Jumaat, Februari 27, 2009

Penghapus Dosa

Kalau sebelum ini saya telah kongsikan mengenai kenangan silam atau peristiwa lalu yang sering tergambar di ruangan minda, kali ini saya juga ingin kongsikan pula kaedah perawatannya. Mungkin tidaklah seratus-peratus mujarab, tetapi barangkali boleh dicuba.

Setiap perkara yang Kita telah lakukan tidak akan ada ulangannya. Semua yang telah berlaku akan terus dibawa untuk dijadikan sejarah silam. Sejarah silam yang akan terus beralun bersama putaran masa. Hanya yang betul-betul terkesan yang akan sekali-sekala muncul di ruangan minda. Manakala yang tidak memberikan kesan apa-apa, gelombangnya akan terus beralun bersama-sama lipatan masa.

Ketahuilah bahawa Kita akan bertemu kembali dengan semua alunan gelombang perlakuan di alam barzakh. Kita akan diminta bertanggungjawab terhadap apa yang telah dilakukan. Kalau gelombang perlakuan itu berwarna putih berseri, pastilah Jiwa Sanubari gembira dan seronok melihatnya. Tetapi andai gelombang perlakuan itu berwarna kelabu, hitam atau barangkali hitam legam, pasti Jiwa Sanubari menjadi risau dan tidak tenteram yang kelak menghantui diri sepanjang masa. Mungkin juga Jiwa Sanubari menggigil ketakutan melihatnya.

Oleh itu, bersediakah menghadapi peristiwa itu? Kalau tidak bersedia, marilah bersama-sama saya mencuba kaedah penghapusan gelombang-gelombang perlakuan yang berwarna kelabu dan hitam itu.

Caranya ialah dengan menghadap dan memohon keampunan dari-NYA. DIA yang saya kenali Tuhan Pencipta Alam, yang saya namakan Allah SWT. Marilah kita memohon keampunan dari-NYA dengan BERDOA.

DOA adalah salah-satu daripada kaedah menghapuskan gelombang-gelombang perlakuan yang sedang beralun dan berwarna kehitaman atau dikenali juga sebagai Dosa. Moga-moga gelombang DOA dapat meneutralkan gelombang Dosa seterusnya menghentikan alunannya supaya Kita tidak menemuinya di alam barzakh nanti.

Oleh itu, sama-samalah Kita membanyakkan alunan gelombang DOA kepada-Nya agar alunan gelombang Dosa yang telah berkeliaran dapat dihapuskan pergerakannya.

Ketahuilah bahawa Allah SWT telah berpesan bahawa antara hamba-hamba yang dikasihi dan disayangi NYA ialah bila mana melakukan Dosa, mereka cepat-cepat memohon keampunan dari-Nya.

0 Komen:

Catat Ulasan