Jumaat, April 16, 2010

Anda Blogger Terlampau?

Amat melampau bila seseorang berlagak seolah-olahnya sudah pakar di dalam pembinaan ayat untuk berkarya. Konon-kononnya menjadi penulis bersopan-santun berbanding orang lain.

Para blogger yang berusaha menjelmakan kebolehan masing-masing, tetapi tidak berupaya menggunakan ejaan sempurna, tatabahasa yang betul, bahasa bercampur-aduk dan sering menggunakan 'bahasa rendah' dianggapnya sebagai memperlekehkan Islam.

Hah! Sampai begitu sekali pemahamannya?.

Diistilahkannya juga konon-konon orang yang menulis menggunakan ejaan salah, tidak mengikut tatabahasa sempurna dan bahasa bercampur aduk sebagai mencela bahasa Al-Quran dan Rasulullah SAW.

Lagi sekali saya terkejut dengan tafsiran sedemikian.

Saya betul-betul terkejut, lalu memberikan gelaran kepada orang seperti itu sebagai orang yang berfikiran sempit dan jumud!.

Nasihat saya, untuk menilai keindahan sesuatu perkara, harus diamati dari pelbagai dimensinya. Lebih-lebih lagi menilai dimensi kehidupan duniawi. Saya yakin, orang berfikiran sempit dan jumud tidak akan berupaya memahami maksud sebenar kehidupan ini.

Kehidupan dipenuhi warna-warni. Nasihat saya pada orang yang berfikiran sempit dan jumud, tatapilah kesemua warna-warni kehidupan dengan hati terbuka, lalu tajamkanlah minda dengan penuh kebijaksanaan.

Barangkali kejumudan yang sempit di dalam menilai karya seseorang sudah mencengkam dirinya sendiri. Apakah pemikiran sempit dan jumud telah melingkari diri sehingga tergamak menyamakan taraf keagamaan sedemikian? MasyaAllah!

Teringat pula saya kisah As-Syahid Imam Hassan Al Banna di dalam perjuangannya untuk menegakkan syiar Islam.

Dikisahkan, semasa hidup Imam Hassan Al-Banna, beliau juga sanggup pergi ke kelab-kelab malam untuk berdakwa menyebarkan risalah agama Islam.

Kelab Malam, dengan Islam?

Barangkali perbuatan sedemikian bila diterjemah oleh orang-orang yang berfikiran sempit dan jumud dianggap sebagai mencela kesucian dan kemurnian Islam. Pemikiran sempit dan jumud juga barangkali memandangnya dari perspektif negatif yang mencemarkan agama.

Tak apalah, kerana pemikiran yang dipunyai masih sempit dan jumud sehingga menghalang diri sendiri untuk menerokai kepelbagaian warna-warni di dalam berkarya.

Pembinaan tatabahasa yang baik dan elok, yang konon-kononnya indah belum tentu digemari oleh mereka yang sukakan paparan bercelaru dan comot.

Seperti mana juga Anda yang berfikiran sempit dan jumud, tidak mungkin menyukai apa yang disukai oleh mereka yang terbuka dan sering meneroka. Berusahalah mempelajari paparan bercelaru dan comot kerana darinya nanti, kelak diperolehi jawapannya.

Elakkan memandang mereka sebelah mata, lebih-lebih lagi mengistilahkan mereka sebagai pencemar agama, atau dianggap sebagai pencela bahasa Al-Quran dan bahasa Rasulullah SAW. Kelak Anda yang menerima akibatnya!

Dimensi berkarya terlalu luas paparannya untuk dinikmati. Ianya samalah seperti menikmati keindahan ciptaan Tuhan yang ada kepelbagaian paparan. Gaya jumud dan sempit pasti tidak sama dirasai bila dibanding dengan gaya terbuka dan kasar.

Anda yang berfikiran sempit dan jumud, usahlah pula menganggap mereka yang tidak berupaya menggunakan ejaan sempurna, tatabahasa yang betul, bahasa bercampur-aduk dan sering menggunakan 'bahasa rendah' sebagai memperlekehkan agama Islam. Lebih-lebih lagi menganggap mereka sebagai pencela bahasa Al-Quran dan bahasa Rasulullah SAW. Anda sememangnya Blogger Terlampau.

