Ahad, Oktober 11, 2009

Coretan Buat KC ...2

Kali ini saya ingin berkongsi dua perkara dengan adikku KC yang sememangnya saya kasihi kerana DIA.


Yang pertama ialah berkaitan dengan kegusaran mendapatkan calon suami. Di dalam hal ini, suka saya mencadangkan kepada kc untuk membaca terjemahan Surah Maryam. Moga Allah SWT akan memberikan ilham kepada kc kelak.


Maryam adalah seorang wanita yang tidak mempunyai suami tetapi kerana dia selalu mendekatkan diri kepada-Nya, maka Allah SWT telah menganugerahkannya seorang putera dikalangan Rasul-Nya iaitu Nabi Isa A.S. walaupun hakikatnya Maryam tidak bersuami. Nabi Isa adalah seorang rasul yang akan diturunkan kembali oleh Allah SWT untuk membimbing kehidupan manusia di akhir zaman kelak sehingga kiamat tiba.


Itulah keistimewaan Maryam yang tidak bersuami yang telah dianugerahkan Allah seorang Rasul untuk menjadi anaknya. Terjemahan surah maryam boleh didapati di dalam Terjemahan Al-Quran, berbahasa Melayu iaitu banyak di jual di kedai-kedai buku Agama. Carilah, moga ada petunjuk dari-NYA kelak.


Perkara kedua yang ingin saya kongsikan ialah mengenai hal peribadi. Saya tetap beranggapan bahawa cerita-cerita mengenai keaiban diri sendiri ada kalanya kita perlu rahsiakan daripada pengetahuan orang lain.


Ya, saya pasti!. lebih-lebih lagi kepada orang yang kita kenali kerana saya beranggapan, suatu masa kelak, cerita itu mungkin menjadi senjata mereka untuk memburuk-burukkan diri kita sendiri.


Seperti yang kc ceritakan, adakalanya seseorang itu hanya mengambil kesempatan sahaja.Mereka menggunakan kesempatan yang ada untuk mengaut keuntungan sementara, sama ada berbentuk wang ringgit atau pengorbanan diri yang lain.


Wang ringgit dalam erti kata seperti belanja makan, belanja reloadkan hp agar dapat berbual, oppsss.. kalau ada yang terasa maafkan saya!. dan segala macam kesempatan yang kadang tidak terjangka, termasuklah pengorbanan diri sehingga ke tahap berzina. MasyaAllah!


Seperti yang saya coretkan sebelum ini, sudah pasti hukuman yang selayaknya ialah seratus kali sebatan. Namun, saya harus mengakui juga bahawa dalam hal-hal hukuman yang sedemikian, saya masih kurang arif mengenainya.


Mungkin pandangan saya agak keras dan berbeza dengan orang lain iaitu kalau di kalangan ahli-ahli psikologi mencadangkan agar cerita-cerita yang menganggu emosi seharusnya dikongsi dengan seseorang untuk meringankan beban masalah yang dihadapi, tetapi bagi diri saya, adalah lebih baik cerita keaiban itu saya kongsi dengan-NYA, lebih-lebih lagi di waktu sepertiga malam atau di kala subuh yang hening, yang diiringi linangan air mata keikhlasan untuk memohon kepada-Nya petunjuk kehidupan. Moga terbukalah pintu hati dengan rahmat-NYA kelak.


Perlu disedari bahawa adakalanya kebahagiaan itu bukan berbentuk material semata, atau pangkat kejayaan sahaja, tetapi yang lebih utama ialah ketenangan jiwa dan hidup yang dilingkari oleh rahmat dari-NYA di dalam melalui ranjau-ranjau kehidupan ini.


Jangan disangka kita sudah beriman dengan-NYA sebelum kita diuji oleh-NYA. Hanya yang berakal sahaja mengetahui kesengsaraan yang dihadapi itu adalah kerana DIA sedang menguji kita. Sejauh mana kita menyakini kehadiran-NYA atau kita tidak mahu meyakini bahawa DIA sedang memerhatikan gerak-laku kita!.




Baca selanjutnya, Klik di sini...

Sabtu, Oktober 10, 2009

Coretan Buat KC


Walaupun saya tidak mengenali cik kc, tetapi dari persoalan yang diutarakan, saya dapat merasakan ada sesuatu yang berlaku ke atasnya. Atas sebab itulah, saya meluangkan sedikit masa yang ada pada ketika ini, untuk menzahirkan pandangan saya. Moga adalah manafaatnya.

