Ahad, April 05, 2009

Bertemu Jodoh dan Bahtera Perkahwinan

Perkahwinan merupakan antara Kejayaan Besar di dalam kehidupan ini. Seandainya masih ada yang tidak mengejar atau berusaha menggapai kejayaan tersebut, saya merasa rugilah kehidupannya kerana tidak merasai nikmatnya bertemu jodoh.

Sebelum ini saya telah melakarkan coretan mengenai perkahwinan bertajuk “Ingin Mengecapi Kejayaan Hakiki? Perkahwinan”. Kepada rakan-rakan yang belum berkesempatan menatapnya, bacalah coretan itu di dalam Himpunan Artikel bulan Februari 2009 di sebelah kanan blog ini.

Kali ini saya menyentuh tajuk di atas iaitu Bertemu Jodoh, rentetan kepada coretan perkahwinan itu. Kepada Anda yang telah bertemu jodoh, saya mengambil kesempatan ini melakarkan ucapan Syabas dan Tahniah. Kenapa? Sebab bertemu jodoh adalah di antara kejayaan-kejayaan besar yang memang seharusnya dihargai dan disyukuri.

Marilah kita bersama-sama menadah tangan kepada-Nya bersyukur kerana dipertemukan jodoh masing-masing. Bagi saya, kehidupan bertemu jodoh amat berbeza dengan kehidupan sebelum bertemu jodoh. Memang rasa nikmatnya amat berlainan sekali.

Usah dinilai nikmat kejayaan bertemu jodoh itu semata-mata di dalam hubungan cinta ataupun hubungan seks. Sesungguhnya nikmatnya melangkaui kesemuanya itu. Percayalah apa yang saya katakan ini. Terutama di awal-awal pertemuan jodoh itu kelak.

Umpama merasai keenakan meminum susu, apapun yang akan saya ungkapkan berkenaan susu itu, pasti Anda tidak akan dapat menggambarkan keenakkannya kerana saya yang merasainya, bukannya Anda. Sekiranya Anda nak tahu keenakkan susu yang saya maksudkan, rasailah sendiri. Heheheee….

Jangan pula Anda salahkan saya sekiranya tiba-tiba susu itu terasa masam ataupun terlalu manis!. Sekiranya berlaku seperti itu, barangkali Anda telah tersalah pilih. Maksud saya, mungkin Anda tidak berhati-hati memilih susu yang saya maksudkan.

Tetapi harus juga saya ingatkan bahawa bila mana Anda terlalu memilih, lambat laun Anda akan terlepas merasai susu yang saya maksudkan itu. Ketahuilah bahawa lebih baik merasai masam dan manisnya susu itu daripada tidak merasanya langsung.

Daripada Anda mengkhayal-khayalkan atau membayang-bayangkan kemasaman atau kemanisan susu itu, lebih baik Anda mencubanya sahaja. Kalau dah masam, tambah sahaja sedikit gula, atau buat sahaja susu itu menjadi keju. Sebaliknya pula kalau teramat manis, tambahkan air untuk mengurangkan kemanisan susu itu.

Sebenarnya apa yang saya cuba jelaskan di atas ialah, buatlah sesuatu usaha agar susu yang Anda sudah pilih walaupun teramat masam atau teramat manis, setidak-tidaknya adalah juga gunanya dan tidaklah sia-sia Anda mencubanya.

Berbalik kepada tajuk di atas iaitu bertemu jodoh, saya juga ingin menyatakan bahawa kejayaan bertemu jodoh bukanlah matlamat akhir di dalam kehidupan ini.

Selepas menggapai kejayaan bertemu jodoh, akan ada pulalah ujian-ujian dari-Nya seterusnya. Jangan disangka ujian yang bakal kita lalui itu akan sama seperti mana kehidupan sebelum bertemu jodoh.

Umpama seorang pelajar yang telah lulus peperiksaan SPM, takkanlah pula peperiksaan yang masih setaraf SPM juga yang harus dilalui.

Kalau mahu meningkatkan tahap pengetahuan, pastilah kena menduduki peperiksaan STPM pula. Secara tidak langsung, keputusan daripada ujian STPM itu kelak akan menunjukkan tahap ilmu yang telah dimiliki oleh pelajar itu.