Siapalah Anda untuk menafsir yang terselit di dalam hati sanubari para blogger sedemikian. Pengadil yang sebenar-benarnya pastilah DIA, Tuhan Pencipta Alam. Kepada NYA jua saya berserah.


5 Komen:

Izzah Al-Maliziyyah berkata...

Assalamu'alaikum wbt. Andai saya adalah 'blogger terlampau' itu, dengan rasa rendah diri, saya langsung tidak marah dan berkecil hati. Hanya tersenyum membaca rekomendasi saudara.

Setiap orang mempunyai hujah masing-masing. Malah di alam maya ini, tangan-tangan yang menaip boleh menjadi sesiapa sahaja.

Saya seorang yang berfikiran terbuka. Malah boleh menerima pandangan para blogger. Baik yang membina mahupun yang meruntuh. Barangkali, 1001 kebaikan yang saya perolehi jika saya tidak jumud~

Nota:
Menjadi pejuang bahasa dan agama, perlu ada sikap terbuka untuk tidak mudah terasa.

Abgbent berkata...

Alhamdulillah! duhai adikku Izzah yang saya kasihi kerana DIA. Abg sekadar ingin berkongsi, pun turut tersenyum-senyum bila mana menelaah paparan komentar di atas.

Sememangnya bahasa yang dialunkan teramat indah dan cukup istimewa auranya. Sebab itulah abg kadang kala berziarah ke iHumaira blogspot untuk menatap tatabahasa dan ejaan yang sempurna disulami sopan santun yang tinggi.

Namun, usahlah pula dituduh adikku AT yang kasar bahasanya, tidak sempurna ejaannya, malahan barangkali terlalu biadap bunyinya sebagai pencela bahasa Al-Quran dan Bahasa Rasulullah SAW. Lebih-lebih lagi dikata menjadi pencemar agama Islam. Bukankah tuduhan sedemikian terlalu berat timbangannya?

Niat dihati bukanlah nak membelanya, tetapi barangkali ada paparan positif yang harus diteliti agar jiwa sopan santun dan berhemah tidak terbawa-bawa dan terkesan olehnya.

Kekasaran dan Kebiadapan ada kala meluahkan kejujuran yang perlu diteliti untuk disedari akan erti perasaan manusiawi. Begitu juga kesopanan dan Kesantunan yang perlu diawasi kerana kadang kala ianya juga pandai berpura-pura untuk menyelimuti hati menjadi hitam.

Tugas kita adalah untuk ingat mengingati agar kekasaran dan kebiadapan yang dimuntahkan tidak pula turut dijijik-jijikkan oleh mereka yang ada kesopanan dan kesantunan. Andai masih juga dilakukan, bukankah ianya ada kesamaan? Cuma istilahnya sahaja berlainan seumpama bahasa bercelaru tetapi diselaputi kejujuran dan bahasa sopan tetapi disulami kepura-puraan.

Menjadi seorang pejuang sememangnya perlu sentiasa bersangka baik supaya sifat semulajadi hati nan suci berupaya memancarkan sinarnya yang berseri-seri...

Kepada NYA jua kita berserah, kerana jawapan akhir sama ada baik atau buruk, DIA jua yang mengadilinya.

Faizul berkata...

hmmm pada saya blog just tempat nak kongsi2 cerita je...
tak tahu pulak kena guna bahasa rasmi kebangsaan.

Unknown berkata...

uikkk??? dia refer pada akhlak yg ditonjolkan pada penulisan blog seseorang kot...

Abgbent berkata...

Haáh, betul tu Wan, akhlak memaparkan keimanan yang dimiliki. Namun, siapalah kita nak mengukur atau menjadi hakim untuk mengadili keimanan setiap hati insani.

Orang gila dilihat gila oleh orang yang waras, tetapi mungkinkah orang gila lebih bermaruah berbanding orang waras? Jawapan persoalan ini hanya DIA yang mengetahui. Siapalah saya untuk membandingkan kedua-duanya.

Teringat pula saya suatu ketika dahulu bila mana besembang-sembang dengan rakan-rakan dan ada juga yang terlebih bersembang sehingga mencarut. Dalam bab-bab mencarut ni, teringat pula saya ungkapan seorang pemimpin berkaitan Tuhan. :)

Dude, saya suka dengan komenmu. Terima kasih.

Catat Ulasan