Pada-Nya jua daku berserah.

Pertama-tamanya, ketahuilah bahawa saya juga pernah mengalami tekanan yang teramat sangat. Terus terang saya katakan, sampai mencurah-curah air mata. Tetapi, barangkali tidaklah seteruk cik kc. Maksud saya sehingga tergamak menjauhkan diri daripada keluarga. Apatah lagi kedua orang tua saya. Kenapa? Kerana saya tahu bahawa sebahagian daripada matlamat hidup saya adalah untuk keluarga. Ya, kerana Allah.

Teringat saya suatu ketika Rasulllah SAW ditanya mengenai siapakah selayaknya yang dikasihi, sampai tiga kali sebenarnya Rasulullah menjawab Ibumu. Sebab itu di dalam apa-apa tindakan saya, pasti ukurannya adalah kedua orang tua saya.

Saya tetap mengakui bahawa hidup ini akan diberkati andai mendapat keberkatan daripada mereka berdua. Tak perlu saya huraikannya lebih lanjut. Apa yang ingin saya katakan ialah, sebenarnya saya terkejut apabila kc menjauhkan diri daripada mereka.

Apabila kc memberitahu hidup seolah-olahnya tiada keberkatan lagi, saya dapat merasakan ada sesuatu yang telah berlaku dengan matlamat hidup kc. Minda saya juga ingin mengongsikan dua cerita yang berlawanan yang terkandung di dalam Kitab Shahih Muslim dan Kitab Imam Al-Ghazali. Kedua-dua cerita itu juga telah menjadi Pedoman Hidup saya.

Diceritakan bahawa seorang Pemuda yang amat rajin beribadah, tetapi di akhir hidupnya, dia telah dimasukkan ke neraka!. Biarlah pada ketika ini saya tidak menjelaskan cerita itu secara terperinci, tetapi yang menarik perhatian saya ialah lawanan kepada cerita itu tadi ialah apabila seorang Pelacur, saya ulangi Pelacur, yang telah melacurkan diri sepanjang hidupnya, tetapi suatu hari, dia telah memberi minum seekor anjing, dan kerana keikhlasan wanita tadi membantu seekor anjing meminum air, Allah SWT telah redha dan memasukkan wanita itu ke dalam syurga!.

Bayangkan dua peristiwa yang amat jauh berbeza itu. Seorang ahli ibadah dan seorang pelacur. Tetapi yang berbezanya ialah pengibadah tadi masuk neraka dan pelacur pula masuk syurga.

Apa lagi matlamat hidup yang lebih baik selain Syurga?. Ya, kita boleh cemerlang di dunia dengan mendapat pelbagai gelaran yang selayaknya, tetapi adakah ianya lebih berharga daripada Syurga?

Saya pasti, andai matlamat hidup ini jelas, kc tidak akan berasa semua masalah yang timbul itu sebagai satu masalah, tetapi ianya adalah satu yang harus dilalui agar dekat kepada-Nya. Ingatlah bahawa Yang Maha Pencipta amat-amat menyayangi insan-insan ciptaan-Nya yang bernoda dan berdosa, andai cepat-cepat memohon ampunan dari-Nya. Ya, memohon ampunan dari-Nya adalah insan yang dikasihi-Nya.

Perlu juga diingat bahawa hanya Nabi dan Rasul sahaja yang tidak melakukan kesilapan kerana apa?, kerana mereka mendapat bimbingan dari-Nya. Oleh itu, mintalah bimbingan dari-Nya sepanjang masa.

Moga di lain masa ada kesempatan berbicara, pasti akan saya coretkan lagi sesuatu di laman ini. Moga bertemu kembali...


Baca selanjutnya, Klik di sini...

Jumaat, Oktober 09, 2009

Pengalamanku bertemu Jodoh .. bhg 23

Kini, aku masih ingat peristiwa ketika aku bersama Gadis Ayu Yang Cantik itu berkenal-kenalan dan beramah mesra duduk di luang legar kafetaria sambil bertanya pelbagai soalan-soalan mudah.

Dia bertanya kepada aku, dan aku pula mengulangi pertanyaan itu kepadanya, begitulah seterusnya pertanyaan-pertanyaan mudah yang berlaku semasa pertemuan pertama bersama Gadis Ayu Yang Cantik itu.

