Jumaat, Februari 13, 2009

Ingin mengecapi Kejayaan Hakiki? - Bhg 2, Kejayaan Sedikit Besar

(Mengecapi Kejayaan Sedikit Besar)

Kejayaan kecil yang telah saya jelaskan sebelum ini sememangnya tiada siapa yang mengiktirafnya selain Diri Kita Sendiri. Walaupun ianya kecil, tetapi kesungguhan Kita melakukannya memberikan Kita peluang mengecapi kejayaan. Saya tetap beranggapan Kita perlu mengiktirafnya agar semangat untuk mencipta kejayaan yang besar sedikit daripada itu akan terlaksana!.

Kejayaan besar sedikit? Maksud saya, kejayaan yang mana pengiktirafannya bukan sahaja terzahir daripada diri Kita sendiri. Tetapi juga saudara-mara dan sahabat-handai. Sudah pasti untuk itu berlaku, MATLAMAT dan TUJUAN sesuatu perkara yang Kita gariskan itu memerlukan penglibatan mereka. Sebab apa, sebab pengiktirafan kejayaan Kita akan memberikan kepuasan bukan sahaja kepada Kita Sendiri tetapi juga mereka. Mereka yang saya maksudkan termasuklah saudara mara dan rakan-rakan Kita.

Sebagai perumpamaan, Anda berazam untuk mendapatkan pekerjaan. Bilamana Anda memperolehi pekerjaan, pastinya kegembiraan terzahir bukan sahaja kepada Anda, tetapi juga keluarga terdekat, dan mungkin juga rakan-rakan. Begitu juga apabila Anda berazam untuk memberikan sebahagian kecil daripada hasil pendapatan bulanan kepada Ibu dan Ayah. Sampai sahaja hujung bulan, Anda terus melaksanakannya. Sudah pasti bukan sahaja Anda puas kerana dapat melakukannya tetapi juga kedua orang tua pasti gembira. Itu juga Kejayaan namanya. Dan jauh daripada itu, Ibu dan Ayah pasti mengucapkan terima kasih. Lebih jauh lagi, mereka akan mendoakan Anda dimurahkan rezeki. Kata-kata daripada kedua orang tua itu merupakan satu pengiktirafan kepada Diri Kita. Ya, kejayaan juga namanya dan kesannya bukan sahaja kepada Diri Kita Sendiri, tetapi melibatkan mereka...

Begitu juga apabila Anda berniat untuk belanja kawan-kawan yang pada akhirnya terlaksana. Rakan-rakan tadi pasti mengucapkan terima kasih, sekurang-kurangnya. Itu juga merupakan pengiktirafan daripada rakan-rakan di atas kejayaan Kita kerana melaksanakannya.

Sebab itu, dalam apa-apapun yang Kita lakukan, untuk memahami sama ada Kita mengecapi Kejayaan atau Kegagalan, pertama-tamanya pastikan niat, matlamat, tujuan dan keinginan awal Kita untuk melakukan sesuatu itu. Andai ianya terlaksana, kejayaanlah namanya tetapi jika sebaliknya, kegagalanlah pula istilahnya.

Pastinya di dalam kehidupan seharian Kita, semua perkara yang dilakukan adalah bermula dengan sesuatu niat, keinginan, tujuan dan matlamat. Kita lah yang membentuk semuanya itu, dan Kita jugalah yang akan memikirkan cara, kaedah dan strategi untuk mencapainya.

Sememangnya, seluruh kehidupan Kita pasti mengecapi kejayaan atau kegagalan pada setiap hari.

(Coretan ini akan disambung lagi)

2 Komen:

Tanpa Nama berkata...

Ya, betul tu. Tiada siapa dapat mengubah diri kita melainkan kita sendiri.

Abgbent berkata...

Betul tu Tanpa Nama. Saya setuju seratus peratus.

Catat Ulasan