Khamis, Oktober 01, 2009

Kehidupan Dunia, Apa Matlamatnya ?

Tahniah! wahai adikku Faizal.

Itulah sebaiknya diri kita yang bergelar manusia, mempelajari segala ilmu-ilmu yang diberikan-NYA termasuklah bersyukur sentiasa dengan segala nikmat yang dikecapi semasa kehidupan ini. Usahlah dianggap yang pedih dan pahit itu sebagai suatu yang amat memeritkan di dalam kehidupan ini.

Berkemungkinan yang pedih dan pahit itulah kelak menyebabkan kita menerima anugerah-NYA yang tidak terhingga, iaitu Syurga nan Abadi.

Paling penting, teruskanlah melalui kehidupan ini dengan tabah serta sentiasa memohon pertolongan-NYA bila-bila masa sahaja kerana ketahuilah bahawa sesungguhnya hanya DIA yang berkuasa di atas segala-gala isinya dunia.

Terkadang perkara yang difikirkan oleh akal mustahil untuk berlaku boleh juga berlaku dek belas ehsan dari-NYA. Sebab itu kita telah diingatkan agar sentiasa memohon pertolongan-NYA. Masih ingatkah sirah para Rasul-Rasul-NYA? Nabi Musa dengan tongkatnya, nabi Yunus bersama ikan yang memakannya, Pemuda-pemuda yang ditidurkan di dalam gua sehingga seratus tahun lamanya, ini semua diceritakan agar kita mengerti segala keajaiban yang dimiliki-NYA.

Kelebihan manusia berbanding makhluk-makhluk lain ciptaan Ilahi ialah kerana manusia mempunyai Akal Fikiran. Sebab itu usahlah disia-siakan kelebihan akal berfikir mengenai pelbagai perkara. Akal yang sentiasa mengingati-NYA pastilah akan sentiasa beroleh petunjuk dari-NYA, apatah lagi petunjuk yang menjadi cahaya untuk menyuluh liku-liku kehidupan dunia yang sememangnya penuh dengan pancaroba.

Selain itu, perlu juga diberitahu bahawa ilmu-ilmu-NYA perlu dipelajari, sebab itu kita kena cari, moga-moga nanti akan berolehlah kejayaan hakiki iaitu menduduki Syurga nan Abadi.

Ketahuilah bahawa penghuni Syurga semuanya adalah yang terpilih iaitu mereka yang memiliki budi pekerti yang tinggi. Sebab itu dinyatakan bahawa kesejahteraan kehidupan di Syurga adalah yang Abadi. Moga-moga dapatlah dimengerti coretan yang tidak seberapa ini. Coretan ini sekadar berkongsi untuk dijadikan pedoman bersama agar dapatlah dilalui onak dan duri di sepanjang perjalanan duniawi. Salam penuh kasih buat adikku Faizal.
Baca selanjutnya, Klik di sini...

Rabu, September 30, 2009

Mainan Emosi - Positif atau Negatif

Izinkanlah coretan saya kali ini berkongsi dengan Anda, Anda yang saya kenali sebagai saudara terutama adikku Shueqry, Faizal dan Shakinah Haron. Andai coretan ini kurang sesuai, hindarilah ia jauh sejauh-jauhnya kerana memang tidak sesuai untuk saudara semua.

Emosi adalah antara hiasan diri yang amat penting semasa melalui liku-liku kehidupan ini. Sama ada emosi yang dibentuk itu bersifat positif atau negatif, pada saya ianya tetap baik kerana lontaran emosi akan memberikan ruang kepada kita untuk meluahkan segala apa yang dirasa.

Emosi positif tidak semestinya baik sepanjang masa dan begitu juga emosi yang dikatakan negatif. Pada saya, kedua-dua emosi ini harus ada untuk mewarnai kehidupan yang sedang dilalui kini.

Andai saudara tidak bersetuju dengan pandangan saya, usahlah pula marah atau terus membenci saya. Kasihanilah saya.