Sebenarnya pertemuan pertama itu terjadi hasil perancangan rapi Kakak yang aku telah ceritakan sebelum ini.

Al-maklum, Kakak itulah juga yang bertanggungjawab menceritakan tentang Gadis Ayu Yang Cantik itu kepadaku dan begitu juga kisah-kisah diriku yang diceritakannya kepada Gadis Ayu Yang Cantik itu, sehinggalah kami terdorong untuk bertemu dan bersemuka sambil berbicara dan berkenal-kenalan bersama-sama.

Sememangnya ketika pertemuan berlangsung, aku sedang membawa tekad agar dapat meluahkan rasa hati, iaitu mengajaknya membina bahtera perkahwinan secepat mungkin. Sememangnya aku sudah tidak tahan dengan pelbagai godaan syaitan.

Lagipun naluri perasaanku semakin bergelora meminta ditunaikan dengan segera agar dapatlah mengecapi apa yang dikatakan sebagai syurga dunia. Opsss… aku tidak mahu detailkan mengenainya. Apa yang pasti, diriku meronta untuk merasai kebahagiaan hidup berumahtangga yang ada tanggungjawabnya tersendiri.

Sungguh sedih, kerana aku tidak dapat mendirikan bahtera perkahwinan bersama Gadis Ayu Yang Cantik itu. Bukan kerana dia atau aku yang tidak sudi, tetapi kerana dia ingin bertangguh.

Menurutnya, dia tidak mahu melangsungkan perkahwinan seawal mungkin. Dia lebih suka berkhidmat kepada keluarganya terlebih dahulu. Lebih kurang tiga atau lima tahun lagi. Oleh itu, dia lebih suka menjalin hubungan sebagai kawan dahulu agar dapatlah dia mengenali diriku.

Hah! Kawan? Dalam hal-hal sebegini, pastilah aku menolaknya juga kerana aku tidak mahu memadu cinta sebelum bernikah!

Itu memang kehendak diriku kerana seperti yang aku beritahu sebelum ini, sememangnya aku terlalu lemah berbanding Anda. Perasaan yang aku rasai ialah manalah tahu kalau-kalau aku tertewas dek pelbagai godaan syaitan…

Aku ini bukannya orang yang tinggi keimanan. Sekejap sahaja bisikan syaitan durjana berdering di telinga, pasti aku tidak akan dapat mengawal nafsu serakah yang sedang mengiringi kehidupanku ketika itu… heheheeeee

Sebab itulah juga aku terpaksa menolak pelawaannya di dalam menjalin hubungan sebagai kawan yang istimewa. Tetapi tolakkanku itu dilakukan secara berhemah sebab aku tidak mahu melukakan hatinya yang telah sudi bersemuka denganku.

Kalau hubungan sekadar kawan biasa, pastilah aku tiada masalah, sememangnya aku ramai kawan perempuan.

Tetapi disebabkan hati sanubariku telah bergetar dan meronta-ronta bila melihat wajah Gadis Ayu Yang Cantik itu, terpaksalah aku mengelak bersemuka untuk kali kedua dengannya.

Seperti biasa, aku mengiyakan sahaja pelawaan hubungan sebagai kawan sepertimana hubungan dengan kawan-kawan perempuan yang lain, iaitu sekadar kawan biasa yang tiada komitmen mengenainya.

Full stop.

Hari-hari yang aku lalui selepas itu terus sahaja berlalu dan aku tidak pernah lagi menelefon atau bertanya kepada Kakak atau Rakanku itu. Apatah lagi menghubungi Gadis Ayu Yang Cantik itu.

Apa yang masih segar diingatanku, selepas pertemuan pertama dan terakhir itu, kami tidak pernah lagi duduk semeja seperti itu. Apa yang aku tahu, dia sering menghantar email kepadaku yang mengandungi pelbagai tazkirah-tazkirah yang berguna. Terkadang aku membalasnya dan lebih kerap aku mengabaikannya sahaja. Pastilah aku berterima kasih kerana kesudiannya menghantar email sebegitu rupa.

Hari-hari terus berlalu…, sehinggalah aku menerima satu panggilan telefon dari Kakak yang aku kenali itu. Pastilah dia bertanya tentang perkembangan apa yang sudah berlaku...

Aku tidak mahu merahsiakannya, dan aku berterus-terang dengan Kakak yang telah membantu aku itu.

