Khamis, April 30, 2009

Rahsia Menyingkap Kehidupan -3

Seandainya saya ada sebiji epal, dan Anda juga ada sebiji epal, bilamana kita bertukar epal, saya akan tetap memiliki sebiji epal dan Anda juga akan tetap mempunyai sebiji epal. Walaupun hakikatnya epal itu sudah berpindah tangan iaitu epal yang saya miliki kini adalah dari Anda dan epal yang Anda punyai kini adalah dari saya.

Tetapi, seandainya saya ada satu ilmu dan Anda juga ada satu ilmu, bilamana kita bertukar ilmu, saya yakin Anda akan memiliki dua ilmu dan begitu juga diri saya yang akan memperolehi dua ilmu.

Moga-moga adalah manafaatnya ungkapan ini untuk dicerna di dalam minda.
Baca selanjutnya, Klik di sini...

Selasa, April 28, 2009

Perjuangan Memperolehi Seorang Anak.. bhg 1 (Anak Pertama)

Bahagian 1

Kelahiran anak pertama memang luar biasa rasanya kerana kejayaan ini sebenarnya bukan calang-calang yang memberikan dan mengiktirafnya. Pastilah DIA yang Maha Pencipta. Kita hanya mampu berusaha dan semuanya berlaku di atas kehendak-NYA jua.

Perlu saya nyatakan bahawa hanya segelintir di kalangan kita yang akan berjaya memperolehi Anak Pertama. Kebanyakan pasangan yang baru berumahtangga akan tertewas memperolehinya disebabkan kekurangan pengalaman mengenainya.

Seandainya Anda telah berjaya memperolehi Anak Pertama, sesungguhnya Anda memang bertuah, kerana pada saya, cabaran dan perjuangan untuk memperolehinya bukanlah biasa-biasa kerana ianya juga dikaitkan dengan Takdir Tuhan Yang Maha ESA.

Saya? Sejujurnya saya juga telah tertewas memperolehinya. Itulah yang akan saya kongsikan di sini, di dalam coretan ini. Moga-moga perkongsian ini adalah manafaatnya nanti.

Kalau sebelum berkahwin, bilamana bertemu dengan rakan-rakan kita sering ditanya bila mahu berkahwin, tetapi penangan selepas berkahwin pula berlainan. Pastilah pertanyaannya menjurus sudah berapa orang anak sekarang?

Seorang rakan saya yang lewat berkahwin iaitu dia berkahwin ketika menghampiri 40 tahun pernah memberitahu kepada saya bahawa tekanan yang dialaminya sebelum dan selepas berumahtangga memang jauh berbeza.

Menurutnya, setiap kali berjumpa dengan rakan-rakan lain, kalau dahulu dia sering ditanya bila mahu kahwin?. Persoalan itu memang tidakpun menguji dan memberikan tekanan kepada dirinya.

Tetapi selepas berrumahtangga, bilamana dia ditanya dah berapa orang anak? Dia tersipu-sipu dan ada kala rasa tertekan juga dengan persoalan itu. Maklumlah, kalau jawab belum ada, seolah-olahnya menunjukkan bahawa kelelakiannya ada masalah.  :)

Walhal keadaanya bukanlah begitu. Syukur juga dewasa ini pemikiran sedemikian kian berkurangan kerana ramai yang sudah maklum bahawa keadaan seperti itu berlaku disebabkan oleh pelbagai sebab-musabab.

Pada saya, Sungguh! tekanannya memang berbeza berbanding sebelum berumahtangga. Kalau sebelum berkahwin pertanyaan bila nak kahwin boleh disambut dengan senyuman yang lebar, tetapi pertanyaan selepas mendirikan rumahtangga iaitu dah berapa orang anak, pasti lainlah pula maknanya. :)

Rakan yang saya ceritakan di atas sehingga kini masih belum memperolehi anak iaitu selepas berkahwin lebih kurang hampir 20 tahun.

Saya? Syukur Alhamdulillah kerana selepas lebih kurang empat bulan bersama-sama isteri tercinta, akhirnya isteri saya disahkan mengandung. Itupun selepas isteri saya melakukan ujian sendiri menggunakan “Pregnancy Test Kit”.