Pandangan yang saya lontarkan ini pastilah berbeza, moga-moga nanti ianya akan dapat difikirkan bersama-sama sebagai bekalan untuk menuju ke destinasi hakiki, iaitu Kehidupan di Syurga nan Abadi nanti.

Emosi positif dan negatif amat penting kita lalui agar terbinalah pengalaman diri semasa kehidupan ini, tetapi harus juga diketahui bahawa emosi yang sebegini andai tidak dipimpin sebaiknya, akan kelak merosakkan diri.

Emosi positif atau negatif tetap ada kebaikan dan keburukannya. Itulah yang ingin saya kongsikan dengan saudara semua. Kedua-dua emosi ini adalah antara pilihan yang harus kita sedari.

Emosi positif atau negatif boleh memberikan output yang bersifat negatif andai tidak dipimpin sebaiknya.

Dipimpin bermaksud kita menyedari bahawa kedua-dua emosi ini adalah anugerah dari-NYA untuk kita merasai akan erti kedua-dua perasaan ini. Itulah yang dikatakan pembelajaran di dalam kehidupan yang seharusnya diketahui.

Sedih, merupakan salah-satu daripada emosi negatif, tetapi ianya akan memberikan output positif andai kesedihan itu diluahkan kepada-NYA kerana menyedari bahawa betapa kerdilnya kita berbanding DIA. Pastilah DIA yang saya maksudkan ialah Allah SWT yang maha ESA.

Gembira, boleh dikatakan emosi positif tetapi kegembiraan secara berlebih-lebihan sehingga lupa diri yang saya gelar sebagai MABUK DUNIAWI iaitu sudah lupa diri sehingga tidak lagi mengerti akan kehidupan duniawi, kelak mengecapi hasil yang negatif pula.

Inilah yang dikatakan kehidupan, iaitu suatu ujian untuk melepasi tahap manusia yang bergelar insan, atau barangkali untuk mengenali manusia yang bertopengkan syaitan!.

Sama ada emosi yang terluah itu positif atau negatif sifatnya, ketahuilah bahawa itu adalah antara ujian-ujian di dalam kehidupan.

Penawar yang mujarab bagi kedua-dua emosi ini ialah sentiasa memohon keampunan dan keredhaan dari-NYA sepanjang masa.

Memohon keampunan di atas segala macam dosa-dosa yang dilakukan sepanjang melakukan kerja-kerja harian, dan Redha pula dengan apa sahaja ketentuan-NYA semasa melalui liku-liku kehidupan ini. Tetapi itu tidak pula memberikan makna bahawa kita tidak perlu berusaha di sepanjang kehidupan ini. OK.

Untuk memaksa diri agar output daripada emosi positif atau negatif adalah positif, kita haruslah sentiasa mengingati-NYA sepanjang masa agar melaluinya terwujudlah perasaan yang kita sedang diperhatikan oleh-NYA. Bilamana ada perasaan ini, maka segala usaha yang kita lakukan di dalam kehidupan ini akan menjurus kepada-NYA iaitu untuk mendapatkan keredhaan-NYA.

Redha dalam ertikata sentiasa bersyukur dengan apa yang ada, seterusnya berusaha bersungguh-sungguh melakukan yang terbaik di dalam pelbagai kerja-kerja kehidupan agar nanti, adalah belas ehsan dari-NYA untuk kita melepasi segala macam ujian kehidupan.

Jangan anggap kita telah berjaya di dalam kehidupan ini selagi mana kita belum merasai Syurga-NYA nan Abadi.

Kejayaan di dunia tidak sama dengan kejayaan selepas kehidupan dunia kerana kehidupan di dunia selama seribu tahun, baru menyamai sehari di dalam kehidupan selepas kehidupan dunia. Itu yang telah diberitahu kepada saya. Kita hidup di dunia cuma 100 tahun sahaja, itupun kalau berkesempatan merasai angka 100 tahun itu.

Satu lagi yang harus saya beritahu ialah untuk mendapat belas ehsan dari-NYA, bersama-samalah kita memohon kepada-NYA agar tercurahlah segala macam keajaiban-NYA kepada kita.