Kakak itu juga memaksa aku menjalin hubungan kawan istimewa dahulu dengan Gadis Ayu Yang Cantik itu agar masing-masing dapat mengenali antara satu sama lain.

Tetapi aku tidak bersetuju kerana aku lebih terdorong mendirikan Bahtera Perkahwinanku dahulu sebelum mengenalinya dengan lebih jauh.

Perjalanan hidupku perlu dilalui dengan penuh keyakinan dan kepercayaan, sebab itu dalam hubungan sedemikian, aku takut nanti hidupku dipenuhi oleh pelbagai kepura-puraan hanya kerana menjaga hati seorang insan yang dinamakan sebagai Perempuan.

Aku sememangnya tidak mampu melakukan sedemikian...



(coretan lain akan aku sambung lagi…)
Baca selanjutnya, Klik di sini...

Khamis, Oktober 08, 2009

Coretan khusus untuk Lis

Salamelekom, wbt adikku Lis…

Ya, memang itulah selayaknya diri kita. Bantu membantu di antara satu dengan yang lain. Apatah lagi sekiranya rakan atau saudara kita itu sedang berperang dengan perasaannya sendiri.

Pastilah abg tidak akan kedekut meluangkan masa untuk memberikan sedikit pengisian agar kelak peperangan dengan perasaan itu dapat diatasi.

Sememangnya kesibukan kerja menggamit setiap waktu, tetapi bukanlah menjadi penghalang diriku untuk sama-sama berkongsi sesuatu dengan mereka, apatah lagi jika sekiranya mereka itu adalah adik-adikku, penerus masa hadapan agama, bangsa dan negaraku tercinta ini.

“Dia menjawab: (Kekuasaan dan kekayaan) yang Tuhanku jadikan daku menguasainya, lebih baik (dari bayaran kamu); oleh itu bantulah daku dengan tenaga (kamu beramai-ramai) aku akan bina antara kamu dengan mereka sebuah tembok penutup yang kukuh. (Al-Kahf, 18: 95)

Ketahuilah apa yang abg kongsikan di sini merupakan sesuatu yang pernahku alami semasa dan di sepanjang pencarian Pedoman Hidup ini.

“Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan) dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya. (Al-Ankaboot, 29: 69)”

Maaflah adikku Lis kerana tidak dapat menjawab soalan itu. Bukannya abg tak tahu, tetapi apa yang pasti, sememangnya abg sedang berada di muka bumi yang diciptakan oleh-Nya ini.

Kenali daku melalui coretan-coretanku kerana itulah kebesaran-Nya, usah kenali diriku ini kerana pasti bertimbun kelemahan yang ada padaku.

Jangan dituruti segala kelemahan ku tetapi ikutilah petunjuk-Nya selalu. Kelak adalah cahaya dan sinaran kehidupan dari-Nya. Sesungguhnya segala keajaiban dunia ini ada pada-Nya. Oleh itu, pohonlah restu-Nya moga akan terbukalah sedikit-sedikit daripada segala rahsia-Nya.

Salam berkenalan dari abgbent.
Baca selanjutnya, Klik di sini...

Rabu, Oktober 07, 2009

Pengalamanku bertemu Jodoh .. bhg 22

Akhirnya aku duduk semeja dan bersemuka bersama Gadis Ayu Yang Cantik itu. Sememangnya aku tersipu-sipu malu dan begitu juga dirinya, yang dapat aku perhatikan padanya.

Pertemuan itu kami telah rancang pada awalnya, iaitu bertemu di kafetaria tempat kami bekerja. Masa yang kami pilih sekitar 11.00 pagi iaitu ketika sebahagian staf telah menyelesaikan masa minum pagi mereka.

Walaupun masa yang kami pilih ialah sekitar 11.00 pagi, tetapi kafetaria itu tetap dipenuhi oleh insan-insan lain bagi memenuhi pelbagai keperluan mereka.

Nak tahu perasaanku semasa pertemuan pertama itu? Pastilah aku berasa malu-malu kerana ada terselit sesuatu di dalam hati dan sanubariku. Barangkali itulah yang dikatakan perasaan cinta yang mahu berputik pada seorang wanita. Entahlah…

Hakikatnya ketika itu, aku juga berasa khuatir dek pelbagai spekulasi kelak dilontarkan oleh insan-insan yang suka berprasangka. Oleh kerana itu, bagi menghindari syak wasangka sebegitu rupa, kami telah bersetuju memilih ruang legar yang agak terbuka dan senang diduduki oleh sesiapa sahaja sekiranya mereka mahu duduk semeja bersama-sama kami.

