Memaparkan catatan dengan label Bajau. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Bajau. Papar semua catatan

Khamis, Mac 07, 2013

Tentera Diraja Kesultanan Sulu & Defender of Islam?

Peristiwa "Pencerobohan" Tentera Diraja Kesultanan Sulu sememangnya telah mencambahkan kembali  sejarah Kesultanan Sulu untuk tatapan rakyat Malaysia amnya, dan sudah pasti untuk anak-anak Sabah yang sekian lama kurang mengetahuinya.

Tanah Sabah bukanlah dimiliki oleh satu puak yang seringkali mendabik dada mengatakan konon-kononnya merekalah penduduk asal Sabah. Malahan, kebanyakan yang berketuruan Suluk dan Bajau di Pantai Timur Sabah mereka sering labelkan sebagai Pendatang Asing Tanpa Izin dari Filipina. 

Apakah komuniti ini mempunyai kerakyatan Filipina? Cis!

Ketahuilah bahawa perjuangan komuniti ini telah berlaku sekian lama. Malahan ahli sejarah telah melakarkan ungkapan "Defender of Islam" untuk bangsa ini. Andai Anda tidak mengetahuinya, singkap saja di sini;

1. Sultan Sulu tolak Perjuangan Kiram
2. Sultan Bantilan Muizzuddin
3. Bangsa Suluk
4. Nur Muhammad

Tak mengapa!, kerana mereka masih tidak mengetahui sejarah perjuangan bangsa ini sekian lama. Namun, satu perkara yang harus diketahui oleh mereka mengenai komuniti ini ialah insan bernama Tun Datu Mustapha Datu Harun. Kalau Anda ingin tahu siapakah beliau, google saja, InsyaAllah Anda akan mengetahui Pejuang Kemerdekaan negeri Sabah yang kini berada di bawah naungan Kerajaan Malaysia.

Sememangnya perjuangan kemerdekaan negeri Sabah tidaklah semudah luahan ungkapan semata. Ianya memerlukan penyatuan ummah dan di dalam penyatuan itu memerlukan Pengorbanan.

Moga-moga Kerajaan Malaysia dapat merintis penyatuan ummah sehingga ke akar umbinya dan saya berdoa kepada mereka yang telah terkorban di dalam memperjuangkan Kalimah Allah akan beroleh kebahagiaan, kesejahteraan dan ketenteraman.

Moga-moga kebijaksanaan Pemimpin Negara akan dapat merintis Penyatuan Ummah ini. Bersama-sama kita menyingkap jalan-jalan Darul Islam.

Kisah seterusnya;

1. Bajausuluk, Bajau Bannaran...
2. Mykad Hijau, Rakyat tiada kewarganegaraan
3. Inikah yang diinginkan?
4.Krisis Sabah & Tentera Sultan Sulu
5. Gelombang Merah Negeri Sabah



Baca selanjutnya, Klik di sini...

Rabu, Mac 06, 2013

Penyelesaian Ampuh - Krisis Tentera Diraja Kesultanan Sulu dengan Kerajaan Malaysia

Apakah "pencerobohan" oleh Tentera Diraja Kesultanan Sulu di perairan Pantai Timur Sabah  akan berakhir sepenuhnya? khususnya selepas Operasi Sulu dan Operasi Darurat yang sedang dilaksanakan oleh Kerajaan Malaysia sekarang ini.

Saya melontarkan persoalan itu kepada Anda, kerana saya agak khuatir dengan kaedah penyelesaian yang sedang dilakukan sekarang ini.

Namun, sebagai rakyat Malaysia yang mendokong kepimpinan negara, saya sememangnya menyokong penuh segala taktik dan strategi yang telah dan yang akan diambil oleh pasukan keselamatan negara khususnya oleh pihak Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia di dalam mempertahankan negara untuk menyelesaikan permasalahan tersebut.


Amat malang, apabila ada juga rakyat yang mempersoalkan dan mengatakan peristiwa yang berlaku ini hanyalah sebagai satu sandiwara politik pihak kerajaan. Lebih parah lagi bila mana individu dalam kelompok yang sama mengatakan pula bahawa anggota pertahanan yang terkorban sebagai "Anjing".

