Khamis, Mac 12, 2009

Jiwa Bergelora dan Lemah

Artikel ini saya lakarkan untuk berkongsi dengan seseorang yang telah mengadu yang dia merasa ingin membunuh dirinya sendiri. Memang saya terkejut, tetapi itulah hakikatnya dengan dirinya itu. Oleh itu, saya usahakan mencoretkan artikel ini. Moga adalah manafaatnya untuk difikirkan bersama-sama.

Jiwa atau ada yang menafsirkannya sebagai Roh merupakan elemen yang sangat penting di dalam diri Kita. Sememangnya ilmu berkaitan Roh ini amat terhad kerana DIA memang telah menyatakan bahawa Roh itu adalah urusan dan rahsia-Nya.

Artikel ini sudah pasti tidak akan berbicara mengenai Roh tetapi perkaitannya dengan Perasaan diri Kita. Ya, Jiwa ada kaitan dengan perasaan diri Kita. Andai Jiwa Kita sentiasa bergelora, maka perasaan Kita juga akan merasai geloranya. Dan begitu juga andai Jiwa Kita lemah, pastinya perasaan Kita juga terasa lemahnya yang kadang kala menjadi takut dengan pelbagai perkara. Melihat sahaja sesuatu bergerak-gerak di dalam gelap, perasaan akan merasa takut dan mengambarkan pelbagai perkara. Itulah dia perkaitan antara jiwa dan perasaan yang Kita miliki.

Sememangnya di kalangan Kita, pasti ada yang berperasaan sentiasa bergelora dan paling menyedihkan apabila mempunyai perasaan yang sentiasa merasa takut dengan pelbagai perkara. Saya tidak menafikan bahawa perasaan sebegini sememangnya sedang mengalami kesakitan Jiwa. Jiwa, bilamana sedang sakit, pastinya perasaan diri juga akan tidak stabil dan merasai kesakitannya.

Persoalannya bagaimana untuk merawatnya? Ermmm.. Dalam hal ini saya merasa ada dua kaedah yang boleh dilakukan. Pertama saya mengatakan berusaha sendiri mengubatinya, dan kedua, memohon kerjasama daripada seseorang yang pakar berkaitan dengan penyakit ini.

Untuk pertamanya, saya ingin kongsikan rawatan dengan kerjasama orang yang lebih arif atau memahami berkaitan penyakit ini. Sama ada Kita sedar atau tidak, apabila jiwa telah lemah, dikatakan bahawa perkara-perkara lain akan mudah menguasai diri Kita. Apatah lagi apabila Kita sudah tidak berupaya mengawal perasaan diri sendiri. Ini akan menambahkan beban diri Kita untuk mengawalnya. Oleh itu, kehadiran kerjasama orang yang pakar dalam hal sebegini amat penting bagi memberikan kekuatan kepada perasaan Kita yang bergelora dan lemah. Selain itu, mereka juga akan dapat menghindar perkara-perkara lain daripada menganggu perasaan diri Kita.

Bagi kaedah rawatan diri sendiri, caranya adalah berusaha melatih diri agar perasaan itu dapat dikuasai dan bukannya membiarkan perasaan itu menguasai diri Kita. Ya, agak sukar mempraktikkannya tetapi apabila Kita telah mahir melakukannya, pastinya Kita akan berjaya mengawal perasaan itu.

Para rasul telah menunjukkan caranya iaitu dengan memahami bahawa kehidupan di dunia ini hanyalah satu ujian untuk Kita mengenali-Nya dan memahami kuasa-Nya. Andai Kita memahami perkara ini, pasti Jiwa akan ada kekuatan dan dalam masa yang sama Jiwa juga akan mendapat kuasa sebenarnya. Dari itu, sinar cahaya-Nya akan sentiasa menyuluh perjalanan hidup Kita walau pelbagai seruan atau laungan untuk menyesatkan perjalanan Kita. Cahaya-Nya akan memberikan suluhan yang terang dan jelas andai Kita memahami mengapa kita berada di dunia ini dan kemanakah arahnya tujuan hidup ini.

Seandainya Kita memahaminya, saya berkeyakinan bahawa Jiwa dan perasaan Kita akan sentiasa dalam ketenangan walau gelora melanda. Begitu juga perasaan ketakutan itu pasti dapat dikuasai andai Jiwa telah mendapat kuasa sebenarnya. Andai Jiwa telah berkuasa dan memahami kenapa Kita berada di dunia ini, pastinya Kita akan merasa redha dengan apapun yang berlaku di sekeliling Kita.