Aku pun sudah lupa apa yang aku minum ketika itu, begitu juga dengan minuman yang diminta oleh Gadis Ayu Yang Cantik itu, sememangnya aku sudah lupa tentangnya. Apa yang pasti, memanglah aku ingin membelanja dia, tetapi dengan lembut dia telah menolaknya.

Konon-kononnya dia tidak mahu terhutang budi, sebab itu dia sendiri yang mahu membayar minuman yang diminumnya. Begitu juga akan diriku. Aku membayar sendiri minuman yang aku minum.

Dalam hal-hal sebegini, pastilah aku tidak mahu membantah. Mengikut sahaja apa yang diminta. Takkanlah pula aku berkeras, nanti maksudku untuk mendampinginya tidak kesampaian pula.

Sejujurnya, aku memang terpikat melihat dirinya. Maklumlah, Cantik dan Ayu pula, dan dihiasi dengan penuh sopan dan santun. Apatah lagi memakai tudung seperti yang aku kehendaki… Getaran hatiku membisikan, inilah Gadis yang aku inginkan. Heheheeee


(Coretan akan disambung lagi lain kali... Sekarang ini, ada tugasan yang perlu dibereskan dahulu)
Baca selanjutnya, Klik di sini...

Kehidupan Dunia Ada Peranannya

Tergamam saya membaca lontaran komentar adikku Syira…

Salamelekom, wbt duhai adikku Syira yang dikasihi kerana DIA. Pastilah masalah yang adik sedang alami kini, tidak saya rasai keperitannya.

Betul! Sukar abg menyerap masalah itu sedalam-dalamnya kerana abg khuatir andai diserap semuanya, nanti tidak beres pula kerja-kerja yang abg harus lakukan untuk hari ini.

Hanya lontaran komentar ini yang dapat diberikan, andai ada masa terluang lagi, akan abg kongsikan di blog Pedoman Hidup nanti...


Hidup di dunia tidaklah indah sepanjang masa kerana itu kita perlu mengetahuinya. Terkadang kita gembira, dan kadang-kala juga kita terlalu bersedih. Semuanya ini, akan dirasai di sepanjang kehidupan ini.

Seandainya kehidupan dunia indah sepanjang masa, sudah pasti ianya bukanlah lagi dinamakan kehidupan dunia, barangkali sudah menjadi Kehidupan Syurga. Kehidupan syurga yang dinyatakan sebagai Kekal dan Abadi.

Kehidupan Syurga sememangnya teramat indah!.

Itulah yang telah diberitahu kepada saya oleh-NYA, melalui para Rasul yang dikasihi-NYA. Sememangnya Rasul yang menjadi utusan-NYA memiliki budi pekerti yang terlalu tinggi. Sebab itu mereka menjadi perantara agar dapatlah menyatakan sesuatu mengenai kehidupan. Kehidupan Abadi yang dijelaskan melalui Hati Sanubari yang terlalu bersih dan tidak dicemari oleh nafsu yang sentiasa menginginkan sesuatu, sesuatu yang belum pasti menjadi hak milik kekal abadi.

Sesungguhnya DIA jualah yang berkuasa di atas segala-galanya yang ada di dunia. DIA jualah yang telah menciptakan seluruh isi dan luaran alam. Alam yang zahir, mahupun yang tidak dapat dicapai oleh akal dan fikiran. Itu yang dinamakan sebagai Kepercayaan.

Kepercayaan yang merasakan DIA sememangnya sentiasa ada di samping setiap masa dan ketika, agar terbinalah jejantas untuk melintas.

Melintas menyeberangi lautan pancaroba kehidupan duniawi, agar tercapailah Matlamat Hakiki untuk menduduki Syurgawi Nan Abadi, yang penuh dengan keindahannya yang tersendiri, yang belum pernah kita miliki, semasa kehidupan ini.

Yang pasti, Syurga memang indah, itulah yang dinamakan sebagai Kepercayaan. Percaya pada mereka yang telah memberitahu akannya, pastilah bukan calang-calang orang yang memberitahu, mereka yang digelar Rasul Mulia, memiliki budi pekerti yang terlalu tinggi.

