Isnin, November 24, 2008

MyKad hijau… Rakyat tiada kewarganegaraan

Walaupun agak pahit untuk dinyatakan, namun setidak-tidaknya inilah salah satu cara yang perlu dilakukan untuk membendung gejala rakyat Sabah yang tidak mempunyai kewarganegaraan. Pada masa yang sama, kebanyakan yang terlibat adalah yang dikatakan sebagai Pendatang Asing Tanpa Izin (PTI), walhal pesisiran pantai Sabah ini adalah sebahagian daripada tanah halaman mereka. Perkara ini telah saya coretkan sebelum ini mengenai masyarakat bajau dan kemungkinan juga berlaku kepada masyarakat etnik lain.

Usaha yang dilakukan pada ketika ini untuk memberikan MyKad Hijau kepada masyarakat yang tidak mempunyai Kad Pengenalan Diri adalah satu usaha murni dan perlu dihargai kerana ianya telah meningkatkan martabat manusia yang telah dijadikan sebagai pemimpin di muka bumi ini oleh Tuhan yang maha Agung. Ingatlah! bahawa kita dikurniakan kuasa, pangkat dan harta bukan untuk diri sendiri tetapi bagaimana seharusnya disalurkan kuasa, pangkat dan kekayaan itu untuk membantu mereka-mereka yang tidak berkuasa, tidak berpangkat dan tidak berharta. Kesian sungguh kepada mereka yang telah lama tidak mempunyai Kad Pengenalan Diri.

Sesungguhnya amat malanglah andai masih ada di kalangan kita berasa bahawa bumi Sabah ini khusus untuk manusia tertentu sahaja. Apa yang menghairankan ada juga yang beranggapan bahawa andai masyarakat yang dianggap PTI ini diberikan Kad Hijau, maka berkemungkinan akan menyebabkan peluang kepada rakyat bumiputera pada masa akan datang menjadi kecil. Betulkah begitu? Siapakah yang menentukannya? Adakah orang yang berkata itu mempunyai khasaf sehingga boleh melihat apa yang akan berlaku pada masa akan datang? Atau mereka takut dengan bayang-bayang sendiri iaitu pangkat dan harta yang telah mereka kumpul akan tergelincir kepada masyarakat lain?

Pada saya, apa yang penting ialah perancangan yang dilakukan pada ketika ini seharusnya bertujuan untuk membantu yang lemah dan memperkasakan yang memang sudah kuat. Dan bukannya bersifat mengambil kesempatan di atas kelemahan orang lain. Mengapa harus khuathir dengan perubahan zaman yang akan datang? Hanya masyarakat yang tidak bijaksana sahaja takut pada apa yang akan berlaku di masa akan datang.

Seolah-olahnya juga hanya mereka sahaja yang ingin mengecapi nikmat kehidupan duniawi ini berbanding masyarakat lain. Adakah mereka sedar bahawa yang mereka salahkan itu juga seorang manusia yang ingin hidup di muka bumi ini secara aman seperti mereka?

Pada masa ini, ketika berjalan-jalan di hadapan deretan kedai-kedai dan bangunan-bangunan pusat membeli belah yang terdapat di Sabah, sering saya perhatikan iklan ini “Sales girl wanted” dan kadang kala juga begini bunyinya “Pekerja diperlukan” dan ada ketikanya bunyi iklan itu “Pekerja amat diperlukan, sila tel no ini...” dan ada juga “Pembantu amat diperlukan” Itulah keadaannya. Seolah-olahnya berlaku kekurangan pekerja yang diperlukan di kedai-kedai pada masa ini. Mungkinkah peristiwa ini ada kaitan dengan mereka yang dikatakan PTI ini?

Saya sendiri masih kurang pasti tetapi terdetik di hati saya mengatakan bahawa memang ianya mempunyai pertalian kerana hanya mereka sahaja yang berkeupayaan mengisi kekosongan itu. Mengapa? Mungkinkah kerana gaji yang ditawarkan agak rendah berbanding kerja yang perlu dilakukan?. Saya kurang pasti juga di dalam hal ini tetapi dapat saya perhatikan bahawa ramai dikalangan mereka suka kerja-kerja sebegini walaupun ditawarkan gaji yang rendah. Asal sahaja HALAL pada mereka.

Satu persoalan lagi ialah mampukah masyarakat yang mempunyai Kad Pengenalan Diri yang dikatakan sebagai penduduk bumi Sabah melakukan kerja-kerja yang ditawarkan itu? Soalan ini juga saya kurang pasti, tetapi apa yang jelas di mata saya ialah iklan itu semakin banyak di paparkan di kedai-kedai. Apakah disebabkan para pemegang Kad pengenalan diri tidak mahu mengisinya? Tuhan sahaja yang tahu jawabannya.

Setidak-tidaknya, MyKad Hijau ini akan memberi mereka peluang mencari rezeki secara HALAL dan moga-moga akan berkuranglah jenayah di Sabah ini nanti.