MasyaAllah!. Sampai begitu sekali kecurigaan mereka terhadap kepimpinan negara ini. Penawar yang lebih elok untuk mereka yang mempunyai sifat sebegini adalah dengan mendapatkan kerakyatan daripada negara selain Malaysia.


Begitu celupar! mulut mereka. Kalau ikutkan kebencian di dalam hati saya, individu yang berkata seperti itu mahu saja saya lemaskan di Laut Sulu. Atau barangkali lebih sesuai dilemaskan di Laut China Selatan oleh saudara-saudara di Semenanjung Malaysia.


Sehingga kini, korban peristiwa "Pencerobohan" adalah seramai 8 orang anggota Polis Malaysia di mana 5 daripadanya telah berlaku di Semporna, iaitu lebih-kurang 150 km jaraknya daripada Lahad Datu.


Adakah ini menunjukkan bahawa pihak "Penceroboh" telah berkembang sehingga ke daerah Semporna?


Coretan-coretan saya sebelum ini mengenai "Pencerobohan" di Lahad Datu, Sabah dengan kejadian Red Tide yang seringkali berlaku di perairan Pantai Barat, Sabah adalah luahan daripada hati nurani saya.

Untuk makluman Anda, Sahabat yang saya kasihi kerana DIA, ketahuilah bahawa kejadian Red Tide di perairan Pantai Barat Sabah memang tiada penyelesaian ampuh dilakukan oleh agensi-agensi yang bertanggung-jawab terhadap kejadian Red Tide di perairan Pantai Barat, Sabah.


Pada masa ini, pihak agensi-agensi yang terlibat hanya memantau kejadian tersebut dan bila mana berlaku, mereka akan mengwar-warkannya kepada masyarakat umum. Masalah tersebut memang tidak diselesaikan secara ampuh oleh agensi yang bertanggungjawab kerana mereka terlalu mempercayai bahawa fenomena Red Tide berlaku secara alami atau secara semulajadi. Lalu, tiada jalan penyelesaiannya.


Jawapan begitu barangkali hanya sesuai untuk mereka yang tidak mahu berfikir mengenai kejadian alam ciptaan tuhan.!


Apakah tuntutan ke atas Pantai Timur Sabah oleh Kesultanan Sulu juga akan menerima nasib yang sama? Moga-moga kaedah penyelesaian yang dilakukan oleh pihak Kerajaan Malaysia di dalam peristiwa "Pencerobohan" di Lahad Datu pada masa ini tidaklah bersifat sementara juga, iaitu hanya menyelesaikan peristiwa "pencerobohan", tetapi tidak menyelesaikan masalah yang menjadi akar umbi.



Saya yakin, api yang sedang menyala kini (merujuk pada tuntutan Kesultanan Sulu terhadap Sabah) akan terus membara dan bila-bila masa sahaja, akan menyala semula seandainya ada Angin yang meniupnya. Pasti, Apinya akan marak kembali.!

Pergolakan merebut tahta kekuasaan memang sudah lama berlaku di dalam sejarah ketamadunan manusia. Hatta di dalam Kesultanan Sulu itu sendiri, dek perebutan takhta, maka beberapa individu telah mengisytiharkan diri mereka sebagai pewaris kesultanan Sulu.



Pergolakan itu sedikit-sebanyak telah menyebabkan perpecahan di dalam masyarakat sulu, yang akhirnya membawa kepada pertautan dengan Kerajaan Malaysia kini.

Berbalik pada persoalan saya diawal tadi, selain daripada melihat dan meneliti laporan-laporan perkembangan peristiwa "Pencerobohan", adalah menjadi harapan saya sebagai rakyat Malaysia yang cintakan keamanan supaya Kerajaan Malaysia juga bersungguh-sungguh menyelongkar rahsia disebalik "Pencerobohan" yang telah berlaku.

Coretan saya yang lalu berjudul "Inikah yang diinginkan?... Tentera Diraja Kesultanan Sulu dan Kerajaan Malaysia" ada memuatkan beberapa pandangan berkisar mengenai peristiwa "pencerobohan" ini.