Memang saya masih ingat kejadian yang berlaku ketika itu, seawal pagi-pagi buta. Maklumlah, menurut pencipta Pregnancy Test, ujian itu paling berkesan dilakukan selepas bangun pagi iaitu dengan menitikkan sedikit air kecil yang dibuang pada awal pagi pada alat "Pregenancy Test".

Saya sememangnya menunggu-nunggu keputusan ujian itu sebab sehari sebelum isteri saya melakukan ujian, dia telah memberitahu yang dia sudah lewat beberapa minggu tidak datang bulan (haid). Petanda begitu adalah antara kebarangkalian seorang wanita sedang mengandung. Jujur saya beritahu bahawa itulah kali pertama saya mengetahuinya dan sememangnya saya berasa kagum dengan keajaiban ciptaan Tuhan sebegini rupa yang saya mula pelajari dan ketahui.

Selepas melakukan ujian itu, memang dia terlalu gembira memberitahu kepada saya. Seperti biasa, saya berusaha mengawal emosi dan berpura-pura tenang. Walhal, sebenarnya saya juga terlalu gembira. Kalau dibandingkan saya dan Isteri ketika itu, pasti saya melonjak gembira jauh lebih gembira dari kegembiraan Isteriku Yang Tercinta sebenarnya.

Maklumlah, memang inilah perjuangan dan cabaran selepas berumahtangga. Memang saya mengetahui bahawa selepas terbinanya bahtera perkahwinan, perjuangan saya seterusnya di dalam kehidupan ini ialah untuk mendapatkan zuriat.

(coretan akan disambung lagi di lain masa)

Bahagian 2 - Memperolehi Anak
Baca selanjutnya, Klik di sini...

Sabtu, April 25, 2009

Kekuasaan, Kemasyhuran dan Keajaiban Anugerah-NYA

Beberapa hari lepas aku telah dikejutkan oleh bossku, rakan-rakanku dan pastilah Isteri Tercintaku berkenaan berita di dalam surat khabar yang memaparkan namaku menerima anugerah dari negara maju, iaitu Jepun.

Pada mulanya, anugerah itu hanya bossku dan aku sahaja yang tahu. Pastilah juga aku memaklumkan kepada Isteri Tercintaku dan Ibu Kesayanganku.

Tetapi entah macam mana, majikanku telah menyebarkan dan memasyhurkan anugerah itu di dalam surat khabar dan email dalaman beberapa hari lepas. Barangkali untuk memberikan rangsangan kepada rakan-rakan yang lain serta mengambil kesempatan kemasyhuran di atas pemberian anugerah ini.

Sebenarnya anugerah yang aku perolehi adalah berkaitan kerjayaku sebagai penyelidik di dalam bidang sains. Kejayaan ini memerlukan aku berangkat ke Jepun selama sebulan untuk melaksanakannya.

Berita ini sengaja aku ceritakan di sini. Bukanlah bertujuan mengangkat bakul sendiri. Matlamatnya adalah ingin berkongsi rahsia yang tersirat di sebalik kejayaan ini. Moga-moga adalah manafaatnya untuk tatapan Anda.

Nak tahu perasaanku selepas menerima perkhabaran kejayaan itu? Bercampur-campur. Gembira, dan tidak lupa memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada-Nya.

Disebaliknya, aku juga berasa sedih kerana terpaksa berjauhan selama sebulan dengan Isteriku dan sepasang anakku (perempuan berumur 3 tahun empat bulan, manakala yang lelaki berumur 4 bulan) yang memang aku sayangi dan kasihi.

Memang aku sedih, namun disebabkan tanggungjawab kepada agama, bangsa dan negara, aku mendorong diriku mengecapinya.

Khabar mengenai anugerah itu aku telah perolehi pada akhir bulan Mac yang lalu dari saintis Jepun dan sememangnya bossku yang memberitahu kepadaku. Mereka juga memaklumkan bahawa anugerah itu akan diberikan pada bulan Julai nanti. Aku sengaja tidak memberitahu sesiapa, kecuali Isteri Tercintaku dan Ibu Kesayanganku mengenai berita itu.

Akhirnya, sebaliknya pula yang terjadi di mana majikanku telah memaparkan nama dan anugerah yang aku perolehi itu di dalam akhbar tempatan beberapa hari lepas. Memang aku tidak tahu mengenainya, sehinggalah bossku dan beberapa rakanku menghantar email dan sms memberitahu diiringi ucapan Tahniah!.