Semua ini adalah antara pilihan yang ada di dalam genggaman tangan kita. Persoalannya ialah sama ada kita mahu atau sebaliknya. Pilihlah mana satu kehidupan yang ingin dilalui.
Baca selanjutnya, Klik di sini...

Isnin, September 28, 2009

Jujur, Ikhlas dan Redha

Salamelekom, wbt buat saudaraku yang dikasihi kerana DIA.

Coretan ini sebenarnya telah dilakarkan di dalam ruangan komentar blog salah seorang adik blogger. Moga-moga adalah maknanya nanti.

Memang abg meyakini bahawa keajaiban itu adalah hak mutlak bagiNYA jua. Tiada yang mustahil untuk DIA melakukannya. Hanya dengan ungkapan Jadi... Maka terjadilah sesuatu yang kita anggap mustahil untuk berlaku.

Sememangnya, keterbatasan akal yang digelar sebagai kuasa minda masih terbatas untuk memikirkan segala macam keajaiban kuasa-NYA. Mengapa? kerana itulah bezanya Kita dengan DIA. Kita diciptakan olehNYA. Itu kunci utamanya.

Didoakan semoga adik akan berjaya dengan tekad yang sedang membara sekarang ini. Dan yakinlah bahawa sememangnya DIA sentiasa melihat akan apa yang sedang dilakukan dan difikirkan setiap masa.

Apatah lagi yang tergetar di dalam Hati Sanubari. Pasti DIA sahaja yang mengetahuinya. Astagafirullah... merupakan antara ungkapan penyejuk Hati Sanubari yang kadang kala membara dek lontaran api dari syaitan durjana.

Hanya yang ada Kalimah Tauhid sahaja yang akan dapat merasai bahawa DIA sebenarnya sedang berada disamping sepanjang masa.

Sebab itu, kerja-kerja di dalam kehidupan ini harus diiringi dengan cahaya Kejujuran dan Keikhlasan semasa melakukan sesuatu.

Kejujuran dan Keikhlasan merupakan pancaran kehidupan yang paling bergemerlapan untuk menyuluh arah dan haluan semasa melalui onak-onak kehidupan ini.

Semoga kita akan disinari oleh pancaran Kejujuran dan Keikhlasan ini. Kejujuran dan keikhlasan mengharap redhaNYA sepanjang masa.

Matlamat kehidupan sememangnya amat-amat penting, tetapi biarlah ianya diiringi oleh gemerlapan sinar Kejujuran dan Keikhlasan untuk mengharap redhaNYA semata-mata.

Andai pancaran Jujur dan Ikhlas untuk mengharap redhaNYA telah menyinari perjalanan kehidupan ini, pertolonganNYA pasti akan sentiasa bersama-sama.

Apatah lagi melindungi Hati Sanubari yang terlalu kerdil untuk menampan segala macam panahan api para syaitan. Jujur dan Ikhlas yang tersemat di dalam hati sanubari mengharap redhaNYA pasti akan dapat menampan segala macam panahan api membara para syaitan. InsyaAllah, akan adalah pertolongan dariNYA kelak, andai dipohon dari-NYA sentiasa.

Kilauan sinar Kejujuran dan Keikhlasan akan terpancar membuatkan Redha yang menjadi penawar mujarab semasa merasai peritnya kesedihan dan kekecewaan akan terubat nanti.

opsss... coretan ini terpaksa berhenti di sini. InsyaAllah ada masa di lain kali akan bersambung lagi. Salam Aidilfitri buat semua. Maaf Zahir dan Batin.


Baca selanjutnya, Klik di sini...