Selain itu, satu persoalan yang sedang bermain di minda saya ketika ini ialah Apakah "Pencerobohan" tersebut juga mempunyai perkaitan dengan penubuhan RCI, Pendatang Asing Tanpa Izin di Sabah? Mungkinkah juga temuan atau hasil dapatan daripada penyiasatan RCI itu kelak akan memunculkan lagi kesulitan di dalam pergolakan negeri Sabah di bawah bayu?.

Sesungguhnya, saya tidak dapat menggambarkan apakah yang akan terjadi sekiranya hasil dapatan daripada RCI, Pendatang Asing Tanpa Izin itu kelak menyuburkan lagi tuntutan-tuntutan di pihak-pihak yang lain pula.

Kemelut yang sedang berlaku ini, bukanlah satu perkara yang mudah. Ianya akan mempunyai rentetan-rentetan mendatang. Cuba Anda teliti laporan berjudul

 "Malaysian-Trained MNLF Fighters join Sulu Army", "
"Surat Raja Muda Agbimudin Kiram",
"Susur Galur Status Sultan Kiram",
"Penyelesaian Pencerobohan di Lahad Datu"

Lalu, sebelum saya mengakhiri coretan hari ini, izinkanlah saya memahatkan Firman Allah SWT yang terkandung di dalam surah ke 49 iaitu Al-Hujraat, ayat 13;

""Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)".

Baca selanjutnya, Klik di sini...

Sabtu, Mac 02, 2013

Inikah yang diinginkan?...Tentera Diraja Kesultanan Sulu & Kerajaan Malaysia

Akhirnya, krisis yang berlaku diantara Tentera Diraja Kesultanan Sulu dengan Kerajaan Malaysia membawa korban bagi kedua-dua pihak.

Di pihak Kerajaan Malaysia, seramai dua anggota Polis Komando berpengalaman telah terkorban, dan tiga yang lain telah cedera. Maklumatnya ada di sini "Kg. Tanduo Bermandi Dara".

Manakala di pihak Kesultanan Sulu pula, dilaporkan seramai sepuluh orang telah terkorban dan empat yang lain cedera. Maklumatnya boleh dilihat di sini "Sulu Sultan Spokesman: 10 men killed in Sabah".

Sebelum ini, saya telah mencoretkan peristiwa tersebut dan cuba mengaitkannya dengan peristiwa Red Tide yang sering kali berulang di persisiran Pantai Barat, Sabah.


Kemunculan Red Tide atau Air Merah di perairan Sabah kebiasaannya akan  membawa korban terlebih dahulu sebelum ianya disebarkan atau dimaklumkan kepada masyarakat umum. Begitulah hebatnya agensi-agensi yang memantau kejadian ini di perairan Sabah.



Berbalik pada krisis yang sedang berlaku di Kg Tanduo Sabah, pelbagai tanggapan dan ramalan yang cuba dipamerkan mengenainya. Cuba Anda telaah beberapa isu yang dinukilkan dibawah ini;






Seandainya kita di sebelah pihak Kerajaan Malaysia, maka sudah pasti kita akan mengatakan ianya sebagai satu "Pencerobohan". Dan kebencian kita terhadap penceroboh-penceroboh itu memang tidak dapat dinafikan. Cuba baca entri bertajuk "Tindakan ke atas Penceroboh Tanpa Kompromi"

Sebaliknya pula, seandainya Anda berada di pihak Kesultanan Sulu, sudah pasti Anda pula akan mengatakan bahawa ianya sesuatu yang patut dilakukan. Anda tetap beranggapan bahawa persisiran Pantai Timur Sabah adalah hak milik Anda, sebagaimana yang termaktub di dalam perjanjian suatu ketika dahulu. Cuba baca karangan ini "Tuntutan ke atas Sabah adalah Isu yang Amat Penting".

Nasib baik juga Kesultanan Brunei tidak menuntut Persisiran Pantai Barat Sabah. Entah-entah, Timur dan Barat Sabah akan bergolak dek tipu-helah mereka yang sering cuba menyucukkan jarum kebencian sesama umat ini.

Adakah penubuhan RCI (Royal Commission Investigation) yang baru ditubuhkan di negeri Sabah mempunyai perkaitan dengan peristiwa ini? Cuba baca Suruhanjaya Diraja Siasat Pendatang Asing di Sabah.   Dulu saya telah bicarakan hal tersebut, bagi mereka yang ada kefahaman mengenainya. Sila baca "Bajau Suluk, Bajau Bannaran, Bajau Ubian..."