Pastilah juga Isteri Tercintaku tidak ketinggalan mendapat ucapan tahniah dari rakan-rakannya dan selepas itu pula berusaha memberitahu kepadaku.

Akhbar tempatan yang dimaksudkan itu memang aku cari dan sejurus memperolehinya, aku merenung dan berfikir sejenak serta berusaha memahami mengapa DIA memberikan aku kurniaan seperti ini.

Anugerah yang dipopularkan di dalam akhbar?! Takburkah atau sombongkah diriku ini? Perlukah dihebahkan sedemikian?, Walhal sebenarnya anugerah yang aku perolehi dari negara Jepun itu tidaklah seberapa berbanding seandainya anugerah itu adalah kurniaan dari-Nya…

Selepas berfikir, akhirnya aku memutuskan untuk berkongsi cerita ini untuk tatapan Anda. Pastilah berkongsi rahsia di sebalik apa yang telah berlaku. Manalah tahu selepas mengetahuinya, Anda juga terdorong melakukannya untuk mengapai kejayaan-kejayaan lain.

Aku memulakan cerita dengan memberitahu tentang Blog Pedoman Hidup ini. Sebenarnya, blog ini mula aktif diisi pelbagai coretan pada bulan Februari yang lalu.

Sejujurnya aku memberitahu bahawa tugasan yang menghimpit diriku dalam masa yang sama memang melangit tingginya. Tetapi itu bukanlah penghalang untuk aku berusaha melakarkan segala kekuasaan dan keagungan-Nya di dalam blog Pedoman Hidup ini.

Aku juga sering melawati beberapa blog dan memberikan komentar berkenaan kekuasaan dan keagungan-Nya, kerana sememangnya aku menyukai dan menyayangi penulis-penulisnya. Pastilah sayangku kepada penulis-penulis itu kerana DIA.

Setiap kali aku memberikan komentar di dalam mana-mana blog, aku cuba berusaha agar apa yang aku tuliskan adalah memberitahu tentang keagungan dan kekuasaan-Nya. Semuanya melakarkan tentang keajaiban dunia yang menjadi hak mutlak-Nya. DIA menjadi matlamat di dalam setiap coretanku kerana aku yakin perjalanan ini haluannya harus mengarah kepada-Nya.

Aku menggagahkan diriku melakarkan apa sahaja komentar dengan menyebut dan melaungkan nama-Nya. Kerana memang itulah selayaknya diriku sebagai insan ciptaan-Nya.

Dan hasilnya, aku juga telah dimasyhurkan oleh majikanku dengan sebab memperolehi anugerah dari negara Jepun itu. Walaupun hakikatnya anugerah itu memerlukan beberapa bulan lagi akan terlaksana.

Mungkinkah ini yang dikatakan kuasa dan keajaiban-Nya, sebagai tanda kasih-sayang-Nya? Memang aku tidak pasti mengenainya kerana sememangnya aku ini terlalu lemah untuk memahaminya.

Tetapi aku ingin menyatakan kepada Anda bahawa sememangnya aku memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kehadrat-Nya kerana diberikan nikmat yang sebegini rupa.

Kalau para ahli motivasi menafsirkan keajaiban seperti ini sebagai kuasa minda… Terus terang aku mengatakan bahawa aku tidak pernah terfikir akan memperolehi anugerah sebegini. Sungguh, aku tidak pernah berfikir mengenainya…

Tetapi aku yakin, inilah yang dikatakan kuasa Tuhan yang Maha Esa. Dan aku yakin DIA telah memberikan aku kurniaan sebegini untuk aku terus mempelajari tentang keagungan, kekuasaan dan keajaiban yang Tuhan miliki.

Moga-moga melalui anugerah sebegini, akan terbukalah pintu-pintu menuju Kejayaan Hakiki. Kejayaan menikmati Syurga-Nya nan abadi.
Baca selanjutnya, Klik di sini...

Khamis, April 23, 2009

Rahsia Menyingkap Kehidupan -2

Setiap insan yang diciptakan oleh yang MAHA PENCIPTA pasti akan melakukan kesilapan!.

Kesilapan untuk memahami bahawa Kita sememangnya banyak kekurangan. Dari kekurangan itulah kita akan mempelajari sesuatu kerana sesungguhnya DIA sedang mengajarkan kita tentang erti kehidupan ini.

