Selasa, Jun 16, 2009

Nasihat Buat Adikku Daniella

Salamelekom,wbt adikku Daniella,

Sedih juga abg membaca coretan adik itu. Pastilah abg berusaha melakarkan sesuatu khusus untuk tatapan adik di sini.

Sesungguhnya abg melakukan ini adalah semata-mata mengharapkan redha dari NYA jua dan seandainya nasihat abg ini berguna, ambillah... tetapi jika sebaliknya pula, buangkanlah ia jauh sejauh-jauhnya dan carilah nasihat-nasihat lain yang boleh membantu adik. InsyaAllah.

Pertama-tamanya, usahlah menyalahkan sesiapa di atas apa yang telah berlaku ini. Bersihkan hati dari pelbagai prasangka yang ada terhadap sesiapa, tetapi renung-renungkanlah apa yang membuatkan adik menerima kegagalan sedemikian rupa.

Renung sejauh yang mungkin dan cuba fikirkan dari sudut diri adik sendiri. Sekali lagi, usah ditafsirkan apa yang orang lain telah lakukan, tetapi adik kena fikir apa yang adik boleh lakukan untuk menghadapi situasi yang telah berlaku ini.

Fikirkan bagaimana mengatasi masalah yang adik hadapi kini dan elakkan memikirkan sebab musabab masalah yang menimpa adik sekarang ini. Ingat, sekarang ini adik kena fikirkan bagaimana nak menyelesaikannya.

Kedua, nasihat abg ialah hadapi dengan tenang dan tabah segala peristiwa yang telah berlaku. Redha dengan ketentuan ini kerana kejayaan kehidupan sebenarnya bukanlah terletak seratus peratus pada perkara itu.

Lebih jauh lagi, adik kena fahami bahawa inilah dugaan atau ujian hidup yang harus adik hadapi. Seandainya adik berjaya dengan dugaan ini, abg berani mengatakan bahawa berkemungkinan Syurgalah ganjarannya. Sesungguhnya itulah Kejayaan Hakiki di dalam menghadapi segala liku-liku kehidupan ini.

Ketiga, Selain daripada menunggu keputusan rayuan itu, cubalah berusaha sedikit. Pertamanya, berjumpa dengan pihak atasan (Pentadbir khususnya Dekan, Penyelaras Program atau mungkin Pensyarah yang adik maksudkan itu).

Dan berbincanglah dari hati yang tulus ikhlas agar mereka memberikan peluang sekali lagi untuk adik mengulangi kursus itu dan seterusnya akan memperbaiki pencapaian di masa akan datang. Jangan malu untuk memohon maaf kerana itulah penawar yang amat-amat mujarab terhadap sesiapa yang dimusuhi. Apatah lagi hati-hati yang diselubungi dengan pelbagai sifat kebencian dan kedengkian.

Mengapa adik kena melakukan itu? Pastilah abg berani mengatakan bahawa pada masa ini, merekalah yang berkuasa menerima rayuan yang adik telah kemukakan itu. Ini adalah sebahagian daripada usaha yang adik kena lakukan agar diberikan peluang sekali lagi. Ingat!, usah menyalahkan sesiapa di dalam hal ini, tetapi salahkan diri sendiri, kelak adalah belas ihsan dari mereka nanti.

Keempat, Jangan lupa untuk berdoa dan memohon kepada NYA kerana segala yang mustahil boleh berlaku seandainya ada limpahan kurnia dari NYA. Abg berani mengatakan ini kerana segala keajaiban di dalam kehidupan ini sememangnya hak mutlak bagi NYA. Mengapa? Kerana tiada lagi kuasa yang maha berkuasa selain daripada kuasa yang ada pada NYA. Oleh itu, pohonkanlah sedikit kekuasaan NYA yang kelak mengiringkan keajaiban NYA untuk membantu di dalam kita menghadapi kesulitan kehidupan semasa di dunia ini. Sesungguhnya, DIAlah yang mengetahui akan semua perkara di dunia ini.

Untuk akhirnya, abg ingin mengatakan, apapun yang terjadi, adik kena berani menghadapinya. Maksud abg di sini ialah, berterus terang saja pada kedua orang tua kerana abg yakin, mereka kelak memahami apa yang telah terjadi kepada adik.

Dan seandainya mereka memarahi adik, terimalah hakikat itu kerana sememangnya mereka layak melakukannya. Redhalah dengan pelbagai nasihat yang kelak diberikan oleh mereka. Ingat! Hadapi dengan tabah dan tenang.

Dan, usahlah berputus asa kerana setiap yang berlaku, pasti ada hikmahnya. Usah dipersiakan kehidupan yang dilalui kini kerana kegagalan itu bukanlah seratus peratus merupakan kegagalan di dalam kehidupan ini.

Mungkin ada baiknya juga adik menerima kegagalan itu kerana barangkali ada yang lebih baik sedang menunggu di hadapan kini.

Apa dia? Hanya DIA yang mengetahui dan pastilah abg berani mengatakan bahawa laluilah kegagalan ini walaupun ianya terlalu pahit atau perit kerana sesungguhnya kepahitan dan keperitan ini adalah ujian untuk meluluskan kita di dalam memahami akan erti kehidupan ini.

Kehidupan ini ada Matlamat Hakiki. Pastilah Matlamat untuk menduduki kehidupan nan abadi iaitu Syurgawi.


Abgbent.

2 Komen:

AiE bAhRi berkata...

Abg bent,
suka baca nasihat abg bent kat sini walaupun ianya ditujukan pada orag lain tapi boleh diambil iktibar..

Ummu Mishkah berkata...

Moga dipermudahkan urusan beliau..

Catat Ulasan