Ahad, Julai 26, 2009

Telanjang Di Dalam Kehidupan… atau Menjadi Seorang yang Hebat!

Anda, yang bernama Insan sememangnya benar-benar hebat seandainya mengetahuinya.

Hebatnya Anda telah menyebabkan Iblis yang pada mulanya amat tawaduk kepada Allah telah menjadi kufur kerana tidak mahu mengikut perintah-Nya iaitu perlu tunduk pada mahkluk-Nya yang bernama manusia.

Sifat Dengki dan Bangga Diri yang menyelimuti iblis telah menyebabkan dia kufur pada Allah selama-lamanya. Sebab itulah perasaan Bangga Diri dan Dengki merupakan antara yang amat berbahaya sekiranya ingin menjadi Hebat dan Berjaya.

Kejayaan di dunia memang boleh dikecapi tetapi ketahuilah bahawa kejayaan itu adalah sementara sifatnya. Perlukah berbangga atau merasa hebat akannya, apatah lagi menjadi dengki kerananya?

Saya berani mengatakan kejayaan kehidupan bukanlah seratus-peratus diukur dalam bentuk harta benda yang dimiliki atau pangkat kekuasaan yang diperolehi.

Oleh itu mengapa harus berbangga apatah lagi menjadi dengki kerananya?

Memang kita boleh memiliki kejayaan duniawi tetapi biarlah digunakan sebaiknya. Lebih-lebih lagi digunakan untuk menjadi tawaduk pada-NYA, DIA yang Maha Esa lagi Maha Berkuasa di atas segala-galanya.

Mengapa harus mengikut jejak langkah iblis yang telah dilaknat Allah?

Untuk difahami, ketahuilah bahawa kejayaan di dunia bukanlah hakiki kerana kejayaan yang sebenarnya adalah kejayaan selepas menempuhi kehidupan ini. Seribu tahun kehidupan di dunia diumpamakan sehari kehidupan di Akhirat.

Kehidupan Akhirat adalah kehidupan yang akan dilalui selepas menempuhi kehidupan duniawi. Itu pun kalau boleh dimengerti kerana pernyataan ini merupakan antara rahsia-rahsia yang terkandung di dalam kehidupan duniawi. Saya mengatakannya kerana saya ada merasainya.

Perasaan yang dirasai oleh saya barangkali tidak sama dengan perasaan yang Anda rasai kerana sifatnya perasaan memang tidak dapat dilihat oleh mata apatah lagi diukur oleh minda.

Andai Anda mengatakan kepada saya yang Anda merasa sakit dek terkena sesuatu, pastilah saya tidak dapat melihat apatah lagi menafsir kesakitan yang sedang Anda rasai, kerana kesakitan itu sifatnya tidak dapat dilihat oleh mata apatah lagi diukur oleh minda saya.

Tetapi hakikatnya, Anda sedang merasakan kesakitan itu di dalam perasaan hati dan sanubari Anda sendiri. Itulah yang ingin saya beritahu kepada Anda. Anda yang saya kasihi kerana DIA.

Saya tinggalkan pemikiran ini untuk direnungi agar kelak adalah makna yang akan dirasakan. Apa yang akan Anda rasai barangkali tidak sama dengan apa yang sedang saya rasai kini.

Moga-moga Anda akan mengerti.

1 Komen:

Abg Din berkata...

orang yg mencubit memang tidk merasa sakitnya..

Catat Ulasan