Ahad, Jun 21, 2009

Rahsia Menyingkap Kehidupan (Kuasa Beragama)

Hadirnya kita ke dunia ini dinyatakan dengan pelbagai tujuan. Memanglah ianya mengikut amalan dan anutan setiap insan.

Hanya yang beragama sahaja memiliki pendirian adanya kehidupan lain selepas kehidupan ini. Kehidupan ini yang saya maksudkan adalah kehidupan di dunia yang dikatakan kehidupan maya dan sementara.

Asas di dalam kehidupan dunia yang kita percayai ketika ini ialah setiap yang terjadi di dunia adalah dizahirkan melalui tenaga atau kuasa. Kuasa yang memang bertenaga untuk menzahirkan pelbagai perkara. Salah satunya, pastilah tenaga kuasa beragama.

Beragama dalam erti kata mempercayai adanya kuasa yang lebih hebat daripada kuasa manusia. Kehebatan kuasa yang dimiliki oleh kuasa beragama sememangnya adalah kuasa ghaib yang tidak dapat dilihat oleh mata.

Ianya memerlukan sebenar-benar kuasa hasil himpunan beberapa kekuasaan yang ada pada manusia untuk merasainya.

Andai Anda cuba berusaha melihat kehebatan kuasa beragama hanya melalui pandangan mata, pastilah Anda akan gagal untuk melihatnya. Maklumlah, bukankah dunia ini dikatakan penuh dengan pancaroba? Apatah lagi pandangan mata itu dipandu oleh nafsu Anda yang tidak mengerti akan kehidupan beragama.

Seandainya pandangan mata itu digabungkan dengan akal atau minda, belum tentu juga ianya dapat menzahirkan kehebatan kuasa beragama kerana minda yang menganalisa setiap pandangan tidak akan seratus-peratus benar andai minda yang digunakan belum cukup ilmunya.

Hah! Itu sebab kita hadir ke dunia ini. Sebahagian daripada matlamatnya adalah untuk mencari dan mengumpul ilmu-ilmu NYA. Tidak kiralah ilmu itu Anda pelajari, atau mungkin juga Anda lalui sendiri. Itu memang ilmu yang harus kita ketahui.

Saya berani mengatakan bahawa ilmu yang dipelajari dan ilmu yang dialami memang jauh berbeza kerana yang mengalami pasti lebih mengetahui. Umpama seseorang yang memberikan susu untuk diminum, rasa susu akan diketahui sama ada manis atau pahit bila mana Anda meminumnya sendiri. Pastilah tidak semua yang merasai kemanisan susu sama semuanya pada setiap masa dan ketika.

Walaupun begitu, Anda yang cuba berusaha mempelajari sesuatu ilmu, setidak-tidaknya ilmu yang diperolehi boleh dijadikan panduan untuk meneruskan kehidupan. Hidup yang memang memerlukan tenaga untuk menyinarkan aura di dalam diri kita, untuk menyuluh perjalanan seterusnya.

1 Komen:

Ummu Mishkah berkata...

entri kali ini blh dibaca olh wanita kan? hihihihi
sesiapa yang tidak berpegang pada agama sebenarnya tidak merasai nikmat ketenangan walau sehebat mana mereka!

Catat Ulasan