengan jiwa Abg Bent yang sentiasa mencari jawapan kepada sesuatu. Kepastian hanya wujud bila adanya bukti. Teruskan kesucian usaha itu.

Catat Ulasan