Jumaat, Oktober 22, 2010

Lucah Melampau – Urut Kaki

Tiba-tiba saya tergerak hati berkongsi sebuah kisah dengan Anda. Kisah pengalaman hidup yang saya lalui ketika berada di sekitar Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Kisahnya bermula bila mana saya bersama tiga orang adik lelaki berjalan-jalan di sekitar Bukit Bintang dua bulan yang lalu iaitu semasa menyertai Pameran Penyelidikan Islam di Putrajaya, Kuala Lumpur pada bulan Ogos 2010.

Tiga orang adik yang berjalan-jalan dengan saya ketika itu masih muda, jauh lebih muda daripada umur saya.

Dua malam sebelum itu, kami telah bersama-sama menjamah makanan di sebuah gerai di Bangsar, sambil-sambil bersembang-sembang sehingga melebihi pukul 2.00 pagi tak silap saya.

Biasalah, bila mana saya berjauhan daripada Isteriku Yang Tercinta dek melaksanakan tugas, ada kala saya bersembang sebegitu rupa. Sehingga lewat pagi.

Barangkali dek teruja berbincang informal mengenai sains dan agama, kekuasaan dan keajaiban, maka akhirnya saya dipelawa oleh mereka untuk bersama-sama menikmati panorama kehidupan yang paling popular di Bukit Bintang menurut mereka iaitu merasai “urutan kaki”. Massage!

Sebenarnya saya tidak bernafsu merasai urutan kaki yang dimaksudkan itu kerana minda sedar saya menafsirkan bahawa urutan yang diberikan oleh Isteriku Yang Tercinta adalah lebih hebat nikmatnya. Apatah lagi keredhaan NYA mengiringi kenikmatan yang sementara dirasai itu, pasti tiada tandingannya.

Tapi itu saya tidak lontarkan kepada mereka kerana khuatir mereka tersinggung nanti. Lalu, saya pun mengiyakan sahaja pelawaan mereka. Sekadar untuk mengetahui dan mengalami sendiri panorama yang dinyatakan oleh mereka itu.

Kedai-kedai mengurut kaki memang banyak terdapat di sekitar Bukit Bintang. Pelbagai ragam dan bangsa yang ada di sana, termasuklah orang-orang dari Arab dan Barat.

Ada beberapa pengalaman yang saya masih ingat ketika berada di sana. Antaranya ialah ditawarkan dan dipaksa oleh seorang lelaki yang lagaknya seumpama maknyah.

Tawarannya ialah “urutan kaki” berkelas VIP.

Itu tawaran yang diberikannya kepada saya dan tiga adik-adik yang lain. Saya menolaknya dengan baik dan memandang ke arah adik-adik yang lain sambil memberikan isyarat gelengan kepala. Mereka tersenyum dan saya pun tersenyum.

Namun, lelaki itu terus mendesak dan bergerak ke dalam kedainya sambil menunjukkan ruangan di dalam kedainya yang ada pelanggan sedang diurut kaki. Saya bersama adik-adik lain sekadar melihat dari jauh dan sempat juga melihat lelaki itu memberikan isyarat penunjuk ke arah bilik yang berlabel VIP.

Hanya senyuman dan gelengan kepala saya lontarkan kepadanya. Adik-adik yang lain juga bersetuju. Mereka tidak mahu diurut disitu. Di dalam bilik khas dinamakan Urutan Kaki kelas VIP.

Selepas penat berjalan-jalan, kami berdiri berhampiran sebatang tiang lampu, dan tiba-tiba seorang lelaki mendekati dan menzahirkan pelawaan yang lain pula. Bukan urutan kaki. Pelawaan yang diluahkannya berbunyi “Adik nak perempuan?”

Hah!!!

Walaupun terkejut dilontarkan pelawaan sebegitu, saya berusaha mempamerkan reaksi bersahaja kepadanya diiringi gelengan kepala. Adik-adik yang lain turut melemparkan senyuman dan gelengan kepala.

Bukan sekali lelaki itu memberikan tawarannya, tetapi tiga kali dia memujuk kami. Walaupun kami berusaha menjauhinya, tetapi, dia tetap mengekori dan sempat juga dia menggores bahu saya serta mengenyitkan mata seolah-olah tafsirannya...

Marilah! Marilah!.

Atau barangkali terjemahannya ialah... Mahulah! Mahulah!


Cahaya di sekitar Bukit Bintang memang bergemerlapan. Lampu kelip-kelip memang banyak. Membuatkan ianya bertenaga. Tetapi hati saya menterjemahkan sebaliknya. Gelap tiada cahaya. Tidak seumpama namanya BeBintang Bergemerlapan.

Lalu, ketiga-tiga adik yang bersama-sama saya ketika itu membatalkan niat mereka untuk mengurut kaki di situ. Sebabnya? Entahlah!

Kalau Anda tanya saya, sudah pasti alasan yang saya berikan ialah saya hanya mahu merasai urutan daripada Isteriku Yang Tercinta.

Bukan setakat kaki, melebihi paras kaki pun saya tak kisah. Asal sahaja dia adalah Wanita yang saya kasihi dan sayangi, iaitu Isteriku Yang Tercinta.

(*___^)






2 Komen:

Shukree berkata...

tersenyum sendiri saya membaca artikel kali ni, yup..benar, sebaik-baik urutan adalah urutan dari seorang isteri.

Mama Un-A-nas berkata...

gud husband..keep it up :)

Catat Ulasan