Khamis, Mei 13, 2010

Wajah "Charming" Bergelar Doktor

Alhamdulillah!
Izinkanlah saya memaparkan senyuman kepada Anda :) . Bukannya sekuntum senyuman, tetapi sejambak senyuman.

Sudah lama saya tidak menconteng di blog ini, Abgbent Pedoman Hidup. Hampir dua minggu ianya tidak diisikan entri baru. Sebenarnya, saya sengaja melakukannya kerana ingin memfokus pada satu tugasan yang amat penting untuk dilaksanakan. Akan saya beritahu kepada Anda sekejap lagi...

Ketahuilah bahawa sememangnya Anda saya kasihi kerana DIA. Sebab itulah, cerita peribadi sering kali saya kongsi dengan Anda. Seandainya kisah yang terpapar seolah-olah takbur atau bangga diri, maafkanlah saya. Bukan itu niat saya sebenarnya bercerita dengan Anda. Realitinya, saya ingin berkongsi sesuatu yang baik-baik dan seterusnya mengajak Anda bersama-sama melakukannya. Tak kanlah pula saya bercerita yang buruk-buruk kepada Anda. Tak pasal-pasal Anda kelak menyerapnya. Buruk padah akibatnya nanti.

Kalau saya berupaya melakukan sesuatu, saya pasti Anda juga berupaya melakukannya. Tetapi apa yang saya catatkan di sini bukanlah satu kemestian untuk Anda turuti. Memang bukan!. Yang baik ambillah, dan yang tidak elok itu, buangkanlah ia jauh sejauh-jauhnya.


Peristiwa 1

Minggu lepas, bertarikh 7 Mei 2010, bersamaan hari Jumaat, saya telah melalui satu ujian lisan atau dikenali "Viva-Voce".

Ujian lisan itu amat penting di dalam kehidupan saya kerana ianya adalah sebahagian daripada cita-cita yang harus saya gapai. Sebab itulah juga sepanjang minggu lalu, saya tidak berkesempatan membuat sebarang entri baru di sini, untuk ditelaah oleh Anda.

Hakikatnya, saya berusaha menyelesaikan beberapa perkara yang berkaitan ujian "Viva Voce" itu.

Sebelum dan sehinggalah selesai ujian Viva Voce itu, sokongan daripada Isteriku Yang Tercinta amat saya kagumi kerana selain memahami, dia juga menjadi perangsang dan pemberi semangat kepada saya. Tiada ucapan indah dapat dizahirkan untuknya selain saya memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Tuhan Yang Maha ESA kerana mengizinkan Isteriku Yang Tercinta menemaniku di sepanjang perjalanan kehidupanku ini. Sememangnya, Isteriku Yang Tercinta adalah Insan yang amat saya kasihi dan sayangi. Semoga Allah SWT terus meredhai dan memberkati hubungan saya dengan Isteriku Yang Tercinta.

Oh ya..., viva voce yang saya maksudkan ialah ujian lisan untuk membolehkan saya digelar sebagai seorang Doktor.

Bukan Doktor di hospital atau klinik, tetapi doktor di dalam bidang sains yang saya ceburi sekarang ini. Dalam istilah lain, membolehkan saya memperolehi Ijazah Doktor Falsafah.

Ijazah Doktor Falsafah adalah kemuncak di dalam pengajian formal akademik. Perjuangan menggapai kejayaan akademik bermula sejak di peringkat tadika, sekolah rendah, menengah dan seterusnya di peringkat universiti.

Di universiti pula, terdapat tiga tahap pengajian akademik. Di mulai Ijazah Sarjana Muda, seterusnya kalau berjaya memperolehi keputusan yang baik, disambung pula Ijazah Sarjana atau juga dikenali Master. Dan pada akhirnya, peringkat tertinggi iaitu Ijazah Doktor Falsafah.

Andai Anda berjaya memperolehi Ijazah Doktor Falsafah, nama Anda akan diiringi gelaran Doktor. Barangkali selepas ini saya akan dikenali Doktor Abgbent. :)

Alhamdulillah, selepas bertungkus lumus beberapa tahun, akhirnya dapat juga saya menyiapkan tesis phd itu. Selepas menghantarnya, saya kena menunggu lebih kurang lima bulan, barulah dijemput untuk melalui ujian lisan, iaitu "Viva Voce" pada 7 Mei 2010 bersamaan hari Jumaat.

Anda nak tahu apa keputusannya? Lihat sahaja foto yang saya sediakan disebelah dan baca selanjutnya. InsyaAllah, dalam tempoh sebulan, saya akan menyiapkan pembetulan tesis yang diminta oleh para ahli panel itu.

Tesis saya telah diperiksa oleh dua orang penilai luar dan seorang penilai dalam. Penilai luar adalah Professor dari luar universiti tempat saya mendaftar, manakala penilai dalam adalah Professor dari dalam universiti.