Selasa, September 15, 2009

Air Mata Penyesalan September 2009

Ketika ini, hati mula merasa sayu

Hati Sayu bersalut Air Mata Penyesalan

Menyesal kerana tidak bersungguh mengambil kesempatan

Kesempatan yang sepatutnya dirai sepanjang Ramadan


Ketika ini, hati masih terasa kosong

Hati Kosong kerana tidak diisi

Diisi dengan Kalimah Suci

Agar menjadi penerang ruang hati

Moga-moga terpancarlah Cahaya Ilahi

Semasa melalui liku-liku kehidupan duniawi


Ramadan…

Engkau penuh hiasan

"Rahmat, Ampunan dan Salji Neraka"


Tetapi,

Engkau juga sentiasa diselimuti Masa

Masa yang terus berlalu pergi


Persoalannya,

sempat lagikah bertemu denganmu…

Kerana Hidup dan Mati adalah Kudrat Ilahi

Tiada siapa yang mengetahui



Air mata terus membasahi pipi
Kerana Ramadan akan terus berlalu pergi


Baca selanjutnya, Klik di sini...

Ahad, September 13, 2009

Celcom Broadband Kurang Kualiti ?

Sejak beberapa bulan lalu, kesabaran diri sering teruji bila mana menggunakan Celcom Broadband. Heheheeee

Capaian internetnya selalu sahaja tergendala. Adakala terhenti tanpa sebab musabab yang munasabah. Kebiasaannya bila saya mengklik ke halaman yang seterusnya, paparan yang diberikan ialah “Address Not Found” kalau tidak pun, “Offline Mode”.

Bila saya memeriksa connection di window mobile partner, dinyatakan masih ada “connection”. Hermmmm, bertambah musykil saya jadinya.

Kesemua ini membuatkan saya tidak berselera membuka internet walaupun ada kelapangan masa untuk melakukannya. Memanglah saya rugi kerana membayarnya setiap bulan, tetapi tidak menggunakannya secara maksima.

Saya pun kurang pasti, halalkah pendapatan yang Sykt. Celcom perolehi itu kerana saya antara pelanggan mereka, sememangnya tidak berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberi. Walaupun hakikatnya saya membayar bil setiap bulan dan ada kala dibayar secara advance payment.

Kalau ikutkan hati, sejak beberapa bulan lalu lagi saya sudah menghentikan perkhidmatan yang kurang berkualiti ini. Tetapi dek kontrak yang masih belum selesai, maka terpaksalah dipendamkan sahaja masalah ini.

Sejujurnya saya memberitahu, kalau ada banyak masa, barulah saya melakukan online dengan Celcom Broadband. Sebab itulah saya terkadang tidak berziarah ke blog Anda.

Ada kala juga, saya hanya berkesempatan membaca entri terbaru Anda tetapi tidak berkesempatan menyatakan sesuatu di dalam shoutmix blog Anda. Ini disebabkan walaupun saya sudah menaip beberapa perkataan untuk di paparkan di dalam shoutmix blog Anda, tetapi klikan seterusnya akan memaparkan “Error”. Itulah Celcom Broadband yang saya punyai ketika ini.

Untuk tidak membazirkan masa terluang yang saya ada, saya lebih terdorong membuka buku untuk dibaca.

Ooo ya, sebenarnya saya masih belum menyelesaikan bacaan pada tiga buah buku kecil yang saya beli berkisarkan permasalahan Roh Manusia.

Tak apalah, nanti ada kesempatan, akan saya kongsikan mengenainya. Permasalahan roh hanyalah Allah yang mengetahuinya. Cuma sedikit sahaja maklumat yang diketahui oleh kita yang bergelar manusia.

Aikk! Sebenarnya coretan ini ingin memberitahu mengenai Line Celcom Broadband yang kurang berkualiti capaiannya walaupun package yang dilanggani terhebat kononnya!

Ada sesiapa yang boleh membantu mengajarkan saya bagaimanakah caranya supaya Celcom Broadband yang saya miliki ini boleh menjadi laju capaiannya?
Baca selanjutnya, Klik di sini...

Lemahnya Diriku

Sememangnya saya tidak mahir menulis atau mengarang. Sebab itu bila mana Anda membaca tulisan yang ada di dalam blog Pedoman Hidup, Anda terkadang menjadi keliru dan tidak faham.

