Ahad, April 12, 2009

Rahsia Hatiku Mengasihi dan Menyayangi Isteriku…

Kali ini aku ingin berkongsi dengan Anda mengenai Rahsia Hatiku mengasihi dan menyayangi Isteriku. Akan aku kisahkannya di sini khusus untuk tatapan Anda, moga-moga adalah kefahaman Anda serba sedikit mengenai hati seorang lelaki sepertiku khususnya berkaitan kehidupan ini.

Memang banyak sebab aku amat mengasihi dan menyayangi isteriku. Itulah yang aku ingin kongsikan dengan Anda, moga-moga adalah manafaatnya...

Sebab utama aku menyayanginya pastilah kerana DIA. Aku yakin, isteriku hadir di dalam hidupku bukan untuk bersenda-gurau dan berkasih-sayang semata, atau bukan juga hanya sekadar bercinta dan dicintai.

Aku yakin, dia dihadirkan di dalam hidupku adalah sebagai simbol kasih-sayang-Nya padaku. Isteri adalah kurniaan-Nya dan anugerah pengiktirafan dari-Nya yang tiada tandingannya.

Aku bersyukur kerana diberikan nikmat dan anugerah ini untuk aku bersenang-lenang dan bersuka-ria mengecapi nikmat kehidupan duniawi kini. Pada-Mu jua aku berserah.

Disebaliknya, Pastilah DIA juga mengamanahkan untukku melaksanakan segala tanggungjawab terhadap anugerah ini. Aku yakin isteriku dihadirkan di dalam hidupku merupakan sebahagian ujian-Nya yang harus aku hadapi. Kelak nanti, moga-moga adalah sinar cahaya-Nya di akhir kehidupanku.

Sebab kedua aku menyayanginya adalah kerana pengorbanannya untukku di dalam banyak perkara. Antara yang dapat aku nyatakan untuk Anda renungi ialah kerelaannya sanggup berjauhan dengan keluarganya untuk turut bersama-samaku melayari bahtera perkahwinan.

Dia juga telah mengorbankan kerjayanya sebelum ini, untuk turut bersama-sama denganku meneruskan sisa-sisa perjalanan kehidupan menuju Destinasi Hakiki.

Dia telah sanggup menjadi suri hatiku sepenuh masa sama ada melayari bahtera perkahwinan ini mahupun mengiringi perjalanan hidupku. Masih aku ingat ketika memberitahu kepadanya berkenaan matlamat hidupku dan hidupnya, tanpa banyak soal dia terus melepaskan kesenangannya mengecapi keseronokan hidup bersama-sama keluarganya dan juga kerjaya yang dimilikinya.

Itu semua membuatkan aku lebih menyayanginya, selain susah-payahnya menjaga makan minumku setiap hari, menyediakan pakaian harianku, dan bermacam-macam ragam kehendakku, sanggup dia turuti. Aku tahu, titisan kasih sayang yang diberikannya kepadaku sehingga kini jauh lebih besar berbanding kasih sayang yang aku berikan kepadanya. Terima kasih wahai isteriku...

Dia juga amat memahami sifat-sifat yang ada padaku. Salah-satunya, andai aku memarahinya, dia akan diam walaupun dengan kasar sekali aku memarahinya. Satu daripada sifatnya yang cukup menyentuh hatiku ialah berdiam diri bila dimarah. Kadang, dia hanya menitiskan air mata tanpa bahasa. Melihatkan itu berlaku, perasaanku terasa hancur luluh. Tetapi aku harus mengagahinya kerana aku ingin dia belajar sesuatu. Titisan air matanyalah membuatkan aku terus menyayanginya sehingga kini.

Kalaulah isteri kesayanganku sedang menatapi coretan ini, ketahuilah wahai permata hatiku, aku sedang berusaha mengukirkan namamu di setiap ruang bahtera perkahwinan ini. Kadang juga aku akan melaungkan namamu di kemudi bahtera ini. Moga-moga ianya menjadi kenangan yang amat berharga bukan sahaja untuk kita berdua, tetapi untuk anak-anak kita mengabadikannya di dalam lipatan sejarah kehidupan ini.

Memang aku amat mengasihi dan menyayangimu. Kalau sebelum ini engkau tidak pernah mendapat warkah dariku yang dihiasi bunga-bunga cinta, ketahuilah lakaran ini aku khususkan untukmu.

Aku bersyukur kerana akhirnya ditemukan dan ditakdirkan denganmu. Memang engkaulah pujaan hatiku dan menjadi penawar perasaanku. Dikaulah satu-satunya insan yang memahami diriku, selain ibu kandungku sendiri.

Jauh di sudut hatiku berkata, “Terima kasih wahai Isteriku yang amat aku sayangi kerana sudi bersama-sama denganku melayari bahtera perkahwinan yang tidaklah secantik atau sehebat mana binaannya.

Namun, kasih-sayangmu jua telah memberikan kekuatan untukku berusaha memberikan sinar kehebatan pada bahtera perkahwinan ini.”

Pastilah juga aku mengharapkan sinar cahaya-Nya untuk sentiasa menerangi dan memayungi bahtera ini, selain mengiringkan lembayung rahmat-Nya untuk kita pintal bersama-sama agar kelak haluan pelayaran ini menuju destinasi hakiki.

..........InsyaAllah.

4 Komen:

Na Shari berkata...

Sampaikan salam saya untuk isteri abgbent yang sangat bertuah itu...

alang berkata...

Just wanna say "Ulasan dari hati".InsyaAllah,jika kita ikhlas dalam segala benda aturan dariNya,kita akan beroleh ketenangan.

ruby berkata...

adekah aku jgak memperolehi kebahagiaan sprt abg bent??..stelah aku d kecewakan...

:: hayati :: berkata...

sgt2 terharu...isteri yg sgt2 bertuah huhuhu...

perempuan yg solehah adalh utk lelaki yg soleh...

bertuah abgbent...tahniah

Catat Ulasan