Rabu, Oktober 14, 2009

Coretan Buat Adik Eiytasa... Luaran Sahaja Nampak Baik, Tapi Dalaman?

Abg berasa simpati terhadap apa yang telah berlaku ke atas diri adik iaitu dilemparkan tuduhan sebegitu rupa. Memang tidak wajar perbuatan itu. Dan perlu abg nyatakan bahawa abg juga rasa bersyukur membaca penutupan komen adik yang dilakarkan dengan ayat yang cukup indah iaitu “saya akan membuat baik selagi terdaya.. semoga Allah merestuinya Aminnn…”

Memang itulah selayaknya perlakuan yang kita harus lakukan. Syabas dan Tahniah buat adikku eiytasa!

Namun, suka juga abg mengambil peluang ini untuk menyatakan sesuatu kepada adikku eiytasa. Izinkan abg berbuat demikian. Moga-moga adalah manafaatnya untuk kita sama-sama fikirkan.

Cuba amati kembali komentar adik. Memperkatakan berkenaan si Tudung Labuh? Apakah ini memberikan maksud bahawa si Tudung Labuh tadi nampak sahaja bersopan tetapi hakikatnya seolah-olah bertentangan dengan perlakuannya?

Persoalan yang berlegar di fikiran abg ialah mengapa pula harus dituduh si Tudung Labuh sebegitu? Nampak sangat ada yang tersirat di sebalik tuduhan itu?

Terus-terang abg nyatakan di sini, mungkinkah itu disebabkan oleh perasaan membara dan bergelora berkaitan dengan Tudung Labuh? Mungkinkah itu juga didorong oleh bisikan-bisikan kebencian kepada yang berTudung Labuh?

Sejujurnya abg tidak pasti dan belum mengetahuinya. Tetapi gambaran yang adik berikan di atas menunjukkan betapa adik membenci si ber Tudung Labuh ini. :)

Dalam hal ini, izinkan pula abg melontarkan pandangan begini;

“Setiap insan pasti ada kelemahan, tetapi mengapa harus dilihat kelemahan itu berbanding kebaikan yang ada padanya”

Mari abg bawakan kisahnya begini, bukankah dengan perbuatan si Tudung Labuh melekatkan peringatan itu bermakna adik semua akan beringat-ingat? Apakah memberikan peringatan sedemikian merupakan satu kesalahan? Usaha si tudung labuh itu pada abg seharusnya sama-sama dihargai, dan seharusnya juga usahlah ditafsir dari dimensi yang negatif.

Bayangkan pula perasaan si ber Tudung Labuh itu apabila masuk ke tandas dan melihat masih terdapat butiran najis terapung-apung di dalam mangkuk tandas itu. Apatah lagi melihat sisa-sisanya melekat pada dinding tandas itu. Apakah perasaannya? Sanggupkah kita melepaskan hajat dalam keadaan sedemikian rupa?

Abg merasa, sebab itulah barangkali dia terdorong melakukan sebegitu rupa. Tidak adakah perasaan menghargai terhadap usaha yang dilakukan oleh si ber Tudung Labuh itu? Memang barangkali peringatan itu seolah-olah memberikan gambaran yang adik eiytasa atau mungkin rakan-rakan lain yang melakukannya. Tetapi seandainya perbuatan itu adik dan rakan-rakan lain tidak melakukannya, mengapa pula harus ada perasaan membenci terhadap si Tudung Labuh itu?

Seandainya si Tudung Labuh itu menuduh adik, bukankah lebih baik berterus-terang sahaja dengannya dan nyatakan apa yang terbuku di dalam hati, daripada terus-terusan mengkhayalkan kemungkinan-kemungkinannya. Apatah lagi kebarangkalian itu tergambar dari sudut negatif sifatnya yang didorong oleh lakaran syaitan.

Pada abg, lebih baik berterus terang sahaja dengannya daripada menyimpan pelbagai perasaan yang kadang-kala membolehkan si syaitan memberikan gambarannya di ruangan minda.

Menurut komen adik di atas, tuduhan yang dilemparkan itu pun adalah dari cakap-cakap yang dilontarkan oleh rakan-rakan yang lain dan bukanlah dari mulut si Tudung Labuh itu sendiri.