Mengapa kita harus merasai kehidupan dunia ini sebegini? Kalau adikku masih belum mengerti, ketahuilah bahawa inilah yang dinamakan ujian-ujian duniawi yang harus dirasai sebelum kita mengecapi kehidupan syurgawi.

Mengapa pula kita perlu diuji ?

Ermmm…. Sukar juga abg nak meyakinkan semua, tetapi yang pasti, apa yang berlaku ini perlu dilalui agar jiwa yang kita punyai dapat ditapis kekotorannya terutama nafsu yang menguasai hati dan sanubari, apatah lagi akal fikiran yang menjadi pembeza antara manusia dan haiwan.

Mana mungkin kita dapat menduduki kehidupan syurga andai hati masih diselaputi kekotoran yang boleh menjahamkan kehidupan di syurga sana. Mana mungkin kita dapat menduduki syurga andai nafsu yang kita miliki masih berkuasa berbanding akal dan fikiran. Dan mana mungkin kita merasakan kehidupan abadi andai yang mendudukinya berupaya merosakkan keindahannya nanti.

Di sebalik itu semua, pastilah hanya DIA yang memahami mengapa semua kejadian ini kita harus lalui bersama.

Untuk itu, DOA pada-NYA merupakan senjata paling ampuh dan utama di dalam kita melalui liku-liku kehidupan dunia. Andai selepas berdoa dan yang terjadi pula sebaliknya, ketahuilah bahawa penawarnya adalah Redha.

Redha yang dinamakan sebagai kita memahami bahawa apa yang terjadi adalah ujian-NYA semata, sejauh mana kita telah mengerti apa yang dinamakan sebagai kehidupan duniawi. Inilah yang dikenali ketentuan-NYA yang kita harus rasai.

Moga-moga dengan berlapang dada di atas apa yang dilalui, DIA akan melihat dan memahami bahawa kita sedang melalui proses pembersihan organ-organ dalaman yang dinyatakan sebagai nafsu, akal fikiran dan hati sanubari yang semuanya sedang bersembunyi di dalam diri setiap insani.

Nafsu, Akal Fikiran dan Hati Sanubari yang sentiasa mengingati-NYA pastilah akan mendapat bimbingan dari-NYA, apatah lagi dengan Hati Sanubari yang sentiasa mengharap lembayung keredhaan-NYA sepanjang masa, sudah pasti akan memiliki belas ehsan dari-NYA.

Itulah yang dikatakan sebagai mencapai pengertian akan ertinya kehidupan duniawi.

Baca selanjutnya, Klik di sini...

Ahad, Oktober 04, 2009

Pengalamanku Bertemu Jodoh ...bhg 21


Wanita pertama aku temui ketika aku terdesak untuk mendirikan bahtera perkahwinanku ialah Gadis Ayu yang diperkenalkan oleh rakanku.

Masih aku ingat bilamana Rakanku memberitahu kepadaku bahawa ada staff baru telah melapor diri di tempat kerjanya. Gadis yang aku kenali Gadis Ayu Yang Cantik, pastilah memakai tudung yang menjadi antara kriteria utama bagi calon isteriku.

Peristiwa itu berlaku ketika aku bertemu dengan rakanku seawal pagi di kafetaria tempat kami bekerja. Sudah menjadi kebiasaan bilamana bersarapan pagi aku akan duduk di kafetaria tempat aku bekerja, sambil-sambil bersembang dengan rakan-rakan dari pelbagai peringkat dan bahagian, sebelum waktu pejabat bermula.

Ketika bersembang-sembang itulah, salah seorang Rakanku Yang Aku Kenali memberitahu kepadaku bahawa ada seorang gadis ayu dan cantik baru sahaja melaporkan diri di bahagiannya. Gadis itu melapor diri belum sampai seminggu lamanya.

Bila mana aku diberitahu seperti itu, apa lagi, membuak-buaklah perasaan diriku untuk mengetahuinya. Bukanlah sekali dua rakanku itu bercerita mengenai Gadis Ayu Yang Cantik itu, tetapi berkali-kali ianya berlaku dalam beberapa hari, sehinggalah aku pun tergerak hati untuk melakukan sesuatu. Gadis itu sebenarnya sama jawatannya denganku, sebab itu Rakanku meng"offer" kepadaku.