Selaku rakyat negara tercinta ini, saya akan terus berdoa dan berharap agar kestabilan negara ini terpelihara dan tiada pertumpahan darah di antara sesama Saudara Seagama. Red Tide atau Air Merah memang bermusim kejadiannya di perairan Pantai Barat Sabah.

Al-fatihah buat dua wira negara yang telah terkorban dan saya mendoakan semoga beroleh kebahagiaan dan kesejahteraan. Sememangnya pengorbanan mereka tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata. :(

Abgbent



Kisah seterusnya;





Baca selanjutnya, Klik di sini...

Khamis, Februari 28, 2013

Krisis Sabah dan Tentera Diraja Kesultanan Sulu. Pendekatannya?

Sekarang ini, sungguh banyak cadangan dan kaedah yang disyorkan untuk menamatkan krisis yang sedang berlaku di antara Tentera Diraja Kesultanan Sulu dengan Kerajaan Malaysia khususnya yang dikatakan sebagai "Pencerobohan" di kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah.

Bukan itu sahaja, malahan ramalan-ramalan dan plot kisah yang bertebaran dipaparkan pada laman sesawang tidak kurang juga banyaknya. Sungguh banyak!

Akhirnya kisah Kesultanan Sulu ini telah muncul kembali untuk tatapan Rakyat Malaysia amnya dan khususnya rakyat Sabah yang mungkin masih kurang jelas mengenainya. Saya mengetahui kisah ini sejak kecil dahulu, dimana seringkali diceritakan oleh arwah datuk dan nenek sebelah ibu saya.

Mereka pernah mengisahkan bagaimana arwah Datuk sebelah ibu saya merasai jerit-perih semasa berkhidmat di Utara Borneo suatu ketika dahulu iaitu di perairan Kudat, Sabah.

Arwah Datuk saya ketika itu masih muda remaja dan saya pula, faham-faham sajalah. Ibu-Bapa saya mungkin belum bertemu lagi ketika itu!  (^___^)

Saya juga diberitahu bahawa moyang sebelah ibu saya merupakan staff British suatu ketika dahulu.

Selain itu, kisah "pencerobohan" tentera Jepun, arwah Datuk dan Nenek pernah juga memberitahu dan menceritakannya kepada saya. Intipatinya, ketika itu rakyat Malaysia hidup susah. Tidak seperti sekarang yang dilimpahi kemewahan.

Saya juga pernah diberitahu mengenai kisah "pencerobohan" tentera Jepun dahulu. Kisah itu saya betul-betul ingat kerana ianya berkaitan dengan Ayah saya. Dinyatakan bahawa sesiapa yang mempunyai bayi lelaki ketika itu, tentera Jepun akan mengambilnya. Kisah itu saya ingat kerana ibu saya menerangkan bagaimana Nenek, iaitu ibu kepada ayah saya menyelamatkannya daripada diambil oleh tentera Jepun dahulu. Agak mencabar juga, tak perlulah saya menerangkannya secara terperinci di sini.

Arwah Datuk saya juga pernah menceritakan kisah mengenai "Tamparan Jepun". (^___*)

Kisah-kisah yang dihidangkan kepada saya suatu ketika dahulu, iaitu semasa saya muda remaja, sememangnya kini amat berguna untuk saya imbas kembali. Malahan kini, saya boleh kongsikan dengan Anda, Sahabat Alam Maya, yang saya kasihi kerana DIA. Walaupun sebenarnya Anda masih kurang jelas mengenainya. (^___^)

Berbalik pada cadangan-cadangan untuk menyelesaikan permasalahan tuntutan ke atas Sabah diantara Kesultanan Sulu dengan Kerajaan Malaysia, ada yang mencadangkan tindakan kejam perlu diambil, dan tidak kurang juga yang mencadangkan tindakan lebih berhemah.

Permasalahan itu sebenarnya boleh dilihat dan diselesaikan dari Sudut Sejarah, yang mana, pada saya, kemungkinan Kerajaan Malaysia tiada kekuatan untuk merubahnya.

