Sabtu, Mei 01, 2010

Wahai Kekasih, Kaulah Segalanya

Izinkanlah saya berkongsi dengan Anda tiga peristiwa yang telah saya lalui kelmarin di dalam kehidupan ini. Moga-moga adalah manafaatnya buat kita bersama. Memang saya mengasihi Anda sebenarnya. Tak perlu saya berpura-pura mengatakannya kerana DIA maha mengetahui dan maha melihat setiap perkara yang saya lakukan. Kepada NYA jua saya berserah.

Semoga Anda mengerti andai paparannya terlihat seolah-olah takbur atau bangga diri. Selayaknya ungkapan “Astagfirullah” saya pohonkan.

Ketika ini, saya sedang mendengar alunan nasyid berjudul “Wahai Kekasih, Kaulah Segalanya” yang didendangkan oleh saudaraku Nazrey Johani. Sengaja saya melakukannya agar timbullah perasan kasih sayang yang saya harapkan, seterusnya terhambur untuk tatapan Anda.

Seandainya Anda ingin merasainya, klik sahaja youtube yang saya telah sediakan di bawah, sambil-sambil menelaah lakaran saya ini.





Peristiwa 1

Segala puji-pujian hanya untuk NYA. Kandungan Isteriku Yang Tercinta sekarang ini sudah mencecah minggu ke 35. Hari ini juga dengan sukarelanya saya mengambil satu daripada tanggungjawabnya iaitu, Memasak.

Mulai hari ini, saya tidak mengizinkan Isteriku Yang Tercinta memasak sama ada untuk makan tengahari atau pun makan malam. Sebelum itu, memang dengan tekun dia melakukannya. Ada kala saya mempermudahkannya dengan mengajaknya makan di luar. Terutama pada hujung minggu, iaitu bukan hari bekerja.

Andai terlihat keletihan, walaupun hari bekerja, saya akan membawanya makan di luar. Kadang juga saya membeli makanan dan membawanya balik ke rumah. Semua itu saya melakukannya sejak Isteriku Yang Tercinta mengandung anak kami yang ketiga.

Hari ini, dengan penuh perasaan kasih-sayang, saya memberitahu kepadanya bahawa saya lebih suka andai dia tidak lagi memasak. Biar saya sahaja yang mengambil tanggungjawab itu.

Oppsss... bukanlah pula bermaksud saya memasak di rumah, tetapi sebenarnya saya akan membeli makanan siap dari luar, dan di bawa balik ke rumah untuk dijamah bersama-sama dengannya. Kaedah ini memang dapat meringankan dan memudahkan kerja hariannya.
Sememangnya saya amat mengasihi dan menyayanginya.

Alhamdulillah, kandungannya kini berusia melebihi 35 minggu. Tinggal lima minggu lagi barangkali. InsyaAllah, akan lahirlah anak kami yang ke tiga. Lelaki atau perempuan, saya tetap bersyukur menerimanya kerana yang menganugerahkannya kepada saya adalah DIA, Tuhan Yang Maha ESA, Allah SWT.

Anak saya yang pertama perempuan dan kini sedang bersekolah Tabika Kemas. Usianya baru sahaja melebihi empat tahun. Manakala Anak kedua adalah lelaki, baru melebihi setahun umurnya.


Peristiwa 2

Selepas saya membantu seorang rakan sekerja, tiba-tiba pula dia mengajukan satu soalan kepada saya. Rakan sekerja yang saya maksudkan itu digelar ekspatriat. Dia berasal bukan dari Malaysia. Dia berpengalaman dan lama bekerja di Australia. Soalan yang diajukannya kepada saya ialah,

“Why are you so efficient?”

Hah! kelu lidah, keliru, tergamam saya seketika. Lalu merenung tepat ke wajahnya. Dia juga sebenarnya merenung saya sambil mengukir senyuman. Ketika itu minda saya berfikir jawapan yang patut diluahkan kepadanya, walaupun hakikatnya saya masih keliru mencerna soalannya.

Selepas berlalu beberapa detik, sambil tersenyum, dia mengulangi soalannya kembali, “Why are you so efficient?”. Sempat saya membalas senyumannya dengan tersipu-sipu. Lalu mengajukan soalan dan penjelasan kepadanya, what do you mean? I do not understand, actually!.