Jauh dari itu, andai sesuatu yang diimpikan tidak dapat dipenuhi, dalam ertikata lain, gagal di dalam usahanya, maka ketahuilah sesungguhnya kembalilah kepada-Nya untuk memohon bantuan-Nya kerana sememangnya DIA sahaja yang berkuasa di atas segala apa yang ada di dunia ini. Sesuatu yang mustahil berlaku itu pasti akan terjadi dengan kuasa-Nya.

Ingatkah lagi peristiwa perjalanan Rasulullah ke langit ketujuh dalam masa semalam sahaja? Ingatkah lagi bagaimana tongkat nabi Musa berubah menjadi ular yang besar? Ingatkah lagi peristiwa air yang terpancur daripada batuan yang dipukul oleh tongkat Nabi Musa? Ingatkah lagi peristiwa Mariam yang mengandung Nabi Isa walau tidak pernah disentuh oleh seorang lelaki? Ingatkah lagi peristiwa Nabi Yunus dimakan ikan dan dimuntahkan semula? Ingatkah lagi peristiwa pemuda-pemuda yang telah ditidurkan oleh-Nya selama seratus tahun di dalam sebuah gua?

Semua yang saya sebutkan itu adalah perkara yang tidak mungkin berlaku melalui pemikiran Kita. Walaupun saya adalah seorang saintis yang berpegang kepada fakta, Namun saya tetap menyakini bahawa tiada yang mustahil bagi-Nya melakukan sesuatu.

Sebab itu, DOA amat penting di dalam membantu kehidupan Kita. Berdoalah sentiasa kepada-Nya kerana DIA MAHA MENDENGAR DAN MAHA MELIHAT.

5 Komen:

Na Shari berkata...

Setiap kali ditimpa musibah dan ujian dari Allah...Na berserah kepadaNya sbb Na yakin ada hikmah di sebalik ujian yang Dia beri...Tipu la kalau Na kata Na tak pernah merungut atau menyesal dgn apa yang terjadi...Pernah...tapi bila difikirkan balik, kita sebagai hambaNya patut mensyukuri nikmat yang diberi olehNya. Dan apa jua ujian dariNya, sepatutnyalah kita meredhakannya...Allah maha Mendengar dan maha Melihat...

Abgbent berkata...

Betul tu adik Na.

Saya pun terkadang terpaksa menitiskan air mata apabila merasa terlalu terbeban dengan ujian-Nya. Tetapi pastilah hanya DIA yang mengetahui maksud aliran air mata saya itu.

Saya tetap beranggapan bahawa setiap perkara itu pasti ada sesuatu yang nak diajarkan untuk saya ambil ikhtibarnya.

Jauh di sudut hati, pastilah saya berdoa agar ujian itu tidak akan menyebabkan saya jauh dari-Nya. Dalam erti-kata lain semoga DIA akan sentiasa berada disamping saya. Terus terang saya katakan bahawa memang saya memerlukan bantuan-Nya di dalam menjalani kehidupan ini.

Shemmi berkata...

Tapi terkadang merasa malu pula untuk meminta2 dari DIA, kerana apa yg dipersembahkan utk DIA amatlah sedikit..

dan kadang kala dengan tak malunya terasa payah pula untuk meminta, apabila apa yg diminta belum termakbul. penat..(ini jiwa yg sangat jahat..tak tau malu)...

* emh..ini kira jiwa bergelora la yer...

Abgbent berkata...

Bila membaca komen Shemmi ini teringat saya akan satu ilmu yang pernah saya pelajari iaitu "DIA amat-amat menyayangi hamba-hamba-Nya andai telah bersalah, cepat-cepat memohon ampunan dari-Nya".

Mengapa saya harus malu menghadap dan memohon dari-Nya? Ya, saya harus mengakui bahawa diri saya ini terlalu lemah, sebab itu saya harus memohon bantuan-Nya sentiasa.

Tapi, saya juga memahami maksud tersirat yang Shemmi catatkan itu. Cumanya saya tak mahu mencoretkannya di sini kerana artikel ini lain tujuannya. Ya, barangkali suatu ketika akan saya tuliskan berkenaan apa yang Shemmi cuba nyatakan itu.

abid nasa berkata...

sekarang saya telah di beri ujian dari Allah..saya berasa sangat sunyi dan berasa sepi sangat..walaupun saya ketawa,hakikatnya saya amat sedih..tapi Allah sentiasa bersama dengan saya..
kekuatan demi kekuatan saya perolehi..amin..
saya sangat sayangkan agama ini..
an cayang adik..muuuuuuuah

Catat Ulasan