Jumaat, April 17, 2009

Hati Sihat vs Sakit Hati

Di dalam kehidupan ini, saya membahagikan Hati Nurani kepada tiga kategori iaitu hati sihat, hati sakit dan hati mati.

Ada yang mengatakan hati terbahagi dua iaitu hati jasmani dan hati nurani. Hati jasmani di dalam perubatan moden dikenali sebagai liver.

Manakala hati nurani adalah merujuk hati rohani, jiwa atau roh. Hati nurani diciptakan oleh-Nya sebelum manusia dan ianya bukanlah berbentuk seperti jasad kasar yang dapat dilihat dan dipegang. Hati nurani bersifat rohaniah, sebab itulah dikenali sebagai roh. Ianya dikatakan terletak di dalam hati jasmani atau liver yang merupakan seketul daging di dalam tubuh badan manusia.

Rasulullah sendiri mengatakan bahawa di dalam diri manusia itu terdapat seketul daging. Jika baik daging itu, maka baiklah manusia itu. Tetapi jika rosak daging yang seketul itu, maka rosaklah tubuh badannya. Dan ketahuilah bahawa daging itu adalah hati (Sahih Bukhari dan Muslim).

Di dalam perubatan moden, liver atau hati jasmani adalah organ penting di dalam tubuh badan manusia yang berperanan sebagai penapis darah, menghasilkan hempedu dan berbagai macam fungsi untuk memastikan keseimbangan tubuh badan supaya sihat sentiasa.

Imam Al-Ghazali memberikan takrifan hati sebagai 'jantung' yang mengepam darah dan dibahagikan sebagai hati jasmani dan hati nurani.

Apapun takrifannya, hati merupakan organ yang sangat penting kerana segala perbuatan manusia bermula dari hati. Sebab itu dikatakan ada hati baik (hati sihat), hati jahat (hati sakit) dan hati mati.

Peranan hati sememangnya terlalu besar di dalam kehidupan manusia sehingga Rasulullah saw menyatakan apabila hati itu baik maka baiklah segala anggotanya dan apabila hati itu rosak maka rosaklah segala anggota manusia.

Hati dalam diri saya dan Anda adalah raja yang menentukan tingkah laku dan perbuatan dan penggubal dasar serta prinsip kehidupan yang akan dilalui. Hati berperanan sebagai pembuat keputusan apabila saya dan Anda perlu membuat keputusan dalam sesuatu perkara.

Hati yang baik, akan memandu seluruh anggota melakukan perkara-perkara yang baik dan diredhai-Nya yang akan dijelmakan dalam berbagai bentuk akhlak mulia. Orang yang hatinya baik, akan sentiasa menghormati orang lain dan menghormati jiran tetangga kerana mengetahui tuntutan agama.

Sebaliknya orang yang mempunyai hati yang sakit, rosak dan mati, ianya akan terdorong melakukan dosa dan maksiat kerana masih tidak memahami matlamat kehidupannya untuk mendapatkan ketenangan dan kebahagian di alam akhirat yang abadi.

Hati yang sakit, rosak dan mati sentiasa menjadi perosak kepada masyarakat, menjadi duri yang sentiasa menyakiti orang lain, menjadi racun yang mematikan hati-hati yang baik dan membawa kepada kehinaan.

Lebih malang lagi hati yang sakit, rosak dan mati akan menjadi tunggangan para syaitan yang sentiasa berkerja dan berusaha membawa hati nurani bersama-sama mereka menduduki tempat di neraka.

Begitulah besarnya peranan hati di dalam kehidupan saya dan Anda.

Hati mati adalah merujuk kepada mereka yang melakukan perkara rutin harian tetapi tidak mengetahui matlamat kehidupan yang sebenarnya. Sebab itu ada juga yang melakukan sembahyang dan dalam masa yang sama maksiat masih tidak ditinggalkan. Ini berlaku kerana mereka tidak ada tujuan untuk bertemu dengan-Nya apatah lagi merindui-Nya. Mereka juga tidak takut dan insaf melihat kematian yang berlaku di hadapan mata.

Hati nurani tidak akan mati sepertimana jasad manusia. Jasad kasar manusia yang kita lihat suatu hari akan hancur berkecai jua akhirnya. Tidak kira secantik atau sehensem mana pun tubuh badan ini, seputih atau segagah manapun ia, pasti hancur luluh jua akhirnya di dunia ini.

Hati nurani akan kekal selamanya iaitu berpindah dari alam dunia ke alam barzakh dan seterusnya ke alam akhirat. Di akhirat itulah tempat abadi hati nurani iaitu tempatnya sama ada Syurga ataupun Neraka.

Syurga dan Neraka adalah tempat abadi seperti mana abadinya hati nurani. Di Syurgalah kekalnya semua perasaan kesenangan dan kebahagian, manakala di Neraka jugalah kekalnya semua perasaan kesusahan dan kesengsaraan.

Semua perasaan itu dapat dirasai oleh hati nurani dan jasad kasar semasa di dunia ini dengan harapan saya dan Anda dapat mempelajarinya kerana ini semua adalah di antara ilmu-ilmu-Nya.

Semua perasaan itu Anda dan saya rasai kerana di dunia ini adalah perhentian sementara sebelum ke alam akhirat. Moga-moga pelajaran yang diperolehi semasa di dunia dapat digunakan untuk persediaan ke alam akhirat kelak.

Sesungguhnya haluan hati nurani, saya dan Anda sendiri yang mengetahuinya ke manakah arahnya. Adakah ia mengarah pada kebaikan untuk mengecapi kebahagian hakiki di Syurga, atau ianya mengarah pada kejahatan agar dapat merasakan kesengsaraan di Neraka buat selama-lamanya…

5 Komen:

paan berkata...

setuju...didiklah hati anda dengan cahay keimanan.hehehe

Kurniadi Bulhani berkata...

setuju,kita cuma bisa berusaha,lain hal kita minta pertolongan Allah,tawakal,istiqomah dan bertaubat terus,apunilah aku ya Allah...karena Engkau Yang Maha Mengetahui Hatiku...

khasyikelvin_ berkata...

mudah2an,
syaitan tidak memesongkan
hati kita kepada benda2 terkutuk.
Amin~

Na Shari berkata...

Na sentiasa memilih untuk memiliki hati yang baik...cuma kadang2 faktor luaran yg menyebabkan hati menjadi sakit...

alang berkata...

Hati dalam tubuh hanyalah seketul daging, tapi isi (roh) kepada daging tu lah penentu sifat seseorng yg mengaku `manusia`.

Catat Ulasan