Penjenayah harus dihukum tidak kira mereka mempunyai Kad Pengenalan diri atau pun tidak. Jenayah yang saya maksudkan termasuklah yang dilakukan secara halal ataupun yang haram.

Baca selanjutnya, Klik di sini...

Rabu, Oktober 29, 2008

Bajau Suluk, Bajau Bannaran, Bajau Ubian, Bajau Iranun ...

Asal-usul masyarakat Bajau dikatakan masih kabur kerana tidak ada sejarah jelas yang tertulis mengenainya. Masyarakat Bajau di Sabah kebanyakkannya dikatakan Pendatang Tanpa Izin (PTI) dari Filipina yang dicanangkan oleh beberapa pemimpin di kalangan masyarakat di Sabah. Ini adalah sangat kurang ajar!. Apakah mereka memahami sejarah bumi Sabah ini sebenarnya?

Sejarah telah menceritakan bahawa masyarakat lain umpamanya yang berasal dari pedalaman (HUTAN) Sabah, tetapi telah keluar dari BELUKAR dan berhijrah ke pesisiran pantai untuk mengecapi kemajuan di pesisiran pantai Sabah. Bukankah mereka juga PTI kerana telah berpindah dari belukar ke pesisiran pantai? Siapakah sebenarnya penduduk asal di pesisiran pantai Sabah kalau bukan di kalangan masyarakat Bajau dan etnik-etnik lain yang disebut sebagai masyarkat LAUT yang sentiasa berhijrah dari satu pulau ke pulau lain. Kalau masyarakat pedalaman berhijrah dari satu Hutan ke satu Hutan lain, begitu jugalah masyarakat bajau yang berpindah dari satu pesisiran pulau ke satu pesisiran pulau yang lain. Tetapi atas nama Pembangunan, mereka telah terusir dari satu kawasan pesisiran ke satu kawasan pesisiran lain kerana di kawasan pesisiran itulah tempat bermulanya pembangunan.

Sejarah juga mencatatkan bahawa Kesultanan Sulu, Brunei, Bulongan yang telah memerintah tanah Sabah tetapi akibat kolonisasi atau akibat Politik Barat, maka jatuhlah tanah-tanah kesultanan ini (kecuali kesultanan Brunei) yang akhirnya dimonopoli oleh Barat seterusnya Kerajaan Malaysia kini.

Apa yang menjadi persoalan ialah apabila satu pihak menganggap bahawa mereka adalah penduduk sebenar Sabah. Cissss!... mereka juga perlu sedar bahawa mereka telah merempat ke pesisisiran pantai Sabah untuk mencari kehidupan. Apakah mereka tidak sedar bahawa dari hutan belukar pendalaman atau dari tempat-tempat lain selain Sabah mereka telah berpindah ke pesisiran pantai Sabah atas nama untuk mencari kehidupan?. Ya, kini masyarakat di pedalaman Sabah telah menerima nasib yang sama sepertimana yang telah diterima oleh masyarakat bajau dahulu bilamana terusir dari satu tempat ke satu tempat atas nama Kemajuan.

Bumi Sabah ini bukan kepunyaan etnik tertentu tetapi saya yakin ianya dikurniakan oleh TUHAN untuk manusia hidup bersama-sama. Janganlah menafikan manusia lain yang juga ingin hidup!. Perlu disedari, dimanakah para pemimpin–pemimpin yang lantang melabelkan masyarakat Bajau sebagai PTI ini sebelum kemerdekaan dicapai oleh pejuang seperti Mat Salleh dan Tun Mustapha dahulu? Siapakah Individu yang bernama Tun Mustapha dan Mat Salleh ini kalau bukan berbangsa Bajau atau lebih dikenali sebagai masyarakat LAUT?

Sejarah juga telah membuktikan bahawa masyarakat Bajau tidak akan mementingkan perjuangan Perkauman andai ianya tidak dihina. Sebab itu sejarah mereka tidak dicatatkan dan mungkin juga telah wujud sejarahnya tetapi dihapuskan oleh penjajah atau pihak-pihak yang berkepentingan? Namun, itu semua tidak penting kerana bagi saya, kehidupan manusia sejagat yang harmoni tanpa mengira suku kaum dan bangsa tertentu adalah lebih utama. Sejarah dahulu telah mencatatkan bilamana masyarakat Cina, India, Arab dan bangsa-bangsa lain boleh berniaga sesama mereka atas nama perkongsian hidup di pesisiran pantai Sabah yang akhirnya mengwujudkan pelbagai masyarakat etnik di Sabah. Kemajuan itu telah mendorong Barat untuk melabur seterusnya menjajah tanah-tanah ini yang akhirnya dibahagi-bahagikan menjadi Sabah, Filipina dan Indonesia. Sebab itulah pertalian darah kekeluargaan masih wujud hingga kini di kalangan masyarakat Bajau di Sabah, Filipina dan Indonesia. Kolonisasi Barat telah memecahkan masyarakat Bajau menjadi Bajau Sabah, Bajau Filipina dan Bajau Indonesia. Mengapa mereka harus dipecahkan? Pesisiran pantai Sabah dan beberapa kepulauan di Filipina dan di Indonesia adalah tanah tumpah masyarakat Bajau ini.

