Ahad, April 19, 2009

Pengalamanku Bertemu Jodoh… Bhg 7

Bahagian 7

Kali ini aku memilih beberapa kisah pencarian jodoh setelah aku bekerja. Moga-moga adalah manafaatnya dipraktikkan di dalam usaha pencarian jodoh Anda. Siapa tahu Anda akan berjaya?

Sebelum ini aku telah menceritakan kisahku didekati oleh beberapa wanita untuk mengecapi cinta sebelum berumahtangga. Memang ada beberapa peristiwa yang telah mendorong diriku untuk mendekati cinta sebelum terbinanya bahtera perkahwinanku. Tetapi mujur juga aku tidak berjaya mengapainya kerana memang aku tidak mahu merasainya.

Sekiranya Anda bertanya kepadaku mengenai cinta sebelum berumahtangga, pasti aku tidak dapat menjelaskannya secara sempurna kerana aku tidak pernah mengalaminya. Bagaimanapun, andai Anda bertanya bagaimana rasanya mengecapi cinta selepas berumahtangga, pasti banyak yang akan aku perkatakan mengenainya.

Memang sesungguhnya nikmat cinta selepas berumahtangga padaku melebihi segala-galanya. Maklumlah sudah tiada batasan untuk aku mengalirkan rasa cintaku pada jodohku.

Apa yang aku kongsikan di sini adalah sekelumit dari pengalamanku semasa diuji tentang cinta sebelum berumahtangga. Sejujurnya memang aku menolak usaha-usaha yang dilakukan oleh para wanita untuk mengajak aku mengecapi cinta sebelum mendirikan rumahtangga.

Mengapa ? kerana selain belum bersedia, aku juga telah menetapkan matlamat hidupku untuk tidak menjalinkan hubungan cinta dengan mana-mana wanita sebelum ada ikatan yang sah. Aku telah menyatakan sebelum ini kepada Anda bahawa sememangnya aku lemah berbanding Anda dalam soal cinta, apatah lagi sekiranya cinta itu terjalin sebelum tali perkahwinan tersimpul rapi.

Untuk pengetahuan Anda, aku memulakan usahaku mencari jodoh setelah menyedari yang umurku telah lanjut ketika itu. Sungguh! aku memulakan usaha mencari jodoh bilamana umurku telah menjejaki angka 31 tahun.

Antara sebab aku mencari jodohku adalah kerana sudah tidak tahan menerima pujuk rayu dari wanita. Apatah lagi kehadiran wanita yang bergelar isteri orang turut menagih cinta dariku.

Sesungguhnya selepas isteri orang turut sama berusaha menagih lelehan cintaku, aku bertekad akhirnya mencari-cari jodohku, agar dugaan dari isteri orang yang bertindak curang dapat aku elakkan.

Alhamdulillah, setelah berusaha, akhirnya aku memperolehi jodohku. Itupun setelah umurku hampir-hampir mencecah 32 tahun. Sejujurnya, aku ingin menyatakan kepada Anda bahawa aku merasa amat rugi kerana terlewat mengecapi nikmat berumahtangga.

Sungguh! Aku merasa rugi kerana lewat mendirikannya. Kini aku ingin menyatakan kepada Anda bahawa Kehidupan ini memang Terlalu Istimewa bilamana bahtera perkahwinan terbina. Akan aku kisahkan di pengakhiran ceritaku untuk Anda renung-renungkan bersama.

Tetapi sebelum itu, izinkan aku mengkisahkan di sini pencarian jodoh yang sia-sia. Aku mengatakannya sia-sia kerana aku telah mengalaminya iaitu ketika dilamar oleh wanita yang memisterikan diri mereka.

Barangkali Anda tidak faham istilah yang aku berikan berkaitan memisterikan diri mereka. Maksud memisterikan diri mereka di sini ialah tidak mahu menunjukkan identiti sebenar mereka.

Kalau Anda hendak melakukan usaha seperti yang aku ceritakan ini, sebaiknya lupakanlah sahaja kerana usaha pencarian jodoh sedemikian adalah sia-sia akhirnya.

Kisah mengenai wanita misteri yang menaruh cinta, tetapi meluahkannya secara rahsia-rahsia. Ada beberapa peristiwa sebegini telah berlaku di awal kehidupanku semasa bekerjaya.

(Coretan bersambung di bhg 8)

1 Komen:

alang berkata...

Hehe. Wanita2 misteri ni la best abg. Kita dapat hadiah free, and same time kita takyah kluar duit nak beli hadiah or balanja diorang makan.hehe. Best2.

Catat Ulasan