Pengajaran dari kesilapan yang dilakukan adalah merupakan satu ILMU. Dan ianya amat bermanafaat apabila ILMU itu digunakan bukan sahaja untuk pedoman diri sendiri, tetapi juga untuk dikongsi bersama dengan seluruh umat manusia.

Kerana apa? kerana kita adalah bersaudara. Dan ingatlah bahawa ILMU itu jugalah yang bakal dibawa untuk dipersembahkan kepada-Nya.

Sebaik-baik kesilapan yang dilakukan adalah cepat-cepat memperbaikinya dan pastilah lebih bermakna andai selepas kesilapan itu dilakukan, cepat-cepat memohon pedoman dari-Nya.
Baca selanjutnya, Klik di sini...

Rabu, April 22, 2009

Rahsia Menyingkap Kehidupan-1

Perumpamaan perjalanan hidup ini sebagai Warna-Warni Kehidupan memang sungguh cantik dan indah. Izinkan saya mengungkapkannya.

Hidup ini memang penuh dengan warna-warni. Sebab itu Kita perlu berusaha agar warna-warni itu Kita dapat simpulkan dan gabungkan menjadi SATU. Apabila warna itu telah menjadi SATU, Saya pasti warna yang terhasil adalah PUTIH.

Warna putih ini memang bercahaya terang. Andai pancaran cahaya putih itu berada di belakang diri Kita dan bukannya di hadapan, maka gelaplah pandangan di hadapan disebabkan oleh bebayang diri yang menghalang sinaran putih itu.

Sebab itu, saya merasa cahaya putih tadi perlu di letakkan di hadapan agar teranglah pandangan hadapan Kita dan seterusnya dapat menyuluh perjalanan seterusnya. Mengapa? Kerana Kita sedang berjalan ke hadapan dan bukannya ke belakang.

Moga-moga adalah manafaatnya perumpamaan ini.
Baca selanjutnya, Klik di sini...

Selasa, April 21, 2009

Masalah vs Cabaran

Pernahkah Anda menghadapi masalah? Dan pernahkah Anda menghadapi Cabaran? Kedua-dua ungkapan itu memang berbeza pada zahirnya. Tetapi bila mana ianya secara mendalam difikir-fikirkan, akan dapatlah kita merenung titik persamaan ungkapan kedua-duanya.

Mari saya jelaskan kepada Anda. Sebenarnya, kedua-dua ungkapan di atas pada saya memang berbeza secara luaran. Apatah lagi mendengar sebutannya, pastilah berbeza.

Begitu jugalah hakikatnya bila kedua-dua sebutan itu memasuki akal fikiran atau ruang minda kita. Saya yakin, ianya akan mempengaruhi pemikiran Anda dan saya. Pastilah kedua-dua sebutan itu akan membentuk dan menzahirkan perlakuan atau tindakan kita seterusnya.

Ketahuilah bahawa sama ada ianya satu masalah atau satu cabaran, apa yang pasti pada saya, kedua-dua sebut nama itu perlu diselesaikan. Bila mana Anda memperolehi sesuatu tugasan, tentulah minda Anda akan menafsirkan tugasan itu sebagai satu masalah, atau mungkinkah ditafsirkan sebagai satu cabaran.

Bila mana kita menganggap sesuatu tugasan itu sebagai satu masalah, saya merasakan dorongan terhadap diri Anda akan terarah ke haluan berkemungkinan minda menafsirkannya sebagai suatu yang sulit. Walaupun hakikatnya, ia mungkin mudah dilaksanakan.

Sebaliknya pula, bila mana Anda mengatakan bahawa tugasan itu sebagai satu cabaran, maka akan terbitlah tafsiran yang seolah-olah tugasan itu berkemungkinan akan menguji kemampuan dan ketabahan Anda.

Sebab itu saya menganggap kedua-dua sebutan itu ada titik persamaan dan pastilah ada perbezaannya.

Di dalam kehidupan ini, kita akan menempuhi segala macam masalah ataupun segala macam cabaran untuk dilaksanakan. Andai Anda merasa ianya amat sulit dilakukan, maka jadilah ia satu masalah. Sebaliknya pula, andai Anda ingin menguji kemampuan diri dan berhasrat untuk melaksanakan tugasan itu, maka jadilah ia sebagai satu cabaran.