Kerana itulah, setiap tulisan yang saya paparkan di dalam blog ini dinamakan “coretan”. Maklumlah, saya sebenarnya hanya mencoret-coret sahaja di dalam blog ini. Bukannya untuk berniaga wang ringgit yang disebut perniagaan internet. OK!

Lagi satu, masa yang saya peruntukan untuk menghasilkan sebarang coretan sebenarnya agak terhad, sekitar 15 hingga 45 minit sahaja. Terkadang tidak sempat pun mengedit setiap hasil coretan itu.

Kalau dah tersepit sangat, terkadang saya terus sahaja menaipnya di dalam ruangan “new posting” blog dan hanya membacanya dua atau tiga kali, itupun untuk memeriksa sebarang ejaan yang tersalah taip.

Semua itu saya terpaksa lakukan begitu kerana kekangan masa yang terlalu menghimpit. Masa agak terhad disebabkan pelbagai perkara yang perlu dilakukan dan dibereskan mengikut waktunya.

Hanya kerana mengingat pesanan Tuhan;

“Demi masa, sesungguhnya manusia itu di dalam kerugian, kecuali mereka yang beriman, jua mereka yang beramal soleh, yang berpesan-pesan pada kebenaran, jua berpesan-pesan pada kesabaran”

membuatkan saya sentiasa meluangkan masa untuk melakukan coretan, walaupun terkadang ada kerja yang perlu diutamakan untuk diselesaikan.

Seandainya Anda geram atau keliru bila mana membaca setiap coretan-coretan yang saya paparkan di sini, maaf saya pohonkan. Sebenarnya itulah kelemahan saya.

Kebiasaannya hujung-hujung minggu begini, saya lebih seronok bersama keluarga menghabiskan masa. Apatah lagi membantu Isteriku yang Tercinta dan bergurau senda dengan anak-anak yang dikasihi dan disayangi. Moga-moga kehidupan sebegini mendapat keredhaan dari-NYA jua. InsyaAllah.

Anda, yang saya kasihi kerana DIA, moga-moga jua berada di bawah lembayung rahmat dan keredhaan-NYA sepanjang masa.

Terima kasih kerana terus berkunjung ke sini dan berkongsi cerita dengan saya yang sebenarnya masih lagi ingin belajar pelbagai perkara daripada Anda. Anda yang saya kenali Saudaraku yang dikasihi kerana DIA.
Baca selanjutnya, Klik di sini...

Jumaat, September 11, 2009

Rahsia Menyingkap Kehidupan - Membuat Pilihan

Di dalam setiap luahan pemikiran pasti Anda ada pilihan sama ada bersetuju ataupun sebaliknya, iaitu membangkang. Pilihan ada di tangan setiap kita, dan ketahuilah bahawa pilihan itulah yang akan menjelmakan perbuatan pada seluruh anggota.

Setiap daripada kita, pasti kena membuat pilihan kerana itulah maknanya kehidupan.

Seumpama Anda melihat tangan sendiri. Anda boleh melihat dari bahagian atas tangan yang berwarna sedikit malap, atau nak melihat bahagian tapak tangan yang cerah sahaja pantulan cahayanya.

Kedua-duanya Anda boleh lilhat sama ada melihat bahagian atas tangan atau bahagian telapak tangan. Yang pasti, kedua-duanya mempunyai warna yang berlainan walaupun dinamakan tangan. Heheheeeee....

Kalau ahli motivasi, mereka lebih suka Anda melihat dari sudut positif agar minda dipenuhi oleh pemikiran yang bersifat positif sahaja sentiasa. Tetapi sebaliknya pula seandainya terdorong melihat cahaya-cahaya yang negatif, menurut mereka, akan terjelmalah pemikiran yang negatif di dalam minda.

Fikir dan Pilih mana satu yang diingini kerana perjalanan ini masih lagi kita lalui. Sesungguhnya, hanya DIA yang mengetahui rahsia yang terlindung di sebalik apa yang kita pilih.