Apakah masyarakat Bajau boleh disamakan dengan masyarakat Cina? TIDAK! ini kerena masyarakat Cina diketahui berasal dari Tanah Besar China tetapi masyarakat Bajau berasal dari kepulauan Borneo atau Sulu yang kini terbahagi kepada negara-negara Malaysia, Indonesia dan Filipina. Baratlah yang bertanggungjawab memecahkan masyarakat-masyarakat Bajau ini sehingga terpecah menjadi adanya persempadanan di antara Malaysia, Indonesia dan Filipina.

Akhir-akhir ini segelintir masyarakat Sabah cuba menerobos benteng tersebut dengan mendabik dada bahawa merekalah penduduk sebenar Sabah. Dimanakah mereka ketika penjajahan barat dahulu? Jangan dinafikan kehadiran kesultanan Sulu, Brunei dan Bulongan yang telah membangunkan pesisiran pantai Sabah ini. Siapakah yang berjuang untuk mencapai kemerdekaan bumi Sabah yang kini bernaung dibawah Kerajaan Malaysia kalau bukan yang bernama Bajau. Harus disedari bahawa bumi ini milik manusia sejagat secara keseluruhannya.

Kad Pengenalan hanyalah satu sistem yang ditinggalkan oleh kolonisasi barat bagi membeza-bezakan umat manusia atas nama persempadanan negara. Ya.. Kad Pengenalan amat penting tetapi harus diakui juga bahawa terdapat keluarga-keluarga di kalangan etnik di Sabah yang tidak berkemampuan menguruskannya sama ada disebabkan oleh tahap pengetahuan yang jauh ketinggalan mengenai peri pentingnya Kad Pengenalan ini atau disebabkan oleh kongkongan kemiskinan. Pastinya masyarakat yang mempunyai Kad Pengenalan bernasib baik kerana menjadi bukti bahawa mereka adalah anak Malaysia dari Sabah. Tetapi haruskah diabaikan masyarakat lain yang tidak mempunyai Kad pengenalan walhal mereka juga sebenarnya rakyat Sabah?. Inilah persoalan besar yang harus dijawab dan ditimbulkan oleh para pemimpin untuk diselesaikan.

Saya pasti isu berkaitan Kad Pengenalan diri ini bukan sahaja berlaku di kalangan masyarakat bajau yang miskin dan mempunyai tahap pemahaman yang rendah, tetapi juga di kalangan etnik-etnik lain yang menerima nasib yang sama. Isunya bukan hanya disebabkan oleh kerana mereka jauh tertinggal di pedalaman atau jauh terpencil di beberapa kepulaun Sabah, Filipina dan Indonesia, tetapi kebolehupayaan mereka untuk mendapatkan dokumen Kad Pengenalan. Ianya ada hubung kait dengan kos dan tahap pengetahuan mereka. Bagi sesetengah daripada mereka, apa yang mereka perlukan ialah boleh hidup bukan sahaja di bumi Sabah tetapi berhijrah dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Inilah cara hidup para masyarakat Bajau dahulu dan segelintirnya sehingga kini. Kenapa ianya harus dinafikan atas nama persempadanan negara?

Dimanakah tanggungjawab para pemimpin kepada masyarakat-masyarakat ini? Apakah mereka juga bersekongkol menindas masyarakat Bajau dan etnik-etnik lain yang terlibat yang sebahagiannya masih lagi mengamalkan cara hidup kunjung mengunjung sanak saudara di Sabah, Filipina dan Indonesia? Dokumen Kad Pengenalan sememangnya penting tetapi sistem ini jika dilihat dari dimensi lain sebenarnya mengwujudkan satu tekanan hidup kepada mereka kerana memerlukan kos yang tinggi dan pengurusan yang memerlukan pengetahuan, ditambah pula tahap pendidikan mereka yang masih ketinggalan.Tetapi, bagi mereka itu semua tidak penting. Yang penting ialah boleh hidup gembira dan sejahtera. Jangan sesekali menafikan kewujudan mereka sehingga menganggap mereka adalah PTI di tanah halaman sendiri yang telah dibahagikan menjadi Sabah, Filipina dan Indonesia oleh yang namanya Penjajahan dan persempadanan!

Kepulauan yang dihuni oleh Masyarakat Bajau dahulu dan kini.


Baca selanjutnya, Klik di sini...

Selasa, Oktober 28, 2008

Ini adalah kali pertama saya menukilkan sesuatu di dalam laman ini. Hanya sekadar satu percubaan dahulu...
Baca selanjutnya, Klik di sini...