Mungkinkah cabaran atau masalah yang dihadapi bertujuan untuk mengajar kita sesuatu mengenai kehidupan ini? Barangkali juga masalah atau cabaran itu merupakan antara proses pembelajaran yang harus Anda dan saya lalui semasa kehidupan ini...

Akhirnya, saya ingin menyatakan bahawa pilihan di minda Anda sama ada menganggap sesuatu perkara atau tugasan yang perlu dilaksanakan itu sebagai satu masalah, atau ianya sebagai satu cabaran...
Baca selanjutnya, Klik di sini...

Isnin, April 20, 2009

Pengalamanku Bertemu Jodoh… Bhg 8 (Wanita Misteri)

Bahagian 8

Wanita Misteri yang aku maksudkan ialah mereka seolah-olahnya berminat denganku dengan memberikan pelbagai hadiah dan warkah indah berselit kilauan cinta, tetapi masalahnya, tidak pula menunjukkan identiti sebenar mereka. Memang tidak salah mereka melakukan usaha sebegitu, tetapi padaku, amat tidak bermakna seandainya mereka ingin mencari jodoh dengan kaedah begitu.

Peristiwa yang aku kisahkan kali ini adalah salah satu daripadanya iaitu bila mana aku bertugas menjaga hostel wanita. Errrmmmm…?

Aku sebenarnya berasa janggal dan kekok juga bila mana diamanahkan menjaga hostel pelajar wanita. Cuba bayangkan, adakah patut aku yang masih bujang trang tang tang ketika itu diminta menjaga hostel wanita? Tugasan itu seolah-olahnya ultimate di dalam segala cabaran yang aku alami berkaitan cinta pada wanita. Seumpama mencurahkan minyak petrol ke dalam api yang sedang menyala-nyala.

Untuk memahami kisah ini, aku ingin menyatakan kepada Anda bahawa seminggu selepas aku ditawarkan kerja pada tahun 2000, seorang daripada rakanku yang telah dahulu berkerja dariku meminta bantuan untuk menjaga hostel lelaki.

Rakanku ketika itu adalah sama jawatan denganku, tetapi bezanya dia juga bertugas sebagai Pengetua. Dia telah mengamanahkan menjaga hostel dan pelajar lelaki selain hal-ehwal surau padaku. Aku menerima tawaran rakanku itu kerana dia amat bersungguh-sungguh mendapatkan bantuanku.

Selepas menjadi pembantu kepada rakanku selama dua tahun di hostel lelaki, akhirnya aku dipindahkan ke hostel wanita. Kisahnya bermula bila mana masalah dihadapi berkaitan penempatan pelajar lelaki yang tidak mencukupi. Akhirnya keputusan diambil untuk menggunakan dua blok daripada rumah wanita dijadikan rumah pelajar lelaki.

Maka, al-kisahnya aku dipindahkan ke rumah yang menjadi pembahagi di antara blok rumah-rumah lelaki dengan blok rumah-rumah pelajar wanita. Konon-kononnya sebagai pengawal merangkap pengawas dan menjadi pemisah di antara mereka. Heheheeeee

Disitulah kisah yang aku ingin ceritakan kepada Anda. Semasa aku menjadi pengawas di situ, memang kebanyakkan pelajar lelaki aku kenali kerana bilangannya tidaklah ramai. Berbanding pelajar wanita yang jumlahnya beberapa kali ganda pelajar lelaki.

Oh ya, sebenarnya pelajar lelaki dan wanita ini pun telah dewasa kesemuanya. Pastilah umur mereka lingkungan 20 tahun ke atas. Tak perlulah aku huraikan pelbagai karenah pelajar perempuan yang pada saya terlalu mengada-ngada. Heheheee…

Kepada para wanita yang membaca coretanku ini, usahlah naik darah atau marah-marah bila mana aku mengatakan mereka mengada-ngada. Memang begitulah pengalaman yang aku alami. Mengada-ngada… Aku yang merasakannya, bukannya Anda.

Memang terasa leceh betul menjaga pelajar wanita ketika itu. Berbanding pelajar lelaki, selepas dua tahun bersama mereka, pastilah tidak banyak karenah. Adakalanya, kalau aku ada masa berziarah ke rumah-rumah pelajar lelaki, pasti aku dihidangkan juadah. Walaupun sekadar biskut dan nescafe dalam jug plastik yang besar. Ada kala juga berbual-bual sehingga ke larut malam. Memang begitulah kehidupan mereka sepertimana yang aku alami suatu ketika dahulu.

