Rabu, April 08, 2009

Warna-Warni Kehidupan

Memang ramai yang mengistilahkan kehidupan ini penuh dengan warna-warni. Betulkah? Pada saya memang ada kebenarannya sebab itu ada juga istilah hitam-putih kehidupan.

Agaknyalah warna hitam merujuk pada kehidupan yang penuh kedukaan, manakala warna putih pula ditafsirkan penuh keceriaan. Entahlah…

Tetapi, yang pasti pada diri saya, tentulah warna hitam dan warna putih itu sangat berbeza. Begitu juga gambarannya. Hitam dan putih pada saya bukanlah bermaksud kedukaan dan keceriaan semata, tetapi ianya melangkaui kedua-dua makna itu.

Mari kita bersama-sama menyingkap istilah Warna-Warni Kehidupan di dalam coretan ini. Ibarat sinaran putih berseri yang diserakkan membentuk pelbagai warna-warni yang dikenali sebagai Pelangi.

Di situlah tersimpannya rahsia warna Putih tadi, iaitu mengandungi pelbagai warna seperti merah, oren, kuning, hijau dan pastilah biru, warna kegemaranku.

Di antara kesemua warna itu, para ahli sains telah bersetuju bahawa warna merah mempunyai jarak gelombang yang paling pendek, manakala warna biru mempunyai jarak gelombang yang paling panjang berbanding warna-warna lain. Barangkali itulah sebabnya saya menyukai warna biru.

Kalau Anda melihat ke langit nan luas, Anda dapati warna putih dan warna biru yang kelihatan. Kecuali jika Anda melihat langit ketika fajar atau senja. Akan adalah warna merah yang kelihatan pada ketika itu. Warna putih yang kelihatan di langit itu pun sebenarnya berasal dari kepulan awan.

Begitu juga bilamana Anda perhatikan lautan nan luas. Dapat diperhatikan warna kebiru-biruan akan terpancar. Kecualilah Anda melihat di kawasan pesisiran pantai. Akan terpancarlah warna hijau dan kadang juga warna keperang-perangan.

Fenomena sedemikian berlaku disebabkan kebolehan warna-warna itu memancar kembali ke ruangan mata hati.

Tak faham? Mari saya jelaskan secara mudah.

Sinaran cahaya yang terpancar sememangnya berwarna putih. Bila ianya memancar ke arah suatu benda, sebahagian daripada sinar cahaya tadi akan diserap dan sebahagiannya pula akan dipancarkan semula.

Sinar yang terpancar kembali merupakan sinar yang kelihatan oleh mata hati. Manakala yang diserap oleh benda itu akan hilang dari pandangan mata.

Sebagai contoh, mengapa sesuatu benda itu kelihatan merah atau biru? Menurut para pengkaji sains mengenai cahaya, sebenarnya warna merah kelihatan oleh mata Anda disebabkan semua sinar cahaya yang terpancar ke arah benda itu telah diserap dan hanya warna merah yang dipancarkan semula ke mata Anda.

Begitu jugalah yang berlaku terhadap benda yang berwarna biru di mana sebahagian warna telah diserap dan hanya birulah yang terpancar semula dari benda itu. Sebab itu, benda-benda tadi memberikan pancaran warna sama ada merah atau biru.

Di dalam kehidupan kita, pastilah fenomena sedemikian berlaku. Setiap perbuatan yang kita lakukan ianya digambarkan sebagai warna-warni di dalam kehidupan. Dan kesemua perbuatan itu merupakan hasil daripada ilmu-ilmu yang kita pelajari semasa melalui kehidupan ini.

Bilamana ilmu itu kita serap dan tidak dipancarkan semula melalui perbuatan, maka jadilah ia seperti benda yang menyerap sahaja kerjanya iaitu tidak memancarkan semula sinaran ilmu itu di dalam perbuatannya. Jika itu yang berlaku, pastilah dirinya itu tidak memancarkan apa-apa sinaran atau dalam erti kata lain, berwarna hitam.

Tetapi seandainya ia menyerap sinaran warna itu dan seterusnya memancarkannya semula melalui perbuatannya, tanpa melakukan apa-apa terhadap warna itu, maka akan terpancarlah pula sinaran seperti mana yang diserapnya tadi. Umpamanya, andai dirinya menyerap warna merah atau biru, maka akan terpancarlah di dalam dirinya warna merah atau biru itu tadi.

Sebenarnya apa yang ingin saya jelaskan dan kongsikan di sini ialah berkenaan istilah Warna-Warni Kehidupan itu. Bila mana kita menyerap pelbagai warna warni kehidupan, pastilah kita perlu melakukan sesuatu terhadap warna-warni itu. Ya, kita perlu menyimpulkannya menjadi SATU. Masing-masing di antara kita bertanggungjawab untuk menjadikan warna-warni yang kita serap menjadi SATU.

Bilamana warna itu telah menjadi SATU, pastilah warna yang tersinar adalah Putih. Dan jika sekiranya diri kita memancarkan semula cahaya yang SATU itu, sudah pasti diri kita akan memancarkan cahaya Putih sepertimana sebelum ianya diserak menjadi warna-warni pelangi iaitu diibaratkan seumpama warna-warni kehidupan.

“Kerana tiap-tiap seorang dari mereka pada hari itu, ada perkara-perkara yang cukup untuk menjadikannya sibuk dengan hal dirinya sahaja. Muka (orang-orang yang beriman) pada hari itu berseri-seri, tertawa, lagi bersuka ria; Dan muka (orang-orang yang ingkar) pada hari itu penuh berdebu, diliputi oleh warna hitam legam dan gelap-gelita. Mereka itu ialah orang-orang yang kafir, yang derhaka. (Abasa : 37 – 42)

2 Komen:

meza berkata...

arini saya berbaju merah untuk rasa lebih ceria dan berani.
hehe.

;)

Abgbent berkata...

Terima kasih adikku Meza.

Wah! patutpun abg merasa semacam bersemangat jer hari ini buat kerja, sampai tak sempat nak melawat blog hari ini. Rupa-rupanya adikku si Meza ni sedang memakai baju berwarna merah.

Baguslah kalau macam tu. Jangan sampai terlebih berani plak adikku Meza ya *&&^%

Catat Ulasan