Rabu, September 30, 2009

Mainan Emosi - Positif atau Negatif

Izinkanlah coretan saya kali ini berkongsi dengan Anda, Anda yang saya kenali sebagai saudara terutama adikku Shueqry, Faizal dan Shakinah Haron. Andai coretan ini kurang sesuai, hindarilah ia jauh sejauh-jauhnya kerana memang tidak sesuai untuk saudara semua.

Emosi adalah antara hiasan diri yang amat penting semasa melalui liku-liku kehidupan ini. Sama ada emosi yang dibentuk itu bersifat positif atau negatif, pada saya ianya tetap baik kerana lontaran emosi akan memberikan ruang kepada kita untuk meluahkan segala apa yang dirasa.

Emosi positif tidak semestinya baik sepanjang masa dan begitu juga emosi yang dikatakan negatif. Pada saya, kedua-dua emosi ini harus ada untuk mewarnai kehidupan yang sedang dilalui kini.

Andai saudara tidak bersetuju dengan pandangan saya, usahlah pula marah atau terus membenci saya. Kasihanilah saya.

Pandangan yang saya lontarkan ini pastilah berbeza, moga-moga nanti ianya akan dapat difikirkan bersama-sama sebagai bekalan untuk menuju ke destinasi hakiki, iaitu Kehidupan di Syurga nan Abadi nanti.

Emosi positif dan negatif amat penting kita lalui agar terbinalah pengalaman diri semasa kehidupan ini, tetapi harus juga diketahui bahawa emosi yang sebegini andai tidak dipimpin sebaiknya, akan kelak merosakkan diri.

Emosi positif atau negatif tetap ada kebaikan dan keburukannya. Itulah yang ingin saya kongsikan dengan saudara semua. Kedua-dua emosi ini adalah antara pilihan yang harus kita sedari.

Emosi positif atau negatif boleh memberikan output yang bersifat negatif andai tidak dipimpin sebaiknya.

Dipimpin bermaksud kita menyedari bahawa kedua-dua emosi ini adalah anugerah dari-NYA untuk kita merasai akan erti kedua-dua perasaan ini. Itulah yang dikatakan pembelajaran di dalam kehidupan yang seharusnya diketahui.

Sedih, merupakan salah-satu daripada emosi negatif, tetapi ianya akan memberikan output positif andai kesedihan itu diluahkan kepada-NYA kerana menyedari bahawa betapa kerdilnya kita berbanding DIA. Pastilah DIA yang saya maksudkan ialah Allah SWT yang maha ESA.

Gembira, boleh dikatakan emosi positif tetapi kegembiraan secara berlebih-lebihan sehingga lupa diri yang saya gelar sebagai MABUK DUNIAWI iaitu sudah lupa diri sehingga tidak lagi mengerti akan kehidupan duniawi, kelak mengecapi hasil yang negatif pula.

Inilah yang dikatakan kehidupan, iaitu suatu ujian untuk melepasi tahap manusia yang bergelar insan, atau barangkali untuk mengenali manusia yang bertopengkan syaitan!.

Sama ada emosi yang terluah itu positif atau negatif sifatnya, ketahuilah bahawa itu adalah antara ujian-ujian di dalam kehidupan.

Penawar yang mujarab bagi kedua-dua emosi ini ialah sentiasa memohon keampunan dan keredhaan dari-NYA sepanjang masa.

Memohon keampunan di atas segala macam dosa-dosa yang dilakukan sepanjang melakukan kerja-kerja harian, dan Redha pula dengan apa sahaja ketentuan-NYA semasa melalui liku-liku kehidupan ini. Tetapi itu tidak pula memberikan makna bahawa kita tidak perlu berusaha di sepanjang kehidupan ini. OK.

Untuk memaksa diri agar output daripada emosi positif atau negatif adalah positif, kita haruslah sentiasa mengingati-NYA sepanjang masa agar melaluinya terwujudlah perasaan yang kita sedang diperhatikan oleh-NYA. Bilamana ada perasaan ini, maka segala usaha yang kita lakukan di dalam kehidupan ini akan menjurus kepada-NYA iaitu untuk mendapatkan keredhaan-NYA.

Redha dalam ertikata sentiasa bersyukur dengan apa yang ada, seterusnya berusaha bersungguh-sungguh melakukan yang terbaik di dalam pelbagai kerja-kerja kehidupan agar nanti, adalah belas ehsan dari-NYA untuk kita melepasi segala macam ujian kehidupan.

Jangan anggap kita telah berjaya di dalam kehidupan ini selagi mana kita belum merasai Syurga-NYA nan Abadi.

Kejayaan di dunia tidak sama dengan kejayaan selepas kehidupan dunia kerana kehidupan di dunia selama seribu tahun, baru menyamai sehari di dalam kehidupan selepas kehidupan dunia. Itu yang telah diberitahu kepada saya. Kita hidup di dunia cuma 100 tahun sahaja, itupun kalau berkesempatan merasai angka 100 tahun itu.

Satu lagi yang harus saya beritahu ialah untuk mendapat belas ehsan dari-NYA, bersama-samalah kita memohon kepada-NYA agar tercurahlah segala macam keajaiban-NYA kepada kita.

Semua ini adalah antara pilihan yang ada di dalam genggaman tangan kita. Persoalannya ialah sama ada kita mahu atau sebaliknya. Pilihlah mana satu kehidupan yang ingin dilalui.

2 Komen:

Motivasi Kerja berkata...

Emosi ni sebenarnya adalah terjemahan dalam bahasa melayu. Andai diterjemahkan dalam penggunaan bahasa agama emosi adalah nafsu. Nafsu ada yang baik dan ada yang buruk. Tetapi kurang kawalan nafsu menyebabkan diri manusia sering dikawal oleh nafsu dan membawa kepada perkara-perkara yang tidak baik.

ARIE TINO Y berkata...

thanks infonya

Catat Ulasan