Sambil tersenyum, dia menjelaskannya kepada saya bahwa sudah 20 minggu dia berada di Malaysia khususnya di tempat kami makan gaji ketika ini. Sudah ramai yang ditemuinya, tidak sama seperti saya.

Bersungguh-sungguh dia menerangkan bahawa di tempat kami bekerja ketika ini, terlalu ramai yang tidak effisien. Lambat melaksanakan dan menyelesaikan tugasan masing-masing. Menurutnya lagi, banyak kerjanya tergendala dek birokrasi yang melibatkan orang lain.

Saya tergamam, juga terkejut mendengar ulasannya. Betulkah saya ini effisien? Bentuk soalan yang diajukannya kepada saya terlalu berbeza, pertama kali saya menerima soalan sebegitu rupa.

Betulkah saya ini efficien melakukan tugasan?. Heheheee...

Sebenarnya saya sama sahaja berbanding rakan-rakan lain. Sungguh! Saya tidak berbeza dengan mereka. Itulah gambaran jelas di minda saya, lalu dilukiskan di hati. Sebenarnya saya memang sama dengan rakan-rakan sekerja yang lain.

Siapalah saya yang dikatakannya sebagai “so efficient”. Pujian sebegitu hanya layak untuk NYA. Tanpa bimbingan dan kekuasaan NYA, mana mungkin saya dapat melakukannya.

Memandangkan rakan ekspatriat lebih berusia dan tidak seagama dengan saya, lalu hati saya berbisik mengucapkan Astagfirullah di atas pujian itu, seterusnya, Alhamdulillah kerana DIA masih memberikan kekuatan kepada saya melakukan pelbagai kerja-kerja harian.

Barangkali, belum masanya saya memberitahu tentang kekuasaan Tuhan Yang Maha ESA kepadanya. Nantilah, andai ada kesempatan yang lebih baik, saya mesti menyatakan kepadanya.

Setiap perbuatan yang dilakukan oleh saya, penilai hasilnya bukanlah manusia. Penilaian daripada mereka memang tidak penting kepada saya kerana Keredhaan NYA yang lebih utama dan menjadi harapan kehidupan saya. Sememangnya DIA maha berkuasa di atas apa sahaja perkara yang saya lakukan.



Peristiwa 3

Saya bukanlah seorang yang gemar membaca novel. Memang bukan!. Apa lagi novel-novel berkisar cinta sesama manusia. Saya tidak pernah membacanya. Saya kurang mahir berimaginasi sebegitu.

Satu kegemaran saya yang masih dilakukan sehingga kini ialah mendengar alunan lagu sentimental. Lebih-lebih lagi yang dilabelkan “Nasyid”. Memang itulah kegemaran saya. Mendengar nasyid berirama sentimental.

Andai jiwa saya bergelora ditimpa masalah, kekusutan, dan pelbagai perkara yang tidak menyenangkan, saya akan mendengar dendangan nasyid dan zikir-zikir pujian kepada NYA. Lebih-lebih lagi nasyid yang amat saya gemari.

Alunan nasyid daripada saudara Nazrey Johani memang saya suka. Suara gemersiknya membuatkan saya terasa tenang seketika, sambil-sambil berfikir perkara yang perlu dilakukan seterusnya di dalam kehidupan ini.

Oh ya, dulu masa belajar di universiti di peringkat Ijazah Sarjana Muda, saya adalah seorang penyanyi utama nasyid. Sekejap sahaja sebenarnya. Selepas beberapa ketika, saya menjadi pemalu dan berhenti menjadi penasyid utama, walaupun dikatakan memiliki suara suprano.

Sebab saya berhenti adalah kerana ada gadis yang tertawan bila mendengar alunan suara saya. Cehhh! Heheheee... Memang betul. Itulah alasannya. Saya berhenti bernasyid dan tidak mengasah bakat yang saya punyai.