Ianya juga boleh dilihat dari Aspek Kenegaraan, saya pasti, Kerajaan Malaysia berupaya kerana rata-rata masyarakat di negeri Sabah lebih cenderung kepada Kerajaan Malaysia. Saya sendiri, secara peribadi, lebih selesa berada di bawah pimpinan sedia ada.

Namun, seandainya itu yang dipilih, saya juga pasti, bahawa keamanan yang sedang dikecapi sekarang ini, tidak akan dirasai seselesa ini. Perbalahan akan terus berlanjutan. Mungkinkah juga akan berlaku sepertimana di Pulau Mindanao Filipina?

Lalu, apakah pendekatan yang lebih baik?

Seandainya itulah soalan yang Anda kemukakan kepada saya, maka saya lebih selesa untuk melihat Dimensi Keagamaan.

Maklum sajalah, kedua-dua pihak ini mempunyai persaudaraan dari sudut itu, dan pihak yang cuba menangguk di air keruh ketika ini, berkemungkinan akan terserlah dan seterusnya terbongkar tipu-helah mereka.

Ketahuilah bahawa dimensi keagamaan memang hebat pancarannya, apatah lagi keagamaan yang telah disibgha dengan keimanan kepada yang Maha Esa, pasti terpancarlah Persaudaraan Seagama.

Kunci kebijaksanaan dan keajaiban, memang ada padanya, Dimensi Keagamaan!

InsyaAllah, andai ada kekuatan, saya akan melakarkan lagi coretan ini.



Kisah seterusnya;



Baca selanjutnya, Klik di sini...

Selasa, Februari 26, 2013

Tentera Diraja Kesultanan Sulu dan Red Tide 2

Nampaknya kehadiran Tentera Diraja Kesultanan Sulu di perkampungan Tanduo, Lahad Datu, Pantai Timur Sabah sejak 9 Februari 2013 yang lalu masih lagi belum berakhir sehingga ke hari ini. Bukan sahaja negara Malaysia yang memaparkan peristiwa tersebut, malahan akhbar-akhbar daripada negara Filipina juga telah menghebahkannya.

Pelbagai spekulasi dan khabar angin telah bertebaran di ruang maya khususnya laman sesawang mengenai peristiwa tersebut. Malahan sejarah negeri Sabah yang mempunyai pertalian dengan Kesultanan Sulu, kini telah banyak dibongkar dan dipaparkan di pelbagai laman sesawang untuk pengetahuan umum. Hanya mereka yang kurang cerdik mengabaikan sejarah tersebut dan menganggapnya seolah-olah tidak benar!. Malahan terus menafikannya, dan lebih berat lagi melemparkan pelbagai cemuhan.

Sememangnya peristiwa tersebut bukan sahaja telah menggemparkan rakyat Malaysia, khususnya negeri dibawah bayu, Sabah. Bahkan, peristiwa ini telah dihebohkan sehingga ke negara Amerika.

Terdapat juga maklumat yang mengatakan bahawa seorang daripada anak lelaki waris Kesultanan Sulu sedang berikhtiar kemungkinan untuk meminta bantuan daripada Kerajaan Amerika di dalam tuntutan ke atas wilayah Sabah. Selain itu, dikatakan juga bahawa enam lagi waris Kesultanan Sulu telah memiliki kewarganegaraan Amerika.

Untuk makluman Anda, peristiwa Red Tide di perairan Sabah bukan sahaja disebabkan oleh Pyrodinium bahamense var compressum yang dilaporkan telah mengakibatkan kematian iaitu hasil memakan makanan laut khususnya kerang-kerangan. Malahan satu kelompok Red Tide yang juga dari kumpulan dinoflagellat, dinamakan Cochlodinium polykrikoides juga menyebabkan Red Tide di perairan marin Sabah.

Kalau Red Tide daripada Pyrodinium bahamense var compressum dilaporkan telah menyebabkan kematian, manakala Cochlodinium polykrikoides pula telah mengakibatkan kerugian terhadap industri akuakultur negeri Sabah. 