Seharusnya adik semua berterima kasih terhadap usaha yang dilakukannya. Bukankah melalui usaha si Tudung Labuh itu, maka terpancarlah kebaikan untuk semua pengguna tandas yang adik maksudkan itu?.

Memang hakikatnya usaha yang sedemikian kadang-kala tidak mendapat pujian kerana setiap kebaikan akan menyebabkan para syaitan berasa kecewa. Sebab itu akan wujudlah pelbagai prasangka menyebabkan perbuatan yang baik akan ditafsir dari sudut negatif. Memang itulah kerja para syaitan dari dahulu sehingga kini. Ingatkah lagi bagaimana nabi Adam dirangsang melakukan kesalahan kepada-NYA ? Memang itulah kerja para syaitan.

Dalam hal ini suka juga abg menasihati agar jauhilah perasaan prasangka, apatah lagi bermain-main dengan perasaan sendiri. Fokus pada apa yang ingin adik lakukan untuk kejayaan dan kebaikan diri sendiri serta masyarakat amnya. Usah pedulikan apa yang orang lain kata andai adik tidak pernah pun melakukan perbuatan itu. Abg berharap pandangan ini dilihat dari sudut positif…

Berkaitan fitnah, bukankah apa yang adik lakukan di sini menampakkan ianya juga serupa fitnah? Cuba bayangkan andai apa yang si Tudung Labuh itu lakukan bukanlah bermaksud seperti apa yang adik sangkakan atau fikirkan. Lagi parahlah jadinya bukan? Cuba kenali dan amati hati si Tudung Labuh itu. Bukankah lebih baik berdepan dan berterus terang sahaja, daripada terus-terusan bersangka kurang elok padanya?

Sabda Rasulullah S.A.W:

“Seburuk- buruk hamba Allah iaitu orang yang berjalan ke sana ke mari dengan fitnah yang memecah-belahkan antara kekasih yang suka mencari kecacatan orang-orang yang baik.” (HR: Ahmad)

“Tidak akan masuk syurga yang membawa fitnah.” (HR: Bukhari dan Muslim dari Huzaifah).

Firman Allah,

Sesungguhnya orang- orang yang menuduh (memfitnah) wanita- wanita yang baik lagi beriman berzina, mereka kena laknat di dunia dan akhirat dan bagi azab yang besar.” (An- Nur: 23)

Dan ada di antara manusia yang menyembah Allah dengan sikap dan pendirian yang tidak tetap, iaitu kalau dia beroleh kebaikan, senanglah hatinya dengan keadaan itu dan kalau pula dia ditimpa fitnah kesusahan, berbaliklah dia semula (kepada kekufurannya). (Dengan sikapnya itu) rugilah dia akan dunia dan akhirat, itulah kerugian yang terang nyata. (Al-Hajj, 22: 11)

kerana Allah hendak menjadikan hasutan Syaitan itu sebagai satu fitnah cubaan bagi orang-orang yang ada penyakit kufur ingkar dalam hati mereka dan yang hatinya keras membatu dan sesungguhnya mereka yang zalim itu sentiasa berada dalam pertentangan yang jauh dari kebenaran. (Al-Hajj, 22: 53)


Semoga coretan ini memberikan motivasi yang berguna untuk kita merubah diri. Usah memperkatakan keburukan orang lain, andai diri kita tidak mahu diperkatakan keburukannya.

Bukankah lebih baik kita memuhasabah diri sendiri berbanding memuhasabah orang lain. Sesungguhnya setiap mukmin itu adalah cerminan kepada mukmin yang lain. Sejujurnya, abg lebih rela meluahkan coretan ini berbanding sekadar membaca luahan perasaan seperti di atas. Moga-moga ianya juga membuka pintu hati ini dengan nur cahaya-Nya.



3 Komen:

shinigamiheromi23 berkata...

emm......

Motivasi Kerja berkata...

Sangat baik penulisan abg bent. Jika tidak keterlaluan saya katakan kita hari ini membenci orang yang melakukan keburukan tersebut, bukan membenci sikapnya. Inilah konsep yang salah. Atas dasar ini andai, kita sebenarnya menutup jalan dakwah yang terbuka.

joegrimjow berkata...

jaga aurat bukan pakai tudung labuh aje
bnyak lagi aurat lain

Catat Ulasan