Namun begitu, saya tetap bersama rakan-rakan lain menubuhkan sebuah kumpulan nasyid di universiti dahulu. Peranan saya di belakang tabir sahaja. Kami berjaya menghasilkan dua buah album nasyid. Ketika itu kumpulan nasyid Raihan belum lagi muncul. Apatah lagi kumpulan nasyid Rabbani. Memang belum ada. Yang ada kumpulan nasyid Nada Murni dan kumpulan The Zikr.

Sebenarnya tujuan kumpulan nasyid kami wujudkan di universiti dahulu bukanlah semata-mata bernasyid. Memang bukan. Ada yang lebih utama kami perlu lakukan. Tak perlulah saya menjelaskannya di sini. Itu kisah perjuangan di dalam wadah. Mentarbiyah.

Peristiwa manis yang saya ingin kongsikan di sini ialah kami telah berjaya menghasilkan dua buah album nasyid. Saya tidak mengalunkan suara di dalam kedua-dua album itu. Tetapi untuk album pertama, saya menyumbang lirik di dalam sebuah nasyid yang digubah oleh sahabat saya. Manakala album kedua, saya menyumbang sebuah nasyid beserta liriknya. Sebelum ianya dirakamkan di dalam album kedua, gubahan nasyid yang saya sumbangkan sebenarnya telah diangkat menjadi naib johan di pertandingan nasyid antara kolej-kolej kediaman peringkat universiti.

Kenangan itu memang cukup indah di dalam hidup saya semasa belajar di universiti dahulu. Sebenarnya kedua-dua kaset nasyid yang saya maksudkan sudah tiada di dalam simpanan saya. Maklumlah, sudah melebihi 20 tahun peristiwa itu berlaku. Saya pun sudah tidak ingat di mana saya simpan.

Kelmarin, saya telah membeli dua buah CD Nasyid iaitu dendangan saudara Azhan Atan berjudul “Ku Milik Mu” dan alunan saudara Nazrey Johani bertema ”Nasyid Nostalgia Memori The Zikr”.



Bila saya mendengar alunan nasyid di dalam CD saudara Nazrey Johani, teringat pula saya sebuah kaset kumpulan nasyid The Zikr. Kaset itu dihadiahkan kepada saya oleh seorang adik perempuan semasa belajar di universiti 20 tahun lalu. Albumnya berjudul “Secerah Pawana”.

Masih saya ingat tajuknya kerana penasyidnya adalah saudara Nazrey Johani, dari kumpulan The Zikr sebelum namanya berubah menjadi kumpulan nasyid Raihan. Alunan nasyid di dalam album Secerah Pawana memang cukup indah.

Hari ini, bila saya mendengar CD saudara Nazrey Johani, di dalam album Nostalgia Memori The Zikr, saya cukup tersentuh. Nasyid yang paling saya suka dengar adalah ”Wahai Kekasih, Kaulah Segalanya”.

Terima kasih saudara Nazrey Johani yang mengalunkan nasyid ini. Saya tidak berlakon mengatakan bahawa air mata bergenang dikelopak ketika mendengar alunan nasyid Wahai Kekasih, Kaulah Segalanya.

Genangan air mata itu bukanlah bermaksud bersedih, tetapi mengingati Kekasih NYA yang luhur keperibadiannya memiliki akhlak mulia. Saya sebenarnya sedang berusaha menggapai keperibadian Baginda agar syafaatnya kelak melindungi saya di dalam kehidupan seterusnya. Selawat buat junjungan Rasulullah SAW.


4 Komen:

Adinda Amy Sensei berkata...

salam..

apa khabar abgbent?
sibuk nampak ekk..

apapun..
moga abg dan keluarga baik adanya..
jaga isteri tu baik2..dah sarat tu..ehhehe..
mesti baby nanti comel ni mcm abg bent..kekkeke...

Abg Din berkata...

salam...

abgdin datang ziarah abgbent ya...

;)

Guru berkata...

wah , banyak cerita yang menarik ya
tahniah, kerana bakal menimang cahaya mata

nurhidayat berkata...

subhanallah.. ya rasulallah kau tinggalkan kami warisan yang abadi, sesungguhnya kami merinduimu
coba kunjungi my blog http://tahukah-antum.blogspot.com/

Catat Ulasan