Suatu hari, sedang aku menyantap makanan tengahari, tiba-tiba pula aku didampingi oleh seorang Kakak yang sama bahagian dengan Rakanku itu. Sememangnya Kakak itu telah lama aku kenali, iaitu lebih dahulu sebelum aku kenal akan Rakanku itu. Apa lagi, aku pun tidaklah melepaskan peluang utnuk bertanya mengenai Gadis Ayu Yang Cantik yang baru mendaftar itu.

Wah! Tersenyum simpul pula Kakak Yang Aku Kenali bila mengetahuinya. Memanglah dia faham akan maksudku. Apa lagi Kakak itu merupakan seorang wanita yang telah berumahtangga dan telah pun mempunyai beberapa orang anak yang aku sendiri tidak pasti berapa jumlahnya.

Sebenarnya, Kakak Yang Aku Kenali inilah yang selalu memberikan semangat kepadaku agar cepat-cepatlah mendirikan bahtera perkahwinanku.

Bilamana Kakak itu mengetahui yang aku berminat mengenali Gadis Ayu Yang Cantik itu, apa lagi, banyaklah cerita yang dibongkarkannya, termasuklah mengatakan bahawa Gadis Ayu Yang Cantik itu sungguh lemah lembut orangnya, sentiasa tersenyum bila bersua, paling tidak pun, senang diajak berbicara. Sekarang ini Gadis itu sedang berjauhan dengan keluarganya, dan setiap hari sentiasa menghubungi keluarganya.

Wah! a
pa lagi, bila aku mengetahui pelbagai perwatakan positif sebegitu, naluri kelelakianku makin teruja untuk mengenali Gadis Ayu Yang Cantik itu.

Tidak cukup bersembang di kafetaria, aku memberanikan diri menghubungi melalui telefon pula untuk bertanya lebih lanjut kepada Kakak dan Rakanku tentang Gadis Ayu Yang Cantik itu.

Sememangnya hatiku seolah-olah bergetar sentiasa untuk memohon agar dihidangkan cerita-cerita selanjutnya mengenai Gadis Ayu Yang Cantik itu. Lagipun kadang-kala bila mana aku bertanya, jawapan yang diberikan oleh Rakan dan Kakak yang aku kenali itu ”Tak Tahu”.
Ini membuatkan hatiku terus meronta-ronta dan meminta supaya agar dapat berbicara terus dengan Gadis Ayu Yang Cantik itu.

Tetapi... ianya terhalang disebabkan Gadis Ayu Yang Cantik itu masih belum mempunyai sambungan telefon dan pejabat peribadi.

Lagipun, akukan seorang Lelaki Pemalu... Tak eloklah terus sahaja melulu bertanya kepadanya pelbagai perkara! Masih aku ingat Kakak yang aku kenali itu memberitahu dan menasihatiku agar bersabar dan usah terburu-buru di dalam hal-hal sebegini. Pastilah dia akan membantu semampu yang boleh.


(Coretan akan disambung lagi)

Baca selanjutnya, Klik di sini...

Sabtu, Oktober 03, 2009

Pengalamanku Bertemu Jodoh ...bhg 20

Wah! Dah lama aku tidak menyambung cerita mengenai tajuk ini. Maklumlah, banyak sungguh cerita yang aku kongsikan dengan Anda sebelum ini sehingga tidak dapat melanjutkan kisah berkenaan diriku bertemu jodoh.


Kalau sebelum ini aku kisahkan kepada Anda bagaimana beberapa gadis atau wanita cuba memikat diriku, tetapi kali ini aku ingin bercerita berkenaan cara-cara aku mengorat gadis dengan harapan mereka akan menjadi suri di dalam hatiku.


Sebenarnya aku memulakan usaha mengorat wanita setelah aku mengerti bahawa aku mesti berkahwin segera memandangkan usiaku semakin meningkat naik ketika itu.


Ada tiga gadis yang hampir-hampir aku kahwini. Bukanlah berkahwin sekali gus dengan ketiga-tiganya serentak, tetapi kerana tidak berjaya dengan yang satu, aku mencuba pula yang berikutnya, sehinggalah aku bertemu dengan Isteri Tercintaku.


Kisah ini aku ceritakan kepada Anda dengan harapan Anda akan mengerti dan mempunyai keyakinan untuk melakukannya. Manalah tahu…


Sejujurnya aku memberitahu bahawa aku bersua dan bertemu dengan Isteri Tercintaku sekali pandang sahaja dan terus bernikah. Akan aku kisahkan kepada Anda kerana aku ingin berkongsi mengenainya memandangkan kuasa keajaibanNYA terselit di dalam kisah ini.