Kejadian pertama Red Tide di perairan Sabah telah berlaku di pesisiran Pantai Barat Sabah dan dikatakan dialirkan masuk daripada perairan Filipina, tetapi rekod di perairan Filipina hanya dicatatkan pada 1983. Manakala Red Tide Cochlodinium polykrikoides pula ada kemungkinan dibawa masuk daripada ballast kapal-kapal daripada negara Amerika Utara yang singgah di pesisiran Pantai Sabah?.

Saya, sebagai rakyat negara ini, akan terus berdoa dan mengharapkan semoga peristiwa ini akan cepat berakhir dengan aman dan tidak akan menyebabkan perkara-perkara yang tidak diingini oleh sesiapa, InsyaAllah.

(^___^)
Abgbent



Baca selanjutnya, Klik di sini...

Selasa, Februari 19, 2013

Gelombang Merah Negeri Sabah – Red Tide & Tentera Diraja Kesultanan Sulu

Baru-baru ini, makanan laut daripada negeri Sabah khususnya di perairan Pantai Barat Sabah, dikatakan tidak selamat untuk dimakan kerana mengandungi racun. Beberapa orang telah dilaporkan meninggal dunia akibat memakan hasilan marin  terutama kerang-kerangan yang mengandungi toksin di perairan Pantai Barat Sabah itu.

Peristiwa tersebut bukanlah baru berlaku di perairan marin negeri Sabah, tetapi ianya telah mula direkodkan sejak awal tahun 1970 an lagi dan ianya dikenali sebagai peristiwa “Red Tide” atau “Ombak Rindu”… oppsss… Bukan Ombak Rindu, tetapi sebenarnya "Ombak Merah" atau "Air Merah". (^___*)

Red Tide adalah disebabkan oleh hidupan laut yang dikenali “plankton” dalam istilah Ilmu Sains. Terdapat banyak jenis plankton di dalam lautan, dan salah satu yang menyebabkan keracunan makanan laut di perairan marin negeri Sabah adalah plankton dari kelompok Dinoflagelat.

Nama spesis dinoflagelat ini ialah Pyrodinium bahamense  var  compressum iaitu apabila berada di dalam tubuh badan manusia, ianya akan berupaya menghasilkan saxitoksin yang akan menyerang sistem saraf manusia.

Plankton adalah merupakan hidupan mikroskopik, iaitu sangat-sangat kecil dan tidak berupaya dilihat dengan mata kasar. Ianya hanya boleh dilihat dengan bantuan pembesaran daripada mikroskop. Plankton tidak berupaya bergerak atau berenang dengan sendiri, dan pergerakannya adalah melalui bantuan aliran arus lautan.

Dipercayai, peristiwa Red Tide yang pertama adalah akibat plankton yang dialirkan masuk ke perairan Pantai Barat Sabah yang telah dibawa masuk daripada perairan Filipina. Sebut saja Filipina, tiba-tiba pula minda saya teringat berita gempar di perairan Pantai Timur, Sabah iaitu di persisiran pantai Lahad Datu, Sabah, di kampung Tanduo berhampiran Felda Sahabat 17.

Baru-baru ini telah dilaporkan oleh semua akhbar Negara Malaysia bahawa Tentera Diraja Kesultanan Sulu tiba-tiba telah mendarat di pesisiran pantai Lahad Datu. Berita itu, tidaklah menggemparkan saya. Malahan hati kecil saya membisikkan bahawa peristiwa itu mungkin sebagai satu muqadimah pada peristiwa-peristiwa seterusnya yang mungkin akan berlaku seandainya kaedah menyelesaikannya tidak menggunakan keadilan khususnya, kebijaksanaan akal fikiran.

Tidak mustahil, peristiwa lebih besar akan berlaku andai kotak paradoks, iaitu Sistem Khalifah Negeri Sabah Di Bawah Bayu tidak dibungkus sekemas-kemasnya. Kebijaksanaan para Pemimpin negeri ini amat dituntut untuk menjaga kestabilan negeri Sabah Tercinta.

Sebelum ini, saya telah melakarkan coretan mengenai perkara tersebut iaitu lakaran saya yang pertama di blog Abgbent Pedoman hidup ini berjudul Bajau Suluk, Bajau Bannaran, Bajau Ubian, Bajau Iranun…

Peristiwa kehadiran Tentera Diraja Kesultanan Sulu ini saya katakan sebagai satu permulaan kerana saya yakin, akan ada pula rentetannya selepas ini seandainya mereka yang kurang cerdik terus memainkan sensitiviti Kaum lain, khususnya memberikan gelaran sebagai PATI – Pendatang Asing Tanpa Izin.