Berbanding pelajar wanita, aku pula yang kena memberikan juadah, maklumlah mereka yang datang ke rumahku beramai-ramai, adakalanya sampai enam orang dengan membawa pelbagai ragam masalah.

Memanglah aku terpaksa melayan karenah kesemuanya, takkanlah pula aku menghalau mereka. Dah memang menjadi tugasku. Lagipun sememangnya aku telah rela membantu.

Apa yang aku nyatakan itu cumalah satu runggutan untuk dikongsi dengan Anda. Bayangkanlah kalau aku pula yang pergi berziarah ke rumah-rumah pelajar wanita itu. Lagilah dahsyat bukan? Akukan masih anak dara teruna…

Memang agak perit juga melayan karenah pelajar wanita. Sampaikan penyapu rumah pun bertandang meminjam ke rumahku. Takkanlah mereka tak boleh pinjam dari jiran tetangga yang berhampiran dengan rumah mereka. Kenapa harus aku juga yang menjadi penyelesai masalah sedemikian rupa. Kadang aku berasa syak wasangka juga dengan telatah mereka.

Berbalik kepada kisahku tadi, walaupun begitu, kadang kala ada juga manisnya menjaga pelajar wanita. Tidaklah semuanya pahit. Seperti yang aku nyatakan kepada Anda, aku juga seronok menjaga pelajar wanita yang telah dewasa itu sebab ada ketikanya aku mendapat hadiah misteri dari mereka.

Masih segar diingatanku kadang kala bila membuka pintu rumah, akan adalah tersangkut hadiah di tombol pintu. Kadang juga, aku menerima surat bersalut cinta. Bukan aku tidak suka menerima hadiah dan surat cinta itu, tetapi masalahnya, pemberinya merahsiakan identiti mereka. Kadang juga menggunakan nama samaran sahaja. Macam mana aku nak mengenali mereka?

Jadi, aku pun buat-buat tidak kisah dan tidak pun berusaha mengenali pemberi hadiah dan warkah misteri itu. Apa yang aku dapat katakan ialah usaha pencarian jodoh sebegitu memang sia-sia kerana tidak dikenali siapakah gerangan orangnya.

Barangkali juga pemberi hadiah misteri itu terlalu ikhlas sehingga tidak mahu memberikan identiti sebenar dirinya. Membuatkan aku pun tertanya-tanya, mengapa pula memberi hadiah dan warkah misteri sebegitu rupa kalau tidak mahu dikenali?.

Sejujurnya, aku masih tidak memahami mengapa harus merahsiakan identiti sebegitu rupa. Namun yang jelas, memang aku tidak kisah dan tidak pun mahu berusaha mencari-cari siapakah gerangan wanita misteri pemberi hadiah dan warkah bersalut cinta itu…


(Coretan akan disambung di lain masa)

Baca selanjutnya, Klik di sini...

Ahad, April 19, 2009

Pengalamanku Bertemu Jodoh… Bhg 7

Bahagian 7

Kali ini aku memilih beberapa kisah pencarian jodoh setelah aku bekerja. Moga-moga adalah manafaatnya dipraktikkan di dalam usaha pencarian jodoh Anda. Siapa tahu Anda akan berjaya?

Sebelum ini aku telah menceritakan kisahku didekati oleh beberapa wanita untuk mengecapi cinta sebelum berumahtangga. Memang ada beberapa peristiwa yang telah mendorong diriku untuk mendekati cinta sebelum terbinanya bahtera perkahwinanku. Tetapi mujur juga aku tidak berjaya mengapainya kerana memang aku tidak mahu merasainya.

Sekiranya Anda bertanya kepadaku mengenai cinta sebelum berumahtangga, pasti aku tidak dapat menjelaskannya secara sempurna kerana aku tidak pernah mengalaminya. Bagaimanapun, andai Anda bertanya bagaimana rasanya mengecapi cinta selepas berumahtangga, pasti banyak yang akan aku perkatakan mengenainya.

Memang sesungguhnya nikmat cinta selepas berumahtangga padaku melebihi segala-galanya. Maklumlah sudah tiada batasan untuk aku mengalirkan rasa cintaku pada jodohku.