Hanya DIA yang mengetahui segala perkara yang tersembunyi. Oleh itu, sama-samalah kita memohon petunjuk dari-NYA sebelum memuktamadkan setiap pilihan.

Seandainya pilihan yang kita muktamadkan menuju pada keredhaan-NYA, saya berkeyakinan bahawa itulah pilihan yang menuju pada pancaran cahaya-NYA. Cahaya yang digunakan untuk menyuluh perjalanan di dalam kehidupan.
Baca selanjutnya, Klik di sini...

Khamis, September 10, 2009

Rezeki Ramdahan 2009 Terlaksana Akhirnya

Tahniah dan terima kasih! buat Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana memberikan penghargaan kepada seluruh kakitangan sokongan Malaysia bersempena menyambut hari raya Aidilfitri dan musim persekolahan baru nanti. Penghargaan dengan menghulurkan RM250 sebelum Aidilfitri dan RM250 lagi pada awal musim persekolahan.

Sebelum ini saya pernah melakarkan coretan ini iaitu, Kegembiraan - Rezeki sempena Ramadhan 2009 dan hari ini, akhbar Utusan Malaysia mengesahkannya di dalam tajuk berita Bantuan Khas Aidilfitri.

Pemimpin yang memahami kepayahan hidup rakyatnya, sememangnya perlu bertindak sedemikian rupa. Moga-moga akan adalah ganjarannya nanti.

Sekali lagi, terima kasih kepada Perdana Menteri Malaysia yang mengilhamkan idea SATU Malaysia. Apa yang pasti, memang saya menyokongnya kerana saya tetap berpendapat dari yang banyak, bilamana diSATUkan, memberikan lebih banyak manafaat. Apatah lagi untuk mengenali DIA yang SATU itu.
Baca selanjutnya, Klik di sini...

Rabu, September 09, 2009

Penghargaan Buat Saudaraku

Bersempena bulan Ramadan yang mulia ini, saya ingin memberitahu kepada Anda bahawa saya ingin memberikan sedikit penghargaan berbentuk cenderahati kepada Pembaca blog Pedoman Hidup yang setia.

Selain itu, cenderahati ini juga sebagai tanda ucapan terima kasih kepada Anda yang sentiasa mengklik iklan nuffnang iaitu sempena pendapatan pertama yang telah diperolehi daripada Nuffnang Sdn Bhd pada bulan lalu.

Sejujurnya saya juga ingin memberitahu bahawa saya tidak dapat menghulurkan kepada Anda secara keseluruhannya. Maklumlah, bajet untuk membeli cenderahati semasa berada di Jepun ketika itu tidak mencukupi. Mana lagi nak membeli untuk famili dan rakan-rakan... Memang bajet terlalu terhad ketika itu.

Oleh sebab itu, hanya lima cenderahati sahaja yang sempat saya sediakan untuk Anda, yang sememangnya saya kasihi kerana DIA.

InsyaAllah, kalau rezeki bertambah, akan saya tambah pula bilangan cenderahati untuk diberikan kepada Anda, Anda yang saya kasihi kerana DIA.

Setelah berfikir, maka kriteria yang saya gunakan untuk memilih lima sahaja pembaca bertuah blog Pedoman Hidup ialah kepada saudaraku yang paling banyak memberikan Komentar di dalam Blog Pedoman Hidup.

Mereka yang saya pilih ialah adik-adikku bernama, Zaim yang Macho, Na Shari yang berseri-seri, Ixora yang Cun, Pretty yang memang masih pretty dan CikAmy yang Ayu.

Terima kasih buat adik-adik yang saya pilih. InsyaAllah, ada rezeki nanti, akan saya berikan pula. Kepada saudara-saudaraku yang tidak terpilih, maafkanlah saya kerana sememangnya terlalu sukar untuk saya membuat pilihan di dalam hal-hal begini.

Namun, Anda perlu tahu bahawa untuk melaksanakannya, saya perlu membuat pilihan ini. Moga-moga ada rezeki di lain kali, mana tahu, Anda pula yang terpilih, InsyaAllah.
Baca selanjutnya, Klik di sini...