Sebab itu, perlakuan mereka yang kurang cerdik begini saya ibaratkan seolah-olah menjolok sarang tebuan, lalu membuat andaian sendiri di mana kononnya sang tebuan tidak akan melakukan apa-apa terhadapnya. Mungkinkah sang tebuan akan menyengat beramai-ramai andai dijolok? Kalaupun sengatannya tidak menyebabkan kematian, tetapi sekurang-kurangnya si penjolok barangkali perlu juga merasai bisa sengatan sang tebuan.

Bukankah peristiwa darurat negara Malaysia pada Mei 1969 dahulu adalah disebabkan provokasi pihak tertentu lalu menyebabkan peristiwa yang kita tidak ingini?

Ketahuilah bahawa bangsa Bajau merupakan umat manusia yang dijolok sebagai Nomad Lautan. Mereka terkenal kerana banyak menerokai lautan dan tepian pantai, di muka bumi ini. Mereka menduduki banyak pulau-pulau kecil di persisiran Pantai Sabah. Sama ada pesisiran pantai yang tersembunyi, mahupun terdedah, pasti bangsa Nomad Lautan ini ada di sana. Usah dinafikan hak-hak ini. Seandainya Anda masih tidak percaya, belayar sahaja ke pesisiran pantai yang jauh dari tanah daratan Sabah, pasti Anda menemui mereka di sana!. Istilah Kad Pengenalan atau Passport, bagi sesetengah mereka di sana, bukanlah suatu yang penting untuk diuruskan oleh mereka.

Kebanyakan mereka tidak perlu pada kemewahan kehidupan, dan mereka lebih suka kehidupan yang tenang lagi mententeramkan, seumpama sebuah pulau yang terpencil di lautan nan luas.

Bagi pihak-pihak yang seringkali melabelkan bangsa ini sebagai PATI (Pendatang Asing Tanpa Izin), barangkali mereka agak kurang memahami sejarah Negeri Sabah. Mungkin juga disebabkan kekurangan mereka itu, lalu sifat mereka lebih kepuakan, membuatkan pemikiran mereka tidak berpaksikan pada keadilan umat, khususnya kemaslahatan umat manusia sejagat.

Harap-harap peristiwa Red Tide yang sering kali berlaku di perairan marin negeri Sabah tercinta ini, tidak akan merebak menjadi Red Blood yang tidak diingini oleh sesiapa.

Saya beranggapan, pertelingkahan mengenainya tidak akan menguntungkan mana-mana pihak atau puak khususnya kepada masyarakat negeri di bawah bayu ini.

Buat Kerajaan Malaysia, tahniah saya ucapkan kerana seringkali menyelesaikan permasalahan ummah melalui meja rundingan dan bukannya melalui senjata peperangan. Ianya telah terbukti sejak perjuangan menuntut kemerdekaan negara Malaysia daripada Malayan Union dahulu.

Sebab itulah juga barangkali mengapa negeri Sabah Dibawah Bayu ini mendapat kemerdekaan di bawah naungan Kerajaan Malaysia?.


(^___^)
Abgbent


Bersama lakaran ini, saya ingin mengajak Anda mendengar dua buah lagu Bajau daripada Pantai Timur Sabah yang telah menjadi kegemaran saya.

Lagu pertama iramanya mirip dendangan Datuk D.J. Dave. Manakala yang satu lagi, merupakan lagu kegemaran Ibu saya. Saya kongsikan khusus untuk Anda, Sahabat alam maya yang saya kasihi kerana DIA.

Semoga Anda menggemarinya. Kebiasannya, saya akan mendengar lagu-lagu itu bila mana berada di dalam Penerbangan, Pelayaran dan Perjalanan...

Download saja di sini...

1. Bag Bag Lasa (Kasih Sayang Hancur Punah)

2. Lasa Maka'a (Kasih Sayang Padamu)





Baca selanjutnya, Klik di sini...