Apa yang aku kongsikan di sini adalah sekelumit dari pengalamanku semasa diuji tentang cinta sebelum berumahtangga. Sejujurnya memang aku menolak usaha-usaha yang dilakukan oleh para wanita untuk mengajak aku mengecapi cinta sebelum mendirikan rumahtangga.

Mengapa ? kerana selain belum bersedia, aku juga telah menetapkan matlamat hidupku untuk tidak menjalinkan hubungan cinta dengan mana-mana wanita sebelum ada ikatan yang sah. Aku telah menyatakan sebelum ini kepada Anda bahawa sememangnya aku lemah berbanding Anda dalam soal cinta, apatah lagi sekiranya cinta itu terjalin sebelum tali perkahwinan tersimpul rapi.

Untuk pengetahuan Anda, aku memulakan usahaku mencari jodoh setelah menyedari yang umurku telah lanjut ketika itu. Sungguh! aku memulakan usaha mencari jodoh bilamana umurku telah menjejaki angka 31 tahun.

Antara sebab aku mencari jodohku adalah kerana sudah tidak tahan menerima pujuk rayu dari wanita. Apatah lagi kehadiran wanita yang bergelar isteri orang turut menagih cinta dariku.

Sesungguhnya selepas isteri orang turut sama berusaha menagih lelehan cintaku, aku bertekad akhirnya mencari-cari jodohku, agar dugaan dari isteri orang yang bertindak curang dapat aku elakkan.

Alhamdulillah, setelah berusaha, akhirnya aku memperolehi jodohku. Itupun setelah umurku hampir-hampir mencecah 32 tahun. Sejujurnya, aku ingin menyatakan kepada Anda bahawa aku merasa amat rugi kerana terlewat mengecapi nikmat berumahtangga.

Sungguh! Aku merasa rugi kerana lewat mendirikannya. Kini aku ingin menyatakan kepada Anda bahawa Kehidupan ini memang Terlalu Istimewa bilamana bahtera perkahwinan terbina. Akan aku kisahkan di pengakhiran ceritaku untuk Anda renung-renungkan bersama.

Tetapi sebelum itu, izinkan aku mengkisahkan di sini pencarian jodoh yang sia-sia. Aku mengatakannya sia-sia kerana aku telah mengalaminya iaitu ketika dilamar oleh wanita yang memisterikan diri mereka.

Barangkali Anda tidak faham istilah yang aku berikan berkaitan memisterikan diri mereka. Maksud memisterikan diri mereka di sini ialah tidak mahu menunjukkan identiti sebenar mereka.

Kalau Anda hendak melakukan usaha seperti yang aku ceritakan ini, sebaiknya lupakanlah sahaja kerana usaha pencarian jodoh sedemikian adalah sia-sia akhirnya.

Kisah mengenai wanita misteri yang menaruh cinta, tetapi meluahkannya secara rahsia-rahsia. Ada beberapa peristiwa sebegini telah berlaku di awal kehidupanku semasa bekerjaya.

(Coretan bersambung di bhg 8)

Baca selanjutnya, Klik di sini...

Jumaat, April 17, 2009

Hati Sihat vs Sakit Hati

Di dalam kehidupan ini, saya membahagikan Hati Nurani kepada tiga kategori iaitu hati sihat, hati sakit dan hati mati.

Ada yang mengatakan hati terbahagi dua iaitu hati jasmani dan hati nurani. Hati jasmani di dalam perubatan moden dikenali sebagai liver.

Manakala hati nurani adalah merujuk hati rohani, jiwa atau roh. Hati nurani diciptakan oleh-Nya sebelum manusia dan ianya bukanlah berbentuk seperti jasad kasar yang dapat dilihat dan dipegang. Hati nurani bersifat rohaniah, sebab itulah dikenali sebagai roh. Ianya dikatakan terletak di dalam hati jasmani atau liver yang merupakan seketul daging di dalam tubuh badan manusia.

Rasulullah sendiri mengatakan bahawa di dalam diri manusia itu terdapat seketul daging. Jika baik daging itu, maka baiklah manusia itu. Tetapi jika rosak daging yang seketul itu, maka rosaklah tubuh badannya. Dan ketahuilah bahawa daging itu adalah hati (Sahih Bukhari dan Muslim).

Di dalam perubatan moden, liver atau hati jasmani adalah organ penting di dalam tubuh badan manusia yang berperanan sebagai penapis darah, menghasilkan hempedu dan berbagai macam fungsi untuk memastikan keseimbangan tubuh badan supaya sihat sentiasa.