Anda nak tahu komen daripada dua orang Professor penilai luar itu? Saya kongsikan sebahagian sahaja laporan daripada mereka berdua. Besarkan foto yang saya paparkan di bawah. Moga-moga Anda memahami dan mengetahuinya nanti.














Peristiwa 2

Sehari sebelum saya menghadiri sidang viva voce itu, saya juga telah diberikan semangat oleh rakan sekerja ekspatriat yang pernah saya beritahu sebelum ini. Dia memaklumkan kepada saya yang dia amat yakin bahawa saya akan lulus ujian lisan itu disebabkan personaliti yang saya ada.

Menurutnya, selain memiliki wajah “charming”, saya juga mempunyai keyakinan dan karisma yang tinggi. Melalui keperibadian ini, dia yakin saya akan dapat meng"hipnosis" para ahli panel di dalam viva voce itu kelak. Itu keyakinan yang dia ada dan diberitahunya kepada saya. Geli hati saya mendengar penjelasannya ketika itu.

Hebat sungguh pujiannya kepada saya. Kebiasaannya, bila saya dipuji sebegitu, saya akan mengucapkan Astagfirullah! serta memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kehadrat NYA kerana diberikan nikmat yang sedemikian rupa.

Pujian yang diucapkan oleh rakan ekspatriat itu, saya yakin adalah luahan jujur daripadanya kerana bebola matanya diselaputi cairan air mata serta kelopaknya berwarna merah ketika memberitahu perkara itu kepada saya. Kebiasaannya bila seseorang memaparkan wajah sedemikian, bicaranya lahir dari hati nuraninya sendiri. Itulah keyakinan saya.

Dan seperti biasa, dia juga memaparkan kesungguhan ketika menjelaskannya kepada saya dan mengulangi beberapa kali bahawa dia memang ada keyakinan begitu. Menurutnya, saya akan lulus ujian lisan, viva voce itu kelak disebabkan memiliki wajah "Charming", berkeyakinan, berkarisma dan berupaya menghipnosis para ahli panel viva voce itu nanti.

Tersenyum-senyum saya ketika ini :) mengingati peristiwa itu kembali. Saya digelarnya berwajah charming, berkeyakinan, berkarisma dan berupaya menghipnosis seseorang.

Betulkah?


Peristiwa 3

Saya juga sengaja tidak mahu membuat lakaran lebih kerap di blog Abgbent Pedoman Hidup kini, disebabkan teringin menguji sesuatu.

Dulu, masa mula-mula menghasilkan blog Pedoman Hidup, saya dapati blog ini tidak pun tersenarai di dalam carian google. Kalau dicari kata "Pedoman Hidup" menggunakan carian google, blog ini tidak pun tersenarai pada halaman pertama.

Itu dulu...

Selepas enam bulan mendirikan blog Abgbent Pedoman Hidup ini, akhirnya Google telah menyenaraikannya pada halaman pertama untuk carian kata “Pedoman Hidup“. Ini menunjukkan blog Abgbent Pedoman Hidup sudah berada disenarai ke sepuluh carian google ketika itu untuk kata "Pedoman Hidup".

Dan selepas setahun berlalu, saya mendapati blog Abgbent Pedoman Hidup telah berada disenarai lima yang teratas. Alhamdulilah, kini, blog Abgbent Pedoman Hidup sering berada di senarai teratas carian google bagi kata "Pedoman Hidup".

Saya tidak pernah mengimpikannya kerana niat saya adalah ingin berkongsi cerita dengan Anda. Nak tahu kenapa saya sering berkongsi cerita dengan Anda selalu? Sebenarnya kerana saya amat mengasihi Anda. Saya juga ingin mengajak Anda menikmati akan erti kejayaan dan kebahagiaan.

Tiada ucapan yang dapat saya luahkan kepada Anda selain Terima kasih. Kesudian Anda menelaah contengan saya di sini, membuatkan saya terasa yang Anda sedang bersama-sama saya berjalan mencari cahaya NYA untuk dijadikan Pedoman Kehidupan.

Terima Kasih tidak terhingga sekali lagi kepada Anda yang saya kasihi kerana DIA...

3 Komen:

Marjan Ibtisam berkata...

Salam AbgBent..

Subhanallah...segala puji bagi Allah..saya harap dapat menjadikan abgbent sebagai sumber inspirasi dalam memajukan diri..ada juga sahabat blog yang bergelar doktor..moga saya akan menurutinya..tahniah..doakan kejayaan saya juga..=)

~still fening2 lalat nak cari tajuk tesis sarjana..any idea, abgbent?

Linachu berkata...

Tahniah Dr Abgbent!

Shukree berkata...

wow..tak sangka.

Abangku bakal bergelar Doktor!

Meluap-luap semangat saya mahu mencapai sebuah tahap pencapaian sehebat pencapaian Abg Bent.

Maha Suci Allah kerana menemukan kita berdua.

Doa saya, moga Abg Bent dapat menyelesikan tesis Phd tu dengan jayanya.

Catat Ulasan