Begitulah hakikatnya kehidupan kita yang telah bertemu jodoh. Bila mana kita melayari bahtera bersama jodoh, pastilah akan ada gelora dan ombak yang melanda. Saya lebih suka menggunakan perumpamaan bertemu jodoh sebagai sebuah bahtera yang telah siap dibina.

Bahtera itu digunakan untuk melayari lautan luas kehidupan ini. Andai bahtera yang dibina bersama-sama jodoh jelas matlamatnya, saya yakin, haluan bahtera akan sampai juga ke destinasi akhirnya, walaupun dilanda sebesar-besar ombak tsunami.

Sebaliknya pula, seandainya bahtera yang dibina tidak ada matlamat yang jelas, saya berkeyakinan, bahtera itu akan terapung-apung di atas lautan kehidupan dengan tidak tentu hala.

Bila mana itu berlaku, sekecil manapun badai yang menghempas, akan hancur musnahlah bahtera yang dibina. Walaupun zahirnya bahtera itu telah dilengkapi dengan pelbagai alatan canggih untuk membantu pelayaran itu.

Bahtera yang hebat dengan pelbagai kilauan gemilang tidak akan belayar dengan betul andai matlamatnya tidak diketahui ke mana haluannya. Pasti lama kelamaan ia akan tenggelam jua ke dasar lautan kehidupan nan luas ini. Bila mana itu berlaku, bahtera yang penuh kehebatan itu tidak akan sampai ke titik akhir pelayarannya.

Untuk memahami destinasi bahtera yang telah menjadi lambang kejayaan hasil bertemu jodoh, Anda dan saya mesti mengetahui ilmu-ilmu dan rahsia-rahsia lautan kehidupan ini.

Andai Anda bertanya bagaimana mencungkil dan mencari ilmu-ilmu kehidupan itu? Saya akan mencadangkan agar marilah kita bersama-sama menyingkap Kitab-Nya kerana di situlah tersimpan segala rahsia pelayaran bahtera itu.

Terkadang juga bila mana kita membuka lembaran demi lembaran kitab-Nya, tanpa disangka-sangka akan muncullah sedikit demi sedikit keajaiban kuasa-Nya semasa kita memandu bahtera kehidupan ini.

Kuasa keajaiban itu merupakan kompas yang akan membantu menghalakan haluan bahtera yang telah kita bina menuju destinasi akhirnya.

3 Komen:

meza berkata...

bila agknya saya akan meniti alam perkahwinan...

Abgbent berkata...

Aik! adik Meza yang cantik menawan mcm tu pun susah nak dapat jodohkah? Heran-heran...

Ni mesti sebab terlalu memilih punya kes ni. Jangan terlalu memilih adikku oiii... sure melepas nanti macam cikgu matematikku yang aku sayang tu... opsss... betulkah cikgu itu terlalu memilih?

Zahirnya elok pada pandangan mata, tapi dalamannya hanya DIA yang mengetahui. Mungkin ada sesuatu yang elok pada buruknya pandangan kita dan barangkali juga ada yang buruk pada eloknya pandangan luaran itu. heheheeee saja abg buat ayat berbelit-belit macam tu.

Memang susah dan teramat-amat susah mencari yang elok diluar dan elok juga didalamnya.

Entahlah.... Adakah macam itu ya?

Kali ini abg promosikan adik punya site supaya rakan-rakan lelaki dapatlah melawat blog adikku Meza yang cantik menawan itu. Kot-kot ada yang terbuka pintu hati mengorat adik kelak. heheheee

Moga berjaya! Ingat, jangan jual mahal sangat. Ooo ya, nanti abg nak kongsi citer pengalaman hidup mengenai perkara itu.

meza berkata...

Hehe. Mungkin jugak saya ni memilih tapi saya ada berkenan dengan sorang ni. Cuma dia pulak masih ada impian dan cita-cita yang ingin ditunaikan dulu. ;)

Aish... Cantik menawan ke saya ni? Ntah-ntah, abg salah tengok gambar kot. ;)

Terima kasih kerana promosikan blog saya tu. ;)

Catat Ulasan