Imam Al-Ghazali memberikan takrifan hati sebagai 'jantung' yang mengepam darah dan dibahagikan sebagai hati jasmani dan hati nurani.

Apapun takrifannya, hati merupakan organ yang sangat penting kerana segala perbuatan manusia bermula dari hati. Sebab itu dikatakan ada hati baik (hati sihat), hati jahat (hati sakit) dan hati mati.

Peranan hati sememangnya terlalu besar di dalam kehidupan manusia sehingga Rasulullah saw menyatakan apabila hati itu baik maka baiklah segala anggotanya dan apabila hati itu rosak maka rosaklah segala anggota manusia.

Hati dalam diri saya dan Anda adalah raja yang menentukan tingkah laku dan perbuatan dan penggubal dasar serta prinsip kehidupan yang akan dilalui. Hati berperanan sebagai pembuat keputusan apabila saya dan Anda perlu membuat keputusan dalam sesuatu perkara.

Hati yang baik, akan memandu seluruh anggota melakukan perkara-perkara yang baik dan diredhai-Nya yang akan dijelmakan dalam berbagai bentuk akhlak mulia. Orang yang hatinya baik, akan sentiasa menghormati orang lain dan menghormati jiran tetangga kerana mengetahui tuntutan agama.

Sebaliknya orang yang mempunyai hati yang sakit, rosak dan mati, ianya akan terdorong melakukan dosa dan maksiat kerana masih tidak memahami matlamat kehidupannya untuk mendapatkan ketenangan dan kebahagian di alam akhirat yang abadi.

Hati yang sakit, rosak dan mati sentiasa menjadi perosak kepada masyarakat, menjadi duri yang sentiasa menyakiti orang lain, menjadi racun yang mematikan hati-hati yang baik dan membawa kepada kehinaan.

Lebih malang lagi hati yang sakit, rosak dan mati akan menjadi tunggangan para syaitan yang sentiasa berkerja dan berusaha membawa hati nurani bersama-sama mereka menduduki tempat di neraka.

Begitulah besarnya peranan hati di dalam kehidupan saya dan Anda.

Hati mati adalah merujuk kepada mereka yang melakukan perkara rutin harian tetapi tidak mengetahui matlamat kehidupan yang sebenarnya. Sebab itu ada juga yang melakukan sembahyang dan dalam masa yang sama maksiat masih tidak ditinggalkan. Ini berlaku kerana mereka tidak ada tujuan untuk bertemu dengan-Nya apatah lagi merindui-Nya. Mereka juga tidak takut dan insaf melihat kematian yang berlaku di hadapan mata.

Hati nurani tidak akan mati sepertimana jasad manusia. Jasad kasar manusia yang kita lihat suatu hari akan hancur berkecai jua akhirnya. Tidak kira secantik atau sehensem mana pun tubuh badan ini, seputih atau segagah manapun ia, pasti hancur luluh jua akhirnya di dunia ini.

Hati nurani akan kekal selamanya iaitu berpindah dari alam dunia ke alam barzakh dan seterusnya ke alam akhirat. Di akhirat itulah tempat abadi hati nurani iaitu tempatnya sama ada Syurga ataupun Neraka.

Syurga dan Neraka adalah tempat abadi seperti mana abadinya hati nurani. Di Syurgalah kekalnya semua perasaan kesenangan dan kebahagian, manakala di Neraka jugalah kekalnya semua perasaan kesusahan dan kesengsaraan.

Semua perasaan itu dapat dirasai oleh hati nurani dan jasad kasar semasa di dunia ini dengan harapan saya dan Anda dapat mempelajarinya kerana ini semua adalah di antara ilmu-ilmu-Nya.

Semua perasaan itu Anda dan saya rasai kerana di dunia ini adalah perhentian sementara sebelum ke alam akhirat. Moga-moga pelajaran yang diperolehi semasa di dunia dapat digunakan untuk persediaan ke alam akhirat kelak.

Sesungguhnya haluan hati nurani, saya dan Anda sendiri yang mengetahuinya ke manakah arahnya. Adakah ia mengarah pada kebaikan untuk mengecapi kebahagian hakiki di Syurga, atau ianya mengarah pada kejahatan agar dapat merasakan kesengsaraan di Neraka buat selama-lamanya…
Baca selanjutnya, Klik di sini...