Selasa, Mac 03, 2009

Panggilan Syaitan

Sebut sahaja tajuk di atas seolah-olahnya ia amat menakutkan. Terasa juga yang ianya mengerikan. Panggilan daripada Syaitan?, Nyata sekali kalau boleh Kita tidak mahu mendengar panggilan itu. Namun, hakikatnya, panggilan syaitan akan sentiasa mengiringi perjalanan kehidupan Kita sehingga ke nafas terakhir sekali pun.

Sesiapapun, sekiranya mengetahui panggilan itu daripada syaitan, sudah pasti akan cuba mengelak daripada menyahut panggilan itu. Tetapi disebabkan kehalimunan syaitan, maka ramai yang terpedaya dan menyambut panggilannya. Bukan sahaja menyahut panggilannya itu, tetapi kadang-kala turut sama bersahut-sahutan menggemakan alunan panggilannya.

Sesiapa yang banyak menyambut panggilannya di sepanjang kehidupan ini, pasti akan digolongkan di kalangan para syaitan. Nau’zubillah!.

Perlu juga diketahui bahawa tiada tempat yang dapat Kita gunakan untuk mengelak daripada mendengar panggilan para syaitan itu. Alunan panggilannya akan sentiasa bergema untuk Kita dengari. Ini memang hakikatnya. Kerana MAHA PENCIPTA telah membuat perjanjian dengan kebiadapan mereka. Selain itu, perjanjian itu juga bertujuan untuk MAHA PENCIPTA menguji sejauh mana keimanan yang dimiliki oleh yang namanya Insaniah, untuk DIA mengangkat lagi martabat mereka berbanding para syaitan. Sudah pasti hanya insan-insan yang penuh dengan Pelita Hati dan Keimanan Jitu pada-Nya sahaja yang akan berusaha untuk mengelakkan panggilan para syaitan itu.

Andai Keimanan Kita berada di tahap biasa-biasa sahaja, pasti syaitan yang ditugaskan untuk memanggil Kita adalah dikalangan syaitan yang biasa-biasa juga. Tetapi seandainya Keimanan Kita sudah mencapai tahap yang agak tinggi, pastilah pula syaitan yang bertugas bukan calang-calang hebatnya.

Hidup Kita memang penuh dengan ujian kerana daripada ujian-ujian itulah Kita akan lebih mendekati-Nya. Andai ujian-ujian itu membuatkan Kita tewas untuk mengenali-Nya, sudah pasti rugilah kehidupan Kita di dunia ini. Sebab itu Kita kena sentiasa memohon kepada-Nya agar dilindungi daripada mendengar alunan seruan para syaitan dan moga-moga sentiasa mendapat petunjuk dari-Nya.

Sesungguhnya MAHA PENCIPTA amat-amat mengasihi semua hamba-hamba-Nya andai selepas melakukan kesilapan, segera bermunajat kepada-Nya memohon keampunan dari-Nya.

1 Komen:

alang berkata...

Betul2. Saya sokong artikel nie.

Catat Ulasan