Bayangkanlah, dengan tiga gadis yang hampir-hampir aku jadikan suri di dalam hidupku, tetapi kerana mereka bukanlah jodohku, akhirnya Isteri Tercintaku pula yang aku kahwini. Inilah yang dinamakan Jodoh, yang sememangnya menjadi hak mutlak ketentuan-NYA dan mengatasi segala-gala kuasa yang ada.


Perlu juga aku beritahu bahawa aku teramat bersyukur dengan kurniaan-NYA kerana aku percaya bahawa apa sahaja yang berlaku di dalam hidup ini, adalah merupakan antara ujian-ujian dunia yang harus aku dilalui. Pada-NYA jua aku memohon keampunan di atas segala kesilapan dan kealpaan diriku semasa melakukan kerja-kerja di dalam kehidupan ini. Sesungguhnya diriku ini terlalu kerdil untuk mengenali apatah lagi mengetahui segala perkara yang tersembunyi.


Syukur Alhamdulillah kerana kini aku memiliki seorang wanita yang penuh dengan kasih-sayang yang dicurahkan kepadaku yang terlalu sukar aku nyatakannya kepada Anda. Dialah wanita yang aku kenali Isteriku Yang Tercinta.



(coretan akan disambung lagi, InsyaAllah)


Baca selanjutnya, Klik di sini...

Khamis, Oktober 01, 2009

Kehidupan Dunia, Apa Matlamatnya ?

Tahniah! wahai adikku Faizal.

Itulah sebaiknya diri kita yang bergelar manusia, mempelajari segala ilmu-ilmu yang diberikan-NYA termasuklah bersyukur sentiasa dengan segala nikmat yang dikecapi semasa kehidupan ini. Usahlah dianggap yang pedih dan pahit itu sebagai suatu yang amat memeritkan di dalam kehidupan ini.

Berkemungkinan yang pedih dan pahit itulah kelak menyebabkan kita menerima anugerah-NYA yang tidak terhingga, iaitu Syurga nan Abadi.

Paling penting, teruskanlah melalui kehidupan ini dengan tabah serta sentiasa memohon pertolongan-NYA bila-bila masa sahaja kerana ketahuilah bahawa sesungguhnya hanya DIA yang berkuasa di atas segala-gala isinya dunia.

Terkadang perkara yang difikirkan oleh akal mustahil untuk berlaku boleh juga berlaku dek belas ehsan dari-NYA. Sebab itu kita telah diingatkan agar sentiasa memohon pertolongan-NYA. Masih ingatkah sirah para Rasul-Rasul-NYA? Nabi Musa dengan tongkatnya, nabi Yunus bersama ikan yang memakannya, Pemuda-pemuda yang ditidurkan di dalam gua sehingga seratus tahun lamanya, ini semua diceritakan agar kita mengerti segala keajaiban yang dimiliki-NYA.

Kelebihan manusia berbanding makhluk-makhluk lain ciptaan Ilahi ialah kerana manusia mempunyai Akal Fikiran. Sebab itu usahlah disia-siakan kelebihan akal berfikir mengenai pelbagai perkara. Akal yang sentiasa mengingati-NYA pastilah akan sentiasa beroleh petunjuk dari-NYA, apatah lagi petunjuk yang menjadi cahaya untuk menyuluh liku-liku kehidupan dunia yang sememangnya penuh dengan pancaroba.

Selain itu, perlu juga diberitahu bahawa ilmu-ilmu-NYA perlu dipelajari, sebab itu kita kena cari, moga-moga nanti akan berolehlah kejayaan hakiki iaitu menduduki Syurga nan Abadi.

Ketahuilah bahawa penghuni Syurga semuanya adalah yang terpilih iaitu mereka yang memiliki budi pekerti yang tinggi. Sebab itu dinyatakan bahawa kesejahteraan kehidupan di Syurga adalah yang Abadi. Moga-moga dapatlah dimengerti coretan yang tidak seberapa ini. Coretan ini sekadar berkongsi untuk dijadikan pedoman bersama agar dapatlah dilalui onak dan duri di sepanjang perjalanan duniawi. Salam penuh kasih buat adikku Faizal.
Baca selanjutnya, Klik di sini...